Wednesday, October 28, 2009

Kerja-kerja menangguk di air keruh

Saya dihubungi wartawan Sinar Harian semalam berhubung pertemuan antara bloggers dan Dato Dr Hasan Ali di kediaman beliau malam sebelumnya. Pada hari ini kenyataan saya itu terbit dalam akhbar yang sama.

Sebelumnya di alam maya macam-macamlah yang dilemparkan oleh para penulis dan pengkritik dan lain-lain. Ada kalangan rakan blogger yang hadir cuba memberi penjelasan,ada diantara yang tidak hadir terlebih sudu dari kuah memberi huraian seolah malaikat sudah tiada di kiri kanan mereka.

Tak mengapalah.

Pertemuan Dr Hasan dengan blogger itu anjuran Lajnah Penerangan PAS Selangor. Malah memang dalam perancangan untuk program “engagement” bukan sekadar dengan masyarakat blogger, malah kumpulan NGO, ketua-ketua agama bukan Islam, petani,nelayan, peniaga kecil semua dalam perancangan lajnah.

Bloggers pun kita berhasrat bertemu dengan semua bloggers tanpa mengira fahaman dan agama.

Tiba-tiba dikhabarkan pertemuan itu adalah untuk menegaskan bahawa kononnya PAS akan keluar dari Pakatan. Kononnya pertemuan itu untuk menerangkan darihal “Unity government” dan macam-macam lagi.

Saya dan rakan-rakan yang menganjurkan pertemuan itu. Kami berhajat menyediakan forum untuk PAS Selangor menjelaskan darihal dasar dan perjuangannya, rancangan kini dan masa depan serta memperkukuhkan komitmen PAS Selangor dalam kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Begitu juga jika kita berpeluang bertemu dengan kumpulan-kumpulan lain yang dimaksdukan.

Mengapa jemput blogger Umno?

Kalau ada blogger kominis pun saya mungkin terlepas pandang. Saya menjemput individu dan kumpulan atas sifat mereka sebagai seorang blogger bukan berdasarkan fahaman atau kepercayaan politik mereka. Memang saya menjemput kawan saya “Mahaguru 58” dan mohon bantuan beliau mengundang rakan-rakan dari kumpulan beliau “Muslim Bloggers Alliance”

Mengapa dibuat selang beberapa malam sebelum mesyuarat khas PAS Pusat?

Subhanallah, demi Allah tiada niat pun untuk mempengaruhi mesyuarat itu, malah diperingkat manakah pertemuan dengan blogger ini boleh mencorakkan keputusan mesyuarat itu yang dijadualkan malam ini? Yang pastinya fitnah yang berligar dari kalangan mereka yang tidak tahu hujung pangkallah yang cuba mengeruhkan suasana dan mempengaruhi mesyuarat.
Memang kalau dah kacamata hitam yang kita guna, benda yang putih bersih pun kelihatan hitam juga.

Diperingkat ini saya mahu memetik beberapa pidato Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad, mudah-mudahan boleh membawa ketenangan kepada jiwa-jiwa kita, kata beliau:

“Sekarang akhlak kita lembik, kebenaran kita ketepikan jika perut kita terancam dan kesucian kita korbankan jika kepentingan kita terlibat maka kita pun seperti sehelai bulu ayam yang halus yang dipermain-mainkan oleh angin nafsu dan keadaan hidup kita. Kita khianat bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri…….”

(Saya disifatkan oleh seorang tokoh kononnya sebagai ancaman yang kecil sahaja, kepala-kepala pengancam yang lebih besar akan dicantas…………..)

Kata Almarhum lagi (48 jam sebelum dipanggil oleh Allah swt)):

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah KEIKHLASAN. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil,mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan yang ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Wallahualam.

3 comments:

Askar melayu said...

insyaAllah sama-sama kita bersabar dalam menempuhi ujian ini..

Saya sebagai anak muda begitu kesal dengan mainan sesetengah blogger yang menjadi ejen setan UMNO untuk menghancurkan Pakatan Rakyat dan PAS.

Ramai betol blogger PR dah jadi wartawan Utusan Meloya..

Teruskan perjuangan kita..
Yang penting ikhlas..
Allah tengok setiap apa yang kita lakukan..

nasir said...

Assalamualaikum ..

Saya sememangnya menyokong tidak ada pemecatan dlm PAS . Biarlah diselesaikan dalam suasana ukhuwwah .

Namun saudara Rolsan , saya memang masih terfikirkan kewajaran memanggil blogger UMNO tersebut . Mungkin ada niat yang mulia disebalik jemputan tapi bagi saya kita kena juga melihatkan keadaan yang berlaku . Suasana kelam kabut yang ada malahan saya sendiri kalau ditanya tidak tahu apa kewajaran tersebut .

Ummu Abbas said...

Terima kasih atas penjelasan ini. Sekiranya saudara rasakan wajar, saya pohon diberi penjelasan mengenai beberapa perkara 'rahsia parti' yang diceritakan dalam pertemuan itu. Contoh apa yang ditulis mengenai Mahaguru berkenaan wujudnya bai'ah talak tiga bagi calon PAS yang akan bertanding dan beberapa perkara lagi yang disebarkan oleh blogger lain.

Pada fahaman saya dan pembaca lain, ia adalah rahsia parti atau hal dalaman. Jadi apa justifikasi memberitahu hal tersebut di hadapan blogger UMNO?

Hari ini, isu bai'ah cuba dipolemikkan dalam akhbar harian. Saya lihat ia akan menarik lagi sebahagian masa pejuang PAS untuk melayani isu cabang tersebut. Sedangkan banyak lagi tugas dasar dan utama yang perlu diselesaikan.

Benarkah blogger UMNO mendapat 'rahsia'tersebut dari pertemuan itu atau mereka mendapat dari sumber lain kemudian dikhabarkan ianya disampaikan oleh pimpinan utama PAS sendiri?

Harap dapat jawapan yang menenangkan.

Sekian, terima kasih.