Sunday, May 10, 2009

Happy Mothers Day - Mak

Petang tadi saya sempat dengan adik-beradik dan kaum keluarga yang lain menghadiri jamuan bagi meraikan ibu kesayangan kami sempena “Hari Ibu” hari ini. Apalah sangat majlisnya berbanding dengan pengorbanan dan jasa besar manusia yang paling kami kasihi dan sanjungi itu.

Saya terus membayangkan betapa sakit dan derita yang ditanggung oleh ibu untuk mengandung dan melahirkan kami anak-anaknya ini. Saya sendiri dilahirkan di rumah di kuaters OCPD Kuala Krai ketika itu (lebih 40 tahun lalu) kerana ibu tidak sempat dikejarkan ke hospital. Bayangkan sakit yang beliau tanggung, subhanallah.

Begitulah juga kita semua, sewajarnya menyanjung dan menghargai jasa dan pengorbanan ibu kita masing-masing. Dari saat ia mengandungkan kita, sehingga melahirkan kemudian membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi manusia yang berguna, mampukah kita nilai dan bayar segala-galanya itu dengan wang ringgit dan kekayaan?

Sebagai anak yang bongsu, hubungan saya dengan ibu semasa kecil sungguh akrab sekali. Ibulah segala-galanya ketika itu, sakit, lapar mahukan itu dan ini, ibulah sasarannya. Sehingga naluri ibu itu saya lihat dapat tahu ketika saya sakit, dapat tahu bila saya lapar dan susah hati, istimewa sungguh ciptaan Allah ini.

Pastilah sepanjang hidup bersama ibu, ada perlakuan dan tabiat saya yang megguris hatinya, yang mengecewakannya, ibu maafkanlah anakmu. Tidak akan tercium bau syurga kiranya tidak dimaafkan segala dosaku terhadapmu walau sekecil mana sekalipun wahai ibu.

Kini saya sudah berkeluarga, giliran saya pula merasa dan menanggung beban membesarkan anak-anak, sebagaimana yang telah dilalui ibu. Sungguh besar pengorbanan mu ibu, memang tidak mampu dan terdaya untuk membalasnya.

Kehadrat Allah aku berdoa, moga ibu terus senang, sihat dan bahagia, diberikan Allah kekuatan dan kemudahan untuk beribadat pada Nya. Apa sahaja yang mampu kucurahkan akan kucurahkan buat menghiburkan hati mu ibu walau ku tahu memang tidak sesempurna mana pun. Ya Allah kau lindungilah ibu kami, kau berkatilah hidupnya, kau ampunkanlah dosanya, dan peliharalah ia sebaik-baiknya sehingga sampai ketika kau mengambilnya dari kami (atau mungkin kami yang pergi dahulu mendahuluinya).

Selamat Hari Ibu, mak ku yang tersayang………ampunkanlah dosa ku, redhakanlah hidup anak mu ini dan doakanlah semoga kami sekeluarga bahagia selalu.



2 comments:

tajudin said...

Pengorbanan ibu yang tiada tolok bandingnya.

Anonymous said...

bro, wife u tak ingt ke?