Ramai yang memberi ulasan, pandangan dan reaksi terhadap posting dalam blog adinda saya Nik Abduh. Nik Abduh tidak bercakap pada pemberita atau akhbar arus perdana, tetapi postingnya itu diambil bulat-bulat kerana nilai beritanya cukup berharga.
Saya mungkin tersilap, tetapi saya merasakan ia tidak bersifat memecah-belahkan jemaaah, tidak juga mencucuk dan menjatuhkan sesiapa, tetapi saya melihat ia sebagai pendedahan ikhlas semata-mata mahu menguraikan yang kusut, dan memulihkan yang berserabut. Dalam hal ini, setiap anggota dan ahli jemaah dalam PAS terlalu kasih dan cinta pada parti dan perjuangan ini. Ia terlebih dahulu sebuah gerakan Islam bukan semata-mata parti politik, setiap ahli dididik adab dan disiplin berjemaah sebagaimana adab dan disiplin diwarisi sejak dari zaman Rasulullah saw.
Kerana itu fitnah dan adu-domba lazimnya tidak menjejaskan PAS, ia mungkin sumbing atau mengelupas di sini-sana akibatnya tetapi insyallah ia berupaya kekal utuh kerana ia dibina dengan sifat taqwa dan diperkemaskan dengan ikatan aqidah.
Memang akan ada perbezaan pandangan, memang akan ada yang tidak senang hati, tetapi kerana rujukan tertinggi kita kekal rujukan yang sama diajarkan pada kita oleh pemimpin ulung kita Nabi Muhammad saw, iaitu Quran dan Hadis, tegang mana pun perbezaan pandangan, perit mana pun ketidakpuasan hati, jemaah ini tidak terjajas. Saya masih ingat ucapan penggulungan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam muktamar yang lalu:
Pokok PAS tidak akan tercabut kerana tunjangnya Islam (walaupun mungkin bergoyang).
Nik Abduh tidak mahu ayahandanya disalah anggap, dorongan itu bangkit saya percaya bukan semata-mata kerana Tok Guru Nik Abd Aziz itu ayahandanya (siapa yang tidak akan pertahankan bapa sendiri, dan siapa pula mahu menyalah tafsir bapa sendiri……..) tetapi saya yakin lebih besar lagi kerana Tok Guru adalah Mursyidul Am kepada sebuah gerakan Islam yang didukung oleh hampir sejuta umat dirantau ini.
Biar apa yang Tok Guru maksudkan itu jelas, biar apa lontarannya itu difahami, jangan ada sesiapa pula menokok-nambah atau mengurang-ngurang atau apa lagi merobahnya sama-sekali. Atas dasar itu Nik Abduh bersilat, dan dari apayang saya terima, ternyata pencak silatnya itu disenangi oleh banyak pihak.
Kini dengan postingnya yang kedua, beliau mengukuhkan lagi pendirian dan pandangannya apabila beliau menyebut:
Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah.
Tok Guru Mursyidul Am yang kita kasihi kini berada di Tanah suci menunaikan umrah. Nik Abduh menulis lagi:
Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.
Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.
Bagi saya apa yang beliau tambah lagi dalam posting terbarunya,dengan lenggok dan bahasa penulisan yang hanya ada padanya, memang penting tetapi yang paling penting adalah kenyataan di atas. Bahawa tulisannya diberi “lampu hijau”. Jangan langgar “lampu merah”, kalau hijau baru jalan. Saya teringat satu jenaka yang pernah disebut oleh Tok Guru ayahanda Nik Abduh. Kenderaan PAS ini kemana-mana ia pergi ia tetap berjuang PAS. Lampu hijau ia jalan, lampu merah, walaupun berhenti, injinnya tetap berbunyi, pas-pas-pas……..
Hari-hari kini akhbar melaporkan dari lidah pimpinan PAS pelbagai peringkat bahawa tidak ada krisi dan konflik antara kedua-dau Tok Guru Mursyidul Am dan Presiden. Memang tidak ada, yang ada sebagaimana didedahkan oleh Nik Abduh adalah mereka yang sengaja mencetuskan “huru-hara” bikinan ini.
Biarlah kedua-dua mereka kekal menguruskan jemaah ini kerana ia perlu dan dahagakan kepimpinan mereka. PAS telah melangkah jauh dengan payung kepimpinan ulamak ini dan ia perlu berjalan terus. Jangan kita laga-lagakan atau cetuskan konflik antara dua insan yang istimewa dalam PAS ini. YB Sdr Salahuddin Ayub dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini menyebut:
Jika anda semua saksikan apa yang telah dilakukan oleh PAS dengan diketuai oleh Datuk Seri Hadi Awang, kami telah menukar pendekatan. Kini selain mengkritik kami juga telah mampu berucap serta memberi pandangan dan gagasan ke arah penambahbaikan negara itu sendiri.
Tok Guru Presiden pernah berpasan:
Rahsia kekuatan kita (PAS) adalah kerana setiap kita (dalam jemaah ini) bersifat dengan sifat Islam.
Kita berbeza pandangan, kita masuk bertanding semuanya mestilah kekal dengan sifat ini insyallah. Hatta kita menulis dan memberikan pandangan, biarlah tidak luntur sifat ini, tala dan halakan peluru yang membunuh pada musuh bukan sama-sama para sahabat dan kawan-kawan. Sesiapa sahaja yang kendur atau luntur sifat ini perlu diperbaiki, perlu ditegur kerana arus Islam ini perlu terus bergerak, jangan dihalang-halang.
Semoga tulisan Nik Abduh itu kit baca dan kita jadikan iktibar. Suka saya mengakhiri posting ini dengan petikan dari tulisan adinda Nik Abduh yang terbaru:
Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.
Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!
4 comments:
Kepada abang Roslan, tolonglah bagi sokongan dan bantulah adinda abang Roslan tu dengan baik.
Saya bimbang dia keseorangan, antara komen dalam artikel dia bukan main, cukup pedih dan sangat menjijikkan.
Kalau abang Roslan dan Nik Abduh tak berpakatpun tolonglah cakna sedikit kat dia.
Saya lagikan kutu yang tak mampu memberi apa sokonganpun pada dia, lagipun dia berusaha untuk menghalang langau yang mengacau kedua-dua tok guru kita.
bukan cik roslan je yang akan tolong dia.seluruh pencinta ulamak akan tolong dan mendoakan kesejahteraan dia.semoga Allah memberkati usaha dia sebagai pejuang islam dan mengentalkan semangatnya untuk mengharungi onak perjuangan.
Takbir!
hikmah yg diperolehi, apabila dua pemimpin ini bersatu kembali terpancar kekuatan silaturahim antara duanya semakin akrab, begitu juga para pengikut. yg mengeji dan bermcm lagi tu, biarkan... mereka akan malu sendiri dan akan sedar apabila pemimpin2 kita dan kita diuji, akhirnya akan memberi lebih kebaikan.
hikmah2 yg bisa dilihat kini:
PAS merupakan satu parti yg amat terbuka, kita bercanggah dan berbahas, tapi yg pasti Islam tetap dijunjung. tidak ada berlaku siapa2 dipecat sebagainya bila berlaku sedikit pertelingkahan. malah apabila dijernihkan kembali tiada yg disimpan dihati, jelas kelihatan keikhlasan hati budi para pemimpin ini.
dilihat juga dari luar parti kini, yg betapa bahagianya ahli2 PAS itu dimana ada tersemat kasih syg dan perasaan hormat menghormati sesama lain, dimana mustahil didapati dlm parti2 yg lain.
mereka juga akan melihat kematangan yg tinggi ditunjukkan pemimpin2 kita. betapa gelora yg dtg dari luar diatasi dgn sebaik2 tindakan, malah gelora yg diwujudkan dari dalam kini terhapu begitu mudah hanya pabila dua2 pemimpin bersua muka. mereka bertanya, tidak ada dendam ke mereka ini? sesungguhnya mereka mmg tidak mengetahuinya...
musuh2 pula akan menjadi sekali lagi buntu dgn keputusan akhir rencah yg terjadi ini, dimana mereka juga menyedari dlm diam betapa kukuhnya ikatan para pemimpin dan jemaah sekalian, dan akan berfikir sehabis mungkin utk terus mengugat keakraban itu, walaupun ketika yg sama jiwa yg penuh dendam kesumat dan perasaan benci yg membara saja kedengaran di dlm jiwa setiap mereka itu. inilah yg menyebabkan kejian itu bertalu2 didatangkan.
para jemaah kini tidak perlu terkekeh gelak seperti mereka mendapat habuan, tetapi cukup sekadar tersenyum yg membawa seribu erti kebahagiaan, sudah mencukupi utk menusuk kan jarum terus kedlm hati mereka, moga mereka beroleh hidayah kelak apabila sembuh dari sakitnya.
akhir kata, secara peribadi gembira kerana berada di pihak yg benar, semoga ini akan menguatkan lagi keazaman utk terus berjuang dgn para pimpinan yg semakin utuh ini...
Allahuakhbar!!!
Jika ada seorang ahli PAS pastikan anda dipilih sebagai perwakilan ke Muktamar PAS kali ke-55 ini.
Jika anda perwakilan pastiikan anda memilih dan mengundi kepimpinan ulamak untuk meneruskan menerajui parti Islam Semalaysia ini.
Hanya Kepada Allah aku berserah, hanya kepada kepada perwakilan aku merayu
PELAJAR SEKULAR, PENDOKONG ULAMAK
Post a Comment