Tuesday, December 27, 2005

Kes Allahyarham Kopral Mohammad Abdullah aka Moorthy
Di Mahkamah Rayuan Sivil pagi tadi

Atas sebab-sebab tertentu Mahkamah Rayuan Sivil yang sepatutnya bersidang pada Khamis 29 Disember ini telah bersidang pagi tadi.

Saya berkejar ke mahkamah sejurus mendengar perubahan tarikh tersebut untuk mendapatkan maklumat first hand. Saya tiba diperkarangan mahkamah setelah mahkamah mula bersidang. Kamar mahkamah penuh sesak, dan kebanyakkan yang hadir saya perhatikan terdiri dari keluarga dan kenalan isteri Allahyarham yang masih beragama Hindu belaka.


Sampai bilakah mayat ku akan tersiksa!!!

Turut hadir adalah Ketua Dewan Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Tuan Hj Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Ustaz Idris Ahmad.

Mahkmah telah mendengar hujah pihak pemohon serta pihak-pihak yang mempunyai kepentingan disamping hujah pihak JAWI sendiri dan wakil Persatuan Peguam Muslim.

Saya berkesempatan mendengar hujah dari peguam pihak pemohon iaitu isteri Allahyarham dan wakil-wakil yang memiliki kepentingan termasuklah dari badan-badan NGO serta Majlis Peguam Malaysia yang turut berhujah bagi pihak pemohon.



Sukar dipercayai bahawa antara yang berhujah agar mayat ini diserahkan kepada keluarga Allahyarham yang masih beragama Hindu itu adalah Peguam Haris Ibrahim yang mewakili Majlis Peguam (seorang Muslim berhujah untuk memenangkan pihak bukan Islam!)

Setelah dengan sabar mendengar hujah semua pihak, Hakim Mohd Rauf Shariff telah menangguhkan perbicaraan dan memaklumkan akan memutuskan kes ini esok jam 10 pagi.

Dalam perbicaraan tadi pihak JAWI telah mengemukakan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah KL yang telah memberi kuasa kepada JAWI untuk mengkebumikan Allahyarham menurut hukum dan peraturan Islam setelah mengesahkan yang Allahyarham telah memeluk agama Islam menurut proses yang ditetapkan.

Pihak peguam pemohon berkali-kali berhujah bahawa pihak JAWI tidak mengemukakan bukti pengislaman Allahyarham yang sebenarnya menurut pandangan para peguam yang sempat saya temui, tidak diperlukan di mahkamah ini memandangkan segala dokumen dan bukti telah pun diserahkan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah tempoh hari.

Apa pun sama-samalah kita berdoa dan menunggu keputusan esok pagi. Kes ini bagi saya sungguh penting kerana ia melibatkan maruah dan kewibawaan pihak jabatan agama dan Islam itu sendiri. Saya sungguh terganggu apabila berada dalam mahkamah yang dipenuhi oleh mereka yang bersungguh mahu memperkecil dan merendahkan martabat Islam itu dengan penuh semangat. Turut hadir adalah wakil-wakil agama dan sami-sami Hindu sedangkan kehadiran orang Islam sungguh kecil, kecuali yang saya sebutkan di atas.

Mudah-mudahan segeralah selesai kes ini dan segeralah semua pihak kembali mengiktiraf dan menghormati kesucian agama Islam, agama Persekutuan.

No comments: