Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2129 Edisi Jumaat muka F16
Suka tak suka politik Malaysia sejak Merdeka sungguh
warna-warni membuktikan rakyatnya semakin matang dan terbuka semakin negara
mencapai usia dewasa.
Seawal Pilihanraya Umum pertama 1959, Allahyarham Dato Onn
Jaafar yang berkorban menubuhkan Umno dan menjajanya ke seluruh pelusuk
tanahair, tidak bertanding atas tiket Umno, Perikatan sebaliknya diberi laluan
bertanding di Kuala Terengganu atas tiket parti barunya, Parti Negara dan menang
melangkah kaki ke Parlimen pertama sebagai Ketua Blok Pembangkang.
Sekiranya tiada perbalahan di dalam Umno di awalnya, pasti
beliaulah mengetuai jentera Umno dan Perikatan menjadi Perdana Menteri Malaya
yang pertama tetapi itulah politik Malaysia.
Demikian juga Ketua Kaum Ibu Umno, Allahyarham Khatijah
Sidek. Beliau berkorban masa, tenaga dan wang ringgit melahirkan
ranting-ranting Kaum Ibu (sekarang dikenali Pergerakan Wanita Umno) Umno
seluruh negara. Beliau sungguh popular ketika itu kerana petah dan panasnya
pidato-pidatonya, tetapi Khatijah dipecat dari Umno pada tahun 1956 dan pada
PRU 1959 beliau telah bertanding atas tiket PAS dan menang kerusi Parlimen
Dungun, menjadi Muslimat pertama yang memenangi kerusi Parlimen bagi PAS.
Begitulah sejak awal-awal lagi berwarna-warni sekali politik
Malaysia dan ia tidak pernah berhenti sejak itu.
Tokoh Umno dan Perikatan kemudiannya BN melompat menyokong
pembangkang dan pembangkang melompat menyokong Perikatan dan BN sudah semakin
lumrah, dari Semenanjung sehinggalah Sabah dan Sarawak.
Prinsip dan perjuangan parti mudah-mudah sahaja dilentur,
diubahsuai malah digadai demi kononnya penjajaran semula sikap dan pendirian
politik masing-masing sedangkan yang nyata adalah keghairahan mengejar kuasa
dan agenda peribadi yang kelihatan lebih menggiurkan dari mempertahankan
kepentingan asal perjuangan.
Itulah juga barangkali yang berlaku kiranya Nabi Muhammad
saw tunduk kepada tawaran Abu Jahal semasa zaman awalnya di Mekkah, jawatan,
kedudukan, harta, perempuan yang cantik dengan syarat meninggalkan perjuangan
yang dibawa. Nabi saw menunjukkan kepada kita jalan politik sebenar iaitu
istiqamah dan tidak tunduk kepada tawaran-tawaran dunia yang membawa kepada
kesesatan akhirat.
Kemuliaan dan kejujuran seorang pemimpin atau partinya
dilihat pada ketegasannya memperjuangkan prinsip dan dasar. Kesungguhan
memperjuangkan prinsip dan dasar itu tidak pernah lentur walaupun menghadapi
apa jua tekanan, ujian apatah lagi tawaran dan sogokkan.
Hari ini politik Malaysia kekal berwarna-warni. Tun Dr
Mahathir, seorang bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno, yang ditanganngya
telah mewarnakan lebih dua dekad politik Malaysia tiba-tiba berubah haluan mahu
menentang dan menyerang Perdana Menteri dan Presiden Umno kini.
Demikian juga Tan Sri Muhyiddin Yasin yang masih Timbalan
Presiden Umno (sekurang-kurangnya semasa artikel ini ditulis) , bekas TPM.
Pernah mengetuai Jentera Pilihanraya BN menentang calon-calon pembangkang dalam
pilihanraya-pilihanraya kecil, hari ini bersyarikat dengan bekas “bos” nya itu
untuk menentang “bos” nya kini.
Mereka masing-masing atas nama “citizens of Malaysia” atau
warga Malaysia, kini mahu mengambil peranan blok pembangkang. Mahu bersatu
menyelamatkan Malaysia dan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai
Perdana Menteri.
Tidak warna-warnikah namanya sedangkan mereka inilah juga
semasa berkuasa tegar menindas suara pembangkang, menyekat kebebasan,
memanipulasi pilihanraya, menyalahgunakan kuasa dan pincang sebagaimana Perdana
Menteri yang ada pada hari ini malah mungkin lebih teruk?
Pada kempen PRU ke 13 lalu, Tun Dr Mahathir dalam beberapa
siri ceramahnya seluruh negara tegas menyerang pembangkang khususnya pemimpin
veteran DAP Lim Kit Siang yang beliau cap sebagai “buta kayu” dan rasis.
Begitu juga Kit Siang tidak terkecuali menyerang dan
membidas Mahathir sepanjang beliau PM dan Presiden Umno dahulu.
Hari ini Mahathir dan Kit Siang boleh bermesra atas pentas
yang sama seolah tidak apa pernah berlaku selama ini.
Mungkin sikap dan pendirian politik mereka masing-masing
sedang melalui proses penjajaran semula berikutan perkembangan semasa, tetapi
dimanakah letaknya prinsip dan dasar perjuangan mereka?
Walaupun hakikatnya politik Malaysia itu penuh warna-warni
sejak Merdeka lagi, tetapi jangan sama-sekali kita merendahkan keupayaan
berfikir rakyat dan para pengundi Malaysia. Negara dewasa rakyat juga semakin
dewasa.
Segala episod kebelakangan ini sedang dipertontonkan di
hadapan mereka secara “live”.
Satu ketika mereka diajak menyerang dan menentang pemimpin
tertentu. Pemimpin itu dikatakan “Mahafiraun”, mengamal kronisma, nepotisma dan
korupsi, hari ini pemimpin itu pula diangkat untuk mengetuai mereka.
Rakyat yang terjejas dan tercalar dengan berdekad-dekad
kepincangan kepimpinan BN dan negara hari ini dajak membersihkan dosa pemimpin
tertentu kerana mahu menghadapi pemimpin yang lain.
Kerana itulah sikap yang diambil oleh PAS dalam kemelut
politik hari ini dilihat yang paling rasional, bermaruah dan boleh diterima
rakyat. Yang mahu diubah adalah sistem yang ada, keseluruhan pentadbiran
politik bukannya satu dua pemimpin. Perjuangan sebenar bukannya untuk mana-mana
individu atau keluarga mereka tetapi untuk kepentingan, nasib dan masa depan
negara
Apa guna Najib jatuh jika digantikan oleh Timbalannya, Selamatkah
Malaysia?
PAS tidak ambil kesempatan dari kerencaman warna-warni
politik Malaysia tetapi sebaliknya mendahulukan nasib dan kemahuan rakyat.
Bukan jawatan dan kuasa yang mahu dikejar tetapi kesempurnaan hidup yang kekal
dan selamat buat semua. Rakyat mahu keluar selamat dari kemelut yang menggila
ini, mahu segala jahiliyah yang ada dirobohkan dan digantikan dengan sesuatu
yang terbaik.
Atas kesedaran ini PAS membawa Islam, dasar dan prinsip
perjuangannya sejak zaman berzaman sebagai penyelesaian yang boleh membawa
Malaysia keluar dari kegelapan ini. Sebagaimana Nabi saw mengemukakan kepada
penduduk Mekah dan kemudiannya Madinah dan berikutannya ke seluruh dunia.
Kembalilah kita kepada Islam supaya benar-benar Selamat Malaysia dan kita semua
rakyatnya dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment