Monday, March 28, 2016

Mengharamkan judi melalui Kaukus Parlimen



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2134 Edisi Isnin muka F17

Tidak ada agama atau kepercayaan yang menghalalkan atau membenarkan tabiat berjudi. Sesungguynya amalan berjudi ini kiranya sudah menjadi tabiat ia bakal mengundang pelbagai masalah sosial yang lain sehingga si kaki judi mampu melakukan jenayah akibat tekanan dari ketagihan berjudi.

Ketagihan untuk berjudi boleh mengakibatkan seseorang mencuri dan memeras untuk mendapatkan modal bagi berjudi, disinilah ketenteraman sosial terancam dan malah akibat tekanan tadi si kaki judi boleh terdorong untuk mencuri dan menyamun sehinggalah paling ektrim mencederakan orang lain atau membunuh demi memuaskan nafsunya.

Lantaran itu tabiat berjudi ini sememangnya satu amalan yang buruk yang sewajarnya dicela dan diperangi semua pihak.

Malangnya industri judi dalam negara dilesenkan oleh pihak kerajaan atas alasan kononnya amalan berjudi ini hanya haram dikalangan umat Islam. Mungkin pandangan ini perlu disemak semual dan satu kajian dan mungkin juga pungutan suara boleh dilakukan bagi mendapat maklumbalas adakah rakyat Malaysia masih bersetuju agar industri judi ini terus dikekalkan.

Daripada statistik lebih 60 peratus rakyat Malaysia terdiri dari penganut agama Islam, bermakna pada dasarnya 60 peratus ini wajib menolak amalan berjudi kerana ianya haram disisi Islam. Baki 40 peratus rakyat Malaysia samada beragama Kristian, Hindu, Buddha atau lain-lain kepercayaan.

Jika pungutan suara diadakan, dan 60 peratus dari rakyat wajib mengundi menolak kerana mereka beragama Islam, maka majoriti sudah pun diperolehi bagi menolak dan mengharamkan industri ini, soalnya adakah kerajaan yang bertulang-belakangkan Umno mempunyai kesungguhan politik untuk mengharamkannya?

Kelantan telah mengharamkan semua aktiviti perjudian dalam negeri berkenaan sejak PAS berkuasa di negeri itu pada tahun 1990. Tidak ada lagi lesen perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan negeri untuk aktiviti perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dan ianya berkuatkuasa sehingga hari ini.

Saya membawa perkara ini kerana mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang baru-baru ini menyokong pendirian kerajaan untuk menubuhkan sebuah kaukus Parlimen bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku dalam negara.

Menurut beliau langkah kerajaan itu boleh memastikan negara bersih daripada amalan perjudian yang meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat.

Walaubagaimanapun saya pasti kaukus berkenaan lebih mahu memberi tumpuan kepada aktiviti perjudian haram yang tidak dilesenkan oleh kerajaan seperti mesin slot, mesin kuda dan judi serta aktiviti kasino dan ekor haram serta yang seumpamanya.

Aktiviti berkenaan kebelakangan ini semakin berleluasa walaupun pelbagai tindakan dan operasi penguatkuasaan diambil oleh pihak polis dan agensi penguatkuasaan yang lain. 

Semakin banyak operasi, semakin subur dan berkembang industri haram berkenaan.

Malah ada pihak yang mengatakan akibat tekanan kos hidup yang mencengkam, ramai terjerumus dalam aktiviti haram ini termasuklah warga asing semata-mata kerana kononnya ingin senang.

Berkemungkinan kaukus Parlimen yang disyorkan oleh kerajaan itu mahu memberikan tumpuan kepada judi sebegini. Judi yang mampu mencetuskan masalah sosial dan jenayah tetapi yang tidak mendatangkan sebarang hasil buat kerajaan.

Masakan judi yang berlesen atau di “halal” kan kerajaan mahu diambil tindakan. Ini kerana judi yang seumpama ini memberikan hasil yang lumayan pada kerajaan. Pada tahun 2012 sahaja RHB Research Institute menganggarkan jumlah kutipan cukai dari industri perjudian berlegar diantara RM2.3 ke RM2.7 billion.

Malah menurut rekod syarikat yang terlibat dalam industri ini masing-masing mencatat pendapatan yang lumayan sehingga ada yang mencecah RM18 bilion setahun. Malah ada syarikat dalam industri ini pendapatannya untuk tahun 2014 sahaja mencecah RM5.28 bilion iaitu hampir menyamai belanjawan bagi tiga buah negeri iaitu Selangor, Perak dan Terengganu.

Mampukah kerajaan Persekutuan mengharamkan industri judi yang ia lesenkan itu?

Ternyata walaupun menyedari keburukan dan mudarat daripada tabiat berjudi ini sangat membahayakan dan menjadi risiko buat rakyat, namun lantaran hambatan keuntungan yang besar kerajaan Persekutuan langsung tidak ambil pusing malah terus mengizinkan gergasi-gergasi judi ini bermaharajalela merosakkan masyarakat berbeza dengan kerajaan negeri PAS di Kelantan.

Semoga kaukus Parlimen yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan dan disokong oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia itu tidak menghadkan skopnya pada aktiviti judi yang haram dan tidak berlesen semata-mata. Judi yang sebegitu memang wajar diambil tindakan penguatkuasaan dengan operasi bersepadu besar-besaran tanpa perlu kaukus pun ia memang diperangi.

Ia cuma memerlukan pegembelingan tenaga semua pihak dan agensi dan dilancarkan bersepadu dan seret semua operator dan pemilik premis ke mahkamah, selesai kerana peruntukkan yang ada sudah cukup kemas, cuam tiada usaha yang efektisf sahaja.

Sesungguhnya yang lebih utama dan perlu diberi perhatian serius sehingga memerlukan kauku Parlimen sudah pastilah industri judi itu sendiri yang dilesen dan dibenarkan oleh kerajaan selama ini yang turut menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Industri inilah yang wajar sangat dikaji dan diberi perhatian oleh kaukus berkenaan selaras dengan hasrat Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu bahawa mahu membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya.
 
Syariat Allah swt menegaskan dengan jelas bahawa judi ini adalah amalan yang keji dan kotor dan sebahagian dari perbuatan syaitan. Kiranya mahu Malaysia ini berjaya, ianya mestilah dijauhi, bukannya dilesenkan dan diberi peluang untuk meraih keuntungan berlipat ganda atas kenestapaan rakyat. roslansms@gmail.com

No comments: