Friday, March 18, 2016

PAS sudah tercium muslihat Dr Mahathir

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2131 Edisi Jumaat muka F16

Perkembangan politik di Malaysia menjadi semakin dramatik kebelakangan ini. 

Para pemerhati politik sedang berdebar menunggu tarikh pembubaran DUN Sarawak yang akan memberi laluan untuk Pilihanraya Umum Negeri Sarawak sedang parti-parti komponan BN masih bertarik-tali dalam isu pembahagian kerusi khususnya yang melibatkan parti-parti kecil dalam komponan BN Sarawak yang bertelagah sesama sendiri.

Begitu juga dengan kalangan beberapa parti pembangkang termasuklah yang terpaksa memberi laluan kepada parti “anak emas” DAP yang hidup segan mati tak mau tetapi bernafsu besar mahu bertanding apabila sahaja ada peluang dan kesempatan.

PAS Sarawak telah mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi DUN berkenaan iaitu satu peningkatan berbanding 5 kerusi pada PRU Negeri yang lalu. Disaat ini pun jentera pilihanraya PAS Pusat dengan bantuan negeri-negeri telah turun berperingkat-peringkat ke negeri berkenaan bagi menyediakan jentera yang paling kuat dan berkesan buat PAS bagi menghadapi BN Sarawak dan mana-mana sahaja parti yang mahu mencabarnya di sana nanti.

PAS mahu menawarkan calon-calon terbaik buat rakyat Sarawak khususnya di 11 kerusi yang bakal ditandinginya dengan janji membela dan memperjuangkan nasib mereka kiranya diberi mandat dan kepercayaan. PAS yakin anak sulungnya mampu dilahirkan dalam Pilihanraya Umum Negeri kali ini.

Sedang fokus diberikan pada Sarawak keadaan politik di Semenanjung turut menggelegak dan diberi perhatian serius oleh semua pihak.

PAS dikritik sesetengah pihak kerana enggan menyokong gerakan “Deklarasi Rakyat” yang dikepalai bekas PM Tun Dr Mahathir yang bermatlamat mahu “menggulingkan” Najib sebagai Perdana Menteri untuk digantikan dengan PM yang baru. Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyuddin Yasin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain Pakatan Harapan dan beberapa NGO ke hadapan mendukung gerakan ini.
Najib yang tempang dan pincang itu perlu ditukar dan digantikan dan deklarasi yang kononnya “keramat” ini dikira sebagai tekanan paling ampuh untuk memaksa Najib mengangkat kaki keluar dari mengetuai kabinet dan negara. Deklarasi berkenaan difahamkan akan disusuli pula dengan satu himpunan untuk menuntut Najib segera meletakkan jawatan dan ia dijadualkan pada 27 Mac ini di Kuala Lumpur.

Atas pendiriannya membelakangi gerakan diterajui Dr Mahahtir itu pelbagai kritikkan dan cemuhan dilemparkan terhadap PAS kononnya PAS bersekongkol dengan Najib, PAS mempertahankan si zalim dan paling popular PAS mahu memberi nyawa pada Umno sedang Umno dalam keadaan tenat dan nazak.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah menegaskan bahawa PAS tidak akan terlibat dalam sebarang gerakan atau usaha yang tidak demokratik. PAS juga tidak akan menganggu dengan menjatuhkan seseorang PM atau MB separuh penggal, sebarang usaha atau desakkan sedemikian jika ada perlulah datang dari wakil-wakil parti yang memerintah sendiri, jika cukup bilangannya PAS mungkin boleh menimbangkan sokongan tetapi jika sekadar mencuba nasib pihak dan kelompok tertentu semata-mata, PAS tidak mahu terlibat dalam perjuangan mengejar agenda peribadi mana-mana pihak.

Bagi PAS sebarang usaha seumpama itu hanya akan mencetuskan ketegangan dan kegelisahan rakyat. Dalam keadaan rakyat sedia tertekan dengan bebanan kos hidup dan pentadbiran yang pincang, mencetuskan ketegangan dan kegelisahan demi mengejar agenda peribadi pihak tertentu hanya akan menyemarakkan lagi kestidakstabilan dalam negara .

PAS akur bahawa rakyat mahukan perubahan dan PAS bersedia kehadapan menawarkan alternatif pada Umno dan BN. Perkembangan terbaru melancarkan “third force” iaitu Pakatan politik baru bagi menyaingi BN adalah bukti kesungguhan PAS dalam menggalas tanggungjawab ini. Apa pun proses perubahan mestilah dilakukan melalui kaedah demokrasi berpilihanraya dan bukannya dengan cara atau kaedah lain.

Dan yang paling penting tiada maknanya mengembelingkan kekuatan rakyat jika yang mahu dijatuhkan hanyalah Najib, sedangkan Umno dan BN kekal berkeuasa. Najib akan digantikan tetapi penggantinya nanti datang dari acuan yang sama seumpama Najib juga maka terjaminkah ketempangan yang sama tidak akan berulang?

Bagi mereka yang bernafsu dan taksub dengan gerakan “keramat” Dr Mahahtir ini, terutama DAP dan anak emas mereka Pan, PAS dilihat mahu menggagalkan agenda rakyat ini dan PAS perlu diserang sebagaimana Najib diserang.

Rupanya mentah-mentah mereka diperdaya oleh Dr Mahathir, seorang yang sangat licik politiknya yang ternyata hanya mahu menjuarai agenda peribadinya.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid, yang tegar mendukung perjuangan Dr Mahahtir menyatakan bahawa matlamat “Deklarasi Rakyat” ini adalah untuk menjatuhkan Najib bukannya kerajaan. Najib turun dan beliau akan digantikan oleh pemimpin lain yang sudah pasti dari dalam Umno juga.

Muhyuddin juga dalam temuramah eksklusifnya dalam sebuah akhbar harian tempatan menyatakan bahawa usahanya bukannya untuk menjatuhkan Umno atau BN tetapi sebenarnya untuk menyelamatkan Umno dan kerajaan. Beliau dilaporkan berkata:

"Sebab itu saya menganjurkan perubahan ini untuk menyelamatkan Umno. Kalau dilihat dari sudut itu saya bukannya pengkhianat.”

Jika berdasarkan kenyataan Sanusi dan Muhyuddin di atas maka tepat dan jitu sungguhlah bacaan politik Presiden PAS. Apa gunanya menjatuhkan Najib tetapi yang naik seumpama Najib juga. Yang perlu dirobah dan ditukar adalah Umno itu sendiri yang selama ini membawa mudarat kepada rakyat setelah diberikan amanah sekian lama.

PAS mahu membawa perubahan dengan mempelawa semua pihak bersama menudukung dan mempertahankan agenda perjuangan Islam, bukan yang berbaur peribadi. Islam milik semua dan ia merupakan aqidah buat majoriti penduduk Malaysia. Hanya Islam yang boleh mengisi kesilapan dan kealpaan Umno selama ini, lalu seluruh umat Islam selain dari yang sedia berada dalam PAS, samada dari Umno, PKR, berparti atau tidak perlu bersama dalam perjuangan ini dan memikul amanahnya.

Deklarasi Rakyat dan agenda Selamatkan Malaysia yang ditaja Dr Mahathir sekadar mahu melenyap dan menghapuskan politik Najib tetapi tidak lebih dari itu, lalu dimanakah bakal terselamatnya Malaysia? Umnolah yang akan selamat dan pihak lain selain blok Dr Mahathir semuanya tertipu!

Dr Mahathir rekodnya tercatat dalam sejarah politik Malaysia, kezaliman dan penindasannya tidak boleh dipadamkan dan kini bersekongkol pula dengan DAP yang sedia mahu berjuang menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, yang memisahkan agama dari pentadbiran negara. Kemanakah sokongan anda? Selamatkanlah Malaysia bersama Islam, dan PAS sedia membantu. roslansms@gmail.com

No comments: