Blok ketiga pilihan terbaik rakyat Malaysia

Wednesday, March 23, 2016



PAS tidak pernah jemu meneroka jalan baru bagi membawa pilihan politik terbaik buat rakyat Malaysia. Apabila DAP membikin onar di dalam Pakatan Rakyat dan menganggap PR telah berkubur setelah ia memutuskan hubungan dengan PAS, PAS tidak pernah berputus asa.

PAS sesungguhnya telah berkerja kuat semasa bersama DAP dan PKR mendukung Pakatan Rakyat. Kekuatan keahlian dan jentera PAS seluruh negara telah digembeling sepenuhnya dalam PRU 2008 dan kemudiannya 2013  sehingga membawa pulangan yang baik bukan hanya buat PAS malah bagi kesemua komponan PR.

Walaupun begitu persahabatan politik itu akhirnya renggang dan berkecai apabila DAP memilih keluar meninggalkan PR dan menubuhkan pakatan baru tanpa penyertaan PAS.
Dalam keadaan demikian PAS mengisytiharkan ia kekal menjalin kerjasama politik dengan PKR namun dalam waktu yang sama berusaha untuk menghidupkan satu blok politik baru, yang boleh menyatukan parti-parti politik dan NGO yang berkongsi cita-cita yang sama ke arah pembentukan sebuah negara yang lebih  adil dan saksama buat semua tanpa PAS perlu mengorbankan dasar dan prinsip perjuangan Islamnya.

PAS mahukan politik yang lebih matang dan sejahtera. Politik yang tidak membawa kepada kacau-bilau dan porak-peranda tetapi sebaliknya politik yang mengekalkan ketenteraman dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara.

Rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, nepotisma, kronisma dan segala bentuk kepincangan dalam pentadbiran dan urusan kerajaan mahu ditentang dan dibaik-pulih.
Pendekatan politik baru yang PAS juarai kini lebih bersifat menyuburkan hubungan baik, iaitu politik penyelesaian dan rundingan, krtikkan yang konstruktif dengan mengemukakan alternatif yang praktikal dan lebih sempurna.

Benar kita mahukan perubahan sebagaimana dituntut rakyat jelata namun perubahan itu perlulah bersifat total dan komprehensif bukan sekadar menumbangkan mana-mana individu hanya untuk digantikan oleh indidividu lain yang mewarisi budaya dan amalan yang sama.

PAS enggan bersama sebarang budaya politik sempit, perkauman, ekstrimisme, politik yang berjuang untuk kedudukan dan kepentingan peribadi individu dan kelompok tertentu, tetapi percaya kepada politik yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.
Sebagai sebuah gerakan Islam PAS berasa bertanggungjawab menyelamatkan rakyat dengan cara mengemukakan pendekatan dan alternatif yang lebih mudah diterima rakyat iaitu kemuncaknya pada Pilihanraya Umum yang akan datang apabila rakyat dituntut agar memberi peluang kepada blok politik baru yang dimaksudkan itu.

Hari ini 16 Mac 2016, PAS mengisytiharkan Parti Ikatan sebagai rakan barunya dalam blok politik yang dimaksudkan. Usaha sedang giat diatur agar beberapa parti lain termasuklah dari Sabah dan Sarawak selain NGO yang sudah lama bersama dan mendukung perjuangan PAS untuk bersama menganggotai blok atau pakatan politik baru ini.
Bagaimana dengan PKR?

PAS awal-awal lagi apabila “diceraikan” oleh DAP yang kini mendakap rapat parti jelmaan baru yang membariskan para pengkhianat dari PAS, telah mengisytiharkan bahawa kerjasama politk mereka kekal bersama PKR. Malah perkara yang sama pernah ditegaskan oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali bahawa partinya terus menjalin  tahaluf siyasi bersama PAS walaupun PAS tiada lagi kerjasama bersama DAP.

Saya yakin apabila masing-masing pihak matang dalam berpolitik serta saling hormat dan memahami antara satu sama lain, tidak mustahil PKR akan duduk bersama pakatan politik baru ini. PKR yang telah melalui pelbagai pahit getir politik tanahair, walaupun masih muda usianya, dijangka akan bersama PAS dan Ikatan, dan mungkin dalam waktu yang sama kekal juga dengan Pakatan Harapan, bagaikan beristeri dua.

Yang penting PKR boleh memain peranan sebagai pengimbang, satu tugas yang memang ia mahir dan telah biasa lakukan sebelum ini. PAS sesungguhnya memiliki sejarah yang intim bersama PKR dan ia wajar dikekalkan.

Apa pun PAS dijangka tidak berhenti setakat itu. Tangan persahabatan terus dihulur kepada ahli-ahli dan penyokong Umno agar bangkit bersama pakatan politik baru ini. Melayu dan Islam tidak boleh dibiarkan rebah bersekali dengan malap  dan rebahnya kuasa politik Melayu yang dipegang Umno. Ia perlu bangkit dan diselamatkan, dan PAS lah penyelamatnya.

Disamping itu usaha untuk menambat parti-parti lain selain NGO akan terus diikhtiarkan biar pakatan baru ini menjadi satu keluarga yang besar.

Dalam pada itu agenda Islam yang merupakan teras perjuangan PAS akan terus dijuarai walaupun PAS semakin mendekati kawan-kawan baru. Melaksanakan Islam menurut kaedah demokrasi berparlimen akan terus diusahakan oleh PAS. Islam mahu ditegakkan dengan suara dan penerimaan ramai, bukannya dengan kekerasan atau paksaan.

Rakyat kini disuakan dengan berbagai pilihan dan sudah pastilah demi kesinambungan keharmonian dan kestabilan dalam negara mereka akan memilih blok politik yang paling baik, terbuka  dan boleh dipercayai untuk menyelamatkan mereka dari kemelut politik dan ekonomi yang sedang melanda negara.

PAS dan rakan-rakan dengan rekod yang bersih dan dikenali rakyat akhirnya nanti akan muncul sebagai satu-satunya pilihan terbaik buat rakyat Malaysia. roslansms@gmail.com

0 comments: