Wednesday, March 16, 2016

Politik Malaysia dan fenomena gerhana matahari

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2130 Edisi Jumaat muka F16

Diwaktu saya menulis artikel ini fenomena gerhana matahari separa baru sahaja berarak pergi. Kali terakhir rakyat Malaysia dapat menyaksikan fenomena ini adalah pada Januari 2010 lalu dan menurut pakar kejadian serupa ini hanya akan berulang pada 26 Disember 2019 nanti.

Demikianlah hebatnya kekuasaan Allah swt dimana matahari yang gagah bersinar dengan kepanasannya dapat tunduk dan digerhanai pancarannya apabila bulan bergerak di antaranya dan bumi dengan izin Allah swt. Dalam fenomena tadi bulan menutupi sebahagian cahanya sehingga mengakibatkan siang menjadi suram beberapa ketika.

Sesungguhnya politik Malaysia juga turut suram dan kelam kebelakangan ini, tiadalah pula kaitannya dengan gerhana tadi namun kebetulan sebagaimana suram dan kelamnya bumi angkara gerhana tadi begitulah juga lanskpap politik Malaysia.

Ia memuncak apabila bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno yang kini sudah berusia 90 tahun itu, iaitu Tun Dr Mahathir mengisytiharkan diri keluar Umno dan menegepalai gerakan perisytiharan “Deklarasi Rakyat”yang bertujuan menuntut seupaya Presiden Umno kini iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Semasa Tun menzahirkan deklarasi berkenaan sebahagian besar pimpinan dan tokoh serta wakil parti-parti pembangkang dan NGO turut hadir dan menandatanganinya. Turut hadir adalah beberapa nama besar dalam Umno sendiri termasuklah Tan Sri Muhyuddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kacau jadinya politik Malaysia apabila Umno dengan Umno kelihatan bercakaran secara terbuka. Lebih kacau apabila blok Tun Dr Mahathir berdiri pula atas pentas pembangkang dan NGO mengepalai perjuangan menuntut keadilan.

Rakyat yang sudah cukup bermasalah dengan kenaikkan kos hidup yang membelenggu nasib mereka kini dihadapkan dengan politik yang kacau dan kalut ini.

Dalam pada itu ahli-ahli dan pimpinan Umno dipelbagai peringkat mula mengeluarkan tuntutan agar tokoh-tokoh Umno tadi dipecat dari parti kerana telah bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Sejauh mana kesannya “Deklarasi Rakyat” ini pada sentimen rakyat sehingga boleh membangkitkan mereka dari kesengsaraan hidup yang sedang dipikul untuk berhimpun dan melonjak bersama Tun Dr Mahathir dan agendanya tidaklah diketahui, namun matlamat untuk merebahkan Najib sebelum Pilihanraya Umum yang akan datang ini dilihat sebagai sesuatu yang hampir mustahil.

Tun Dr Mahahtir sendiri yang mahu mengepalai gerakan ini tidak mudah boleh diterima oleh rakyat jelata begitu sahaja.

Beliau contohnya bukan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah bangkit mencabar Presiden Umno sehinggalah Umno kemudiannya diharamkan dan bertindak membawa keluar perjuangannya dengan menubuhkan parti baru.

Beliau juga contohnya bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah difitnah dan dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Timbalan Presiden Umno. Beliau dizalimi sehingga bangkit mengetuai perjuangan “Reformasi” yang disokong oleh rakyat pelbagai peringkat.

Tun sesungguhnya adalah punca Tengku Razaleigh bangkit mencabar jawatan Presiden Umno, beliualah yang mengakibatkan Umno diharamkan dan puncanya dijadikan salah satu alasan memecat Ketua Hakim Negara kemudiannya.

Beliaulah yang bertindak memfitnah Datuk Seri Anwar, memecatnya dan mengakibatkannya dizalimi dan merengkuk dalam penjara sehingga limpahan dari itu rakyat diperlakukan bagai musuh negara apabila berhimpun menunut keadilan buat Anwar.

Itu belum lagi mengambil kira pelbagai kepincangan dan ketempangan diwaktu beliau menjadi PM dan Presiden Umno. Kerajaan PAS di Kelantan umpamanya diugut beliau kiranya mahu melaksanakan Hudud manakala kerjaaan PAS di Terengganu dirampas hak royaltinyaoleh beliau, itulah Tun Dr Mahathir.

Lantas mudahkah rekodnya yang lampau digerhanai begitu sahaja dan kini kita angkatnya sebagai kepala mengepalai gerakan rakyat?

Terbaru wakil Tun di Terengganu, iaitu bekas MB Datuk Seri Ahmad Said pula telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu di Dewan Undangan Negeri. Kalut dan kacau politik pantai Timur dengan perkembangan terbaru ini. Walaupun usul tersebut telah ditolak Sepaker Dewan namun dengan tipisnya majoriti yang dipegang BN di Terengganu, kekocohan yang dicetuskan Ahmad Said itu terus mengancam kestabilan kerajaan negeri BN di sana.

Jika fenomena gerhana matahari separa yang berlaku itu hanya berlalu sekitar satu dua jam, tidaklah dapat dipastikan selama manakah suram dan kelam politik Malaysia kebelakangan ini akan berlarutan.

Yang penting dengan pelbagai perkembangan ini kita jangan kalut dan gelojoh. Jangan kerana melihat gerhana matahari di langit maka kita cetuskan pelabagai amalan dan kepercayaan khurafat.

Seorang wartawan kanan di sebuah akhbar harian memberitahu saya dalam konflik ini PAS khasnya Presidennya Datuk Seri Tuan Guru hj Abd Hadi Awang kelihatan paling tenang dan terpuji pendiriannya.

PAS tidak kelihatan mahu menangguk di air keruh apatah lagi mencetuskan ketegangan politik sehingga boleh mengancam kestabilan negara.

Dalam hal ini Presiden PAS dalam kenyataannya sejurus perasmian sidang DUN Terengganu memaklumkan bahawa PAS tidak bermusuh dengan sesiapa. PAS kata Tuan Guru memang berbeza pendapat dengan Umno namun PAS tidak mahu mengheret perbezaan itu sehingga memecah-belahkan rakyat diperingkat yang lebih parah.

PAS tegas Tuan Guru menghormati proses demokrasi dan setiap perubahan yang mahu diambil perlulah konsisten dengan proses demokrasi dan tidak sebaliknya. Ini kerana apa sahaja proses perubahan yang mahu dibawa, PAS bertanggungjawab memastikan yang ianya positif dan baik buat rakyat.

Sebarang inisiatif undi tidak percaya menurut Tuan Guru biarlah dibawa oleh pihak yang punya majoriti dalam Dewan. PAS adalah blok minoriti dan dalam apa sahaja inisiatif PAS akan tunggu dan lihat. Saya percaya sikap yang tegas ini terpakai samada di Dewan Rakyat mahupun DUN termasuklah di Terengganu.

Apa pun itulah PAS, biar gerhana sekalipun datang berkunjung, PAS istiqamah dengan pendiriannya dan tidak pernah gelabah. Yang mahu dibawa adalah perubahan yang boleh menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat bukannya sesuatu yang mementingkan agenda peribadi mana-mana pihak apalagi perubahan yang hanya menempah kesengsaraan buat rakyat. roslansms@gmail.com

No comments: