Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2133 Edisi Jumaat muka F16
Pelancaran blok ketiga pakatan
pembangkang iaitu, kerjasama politik antara PAS dan Parti Ikatan telah menjadi
fokus politik tempatan beberapa hari ini. PAS memaklumkan bahawa blok ketiga
itu nanti bukan hanya akan dianggotai kedua parti tetapi juga akan disertai oleh
beberapa parti lain termasuklah NGO serta tokoh-tokoh tertentu yang sama-sama
berkongsi cita-cita perjuangan untuk melahirkan Malaysia yang lebih cemerlang
dan sempurna.
Selain itu PKR juga melalui
Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail telah menyatakan bahawa PKR tidak
menolak kemungkinan untuk mengadakan kerjasama politik dengan blok berkenaan
sekiranya hala tuju kedua-dua pihak dapat dipersetujui bersama.
PAS sesungguhnya tidak pernah
memutuskan hubungan kerjasamanya dengan PKR, lantas reaksi positif Dr Wan
Azizah ini memang diduga dan malah ramai pemerhati politik merasakan kiranya
PKR turut bersama blok ketiga ini, harapan untuk membawa perubahan “total” di
Malaysia semakin cerah.
Yang memberi komen negatif sudah
pastilah DAP serta “anak emas” kelahirannya Pan, yang memang dijangka pun akan
berbuat demikian.
Yang penting dan utama, melalui
inisiatif terbarunya, PAS telah menunjukkan kepada umum bahawa ia sebuah parti
politik yang sentiasa berlapang dada dan membuka peluang berkerjasama dengan
mana-mana pihak pun demi merealisasikan cita-cita perjuangannya. PAS tidak
mengamalkan budaya politik perkauman sempit, ekstrim, radikal apalagi anarkis,
tetapi ia sebenarnya sebuah parti realis yang memahami hati dan kemahuan rakyat
Malaysia.
PAS tidak pernah menganggap
politik Malaysia ini hak mutlaknya. Ia sentiasa akur dan menerima kepelbagaian
politik dalam negara yang lahir dari kepelbagaian kaum dan anutan. Kuasa
politik ditentukan oleh rakyat melalui proses demokrasi berparlimen dan dari
situlah PAS bergerak seringkali dengan kawan-kawan untuk meyakinkan rakyat bagi
membawa perubahan melalui peti undi.
DAP dan “anak susuannya” boleh
sahaja melompat dan menuduh inisiatif PAS ini sebagai kosong dan satu langkah
kebelakang, mustahil mereka mahu kagum dan menyokong. Saya yakin PAS sudah
terlalu matang menghadapi golongan parti-parti “keras kepala” dan ketandusan
modal umpama mereka.
Yang lebih utama adalah PAS sedar
bahawa dalam suasana politik yang berkecamuk kebelakangan ini hasil dari kerja
tangan dan pengurusan Umno dan BN yang pincang dan tempang rakyat bagaikan sedang
terapung-apung di lautan besar, menunggu pelampung atau sampan yang akan dapat
menyelamatkan mereka dari terus terapung kesengsaraan atau mungkin juga lemas
begitu sahaja.
PAS bertanggungjawab
menyelamatkan mereka ini yang majoritinya terdiri dari bangsa Melayu yang
beragama Islam yang selama ini taksub duduk dibawah payung Umno.
PAS telah melalui proses pengkhianatan
dalaman, dan kini mereka yang khianat itu telah punya wadah dan rakan baru. PAS
kini pulih bersih dan dalamannya semakin mantap dan kukuh. Walaupun proses
pengkhianatan dalaman baru sahaja dilaluinya beberapa bulan lampau namun
lukanya sudah kering dan tiada lagi parut yang tinggal.
Sebagai bukiti beberapa program
“mega” PAS telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran yang luarbiasa, terbaru
program perayaan Karnival Jom Bersama PAS sempena ulangtahun PAS Kedah ke 65
tahun di Kota Sarang Semut, Alor Setar telah menghimpunkan puluhan ribu aktivis
dan penyokong PAS seluruh Kedah dan Wilayah Utara, memberikan isyarat betapa
PAS memang memiliki kekuatan keahlian dan organisasi yang mantap, jauh lebih
mantap dari parti-parti yang sekadar bertenggek atas kekuatan pihak lain.
Kekuatan itu hakikatnya tidak berkurangan malah semakin meningkat.
Jentera mantap PAS ini sedang
diatur bukan sahaja di Kedah dan Terengganu serta Kelantan malah diseluruh
negara termasuklah di Sarawak yang bakal menghadapi Pilihanraya Negeri
bila-bila masa sahaja. Tidak mustahil kemantapan jentera yang penuh disiplin
ini bakal melahirkan “anak” baru di Sarawak tahun 2016 ini.
Dengan kemantapan organisasi dan
keahlian, PAS kini berdiri sebagai alternatif yang terbaik bagi rakyat Malaysia
khususnya orang Melayu Islam kiranya mereka berazam penuh mahukan perubahan. PAS
tidak perlu memuaskan hati DAP atau Pan, yang memang tidak dapat menerima malah
sebenarnya bimbang akan realiti kebangkitan ini. Sasaran PAS adalah rakyat
jelata di luar sana dan setakat ini bukti menunjukkan yang mereka sudah mula
terbuka hati dan senang dengan PAS.
Semasa menulis artikel ini saya
baru sahaja selesai menghadiri satu program anjuran PAS Kawasan Kelana Jaya, di
Selangor, satu kawasan dimana PAS tidak bertanding tetapi mempunyai organisasi
cawangan dan kawasan. Program Semarak Hijau yang dianjurkan kawasan berkenaan
di persekitran perumahan kos murah yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu
dan beragama Islam, telah berjaya menarik kehadiran ramai dan yang lebih penting
semasa dan selepas program berkenaan kawasan berkenaan terus menerima kehalian
baru yang tidak putus-putus khasnya dari kalangan penyokong dan ahli-ahli Umno.
Inilah bukti betapa suasana
politik semasa sedang menghambat rakyat jelata khasnya mereka yang berbangsa
Melayu dan beragama Islam untuk bersama duduk dan berada dalam perjuangan PAS,
meninggalkan perjuangan mereka yang lama yang telah menghampa dan mengecewakan
mereka.
Saya difahamkan fenomena ini sedang
berlaku di seluruh negara. Inilah pencapaian yang bakal menyemarakkan lagi
semangat para aktivis dan petugas PAS untuk terus berkerja meyakinkan rakyat
untuk menerima dan menyokong perjuangan ini.
Tahap penerimaan rakyat kepada
PAS semakin terserlah, lantas penubuhan blok ketiga ini memang kena pada masa
dan ketikanya, dan ialah nanti akan jadi pemangkin ke arah anjakkan paradigma
rakyat yang mahu menuntut perubahan dengan cara yang tertib dan teratur menurut
peraturan dan amalan yang sedia terpakai.
Semoga kehadiran PAS di dalam
blok ini akan menjinakkan parti-parti lain, NGO serta tokoh-tokoh masyarakat
untuk menyokongnya dan membawa budaya politik baru bagi menghadapi Umno dan BN
yang sudah semakin sampai ke penghujung tarikh luput mereka itu. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment