Bekas ahli parlimen Temerloh ,
Saifuddin Abdullah di dalam tweetnya pada 9 Mac lalu jam 8.29 malam menulis:
“Pecat pemimpin mungkar, tak Islamik. Sokong pemimpin mungkar Islamik.
Wah! Islamiknya pendapat dia ni.”
Saya percaya tweetnya itu merujuk
kepada beberapa kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
yang mengulas isu “Deklarasi Rakyat” yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun
Razak sebagai Perdana Menteri. Deklarasi berkenaan dikepalai oleh bekas PM Tun
Dr Mahathir.
Tuan Guru dengan jelas menyatakan
isu ini semasa membahas titah Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Dewan Rakyat semalam dan
beliau menyandarkan hujahnya pada ucapan Saidina Abu Bakar as Sidiq R.A ketika
menerima jawatan sebagai Khalifah Islam yang pertama.
Menurut Tuan Guru, Abu Bakar
antara lain mengatakan:
“Wahai Tuan-tuan, saya telah
dipilih menjadi pemimpin kamu (Khalifah Islam – pemilihan melalui kaedah syura
menurut Islam), saya bukanlah yang terbaik (antara kalian), kalau saya baik (dalam
menjalankan kepimpinan) tolonglah saya, kalau saya (memimpin) tidak baik maka
perbetulkanlah saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat.”
Bermakna dalam kerangka amalan demokrasi
hari ini, pemimpin yang terbaik dilantik menjadi Perdana Menteri mengikut
peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dari parti yang memiliki majoriti kerusi
di Dewan Rakyat selepas Pilihanraya Umum.
Jika pemimpin tadi mungkar, maka
kaedah yang ada adalah menegurnya terutama ketika sidang dewan.
Lebih dari itu kiranya
kemungkarannya sampai ke tahap keterlaluan, diharapkan agar kalangan dari
partinya yang majoriti akan bangkit mengusulkan undi tidak percaya agar
pemimpin tadi boleh ditukar menurut amalan demokrasi.
Usul yang datang dari blok
pembangkang yang minoriti adalah sia-sia kerana tidak mempunyai majoriti.
Lainlah kiranya pihak majoriti yang bawa usul lalu disokong oleh pembangkang.
Bermakna pemimpin yang mungkar
menurut kaedah Islamnya ditegur dalam forum yang sesuai. Jika kemungkarannya
keterlaluan, usul menolaknya yang dibawa oleh kalangan penyokongnya dalam Dewan
bolehlah disokong. Dan jika usaha ini juga tidak dapat dilakukan atas apa juga
sebab maka mengikut amalan demokrasi perubahan mestilah dilakukan oleh rakyat melalui
demokrasi berpilihanraya, apabila mandat diserahkan kembali kepada rakyat untuk
diputuskan.
Bukannya Islam dalam waqi’
Malaysia tidak membenarkan pemimpin yang mungkar ditukar, tetapi menghormati
suasana dan amalan demkorasi serta peraturan Perlembagaan, perubahan tadi
mestilah ikut prosesnya, di Dewan atau melalui peti undi.
Saya kira kenyataan Tuan Guru itu
sungguh mencerminkan kematangan dan “statesmanship” bukan sahaja seorang
pemimpin bertaraf nasional malah internasional. Bukannya seorang yang menembak
secara murahan melalui “tweet” nya untuk menagih populariti.
Dalam waktu yang sama pendirian
PAS umpamanya dalam hal ini bukanlah bermakna PAS menyokong pemimpin mungkar. Terlalu
keanak-anakkan pandangan seorang yang pernah menjadi Pengerusi Gerakan
Kesederhanaan Global atau GMM, jika menganggap PAS begitu.
Adakah kerana Presiden PAS tidak
menurunkan tandatangannya pada “Deklarasi Rakyat” maka Saifuddin boleh menghukum
Tuan Guru lantas memfitnah bahawa PAS kononnya menyokong pemimpin yang mungkar.
Tun Dr Mahahtir tidak pernah
mungkarkah?
Itu bukan pandangan seorang yang
berfikiran sederhana tetapi pandangan seorang ektrimis yang penuh “prejudice” dan tidak meraikan sama-sekali perbezaan
pandangan.
PAS kata Tuan Guru “berasabar”
dalam menghadapi suasana ini. Yang pentingnya PAS tidak pernah dan tidak akan
terlibat dalam apa sahaja usaha untuk mengacau dan menganggu kestabilan dan
keharmonian rakyat dan negara. PAS boleh belajar dari pengalaman rakan-rakan di
Timur Tengah dimana keghairahan “Arab Spring” akhirnya mengundang campuratngan
asing dan membinasakan keadilan.
Dalam hal ini saya melihat Tuan
Guru kami lebih moderat dan terbuka sikap dan pandangannya berbanding Saifuddin
yang barangkali memendam pelbagai kekecewaan dalam jiwanya.
Di penghujung tweet beliau itu
disebut:
Wah! Islamiknya pendapat dia ni.”
Celoteh itu mahu membawa maksud
bahawa pandangan Tuan Guru tidak selaras dengan Islam, itu terpulanglah pada
beliau, kerana sesungguhnya bukan hanya orang-orang PAS malah seluruh rakyat
Malaysia dan sebahagian besar masyarakat dunia khasnya dunia Islam mengenali
akhlak dan keperibadian Tuan Guru kami.
Ungkapan “pendapat dia ni”, iaitu membahasakan Tuan Guru sebagai “dia” mencerminkan akhlak Saifuddin
sendiri, yang barangkali kurang asuhan moralnya. Beliau harus ingat di Temerloh
di bawah panji-panji Umno dan BN yang gergasi itu beliau telah ditolak rakyat
dan kemudiannya Umno pula menolak beliau, sindrom “multiple rejection” ataupun “penolakkan
berganda” inilah barangkali mengakibatkan beliau sangat kacau di dalam lalu
menganggap dirinya “ultra” hebat sedangkan orang lain kecil dan lekeh belaka.
PAS insyallah istiqamah atas
prinsip dan dasar perjuangannya, semua yang mungkar, kaki fitnah, pengkhianat, pembelit,
pengadu domba dan yang berjuang dengan agenda kepentingan sendiri akan kami
tentang ikut acuan, kaedah dan cara kami.
No comments:
Post a Comment