Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2127 Edisi Jumaat muka F16
Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris baru-baru ini
melaporkan darihal kebimbangan beberapa pengusaha termasuk pemilik pub dan
kedai-kedai kopi yang menjual dan menghidangkan arak berikutan ura-ura pihak
kerajaan mahu menyemak semula cukai ke atas minuman berakohol mulai Mac tahun
ini.
Mereka rata-rata bimbang kononnya jika pihak kerajaan
membuat keputusan untuk menaikkan duti eksais ke atas minuman memabukkan ini
besar kemungkinan ianya akan mengakibatkan kenaikkan harganya lalu menjejaskan
perniagaan dan pendapatan mereka.
Mereka jangkakan dalam keadaan ekonomi semasa
kenaikkan harga minuman ini akan mengakibatkan pengguna mengurangkan atau
mungkin juga menghentikan tabiat meminum arak yang seterusnya memaksa mereka
menutup perniagaan masing-masing.
Menurut rekod terdapat semai 3.5 juta peminum arak di
Malaysia yang menjadikan Malaysia negara ke 10 paling ramai pengguna arak di
dunia dengan purata RM2 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk minuman memabukkan
ini.
Walaupun Malaysia meletakkan Islam sebagai agama resmi
negara dan lebih 60 peratus dari jumlah penduduknya beragama Islam, namun arak
masih dibenarkan dikilang dan dijual di negara ini secara terbuka kecuali
negeri Kelantan yang mengenakan kawalan yang ketat. Malah pesawat resmi negara
iaitu Penerbangan Malaysia atau MAS pun menghidangkan arak di atas penerbangan.
Minuman berakohol ini hari ini dijual dengan harga purata
RM6 setin 320ml dan dengan mudah boleh didapati di kedai-kedai serbanika sedangkan
rokok yang dinaikkan duti eksaisnya pada bulan Oktober lalu hari ini dijual
dengan harga purata RM17 sekotak bagi rokok yang mengandungi 20 batang.
Rokok elektronik atau “vape” yang dikatakan membahayakan
kesihatan, boleh dengan mudah diharamkan oleh kerajaan. Begitu juga rokok
dinaikkan harganya ke tahap yang paling tinggi semata-mata kerana tabiat
buruknya yang mendatangkan mudarat yang tinggi.
Samada diterima ataupun tidak, mudarat yang dibawa oleh
mereka yang mabuk akibat meminum arak sesungguhnya jauh lebih besar dari
penguna “vape” ataupun perokok. Sekurang-kurangnya pengguna “vape” atau rokok
sekadar memudaratkan diri mereka sendiri, akan tetapi seseorang yang mabuk
akibat meminum arak boleh memudaratkan dirinya, orang sekelilingnya dan boleh
juga melakukan jenayah akibat berada dalam keadaan mabuk.
Kita pernah mendengar laporan penumpang pesawat penerbangan
Malaysia yang mabuk sehingga mengakibatkan penerbangan tergendala dan terpaksa
berpatah balik. Bayangkan jika pemabuk tadi menganggu penerbangan sudah pasti
nyawa mereka yang berada dalam pesawat itu turut ternancam.
Selain itu institusi keluarga turut terganggu apabila ada
dikalangan ahlinya mengamalkan tabiat buruk meminum arak ini. Banyak kes-kes
pukul isteri dan anak-anak malah kes bunuh telah dilaporkan akibat suami yang
dalam keadaan mabuk.
Oleh itu sudah tiba masanya bagi pihak kerajaan untuk
memandang serius dan mengambil langkah sewajarnya dalam hal ini.
Yang perlu dilindungi sekarang bukannya pengusaha atau
pengilang ataupun operator pub dan kedai-kedai kopi yang menjual minuman
berakohol ini dan meraih keuntungan. Juga sudah pasti bukannya kaki-kaki botol
yang menjadikan arak ini sebagai minuman kegemaran mereka.
Yang perlu kerajaan lindungi adalah rakyat jelata, rakyat
Malaysia yang mahu hidup dalam keadaan aman dan damai dan tidak terancam hidup
dan nyawa mereka oleh individu atau kumpulan yang mabuk akibat dari meminum
minuman seumpama ini.
Umat Islam dalam negara sudah pasti bergembira kiranya
kerajaan Pusat memiliki keupayaan politik untuk mengharamkan sama-sekali
penjualan arak, akan tetapi ianya dijangka tidak boleh berlaku dengan begitu
mudah. Oleh itu sekurang-kurangnya dengan matlamat melindungi keselamatan dan
kesejahteraan rakyat jelata, wajar sangat cukai ke atas arak ini dinaikkan.
Mengikut rekod keuntungan yang diperolehi oleh kilang-kilang
arak tempatan sudah cukup besar dan lumayan, masakan kenaikkan cukai boleh
menjejaskan operasi mereka.
Menurut laporan yang dikemukakan ke Bursa Malaysia
contohnya, syarikat pengilang arak Carlsberg Brewry Malaysia, salah sebuah
syarikat pengilangan arak yang dilesenkan oleh kerajaan Malaysia mencatatkan
pendapatan pada tahun berakhir 31 Disember 2015 sebanyak RM1.66 bilion manakala
keuntungan sebelum cukainya naik 1.5% tahun berkenaan ke RM220.2 juta.
Kali terakhir cukai ke atas minuman berakohol ini naik
adalah pada tahun 2005 iaitu lebih 10 tahun lalu.
Kita mahu melihat jika rokok yang sekadar memberi mudarat
kepada pengunanya boleh dinaikkan cukai sehingga 40% mengapa tidak minuman
memabukkan ini juga dikenakan kenaikkan pada kadar yang sama atau lebih tinggi.
Kita mahu lihat contohnya setin arak 320ml tidak lagi dijual dengan harga RM6
setin tetapi sebaliknya dinaikkan ke
mungkin pada harga yang mahal dan tidak mudah dicapai oleh anak-anak
bawah umur atau pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kerajaan yang mahu memperkenalkan pemerintahan berlandaskan
syariat Allah swt ini wajib memastikan yang arak tidak boleh sama-sekali
dihidangkan kepada pengguna Islam. Pesawat penerbangan Malaysia yang majoriti
pekerjanya orang Islam juga patut mengikuti jejak langkah Negara Brunei Darus
Salam dengan mengharamkan arak di atas penerbangannya.
Sesungguhnya peluang menaikkan cukai arak ini boleh menjadi
satu langkah positif kea rah memastikan mudarat arak ini dapat dikawal dan
seterusnya dibenteras berpingkat-peringkat. Segala-galanya terletak di atas
kepala bahu kerajaan Persekutuan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Allah swt berfirman di dalam al Quran maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan
mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji)
dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
berjaya.” (al Maidah ayat ke 90) roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment