Monday, March 28, 2016

Masih "jantan" kah Mahfuz dan Husam?

Lama saya mengambil masa untuk memikirkan hal ini. Lama saya cuba membayangkan apakah agaknya yang bermain dalam hati dan fikiran kedua tokoh ini ketika duduk mendengar Muhyiddin dan Dr Mahathir berucap semasa himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia baru-baru ini di Shah Alam.

Jika mereka itu Mat Sabu atau Salahuddin Ayub, tak terlintas pun dihati saya mahu ambil pusing apalagi ambil tahu. Kerana kedua-dua mereka itu sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan PAS. Tak perlu PAS dan PAS pun tak perlu mereka.

Tetapi Mahfuz dan Husam masih PAS.

Apa bijaknya mereka duduk bersekongkol dalam satu majlis yang menjulang dan melonjakkan personaliti Tun Dr Mahathir seorang tokoh yang selama 22 tahun sebagai PM dahulu sentiasa menekan dan menindas PAS.

Duduk dalam majlis yang mahu mengguling Najib sebagai PM dan Presiden Umno tetapi mengekalkan Umno dan BN berkuasa, apa rasionalnya.

Kiranya anda berdua telah mengisytihar diri keluar PAS, masuklah apa parti sekalipun mungkin tidak ramai yang ingin prihatin. Tetapi isunya anda berdua masih ahli PAS, masih Yang Dipertua PAS Kawasan masing-masing, masih wakil rakyat yang mewakili PAS.
Kenapa anda bertindak diluar izin dan pengetahuan parti dan jemaaah?

Apa yang ingin anda cari dalam majlis ini?

Salahkah jika kami menganggap anda berdua melihat PAS terlalu lekeh dan rendah kerana tidak merebut peluang duduk sepentas dengan tokoh-tokoh yang pada sangkaan anda akan menyelamatkan Malaysia dari Najib? PAS terlalu kolot lalu anda berdua lebih “advance” dan jauh lebih bijak dari pimpinan parti. Kalau pimpinan tidak mahu pergi anda berdua sanggup kerana lebih percaya pada Dr Mahathir, lebih percaya pada Muhyuddin, Mukhriz dan Kit Siang.

Najib perlu ditumbangkan demi menyelamatkan Malaysia, tetapi sikap PAS anda lihat seakan memberi nyawa pada Najib sedangkan arahan Presidennya biar tunggu Pilihanraya Umum nanti, perubahan  mesti dilakukan melalui kaedah demokrasi.

Bagi anda berdua Presiden dan kepimpinan PAS lambat dan tidak bijak membaca politik.
Kalau begitu mengapa kekal dalam PAS? Mengapa tidak angkat kaki sahaja?

Kalau begitulah anggapan anda terhadap Presiden, terhadap pimpinan PAS, lebih baik zahirkan sahaja. Nyatakan tidak lagi yakin pada perjuangan PAS, ikutlah Mat Sabu atau Salahuddin atau Kit Siang yang mungkin tergiur mahu terima anda berdua, kenapa pilih untuk duduk dalam wadah yang anda sendiri ragui dan tidak hormati lagi.

Kami ahli-ahli PAS telah bersuara. Kami telah nyatakan saf kepimpinan yang ada ini adalah pilihan kami dan pada mereka kami beri wala’. Kami sedia istiqamah dalam parti di bawah kepimpinan mereka, siapa yang menentang akan kami tentang.

Anda berdua mungkin anggap kepimpinan kami sudah tidak sesuai, tetapi mereka telah menerima mandat perwakilan, yang ditolak sebenarnya anda berdua.

Bagi kami meminjam kata-kata Pak Subky Latif: Biar kami dikata bodoh bagaikan sepat sekurang-kurangnya sepat tidak makan pancing emas, daripada cerdik macam jerung, pancing karat pun dibahamnya.

Kami semua mendengar ucapan Muhyuddin dan Dr Mahathir pada hari berkenaan, mujurlah kami ikut arahan parti dan wala’ pada pimpinan kerana ternyata, kedua Muhyuddin dan Mahahtir lebih berminat menyelamatkan Umno dan BN, benar mereka mahu jatuhkan Najib tetapi mereka menegaskan dengan jelas dan terang, di hadapan anda berdua bahawa Umno dan BN mahu dikekalkan berkuasa, lalu siapakah sebenarnya yang memberi nyawa pada Umno dan BN?!

Kita PAS mahu dan menuntut pembaharuan, sistem dan institusi yang ada perlu dirobah, bukannya dijatuhkan satu-satu tokoh hanya untuk digantikan dengan tokoh lain yang dari kerak yang sama.

Tumpu pada reformasi institusi bukannya tukar Najib : itu pesanan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas konsisten dengan sikap dan pendirian PAS.

Tetapi anda berdua ternyata terlalu bijak, terlalu laju dan terlalu taksub dengan pimpinan luar bukannya pimpinan jemaah sendiri.

Setelah lama saya memikirkan, dengan penuh hormat saya merayu Datuk Mahfuz dan Datuk Husam, kiranya kami PAS sudah tidak lagi selari dengan selera dan nafsu Datuk berdua, sebaiknya jadilah “anak jantan”, ambil keputusan dan tinggalkan lah kami sebagaimana kawan-kawan baik Datuk berdua sebelum ini.  Jangan ambil kesempatan jangan salahgunakan kedudukan dan peghormatan yang diberikan oleh PAS, jangan menipu kami lagi.

Itu pun kalau masih “jantan” Datuk berdua.



Mengharamkan judi melalui Kaukus Parlimen



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2134 Edisi Isnin muka F17

Tidak ada agama atau kepercayaan yang menghalalkan atau membenarkan tabiat berjudi. Sesungguynya amalan berjudi ini kiranya sudah menjadi tabiat ia bakal mengundang pelbagai masalah sosial yang lain sehingga si kaki judi mampu melakukan jenayah akibat tekanan dari ketagihan berjudi.

Ketagihan untuk berjudi boleh mengakibatkan seseorang mencuri dan memeras untuk mendapatkan modal bagi berjudi, disinilah ketenteraman sosial terancam dan malah akibat tekanan tadi si kaki judi boleh terdorong untuk mencuri dan menyamun sehinggalah paling ektrim mencederakan orang lain atau membunuh demi memuaskan nafsunya.

Lantaran itu tabiat berjudi ini sememangnya satu amalan yang buruk yang sewajarnya dicela dan diperangi semua pihak.

Malangnya industri judi dalam negara dilesenkan oleh pihak kerajaan atas alasan kononnya amalan berjudi ini hanya haram dikalangan umat Islam. Mungkin pandangan ini perlu disemak semual dan satu kajian dan mungkin juga pungutan suara boleh dilakukan bagi mendapat maklumbalas adakah rakyat Malaysia masih bersetuju agar industri judi ini terus dikekalkan.

Daripada statistik lebih 60 peratus rakyat Malaysia terdiri dari penganut agama Islam, bermakna pada dasarnya 60 peratus ini wajib menolak amalan berjudi kerana ianya haram disisi Islam. Baki 40 peratus rakyat Malaysia samada beragama Kristian, Hindu, Buddha atau lain-lain kepercayaan.

Jika pungutan suara diadakan, dan 60 peratus dari rakyat wajib mengundi menolak kerana mereka beragama Islam, maka majoriti sudah pun diperolehi bagi menolak dan mengharamkan industri ini, soalnya adakah kerajaan yang bertulang-belakangkan Umno mempunyai kesungguhan politik untuk mengharamkannya?

Kelantan telah mengharamkan semua aktiviti perjudian dalam negeri berkenaan sejak PAS berkuasa di negeri itu pada tahun 1990. Tidak ada lagi lesen perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan negeri untuk aktiviti perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dan ianya berkuatkuasa sehingga hari ini.

Saya membawa perkara ini kerana mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang baru-baru ini menyokong pendirian kerajaan untuk menubuhkan sebuah kaukus Parlimen bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku dalam negara.

Menurut beliau langkah kerajaan itu boleh memastikan negara bersih daripada amalan perjudian yang meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat.

Walaubagaimanapun saya pasti kaukus berkenaan lebih mahu memberi tumpuan kepada aktiviti perjudian haram yang tidak dilesenkan oleh kerajaan seperti mesin slot, mesin kuda dan judi serta aktiviti kasino dan ekor haram serta yang seumpamanya.

Aktiviti berkenaan kebelakangan ini semakin berleluasa walaupun pelbagai tindakan dan operasi penguatkuasaan diambil oleh pihak polis dan agensi penguatkuasaan yang lain. 

Semakin banyak operasi, semakin subur dan berkembang industri haram berkenaan.

Malah ada pihak yang mengatakan akibat tekanan kos hidup yang mencengkam, ramai terjerumus dalam aktiviti haram ini termasuklah warga asing semata-mata kerana kononnya ingin senang.

Berkemungkinan kaukus Parlimen yang disyorkan oleh kerajaan itu mahu memberikan tumpuan kepada judi sebegini. Judi yang mampu mencetuskan masalah sosial dan jenayah tetapi yang tidak mendatangkan sebarang hasil buat kerajaan.

Masakan judi yang berlesen atau di “halal” kan kerajaan mahu diambil tindakan. Ini kerana judi yang seumpama ini memberikan hasil yang lumayan pada kerajaan. Pada tahun 2012 sahaja RHB Research Institute menganggarkan jumlah kutipan cukai dari industri perjudian berlegar diantara RM2.3 ke RM2.7 billion.

Malah menurut rekod syarikat yang terlibat dalam industri ini masing-masing mencatat pendapatan yang lumayan sehingga ada yang mencecah RM18 bilion setahun. Malah ada syarikat dalam industri ini pendapatannya untuk tahun 2014 sahaja mencecah RM5.28 bilion iaitu hampir menyamai belanjawan bagi tiga buah negeri iaitu Selangor, Perak dan Terengganu.

Mampukah kerajaan Persekutuan mengharamkan industri judi yang ia lesenkan itu?

Ternyata walaupun menyedari keburukan dan mudarat daripada tabiat berjudi ini sangat membahayakan dan menjadi risiko buat rakyat, namun lantaran hambatan keuntungan yang besar kerajaan Persekutuan langsung tidak ambil pusing malah terus mengizinkan gergasi-gergasi judi ini bermaharajalela merosakkan masyarakat berbeza dengan kerajaan negeri PAS di Kelantan.

Semoga kaukus Parlimen yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan dan disokong oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia itu tidak menghadkan skopnya pada aktiviti judi yang haram dan tidak berlesen semata-mata. Judi yang sebegitu memang wajar diambil tindakan penguatkuasaan dengan operasi bersepadu besar-besaran tanpa perlu kaukus pun ia memang diperangi.

Ia cuma memerlukan pegembelingan tenaga semua pihak dan agensi dan dilancarkan bersepadu dan seret semua operator dan pemilik premis ke mahkamah, selesai kerana peruntukkan yang ada sudah cukup kemas, cuam tiada usaha yang efektisf sahaja.

Sesungguhnya yang lebih utama dan perlu diberi perhatian serius sehingga memerlukan kauku Parlimen sudah pastilah industri judi itu sendiri yang dilesen dan dibenarkan oleh kerajaan selama ini yang turut menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Industri inilah yang wajar sangat dikaji dan diberi perhatian oleh kaukus berkenaan selaras dengan hasrat Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu bahawa mahu membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya.
 
Syariat Allah swt menegaskan dengan jelas bahawa judi ini adalah amalan yang keji dan kotor dan sebahagian dari perbuatan syaitan. Kiranya mahu Malaysia ini berjaya, ianya mestilah dijauhi, bukannya dilesenkan dan diberi peluang untuk meraih keuntungan berlipat ganda atas kenestapaan rakyat. roslansms@gmail.com

Friday, March 25, 2016

Pencapaian PAS semakin mantap



Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2133 Edisi Jumaat muka F16

Pelancaran blok ketiga pakatan pembangkang iaitu, kerjasama politik antara PAS dan Parti Ikatan telah menjadi fokus politik tempatan beberapa hari ini. PAS memaklumkan bahawa blok ketiga itu nanti bukan hanya akan dianggotai kedua parti tetapi juga akan disertai oleh beberapa parti lain termasuklah NGO serta tokoh-tokoh tertentu yang sama-sama berkongsi cita-cita perjuangan untuk melahirkan Malaysia yang lebih cemerlang dan sempurna.

Selain itu PKR juga melalui Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail telah menyatakan bahawa PKR tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan kerjasama politik dengan blok berkenaan sekiranya hala tuju kedua-dua pihak dapat dipersetujui bersama.

PAS sesungguhnya tidak pernah memutuskan hubungan kerjasamanya dengan PKR, lantas reaksi positif Dr Wan Azizah ini memang diduga dan malah ramai pemerhati politik merasakan kiranya PKR turut bersama blok ketiga ini, harapan untuk membawa perubahan “total” di Malaysia semakin cerah.

Yang memberi komen negatif sudah pastilah DAP serta “anak emas” kelahirannya Pan, yang memang dijangka pun akan berbuat demikian.

Yang penting dan utama, melalui inisiatif terbarunya, PAS telah menunjukkan kepada umum bahawa ia sebuah parti politik yang sentiasa berlapang dada dan membuka peluang berkerjasama dengan mana-mana pihak pun demi merealisasikan cita-cita perjuangannya. PAS tidak mengamalkan budaya politik perkauman sempit, ekstrim, radikal apalagi anarkis, tetapi ia sebenarnya sebuah parti realis yang memahami hati dan kemahuan rakyat Malaysia. 

PAS tidak pernah menganggap politik Malaysia ini hak mutlaknya. Ia sentiasa akur dan menerima kepelbagaian politik dalam negara yang lahir dari kepelbagaian kaum dan anutan. Kuasa politik ditentukan oleh rakyat melalui proses demokrasi berparlimen dan dari situlah PAS bergerak seringkali dengan kawan-kawan untuk meyakinkan rakyat bagi membawa perubahan melalui peti undi.

DAP dan “anak susuannya” boleh sahaja melompat dan menuduh inisiatif PAS ini sebagai kosong dan satu langkah kebelakang, mustahil mereka mahu kagum dan menyokong. Saya yakin PAS sudah terlalu matang menghadapi golongan parti-parti “keras kepala” dan ketandusan modal umpama mereka.

Yang lebih utama adalah PAS sedar bahawa dalam suasana politik yang berkecamuk kebelakangan ini hasil dari kerja tangan dan pengurusan Umno dan BN yang pincang dan tempang rakyat bagaikan sedang terapung-apung di lautan besar, menunggu pelampung atau sampan yang akan dapat menyelamatkan mereka dari terus terapung kesengsaraan atau mungkin juga lemas begitu sahaja.

PAS bertanggungjawab menyelamatkan mereka ini yang majoritinya terdiri dari bangsa Melayu yang beragama Islam yang selama ini taksub duduk dibawah payung Umno.

PAS telah melalui proses pengkhianatan dalaman, dan kini mereka yang khianat itu telah punya wadah dan rakan baru. PAS kini pulih bersih dan dalamannya semakin mantap dan kukuh. Walaupun proses pengkhianatan dalaman baru sahaja dilaluinya beberapa bulan lampau namun lukanya sudah kering dan tiada lagi parut yang tinggal.

Sebagai bukiti beberapa program “mega” PAS telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran yang luarbiasa, terbaru program perayaan Karnival Jom Bersama PAS sempena ulangtahun PAS Kedah ke 65 tahun di Kota Sarang Semut, Alor Setar telah menghimpunkan puluhan ribu aktivis dan penyokong PAS seluruh Kedah dan Wilayah Utara, memberikan isyarat betapa PAS memang memiliki kekuatan keahlian dan organisasi yang mantap, jauh lebih mantap dari parti-parti yang sekadar bertenggek atas kekuatan pihak lain. Kekuatan itu hakikatnya tidak berkurangan malah semakin meningkat.

Jentera mantap PAS ini sedang diatur bukan sahaja di Kedah dan Terengganu serta Kelantan malah diseluruh negara termasuklah di Sarawak yang bakal menghadapi Pilihanraya Negeri bila-bila masa sahaja. Tidak mustahil kemantapan jentera yang penuh disiplin ini bakal melahirkan “anak” baru di Sarawak tahun 2016 ini.

Dengan kemantapan organisasi dan keahlian, PAS kini berdiri sebagai alternatif yang terbaik bagi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam kiranya mereka berazam penuh mahukan perubahan. PAS tidak perlu memuaskan hati DAP atau Pan, yang memang tidak dapat menerima malah sebenarnya bimbang akan realiti kebangkitan ini. Sasaran PAS adalah rakyat jelata di luar sana dan setakat ini bukti menunjukkan yang mereka sudah mula terbuka hati dan senang dengan PAS.

Semasa menulis artikel ini saya baru sahaja selesai menghadiri satu program anjuran PAS Kawasan Kelana Jaya, di Selangor, satu kawasan dimana PAS tidak bertanding tetapi mempunyai organisasi cawangan dan kawasan. Program Semarak Hijau yang dianjurkan kawasan berkenaan di persekitran perumahan kos murah yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam, telah berjaya menarik kehadiran ramai dan yang lebih penting semasa dan selepas program berkenaan kawasan berkenaan terus menerima kehalian baru yang tidak putus-putus khasnya dari kalangan penyokong dan ahli-ahli Umno.
Inilah bukti betapa suasana politik semasa sedang menghambat rakyat jelata khasnya mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk bersama duduk dan berada dalam perjuangan PAS, meninggalkan perjuangan mereka yang lama yang telah menghampa dan mengecewakan mereka.

Saya difahamkan fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Inilah pencapaian yang bakal menyemarakkan lagi semangat para aktivis dan petugas PAS untuk terus berkerja meyakinkan rakyat untuk menerima dan menyokong perjuangan ini.

Tahap penerimaan rakyat kepada PAS semakin terserlah, lantas penubuhan blok ketiga ini memang kena pada masa dan ketikanya, dan ialah nanti akan jadi pemangkin ke arah anjakkan paradigma rakyat yang mahu menuntut perubahan dengan cara yang tertib dan teratur menurut peraturan dan amalan yang sedia terpakai.

Semoga kehadiran PAS di dalam blok ini akan menjinakkan parti-parti lain, NGO serta tokoh-tokoh masyarakat untuk menyokongnya dan membawa budaya politik baru bagi menghadapi Umno dan BN yang sudah semakin sampai ke penghujung tarikh luput mereka itu. roslansms@gmail.com