Saturday, January 31, 2015

Pemimpin kanan PAS khianat? (31/1/15)

Isu penyibaran video seks yang kononnya membabitkan Setiuasaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah lama berlalu. Ia diedarkan sebelum PRU lalu sudah pastilah dengan maksud mahu mengaibkan peribadi beliau selain mengaib dan memalukan PAS sendiri lebih-lebih lagi ketika itu PAS dan PR berhadapan dengan PRU.

Walaubagaimanapun prestasi PAS dalam PRU lepas jelas menunjukkan video jahat berkenaan sedikit  pun tidak menjejaskannya.
Sebagaimana kontroversi siapa yang mengarahakan membunuh Altantuya masih tidak terjawab sehingga hari ini, begitu juga siapa yang ampunya kerja sehingga tergamak mengedarkan video berkenaan masih menjadi tanda-tanya sehingga hari ini.

Saya pasti kiranya diketahui bukan sahaja Mustaffa malah ahli-ahli PAS rata-rata akan bertindak ke atas individu yang tidak bertanggungjawab itu.
Agak-agaknya apakah agenda penyibarnya dulu?

Sebagaimana saya sebut di atas sudah pasti untuk mengaibkan Mustafa selain PAS sendiri.
Tetapi mugkinkah lebih dari itu? Mungkinkah agenda sipenjahat itu termasuk mahu sabotaj Presiden PAS? Kepimpinan Ulamak PAS? Dirancang begitu halus sekali guna untuk merobah dan mengambil-alih kepimpinan PAS?

Mungkinkah?
Seribu satu persoalan seperti itu bermain di kepala saya apabila saya menerima posting facebook Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Fadhli Ibrahim di:


Ianya menyebut di bawah tajuk “ Cikgu Pa di pornografi oleh kumpulan AJK Pas Pusat sendiri” antara lain:
Kenyataan Cikgu Pa semalam sangat mengembirakan saya kerana sudah agak sekian lama saya tidak melihat jati diri PAS mempertahankan dasarnya apabila diserang oleh rakat Pakatan Rakyat. Rasa hina apabila pemimpin tertinggi parti bukan sahaja tidak mempertahankan parti sendiri, bahkan mempertahankan parti lain dan menghentam Presiden sendiri. Hari ini saya lihat Cikgu Pa bangkit mempertahankan Tuan Guru Presiden.

 Syabas!!!

Tetapi, saya turut menyimpan kebimbangan kalau Cikgu Pa melakukan U-Turn sebagaimana sebelum ini, justeru golongan PASMAisme ini mungkin mengugut beliau dengan video porno. Saya mempunyai maklumat tentang video tersebut, dan saya tahu Cikgu Pa tidak bersalah, sebagaimana tidak bersalahnya Ustaz Azhar Idrus.

Tetapi apa yang membimbangkan saya ialah, video jahat itu dimainkan semula oleh golongan PASMAisme justeru orang yang terlibat di dalam kumpulan penyebaran ini adalah dikalangan AJK PAS Pusat sendiri, pemimpin kanan dan berada di dalam Dewan Harian PAS Pusat. Sebab itu saya menggesa supaya 'pemimpin khianat' letak jawatan secara terhormat atau tampil menyatakan sebab yang jelas kenapa beliau sanggup melibatkan diri di dalam kumpulan yang menyebarkan video porno Cikgu Pa.

Jika tindakannya menyebarkan video porno tersebut bermoral dan mempunyai sebab yang kukuh, bertepatan dengan syarak, maka tangan ini akan pangkah dan kempen beliau sebagai Naib Presiden di dalam muktamar akan datang. Jika tidak, tangan ini juga akan gerakkan kempen sehingga pengkhianat ini tersungkur dan rebah.
Benarkah ada pemimpin kanan PAS yang terlibat sebagaimana didakwa Ustaz Fadhli?

Ustaz Fadhli bertanggungjawab terbit dengan bukti-bukti jelas memperakui dakwaan ini, jika tidak ianya satu fitnah yang jahat. Tetapi saya yakin Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang itu punya bukti, dan saya yakin ianya akan segera terdedah.
Jika adalah walau sekelumit mana bukti yang menunjukkan pembabitan pemimpin kanan PAS itu, saya kira ianya lebih jahat dan hodoh dan tidak layak pelakunya bukan sahaja duduk sebagai pemimpin malah menjadi ahli PAS. Apalagi jika dia memiliki agenda sebagaimana dibayangkan di atas.

Saya percaya diperingkat ini pendedahan Ustaz Fadhli sudah “viral” ke setiap pelusuk Negara dan kalangan ahli dan . Lantas sekarang kita menunggu penejelasan selanjutnya.
Jangan senyapkan atau sapu bawah tikar perkara ini!

Friday, January 30, 2015

Aduhai celuparnya Lim Guan Eng bukan sekali (30/1/15)

Ada orang berkata Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng sejak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang memiliki sikap “Mr Arrogant”.

Sebagai pemimpin nombor satu DAP sudah pastilah sebarang sikap dan pendirian parti berkenaan berkait-rapat dengan tingkah-laku dan kehendaknya.
Bila kita belek-belek dan menyingkap situasi dan isu-isu yang berlaku dan tercetus sebelum ini yang melibatkan beliau ternyata gelaran “Mr Arrogant” itu sesungguhnya tidak lari dari beliau. Dan kelmarin gelaran “mulut celupar” turut diberikan kepada beliau.

Semasa krisis MB Selangor, Lim ke hadapan dalam menyerang dan menyelar sikap dan pendirian PAS secara terbuka. PAS sebagai parti komponan dalam PR sepatutnya punya hak bersuara dan memberi pandangan, tetapi tidak bagi Lim, semua parti mesti akur dan setuju.
Apabila PAS punya sikap berbeza terus Lim mendakwa bahawa PAS cenderung pada Umno dan malah semasa krisis itu hangat terbakar Lim mencemuh sikap EXCO-EXCO PAS yang kekal dalam kabinet Tan Sri Khalid sehingga ada pimpinan bawah dagunya yang mendesak pimpinan PAS itu dipecat.

Semasa krisis MB Selangor juga ketika AJK PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasaruddin Hassan membuat perbandingan antara projek yang dilulus di Selangir dan di Pulau Pinang, Lim melenting, bukannya mengambil masa memberikan penjelasan, sebaliknya bertindak menyaman ahli parlimen berkenaan.
Dalam peringkat pimpinan tertinggi pun Lim tidak henti-henti memburukkan Presiden PAS kerana kononnya enggan menghadiri Mesyuarat tertinggi pimpinan PR dan sekadar hantar wakil.

Dalam isu Hudud di Kelantan Lim lah antara yang paling vokal menentang dan mengancam PAS. Dan dalam kes Pilihanraya PBT di Pulau Pinang tanpa berfikir panjang Lim melompat mendakwa bahwa Presiden dan Setiausaha Agung PAS sebagai “dishonest” atau tidak jujur.
Terbaru adalah laporan dalam akhbar tempatan berbahasa Cina Sin Chew Daily bertarikh 27 Januari 2015 ini. Lim dipetik sebagai berkata (terjemahan):

Bebas rasuah itu penting, tetapi lebih penting ialah boleh buat kerja. Kalau tidak mampu buat kerja, apa kamu dapat? Bila banjir besar berlaku, kamu lihat. Saya cakap terus-terang, saya tak perlu rasa segan. Masa banjir, kerajaan Kelantan macam mana? Macam tak ada kerajaan! Kenapa? Kerana tidak boleh buat kerja! Jadi bebas rasuah (sahaja tidak cukup), kena boleh buat kerja. Jika tidak boleh buat kerja, lebih baik jangan jadi kerajaan.
“Mr Arrogant” tanpa segan-silu menuduh kerajaan PAS Kelantan pimpinan Ustaz Dato Ahmad Yakob yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai sebuah kerajaan yang “tidak boleh buat kerja”. Tidakkah biadab bunyi kenyataan ini?

Dalam rakyat Kelantan bangkit membina semula negeri berkenaan setelah ditimpa bencana, seorang pemimpin negeri lain senang-senang menghina dan merendahkan sebuah kerajaan negeri yang lain dengan mendakwa ia tidak tahu bekerja.
Apa masalah Lim sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Adakah begini cara kita melayan rakan kita tambah-tambah apabila ditimpa musibah seumpama ini?
Saya percaya rakyat Kelantan yang lebih mengenali MB dan kerajaan negeri mereka akan kecewa dan kesal dengan kenyataan biadap dan “celupar” Lim Guan Eng itu. Ketua Pemuda PAS Kelantan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam mengulas kenyataan Lim itu menyebut:

Ya, kelemahan tidak dapat dinafikan kerana banjir ini berlaku di luar jangka. Saya tidak menyatakan kerajaan Kelantan sempurna dan suci dari kelemahan namun menyebut “macam tiada kerajaan” ialah satu tuduhan yang sangat melampau. Ia adalah satu penghinaan kepada kerajaan Kelantan yang turut berada bersama di dalam Pakatan Rakyat.
Saya kira Yang Amat Berhormat bolehlah menarik balik kenyataan tersebut jika ia benar sebagaimana yang dilaporkan. Degilnya Yang Amat Berhormat atas kenyataan ini, demikianlah akan tebalnya ingatan kami terhadap kecaman Yang Amat Berhormat.

Oleh itu saya sedikit pun tidak terkejut apabila Setiausaha Agung PAS Dato Mustafa Ali melabel Lim sebagai “celupar mulut” dan memang layaklah gelaran “Mr Arrogant” itu lekat pada namanya.
Jika beginilah sikap pemimpin tertinggi DAP terhadap PAS, tidak mustahil ahli-ahli PAS nanti akan memberi rekasi negatif dan layanan hambar kepada beliau dan parti beliau.

Kerana mulut badan binasa!

 

 

Thursday, January 29, 2015

Maaf ini bukan masalah peribadi (29/1/15)

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menganggap pertikaian antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan rakannya dari PAS Dato Mustafa Ali sebagai ,asalah peribadi semata-mata dan berdebat mengenainya adalah sesuatu yang tidak menguntungkan.

Beliau mencadangkan agar kedua-dua pihak bertemu untuk mencari jalan penyelesaian.
Lim Guan Eng telah membuat suatu tuduhan serius secara terbuka. Menghina kedua-dua Presiden dan Setiausaha Agung PAS dengan menganggap mereka “dishonest” berhubung isu Pilihanraya PBT yang mahu diperkenalkan di Pulau Pinang.

Siapa pun yang waras boleh nampak bahawa ini bukan isu peribadi. Ia sesuatu yang formal dan diucapkan secara terbuka oleh seorang pemimpin tertinggi parti.
Khalid sedikit pun tidak berasa tersinggung apabila Presiden partinya sendiri dipanggil “dishonest” secara terbuka oleh pemimpin tertinggi parti lain. Dan beliau menganggap isu ini isu peribadi.

Demikianlah betapa terbuka dan moderatnya MP Shah Alam itu yang juga AJK PAS Pusat.
Sepatutnya beliau bangkit mempertahankan Presidennya dan meminta Guan Eng memberikan kenyataan kerana Guan Eng bukannya berbisik dalam kelambu tetapi membuat pernyataan terbuka atas kapasiti Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Barangkali MP Shah Alam inilah agaknya ada masalah peribadi dengan Presidennya sehingga orang lain bangkit mempertahankan Presiden, beliau pula sebaliknya.

Wednesday, January 28, 2015

Antara Guan Eng, Hadi dan Mustafa siapa celupar siapa pembohong? (28/1/15)

Ianya bermula dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Isunya adalah Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim telah meluluskan Enakmen Pilihanraya PBT atau Local Government Elections (Penang Island and Province Wellesley) Enactment 2012 pada 9 Mei 2012 Enakmen berkenaan digazetkan pada 5 Julai tahun yang sama. Walaubagaimanapun Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos 2014 memutuskan bahawa Enakmen berkenaan terbatal oleh kerana ianya bertentangan dengan Undang-undang Persekutuan iaitu Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan yang tidak membenarkan pilihanraya PBT.
PAS mendakwa bahawa Lim tidak pernah berbincang dan mendapat restu Pakatan Rakyat dalam usahanya ,memperkenalkan enakmen berkenaan (walaupun ianya kemudiannya telah dibatalkan oleh mahkamah). Ini bagi membidas DAP yang mendakwa PAS tidak pernah mendapat kelulusan yang sama dari Pakatan Rakyat dalam isu perlaksanaan Hudud di Kealntan.

Lim dalam reaksinya dengan bingkas menuduh sebagaimana dilaporkan TMI pada 25 Januari baru-baru ini:
(Lim, who is Penang chief minister, said) he had called both Hadi and PAS secretary-general Datuk Mustafa Ali before Penang began pushing for the implementation of the “third vote” through the courts.

(Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa beliau telah memanggil kedua-dua Hadi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum Pulau Pinang membawa perlaksanaan “undi ketiga” (Pilihanraya PBT) melalui mahkamah.

Yang lebih kritikal lagi, Lim dengan mudah mendakwa:

“I am shocked that both leaders have failed to mention this, which I think is dishonest,”

(Saya terperanjat apabila kedua-dua pemimpin ini gagal menyebut hal ini (Pilihanraya PBT Pulau Pinang), ini pada saya sesuatu yang tidak jujur (penipuan)
DAP yang sepatutnya merupakan kawan, telah melabel pemimpin nombor satu PAS dan Setiausaha Agungnya sebagai “dishonest” atau tidak jujur, tidak amanah, pendusta dan berbagai lagi isitlah Melayu yang membawa maksud yang sama.

Apa yang sebenarnya berlaku, hanya Lim, Hadi dan Mustafa yang tahu.

Hari ini Setiausaha Agung PAS dilaporkan oleh Sinar Harian online sebagai berkata:
"Saya minta Gua Eng bersemuka dengan saya, debat atau sebagainya, ikut dia, saya cabar bersemuka secara terbuka biar dia bagi versi dia dan saya juga (menjawab) biar umum menilai sama ada bohong atau tidak,"

TMI pula melaporkan Mustafa dalam hal yang sama berkata:
"Saya akui memang Lim menelefon saya berkait dengan pilihan raya PBT tetapi selepas enakmen itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang," kata Mustafa. "Jadi dia telefon saya, jika ada media yang meminta komen mengenainya, tolong komen yang positiflah.” Saya jawab, "Insya Allah.”

Walaupun saya orang PAS tetapi tak perlu untuk tunjukkan kecenderungan, orang cerdik yang tidak berparti pun boleh lihat betapa hakikatnya berdasarkan maklumat di atas ternyata PAS ataupun Pakatan Rakyat memang tidak pernah dibawa berbincang apalagi memberi restu dalam isu Pilihanraya PBT ini.

Malah kalau ikut laporan TMI seperti di bawah, Lim tidak pun memaklumkan wakil tunggal PAS dalam DUN, YB Datuk Salleh Man.
Mustafa berkata, kali pertama beliau diberitahu tentang enakmen ini oleh wakil tunggal PAS dalam DUN Pulau Pinang, iaitu Datuk Salleh Man, lebih awal daripada Lim. “Dia telefon ketika DUN Pulau Pinang sedang bersidang dan memaklumkan ada satu enakmen yang akan dibentangkan dalam DUN dan diminta bercakap mengenainya. "Dia bertanya, adakah ia sudah diluluskan di peringkat pusat dan saya berkata, tidak ada sebarang 'endorsement' daripada peringkat pusat.

Siapakah yang “dishonest” tidak jujur atau berbohong dalam hal ini?
Dalam kenyataannya seperti dilaporkan TMI di atas sendiri kita boleh lihat dan faham:

(Lim, who is Penang chief minister, said) he had called both Hadi and PAS secretary-general Datuk Mustafa Ali before Penang began pushing for the implementation of the “third vote” through the courts.
“Called” di sini bagi sesiapa pun yang siuman akan bermaksud “membuat panggilan (telefon)”. Isu besar yang tidak pernah mendapat restu parti-parti komponan PR mahu di “bulldoze” dengan “call”? Tidakkah sewajarnya bagi seorang pemimpin yang bijak seperti Lim, membawa bincang dengan rakan-rakannya secara formal diperingklat PR.

Berbeza dengan Hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan tetapi ditentang Lim. Hudud diluluskan oleh Dewan Negeri Kelantan dan diperkenankan oleh Tuanku Sultan sebelum pun Pakatan Rakyat wujud. Ianya sebahagian dari tuntutan perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan sebelum Merdeka lagi. Ia tidak pernah dibatalkan oleh Mahkamah dan PAS pernah membuat roadshow, berdailog dan berbincang dengan NGO dan partri-parti politik termasuk DAP sebelum daripada ini.
Berbalik kepada isu ini, janganlah cepat melenting dan menuduh buruk-buruk terhadap kawan sendiri. Jangan kerana punya agenda mahu menjatuhkan orang tertentu dalam PAS maka mana sahaja ada ruang dan kesempatan akan digunakan untuk memburuk-burukkan.

Kini ternyata siapa yang celupar dan siapa yang pembohong.

Monday, January 26, 2015

Tiada keperluan pilihanraya majlis tempatan (26/1/15)

Pilihanraya Majlis Tempatan atau PBT sudah lama tidak kita amalkan.

Ianya digantung pada 2 Mac 1965 berikutan Peristiwa Konfrantasi Malaysia – Indonesia. Konfrantasi ini adalah “peperangan” Malaysia-Indonesia, apabila Presiden Sukarno enggan mengiktiraf penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang beliau anggap sebagai suatu usaha British untuk menegmbalikan Imperialismanya di rantau ini.

Ketegangan berlaku di antara dua Negara, malah sehingga berlaku pendaratan tentera Indonesia di Tanah Semenanjung, sesuatu yang sangat dikesali ketika itu tetapi malangnya tidak banyak yang maklum atau mengingatinya.
Ia menjadi tegang kerana Malaysia dan Indonesia sesungguhnya satu rumpun, keluarga yang rapat, lalu apabila berlaku “peperangan” terdapatlah pihak-pihak, kumpulan dan individu tertentu di Malaysia lantaran agenda atau ikatan tertentu sehingga ada yang menyokong sikap Sukarno, bersimpati pada Indonesia lantas khianat pada Malaysia.

Berbalik kepada pilihanraya PBT tadi. Ekoran kegawatan hubungan dua Negara, dan suasana tempatan yang tegang maka pilihanraya PBT yang digantung pada tahun 1964 itu akhirnya dimansuhkan sama-sekali dengan lulusnya Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan Akta Pilihnaraya Kerajaan Tempatan 1960.
Banyak pihak yang terlibat dalam mengkaji dan menilai semula pilihanraya PBT ini dalam skop amalan dan realiti sosial dan politik di Malaysia terutama dengan penubuhan Suruhanajaya Di Raja Athi Nahappan 1965. Antara penemuan terbesar adalah bahawa terdapat kelemahan pengurusan PBT-PBT termasuklah salah-urus kewangan serta sistem dan amalan berbeza-beza antara satu PBT dengan yang lain. Antaranya:

…..the power in financial system among the local authority so weak and inefficient. The weaknesses in terms of financial and administration had slow down the project that was planned (especially due to lack of professional’s staff).
Lantaran penemuan-penemuan seumpama ini dan mengambil kira suasana sosial dan politik semasa maka Akta Kerajaan Tempatan 1976 diperkenalkan yang memberi kuasa melantik ahli-ahli majlis PBT kepada PBN (pihak berkuasa negeri) iaitu kerajaan negeri.

Ringkasnya demi membaik-pulih sistem pentadbiran dan pengurusuan PBT seluruh Negara dan memastikan ianya selari dengan sistem yang diamalkan di kerajaan negeri dan Persekutuan hasilnya 3 undang-undang baru diwartakan yang mengubah secara langsung sistem kerajaan tempatan di negara ini, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Hari ini setelah 39 tahun Akta Kerajaan Tempatan 1976 berkuatkuasa dan diamalkan dengan baik dan lancar, terdapat pihak-pihak yang mahu mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan semata-mata atas tuntutan demokrasi. Berikan kuasa terus kepada pembayar hasil atau rate payers agar mereka memutuskan siapa yang mahu mereka letak sebagai wakil mereka dalam PBT masing-masing. Dan biarkan mereka mengurus kewangan dan pentadbiran mereka masing-masing.

Adakah kita telah mengambil kira pengalaman mereka yang terdahulu dari kita sehingga mengakibatkan pilihanraya berkenaan digantung pada 2 Mac 1965 lalu melalui desakkan ini?
Benar kita mahu amalan demokrasi didaulatkan, namun demikian ianya perlulah menurut acuan dan suasana setempat. Kerana itu ada amalan demokrasi yang diamalakan di dunia maju tetapi tidak di Negara kita, kerana apa, kerana kita mengiktiraf, menghormati dan tunduk kepada acuan dan amalan serta suasana di Negara kita.

Kita letakkan “Kesetiaan kepada Raja dan Negara “ sebagai salah satu prinsip Rukunegara yang kita junjung dan hormati. Negara lain tiada sistem ini malah punya Presiden yang dipilih sendiri oleh rakyat. Bagi kita sistem Raja berperlembagaan lebih cocok dan sesuai buat kita kerana itu kita berbeza.
Begitu juga kita punya dwi sistem perundangan dalam Negara (malah tiga sebenarnya jika mengambil kira Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak). Mahkamah Sivil dan Syariah sedangkan ia tiada di Negara demokrasi lain, mengapa? Sebab amalan dan tradisi kita berbeza, kita hormat dan sanjung amalan kita lantas kita berbeza.

Demikian juga dalam pilihnaraya PBT ini sebenarnya.
Bukannya kita tidak mahu rakyat memilih wakil mereka diperingkat kerajaan ketiga ini, tetapi sesungguhnya amalan yang sedia terpakai setelah mengambil kira pengalaman yang lalu dan pengenalan Akta Kerajaan Tempatan 1976, dilihat sudah memadai.

Suara rakyat jelas dan diwakili diperingkat Persekutuan dan juga peringkat negeri-negeri. Mengambil kira pengalaman lalu adalah dikira, memadai kerajaan negeri yang diberi mandatlah yang melantik ahli-ahli majlis PBT, dan lantikkan ini atas budi-bicara negeri.
Kita harus sedari bahawa PBT ini berbeza dari satu kawasan dengan yang lain. Ada PBT yang kedudukan kewangannya mantap dan tinggi manakala ada pula PBT yang tidak mampu menanggung belanjanya sendiri dan ini berlaku dalam satu negeri bukannya antara negeri-negeri.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam satu kenyataannya baru-baru ini menyebut:
Lihat sahajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula bermajoritikan satu kaum yang lain.

Bermakna dalam satu negeri bukannya perbandingan antara negeri-negeri tetapi dalam satu negeri contohnya di Selangor satu PBT berpendapatan lebih RM250 juta setahun sedangkan satu lagi hanya RM50 juta. Yang RM250 juta itu adalah dikawasan bandar yang majoriti bukan Melayu manakala yang RM50 juta dalah kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya orang Melayu.
Kita bukan “rascist” apabila membangkitkan fakta ini tetapi demi keadilan semua rakyat penduduk berbilang kaum, tidakkah ini kelak menimbulkan jurang perbezaan antara kaum-kaum dalam Negara? Yang di bandar lantaran pendapatan tinggi akan menikmati keselesaan dan pembangunan hebat, manakala di luar bandar yang hanya diwakili satu kaum, belanja mengurus PBT pun tidak mampu dibayar, lalu dimanakah manfaatnya pemilihan jika ia sekadar mewujudkan jurang perbezaan seumpama ini?

Kerana itu benarlah Presiden PAS apabila beliau menyebut:
Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.

Ada pengkritik yang kononnya tidak faham apa kena mengena pilihanraya PBT dengan peristiwa 13 Mei sebagaimana dinyatakan oleh Presiden PAS itu?
Terimalah kenyataan bahawa bukankah salah satu punca Peristiwa 13 Mei yang malang itu adalah apabila wujud jurang perbezaan sosio-ekonomi yang besar dan ketara antara kaum-kaum di Malaysia. Lantaran itu Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk merawat masalah berkenaan. Jadi tidakkah membiarkan PBT-PBT bebas sebagai kerajaan ketiga yang dilantik dengan sumber kekayaan yang berbeza-beza antara satu dengan lain nanti bakal mencetuskan ketegangan apabila ada ketidakpuasan hati yang pasti berlaku kerana jurang tadi?

Amalan yang ada sekarang dikira sudah cukup cantik apabila mendepani suasana semasa yang ada. Kerajaan negeri yang sepatutnya memegang otonomi peringkat PBTlah nanti memikul tanggungjawab melantik sesiapa yang mereka fikirkan layak untuk duduk sebagai ahli majlis dan mereka ini selain membawa isu-isu dan membela kepentingan penduduk tempatan juga akan akur dan menurut dasar serta polisi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Dan kerajaan negerilah yang akan memastikan keadilan dan kesamarataan pembangunan dan kemajuan PBT-PBT di bawah kendaliannya agar tiada jurang yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati diantara penduduk satu kawasan dengan yang lain, semua menerima keadilan berdasarkan realiti dan kemampuan masing-masing.

Dalam hal ini Presiden PAS menyebut:
Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pendalaman dan kaum  yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar. Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaafan dalam  perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.

Mereka yang terdahulu dari kita tanpa mengira sentimen politik dan kaum telah merasai kegagalan amalan yang dahulu. Kita tidak mahu mengulanginya semata-mata memuaskan desakkan nafsu mereka yang mahu menjuarai amalan demokrasi Barat secara melulu.
Hormatilah pengalaman yang lampau.

Hari ini suara pembayar hasil diperingkat tempatan sebenarnya sudah pun diwakili oleh lantikkan kerajaan negeri dari parti yang memerintah. Pakatan Rakyat menguasai negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dan merekalah yang melantik ahli-ahli majlis untuk PBT di kawasan mereka begitu juga dengan negeri-negeri lain di bawah BN, BN lah yang melantik.
Jika rakyat khasnya pembayar hasil diperingkat tempatan tidak berpuas-hati dengan khidmat ahli-ahli majlis atau PBT itu, maka dalam Pilihanraya Umum kelak, rakyat berhak memberi mandat kepada parti lain, tidak kiralah PR atau BN agar PBT baru dapat dibentuk dengan ahli-ahli majlis yang baru. Begitulah sebaiknya dan bukannya pilihanraya berasingan buat PBT.

 

Friday, January 23, 2015

Apabila DAP khianat dengan PAS (23/1/15)

Bencana banjir di Pantai Timur khasnya di negeri Kelantan telah membangkitkan simpati khasnya dikalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan taraf hidup. Bantuan dan wang ringgit turun mencuruah-curah menandakan rakyat Malaysia akan tetap bersatu apabila berhadapan dengan bencana dan kesusahan.

Bencana ini merupakan satu ujian besar buat kerajaan Negeri dan juga kerajaan Persekutuan. Pelbagai usaha dan perancangan telah dan sedang serta akan dilaksanakan demi membangunkan semula kawasan-kawasan yang musnah dilanda banjir disamping meringankan kesengsaraan rakyat jelata yang terlibat.
Dalam pada itu saya tersentak apabila membaca satu laporan dari TMI mengenai salah satu dari usaha bantuan ini. Dan ianya pula melibatkan parti kawan yang sepatutnya berkawan dan berkerjasama dengan kerajaan Negeri yang diterajui PAS.

Laporan TMI itu menyebut:
"Kami hantar 15 kontena barangan yang bernilai kira-kira setengah juta ringgit dan RM270,000 wang  ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

"Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pula menghantar RM1.1 juta ke Kelantan bagi membantu mangsa," kata Loke kepada The Malaysian Insider selepas berbincang dengan Wan Rahim pada Rabu malam di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur.
Jelas, DAP sudah memilih kawannya dalam PAS. Mereka dilihat tidak boleh bekerjasama secara erat dengan sesetengah pimpinan PAS dinamakan kumpulan Unity Government (UG) yang disokong kumpulan ulama namun dapat berbincang dengan baik dengan sekumpulan pemimpin lain pula iaitu kumpulan profesional atau Erdogan. Mereka tidak begitu rapat dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yakub yang dikira kumpulan pro ulama namun pada masa sama mereka sangat senang bekerjasama dengan Wan Rahim dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Dalam situasi bencana seumpama ini pun ada pihak yang mahu bermain politik.

Rakyat Kelantan memilih dan telah memberi mandat kepada PAS untuk menerajui mereka. Dan atas mandat itu kerajaan negeri telah terbentuk dengan perkenaan Tuanku Sultan. Tidakkah aneh parti yang sepatutnya berkerjasama dengan PAS boleh membelakangkan pentadbiran yang diberi mandat oleh rakyat Kelantan, kononnya kerana tidak bersetuju atas perkara-perkara politik tertentu.
Yang memerintah Kelantan bukan Umno tetapi PAS, namun DAP memutuskan untuk tidak membantu kerajaan negeri.

Jika mahu hulur bantuan sendiri, siapa pun tidak peduli, inikan Negara bebas. Akan tetapi memilih-milih dan menyalurkan bantuan pula kepada pihak-pihak tertentu yang bermasalah dengan PAS sendiri, seakan suatu tanda pengkhianatan terhadap persahabatan yang telah terjalin.
Ternyata DAP tidak menghargai erti persahabatan sebenar. Malah ternyata DAP mahu terlibat dalam isu dalaman PAS, seakan menaja pihak tertentu untuk menggulingkan kepimpinan PAS yang sedia ada. Persahabatan apakah jenis ini?

Saya kesal ada tokoh-tokoh PAS tanpa segan silu sanggup membelakangkan jemaah dan menangguk di air keruh dengan menghulur tengkok menerima pula bantuan dari DAP itu. Kalau DAP tidak menghormati erti persahabatan, tokoh-tokoh PAS yang menadah tangan menerima sumbangan itu pula bagaimana?
Bukankah PAS satu jemaah satu gerakan Islam, dan anda duduk dalam jemaah dan gerakan ini. Atas apa alasankah anda boleh mengenepikan jemaah sebegini?

Ahli-ahli PAS perlu buka mata dan sedari bahawa ada pihak-pihak dalaman parti yang sedang berusaha meruntuhkan kredibilit dan nama baik parti demi samata-mata mahu merampas kuasa dalam parti.
Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan penangguhannya dalam Mukatamar yang lalu ada menyebut:

“Ahli-ahli (PAS) wajib beristiqamah. Wajib beramal, berdakwah, berjihad dengan ilmu dengan fekah. Bukan ilmu sahaja, feqah, faham ilmu itu dan ikhlas. Menjaga adab berjemaah, bersatu dalam perkara dasar dan matlamat. Kita tidak berpecah walaupun berbeza pendapat”
Dalam hal ini kenyataan berikut yang dipetik dari TMI sangat dikesali:

Wan Rahim berkata, senario politik di Kelantan juga berubah dengan mendadak sejak banjir besar baru-baru ini.
"Secara umumnya, rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat tetapi sangat senang dengan NGO. "Nama Datuk Husam harum semerbak selepas banjir ini," kata Wan Rahim

Kepada kawan-kawan dalam DAP renungkanlah kata-kata pujangga berikut:
It is only the great hearted who can be true friends. The mean and cowardly, can never know what true friendship means - Charles Kingsley

The glory of friendship is not the outstretched hand, not the kindly smile, nor the joy of companionship; it is the spiritual inspiration that comes to one when you discover that someone else believes in you and is willing to trust you with a friendship -Ralph Waldo Emerson
Dan kepada tokoh-tokoh PAS yang mendapat tempat dan jawatan dari sokongan ahli-ahli dan pimpinan PAS, sedarlah bahawa perlakuan dan tindak-tanduk anda itu merugikan jemaaah dan melanggar adabnya. Marahkan pijat kelambu dibakar ……

Ahli-ahli PAS bertindaklah segera sebelum dua tiga kerat yang bermasalah ini terus membangkitkan onar dan memecah-belahkan kesatuan dan perpaduan kita yang dibina demi mengejar matlamat perjuangan yang suci.
Semoga Allah swt terus memberi kekuatan kepada pimpinan PAS khasnya kerajaan Negeri yang ikhlas membantu rakyat.

Wednesday, January 21, 2015

Sayang Nik Aziz jangan tak ikut nasihatnya (21/1/15)

Ramai yang telah ketahui bahawa Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sekarang ini berada di Wad Unit Kawalan Rapi  HUSM Kubang Kerian. Semoga Allah swt kurniakan kekuatan baginya untuk sembuh segera.

Diketika ini ramailah yang risau dengan keadaan Tok Guru dan tidak kurang juga ramai yang mencuri peluang mahu menziarahi tokoh besar ini walaupun jumlah pelawatnya dikawal ketat oleh pihak hospital dan keluarganya.
Semoga yang berkenaan semuanya ikhlas mahu Tok Guru sihat. Saya tidaklah bermaksud ada yang mahu ambil kesempatan dari keuzuran Tok Guru, tetapi kalau benar itu berlaku ia sangatlah dikesali.

Sesungguhnya diperingkat ini kalau benar kita hormati dan sanjungi perjuangan Tok Guru maka  sewajarnyalah kita ikut dan akur ajaran dan nasihatnya. Jangan kita curi publisiti kononnya orang paling rapat dengan Tok Guru tetapi tunjuk ajar dan nasihatnya tidak pula kita pedulikan.
Diketika ini yang saya ingat antara sikap Tok Guru yang sangat berani dan tegas sebelum beliau berihat lantaran uzur adalah ketika meletusnya krisis MB di Selangor. Ramai di dalam PAS yang kononnya tidak berpuas hati dengan pendirian yang diambil oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam isu berkenaan ketika itu.

Apa kata Tok Guru Nik Aziz ketika itu?
"Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai," katanya.

Nik Aziz berkata Hadi adalah nakhoda PAS dan perlu diberi sokongan bulat meskipun ada ruang beliau melakukan kesilapan.
"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden.

"Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik," katanya.
Dalam kita sayang dan simpati pada Tok Guru Nik Abd Aziz, renung dan fahamilah nasihatnya, jangan sayang sekadar sayang tetapi buah fikirannya tidak pula kita hargai.

Saya sayang Tok Guru Nik Abd Aziz dan saya doakan agar beliau segera sembuh, dalam waktu yang sama saya akur dan taat nasihatnya, ya PAS cuma perlu pada seorang Nakhoda dan Nakhoda yang ada tiada cacat dan celanya dari sudut memimpin gerakan Islam ini. Bahtera perjuangan PAS akan belayar dengan tenang menuju destinasi bawah teraju Nakhoda ini dan ia sekali-kali tidak memerlukan mana-mana anak kapal lain untuk melangkah kepala naik mahu menjadi Nakhoda pula.
Kalau Tok Guru Nik Aziz yang kita sayangi pun yakin, inikan pula saya.

Singapura pun mahu kawal peminum arak (21/1/15)

Satu ketika dahulu kecoh apabila masyarakat Islam di Selangor menuntut agar kedai-kedai serbanika khasnya 7 Eleven tidak lagi dibenarkan menjual arak di kawasan majoriti penduduk Islam. Bahana arak semua masyarakat akur, tetapi apabila ada usul untuk bertindak maka bangkitlah pelbagai alasan kononnya larangan itu menyekat hak mereka yang bukan Islam.

Akhirnya MB Selangor ketika itu mengeluarkan arahan agar dilaksanakan “self regulatory” atau kawalan sendiri, sesuatu yang kabur sehingga hari ini.
Di Kelantan sejak 1990 kerajaan negeri hanya mengeluarkan lesen premis menjual arak pada restoran atau kedai makan bukan Islam yang menjual makanan tidak halal. Arak tadi hanya dibenar dijual kepada pelanggan bukan Islam.

Hari ini saya terbaca dalam akhbar The Star, di Singapura dibentangkan Rang Undang-undang Kawalan Arak (Bekalan dan Penggunaan) di Parlimen Republik berkenaan. Rang undang-undang berkenaan mencadangkan agar semua aktiviti meminum arak di tempat-tempat awam akan diharamkan dari jam 10.30 malam hingga 7 pagi.
Tujuan pembentangan rang undang-undang ini adalah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seumpama insiden rusuhan yang melibatkan pekerja-pekerja asing di Negara berkenaan akibat mabuk dan merusuh tidak berapa lama dahulu.

Ianya juga berdasarkan maklum balas masyarakat tempatan yang mahukan Singapura menjadi sebuah Negara yang aman dan baik untuk bekerja dan beriadah. Tiada lagi pergaduhan dan huru-hara apabila ada yang mabuk dan bergaduh di tempat-tempat awam.
Ringkasnya Singapura mengambil tindakan demikian kerana tenyata arak ini lebih banyak mudarat dari manfaatnya. Negara yang aman boleh menjadi porak-peranda lantaran akibat meminum arak khasnya di tempat-tempat awam dan Singapura bukan sebuah Negara Islam.

Tidak pula ada yang menyuarakan bahawa langkah kerajaan Singapura itu seakan menyekat hak masyarakat bukan Islam yang merupakan majoriti di Negara berkenaan. Apa agaknya pandangan parti-parti politik di Malaysia yang lantang menentang tindakan Kelantan dan di Selangor satu ketika dahulu?
Semoga apa yang berlaku di Singapura menjadi iktibar buat kita semua, melihat ancaman arak itu sebagai satu mudarat yang merugikan masyarakat dan Negara, lalu lebih baik dikawal seumpama di Kelantan, malah diharam sahaja di kawasan penduduk majoriti Islam.

Singapura boleh mengapa kita tidak?

Friday, January 16, 2015

Pope sokong hadkan kebebasan bersuara (16/1/15)

Apabila kita mengatakan bahawa kebebasan bersuara itu sesungguhnya tidak mutlak. Ia dihadkan oleh sikap hormat-menghormati sesama insan, dihadkan peraturan yang diadakan untuk memastikan kebebasan tadi tidak disalah-gunakan sehingga mencetuskan porak-peranda dan ketegangan dalam masyarakat, maka akan adalah pihak yang mengkritik bahawa kononnya pandangan kita itu jumud, tidak kontemporari dan mungkin juga ekstrim dan seumpamanya.

Saya secara peribadi masih berpegang dan percaya pada kenyataan itu.
Masyarakat yang diberikan hak kebebasan bersuara secara “total” atau mutlak bagi saya itulah sebenarnya satu masyarakat persis zaman kuno yang tiada tamadun dan peradaban. Kerana apa? Kerana dalam masyarakat sedemikian ketenteraman dan kesejahteraan awam tidak penting. Sensitiviti masyarakat, kepercayaan dan anutan mereka tiada nilai. Yang penting semua boleh bersuara berkata apa sahaja yang mereka inginkan walaupun ia kelak mencetuskan ketegangan, biarlah asalakan bebas.

Dalam masyarakat begitu, agama tidak boleh wujud, mengapa? Kerana peraturan dan disiplin agama nanti dilihat mengancam kebebasan itu. Maka yang sesuai dalam masyarakat yang sedemikian adalah satu masyarakat yang bebas dari agama.
Insiden di Kota Paris yang melibatkan akhbar yang menganut fahaman kebebasan bersuara dan beberapa warga Paris yang dikatakan pengganas adalah sesuatu yang sangat malang dan tidak sepatutnya berlaku.

Tiada mana pihak yang akan menyokong tindakan pengganas yang mengorbankan 17 nyawa termasuk nyawa mereka dalam insiden itu. Walau marah dan tidak berpuas-hati cara mana sekalipun, mengambil nyawa insan lain dengan cara demikian adalah salah.
Namun dalam waktu yang sama tindakan provokasi atas nama kebebasan bersuara sebagaimana dilakukan oleh akhbar Charlie Hebdo itu juga sesuatu yang silap.

Pagi tadi ketika mengikut berita CNN saya sempat mengikuti kenyataan Pope Francis yang dalam lawatan ke Filipina berkenaan insiden ini. Berikut apa yang telah dipetik oleh pihak media:
Pope Francis said free speech had its limits, particularly when it comes to religion. “You cannot make fun of the faith of others,”

(Pope Francis berkata kebebasan bersuara punya batasan, terutamanya dalam bab agama. “Sesorang tidak boleh mempersenda kepercayaan pihak lain,”)
Charlie Hebdo telah mempersenda dan merendah-rendahkan Rasulullah saw dan agama Islam. Ternyata tindakan itu bukan hanya dikesali oleh penganut Islam tetapi pemimpin Katolik nombor satu dunia, iaitu Pope turut kesal dengan tindakan itu. Dan malah ternyata melalui kenyataan beliau itu kebebasan bersuara sewajarnya punya had dan tidak dibiarkan bebas sesuka hati.

Kita tidak pula menyokong tindakan pengganas yang bertindak membunuh 17 orang di pejabat Charlie Hebdo itu, tetapi dari satu sudut ia seakan suatu tindakan provokasi yang senagaja mengundang malang.
Dan Pope juga kelihatan bersetuju apabila dipetik seperti berikut:

But when asked by a French journalist about the relationship between religion and free speech, Francis said:
(Apabila ditanya oleh seorang wartawan Perancis berkenaan hubungan antara agama dan kebebasan bersuara Francis berkata: )

It’s true that we can’t react violently, but, for example if Dr. Gasbarri here, a great friend of mine, says a curse word against my mother, then a punch awaits him. It’s normal. You cannot provoke. You cannot insult the faith of others. You cannot make fun of the faith of others.
(Benar kita tidak boleh bertindak ganas, tetapi, contohnya jika Dr Gasbarri ini ( Dr Gasbarri ketika itu berdiri di sebelah Pope) kawan baik saya, mengeluarkan kata-kata menghina ibu saya, saya akan tumbuk beliau. Ia normal. Anda tidak boleh mencetuskan provokasi. Anda tidak boleh menghina kepercayaan orang lain. Anda tidak boleh mempersenda anutan orang lain)

Saya difahamkan pihak Vatican kemudiannya mengeluarkan kenyataan melunakkan sedikit pandangan dan kenyataan Pope itu.
Video di atas boleh ditonton di:

Dan Allah swt telah berfirman di dalam al Quran (al An’aam: 108) maksudnya:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Sunday, January 11, 2015

Apabila kebebasan bersuara lebih rugi dari untung (11/1/15)

Berkali-kali saya tegaskan dalam blog saya ini bahawa tiada kebebasan mutlak dalam dunia hari ini. Kebebasan mutlak hanya akan mencetus porak-peranda dan huru-hara kerana ianya seakan melupus dan menghapuskan apa sahaja peraturan yang dibina demi membina seuah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Kita iktiraf bahawa kebebasan bersuara contohnya adalah suatu elemen penting dalam demokrasi. Namun Negara-negara Negara dunia juga menghadkan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang cuba mengatur kehidupan manusia agar tiada yang menyalahgunakan kebebasan itu sehingga mendiskriminasi, mencemuh, mencetuskan ketegangan ke atas individu atau pihak lain.
Insiden di Paris contohnya adalah suatu yang sangat malang dan tidak memberi kemenangan kepada mana-mana pihak. Kita mengutuk serangan berkenaan yang kononnya dibuat atas nama agama. Namun dalam waktu yang sama kita juga kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mencemuh dan menghina agama dan kepercayaan pihak lain kononnya atas nama kebebasan.

Kiranya manusia sudah tidak dapat menghormati hakmilik, anutan, kepercayaan, amalan sesama manusia, maka tatkala itu ketegangan, mudah sahaja tercetus dan akibatnya merugikan semua pihak.
Lebih-lebih lagi kita di Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini. Zaman-berzaman kaum-kaum terbesar dalam Negara kita Melayu, Cina dan India dapat tinggal dan hidup aman, walaupun memiliki kepercayaan dan adat yang berbeza. Kita iktiraf dan hormati perbezaan kita, kita sentiasa memelihara had dan batas hubungan dalam erti-kata ada yang tidak boleh kita sentuh dan masuk-campur demi memelihara keutuhan hubungan kita dan perpaduan dalam Negara.

Apabila sahaja sensitiviti “dipersetankan”, darah mudah terbakar, dan rasional hilang tempat, ketika itu ketegangan akan membara dan akibatnya yang rugi adalah Negara dan kita sesama kita. Beberapa peristiwa hitam yang besar adalah iktibar yang perlu kita jadikan pedoman, Peristiwa Natrah 1950, Peristiwa 13 Mei 1969, sehingga mengirbankan nyawa dan mencetuskan ketegangan kaum sesame warganegara.
Apa pun kita tidak mahu perkara dan persitiwa seumpama ini berulang kerana kita sayang pada Negara ini.

Biarlah orang Islam dan Melayu (serta kaum Muslim yang lain) dengan agama dan amalan mereka, begitu juga bangsa yang menganuti agama Kristian, Buddha, Sikh, Hindu dan lain-lain. Benar kita punya kebebasan bersuara, walaubagaimanapun dalam bab agama, amalan dan kepercayaan masing-masing tidak perlulah kita memberi pandangan, mengkritik atau menghina.
Jika kita akur dan terima serta tahu batasan kita masing-masing. Tiada pihak yang boleh memecahbelah atau mencetuskan ketegangan sesama kita, tetapi apabila kita terlalu taksub dan fanatik dengan kepercayaan kepada kebebasan bersuara yang mutlak, maka ketika itu kita juga mesti bersedia menerima risikonya.

Orang politik terutamanya, yang sering bercakap dan mengeluarkan pendapat, yang sering mendapat liputan, mereka inilah yang perlu berhubaya dan berhati-hati dalam bab ini begitu juga dengan meluasnya akses pada teknologi maklumat hari ini setiap kita masing-masing.
Satu contoh terbaru adalah komen berikut yang saya baca dalam sebuah portal berita:


Ianya ekoran laporan dari portal berita berkenaan berhubung pandangan seorang ahli politik dari PAS. Kenyataannya “defensive” terhadap kenyataan awal yang dibuat oleh seorang peguam bukan Islam berhubung kandungan khutbah Jumaat sebuah jabatan agama negeri.  
Jika kita menghargai kepelbagaian agama dan bangsa dalam Negara kita dan akur dengan sensitiviti masing-masing kita tidak akan terbit dengan komen di atas.

Tetapi lantaran taksub kita kepada kebebasan bersuara, pemberi komen di atas dengan melampau memetik Allah swt , Tuhan orang Islam, dan menghina undang-undang jenayah orang Islam iaitu Hudud.
Bayangkan perasaan orang Islam seperti saya apabila membaca komen ini. Saudara saya seorang bukan Islam dengan senang dan berani mempermain-mainkan Tuhan saya, kepercayaan saya. Tetapi kerana masih rasional saya sekadar kesal dan bangkitkan perkara ini di sini, bagaimana jika ada yang terbakar darahnya membaca komen di atas? Tidakkah ini bakal mengundang masalah?

Saya harap portal berita berkenaan juga menyaring komen-komen pembacanya, bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi memastikan tiada ketegangan akan tercetus hasil dari kepercayaan terlalu taksub kepada kebebasan tadi.
 

 

Jadilah ahli PAS yang sempurna (11/1/15)

Tidak seperti ahli parti-parti politik lain, ahli-ahli PAS melengkapkan diri mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar selain sekadar menjadi ahli pemanas kerusi dan pemenuh mesyuarat bagi parti-parti lain. Rata-rata sesiapa sahaja yang siuman yang menyertai PAS sedar dan akur bahawa mereka sesungguhnya memanjangkan pertanggungjawaban yang dikenakan atas mereka oleh agama iaitu untuk turut serta dalam perjuangan memartabat dan mendaulatkan Islam sebagaimana dituntut agama apabila sahaja mereka melangkah masuk dalam PAS.

PAS parti yang memperjuangkan Islam. Bagi mencapai matlamat perjuangan itu PAS lengkap dengan disiplin dan sistem pentarbiyahan yang menyediakan ahli-ahlinya ke arah berjuang bagi mencapai cita-cita demikian.
PAS bukan parti sorak dan angguk, parti populis, parti ikut rentak agenda individu atau kelompok tertentu. PAS bukan juga parti yang menghalakan cara demi mengejar matlamat perjuangan.

PAS berjuang mengharapkan kemenangan dunia dan akhirat sesuatu yang tidak ada dalam agenda mana-mana parti, kerana itu PAS sangat berbeza dengan badan siasah dan parti-parti lain.
Contohnya ketaatan PAS terhadap pemimpin sebagaimana diajar oleh Islam adalah selagi mana pemimpin tadi tidak membawa ke arah kemaksiatan dan kejahatan, namun selagi ia benar dan membawa ke arah kebenaran wajar pemimpin tadi diberikan ketaatan.

Kerana itu juga pemimpin lain tidak bercakap tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka, isitlah dan ungkapan ini hanya terbit dari hujah dan kata-kata pemimpin yang memperjuangkan Islam, iaitu PAS.
MB Kelantan contohnya Datuk Ahmad Yakob pernah ditanya pemberita mengapa beliau tidak menerima jawatan MB ini sebelumnya, jawab beliau kerana beliau takut memikul dosa. Tuan Guru Hj Abd Hadi dalam ucapan penangguhannya ketika Muktamar PAS yang lalu berkata:

“Saya tidak bersedia nak membawa ahli-ahli PAS ini ke neraka jahanam…….”
Demikianlah betapa jauh bezanya antara PAS dengan yang lain-lain.

Saya menyatakan ini semua kerana sangat terkilan apabila membaca laporan akhbar Sinar harian hari ini bawah tajuk :
Cadang Abdul Hadi tidak dicalonkan semula

Terkilan kerana cadangan ini bukan datang dari orang lain, tetapi datang dari seorang yang mendakwa dirinya bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Cadangan itu kononnya kerana:
1.  Abdul Hadi lebih layak menggantikan Tok Guru Nik Aziz (yang uzur) sebagai Mursyidul Am

2. Memegang jawatan Presiden dan duduk dalam Majlis Syura (badan uyang lebih tinggi) akan mengakibatkan pertindihan kepentingan dalam menjalankan tugas
Kita menghormati kebebasan bersuara, siapa sahaja boleh bercakap apa sahaja sesuaka hati dan nafsunya. Tetapi bagi orang-orang PAS, kerana menerima perjuangan PAS, ia tidak berkata selain yang diajar dan dituntut Islam. Mungkin yang berkata itu belum sempat kenal PAS semasak-masaknya PAS namun berbangga dengan jawatan bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Untuk pengetahuan beliau (yang pernah duduk tinggi dalam PAS itu) ahli-ahli biasa PAS yang duduk dalam hiraki yang paling bawah dalam parti, yang merupakan penoreh getah, pekerja sawah, buruh, nelayan, mereka ini merupakan kekuatan akar umbi PAS, mereka masuk dan terus berkorban harta benda untuk perjuangan PAS ini bukan kerana orang seperti beliau (yang pernah sekejap menjadi EXCO Pemuda Pusat) tetapi kerana kepimpinan ulamak, tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Abd Aziz dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Ilmu dan keperibadian seta akhlak pemimpin-pemimpin ini jauh lebih mahal dari agenda dan nafsu politik peribadi orang-orang tertentu. Apabila pemimpin-pemimpin ini mengangkat tangan bedoa contohnya, mereka berebut-rebut mahu mengaminkan doa itu kerana yakin keberkatan yang terpancar dari tokoh-tokoh ini lantaran ilmu dan perwatakan mereka.
Kerana itu sehingga hari ini ramai di luar sana tidak faham dan mengerti halehwal urusan dalam PAS, dan barangkali adalah segelintir dalam PAS seperti bekas EXCO Pemuda ini.

Kerana itu juga As Syahid Syeikh Ahmad Yassin, walaupun uzur, berkerusi roda, namun terus dijulang sebagai pemimpin Gerakan Islam di Palestin.
Tiba-tiba bangkit cadangan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan, betapa tidak saya dan saya percaya ramai di luar sana terkilan dengan cadangan itu.

Disaat dan ketika yang penuh dugaan dan mencabar inilah sesungguhnya PAS perlu dan mengharapkan sangat akan kepimpinan dan kebijaksanaan kepimpinan ulamak dalam memimpin jemaah menghadapi gelombang dan arus tribulasi ini, bukan dengan menaikkan mereka yang tidak ada persediaan apa lagi jauh dari ilmu dan disiplin Islam.
Di akhir ucapan penggulungannya dalam muktmar yang lalu (ahli-ahli PAS diajar mengambil panduan dan iktibar dari ucapan penting ini) Tuan Guru Presiden PAS berkata:

“Percayalah masa depan masih ada untuk Islam. Bersabarlah, tutuplah muktamar yang hangat ini dengan menghayati firman Allah swt (surah ali Imran ayat 200) ….Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu menghadapi diri kamu dan dalaman kamu sendiri, dan bersabarlah kamu menghadapi musuh yang mengelilingi kamu, dan bertugaslah kamu di tempat masing-masing. Bertakwa kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.”
Tuan Guru Hj Abd Hadi masih relevan dan diperlukan sebagai pemimpin nombor satu dan Presiden PAS. Urusan melantik Mursyidul Am bukan urusan ahli-ahli PAS tetapi tugas jelas dalam Perlembagaan PAS diberikan kepada mereka yang tertentu iaitu Fasal 8 (6) Perlembagaan PAS:

“Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.”

Biarlah kita jadi ahli PAS yang melalui aturan tarbiyah, akur kepada adab dan disiplin jemaah serta faham Perlembagaan, jangan jadi yang pegang jawatan tinggi tetapi longgar dan kosong yang disenarikan tadi.

Friday, January 02, 2015

Bersatulah bantu Kelantan bukan menikam (2/1/14)

Disaat kita membina kembali negeri Kelantan yang dilanda musibah besar banjir, ada juga masih yang menangguk di air keruh, mahu meraih populariti murahan seakan gunting dalam lipatan.

Cukup-cukuplah perit dan penderitaan yang ditanggung rakyat jelata, sekarang adalah masa untuk membina kembali negeri Serambi Mekah ini. Kerajaan negeri sewajarnya diberikan dukungan, sokongan dan keyakinan untuk melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawabnya.
Kita sudah melihat betapa MB, TMB, ADUN-ADUN serta ahli-ahli Parlimen dan pimpinan berbagai peringkat khasnya di Kelantan bertungkus-lumus bekerja siang dan malam bersama-sama memikul bebanan keperitan dan penderitaan rakyat akibat musibah ini. Keikhlasan dan doa mereka kita yakini telah membantu menghentikan malapetaka ini dengan izin Allah swt.

Saya hairan disaat serba mencabar ini mengapa masih ada pemimpin yang seakan mahu membangkitkan keraguan rakyat terhadap kerajaan negeri. Saya kesal membaca kenyataan berikut (dalam portal berita TMI hari ini):
“Parti pemerintah kerajaan negeri Kelantan, PAS perlu menjuarai program pembangunan negeri itu yang dilanda banjir bagi memastikan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu terlibat dalam musibah berkenaan tidak turut sama 'hanyut' “

Kenyataan ini seakan mahu membangkitkan persepsi bahawa kerajaan negeri PAS berlepas tangan, sekadar pandang dan lihat dan rela pembangunan negeri diserahkan sahaja kepada BN. Seakan pemimpin PAS itu sahaja yang meredah banjir membantu, yang mendapatkan dana luar, orang lain tidak bekerja atau barangkali tidak secekap beliau!.
Menurut MB Ustaz Dato Ahmad Yakob sebagaimana dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini:

Kita sedar bahawa rakyat kita perlu dibantu. Polemik parti kita letak ke tepi dahulu, hari ini kita terus berkhidmat untuk membantu rakyat.
(Bagi saya polemik itu bukan sekadar ura-ura kerajaan campuran PAS-BN Kelantan sebagaimana dicadangkan orang tertentu tetapi juga polemik mahu jadi “juara bah”, dia sahaja yang cerdik, cekap dan handal, orang lain bodoh dan tak pandai kerja…..)


Dalam laporan lain akhbar yang sama turut melaporkan (Di bawah tajuk “Kelantan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya” m/s 10):

Kawasan yang terjejas susulan banjir terburuk di Kelantan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

MB Kelantan Dato Ahmad Yakob berkata jangkaan itu berdasarkan beberapa langkah segera yang diputuskan Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir Kelantan yang akan dilselaraskan bersama jawatanlkuasa banjir peringkat persekutuan.

Menurutnya dengan penuh tanggungjawab kerajaan bersimpati dan menyedari masalah pasca banjir adalah perkara yang amat besar.

Diperingkat ini sepatutnya kekuatan PAS seluruh Negara bangkit memberikan semangat, dorongan dan sokongan kepada MB dan kerajaan negeri. Segala bantuan yang boleh digerakkan termasuklah dari NGO-NGO perlu disalurkan kepada kerajaan negeri.

Jangan pula kita lantaran mahu jadi “Juara Bah”, cetuskan jemaah dalam jemaah. Kita pula mengatasi dan mendahului kerajaan negeri. Saluran dan bantuan semuanya konon atas inisiatif peribadi kita, maka kita mahu kuasai.
Malapetaka di Kelantan jangan dijadikan platform untuk menang dalam pemilihan parti.

Biarlah kita ketepikan kepentingan dan agenda peribadi. MB Kelantan telah umumkan bahawa Tabung Bencana Banjir Kelantan akan dilancarkan di Kuala Lumpur tidak berapa lama lagi bagi membiayai pembangunan semula negeri berkenaan atas inisiatif negeri, ayuhlah kita mengembeling tenaga menjayakannya. Kita gerakkan orang-ramai, kenalan, syarikat dan korporat untuk menyumbang dan memabntu apabila dilancarkan nanti.
Dan yang paling penting jangan sekali-kali terpengarauh dengan dakyah dan ancaman kosong yang cuba memecah-belahkan sesama kita disaat kerajaan negeri perlukan sokongan dan dokongan semua.

Ya Allah bantulah kami semua.