Dalam posting saya yang lalu bawah tajuk “Angin perubahan dalam mahkamah” saya mengulas berkenaan tindakan seorang Hakim Mahkamah Tinggi di Ipoh pada tahun 1978 yang telah menggemparkan sesetengah pihak apabila beliau enggan meneruskan tradisi badan kehakiman Inggeris yang mewajibkan para pengamal undang-undang termasuk para Hakim mengenakan “wig” atau rambut palsu apabila berada dalam mahkamah. Selain itu beliau juga enggan ditunduk hormat suatu lagi tradisi warisan Inggeris. Kedua-duanya atas alasan larangan agama.
Sesungguhnya para Hakim memain peranan penting dalam memberikan keadilan kepada mereka yang menuntutnya di mahkamah. Segala fakta dan hujah yang dikemukakan akan menjadi sia-sia jika para hakim tidak bebas apalagi terbelenggu kerana tertekan atau ditekan mana-mana pihak atau dia sendiri menekan dirinya sendiri dengan masalahnya.
Berbalik kepada kekuatan para Hakim tadi, dalam amalan undang-undang ada satu istilah yang diberi nama “Judicial Activism”. Maksudnya apabila seseorang hakim mengenakan pandangan atau fahaman peribadinya namun dalam batasan undang-undang yang sedia ada, tidak mencacatkan keadilan tetapi pada keyakinannya memperkasakan lagi keadilan yang ia beri.
Dalam arena undang-undang terutama peringkat antarabangsa ada yang menyokong dan ada juga yang mengkritik “judicial activism” ini. Apa pun di Malaysia ia bukanlah sesuatu yang baru. Bukan juga baru dengan tindakan Hakim di Ipoh itu pada tahun 1978, malah terdapat beberapa insiden sebelumnya yang melibatkan “judicial activism” ini.
Ayah saya seorang pesara polis yang pernah terlibat dalam kes-kes di mahkamah contohnya pernah menyebut berkenaan Allahyarham Hakim Hashim (ayah kepada bekas Hakim Allahyarham Harun Hashim) yang sering membangkitkan isu-isu di luar perbicaraan dalam mahkamahnya. Kata ayah saya pernah dalam Mahkamah di Hulu Kelantan, Hakim berkenaan menegur pihak polis kerana tidak mengambil tindakan terhadap lor-ilori yang dipandu laju sepanjang jalan Kota Bharu ke Hulu Kelantan.
Menurut ceritanya beliau bimbang melihat ini, kerana beliau melihatnya sendiri ketika dipandu dari Kota Bharu ke mahkamah di Hulu Kelantan.
Mengikut rekod sejak dari Merdeka kesemua PM-PM Malaysia (kesemuanya lulusan undang-undang sehinggalah PM ke 4) tidak pernah menganggu keputusan dan tingkah-laku para hakim khasnya “judicial activism” mereka jika ada kecualilah apabila tiba giliran Tun Dr M PM yang ke 4.
Rekod menunjukkan ketika Tun Dr M sebagai PM beliau telah menzahirkan ketidakpuasan hatinya terhadap “judicial activism” para hakim sehinggalah membawa kepada pemecatan Tun Salleh Abbas dan kemudiannya beberapa hakim lain.
Dalam sejarah negara “judicial activism” terbesar berlaku apabila Tun Salleh yang ketika itu Ketua Hakim Negara mengutus surat kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu atas persetujuan Hakim-hakim Kanan Negara (yang kemudiannya ada beberapa yang belot) mengadu campurtangan pihak eksekutif (bawah Tun Dr M sebagai PM) dalam urusan pihak kehakiman.
Kesimpulannya saya merasakan para Hakim perlu diberikan kebebasan kerana mereka juga bertanggungjawab mempertahankan keadilan dan undang-undang Negara tanpa bias kepada mana-mana pihak. Jika perlu mereka mempamirkan beberapa tindak-tanduk “judicial activism” mereka jangan dihalang selagi mana ianya tidak menjejaskan keadilan dan bertentangan dengan undang-undang.
Kerana itulah para hakim perlu sentiasa bebas dan dilihat bebas. (Kes VK Lingam suatu insiden yang membimbang kita). Semoga kebebasan kehakiman benar-benar wujud dalam Negara kita.
No comments:
Post a Comment