Isu hukum hudud di Kelantan terus mendapat liputan media khasnya media arus perdana. Sebagaimana biasa di Malaysia ini, orang politik yang paling ramai memberikan ulasan dan k omen.
Isunya isu perlaksanaan undang-undang Islam di sebuah negeri dalam Persekutuan yang telah disokong sebulat suara oleh rakyat negeri berkenaan melalui perwakilan wakil-wakil mereka di Dewan Undangan Negeri. Tetapi kini perlaksanaannya menjadi mainan politik pula. Pimpinan politik dari berbagai aliran dan lapisan masing-masing berebut memberi pandangan.
Yang terlibat secara langsung memberi ulasan yang tak terlibat pun turut menumpang sama. Yang perlu mengulas pun mengulas, yang tak perlu dan patut ikut sahaja di belakang turut ringan mulut menempek sama. Seolah mereka itu penting sangat. Akibatnya isu menjadi semakin kusut lantas rakyat apatah lagi.
Pimpinan politik perlu bijak dalam membuat perhitungan sesungguhnya ini bukan isu politik semata-mata, ini isu tuntutan agama. Jangan kerana berbeza aliran politik maka kita berbalah sedangkan yang mahu dilaksana adalah tuntutan aqidah.
Kelantan sudah menempuh segala proses untuk memungkinkan hukum hudud terlaksana di negeri berkenaan, dan ianya sudah pun lulus dan diperkenan sebagai undang-undang di negeri berkenaan. Kini yang tinggal hanyalah halangan pentadbiran. Kalau di negeri yang lebih 90 peratus penganut Islam pun peraturan Islam seumpama ini tidak dapat dilaksana, maka sampai bila-bila pun ia tidak akan terlaksana di tanahair kita.
Ini bukan isu pegangan atau ideologi politik parti A atau B atau C, ini isu suara rakyat yang telah sebulat suara dari sudut tekniknya menyokong perlaksanaan undang-undang ini di negeri mereka. Cabarannya adakah kita ikhlas dan bersungguh mahu melaksanakannya, atau lebih selesa bermain politi walau dalam bab tuntutan aqidah seumpama ini, entahlah.
No comments:
Post a Comment