Monday, March 31, 2008

Berapa aset Khir Toyo?

Sabtu lepas saya menghadari majlis Jamuan Rakyat anjran PKR bahagian Kelana Jaya bagi mengucap terima kasih kepada para petugas parti dan pengundi yang telah memberikan kemenangan besar kepada PKR di Parlimen Kelana Jaya dan DUN Seri Setia termasuklah DUN Subang Jaya yang dimenangi calon DAP Puan Hannah Yeoh.

Majlis di hadiri oleh pimpinan kanan PKR bahagian diketuai Tuan Syed Shahir (Presiden MTUC) selaku Ketua Bahagian. Turut hadir dan diraikan adalah YB-YB baru, Sdr Loh Gwo Burne, Sdr Nik Nazmi dan Puan Hannah sendiri. Tetamu undangan khas adalah YB Sdr Azmin Ali, Naib Presiden PKR yang juga ahli Parlimen Gombak, ADUN Bukit Antarabangsa.

Saya berpuas hati dan berbangga bahawa PAS yang telah wujud hampir 20 tahun di kawasan ini telah menyumbangkan tenaga dan wang ringgit bagi kejayaan rakan-rakan kita itu. Ternyata jaringan cawangan-cawangan PAS di seluruh kawasan parlimen ini telah memudahkan rakan-rakan kita menjalankan gerak-kerja sehingga akhirnya berjaya dalam gelombang tsunami 2008 baru-baru ini. PAS kawasan telah meniup semboyan bahawa seluruh ahli dan pimpinan parti perlu bekerja keras seolah-olah PAS yang bertanding di kawasan ini atas semangat setiakawan dan menghormati tahaluf siasi yang dimetrai kedua-dua pihak.

Dalam ucapan saya dimajlis berkenaan saya telah mengulas kenyataan bekas MB dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Dr Khir Toyo dalam Malaysiakini baru-baru ini. Beliau mendesak agar MB dan EXCO kerajaan Selangor yang baru ini agar segera mengisytiharkan asset masing-masing untuk pegetahuan umum. Ini berikutan kenyataan MB baru-baru ini bahawa keputusan tentang pengisytiharan itu belum diambil lagi atas sebab-sebab tertentu.

Kata Khir yang paling perlu mengisytiharkannya adalah Tan Sri MB sendiri dan Dato Dr Hasan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor.

Khir memang berhak mendesak dan berbuat demikian, maklumlah beliau pun kini duduk dibangku pembangkang. Cuma bagi saya yang lebih utama kini adalah untuk “outgoing” MB atau MB yang melepaskan jawatan untuk isytiharkan hartanya, kerana beliau telah pegang kuasa sekian lama dan kini meninggalkan kuasa. Harta beliaulah yang perlu diisytiharkan kepada rakyat supaya rakyat dapat memastikan yang tiada yang lebih yang dibawa keluar!

Kalau pun Tan Sri MB dan Dato Hasan punya harta atau liabiliti, kesemuanya adalah hasil dari kerja dan usaha masing-masing, mereka tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan.

Sekurang-kurangnya kerajaan negeri yang baru boleh mempamirkan aset Khir dihari pertama beliau menjadi MB dan kini sudah tidak lagi MB berapa pula jumlah hartanya. Kalau semua OK, rekod Khir cantik secantik wajah barunya, jika tidak biar kita rakyat tuntut agar beliau dipertanggungjawabkan.

Sunday, March 30, 2008

Antara "Parti Iblis SeMalaya" dan "Pasal Umno Silap"

Dizaman awal-awal Merdeka dahulu kempen PRU saya difahamkan "lively", dengan para penceramahnya berpantun dan adakalanya yang menyanyi semasa berkempen. Oleh kerana media sebaran am tidak berapa meluas liputannya maka sering ceramah sesuatu pihak diikuti oleh pihak lawan. Tujuannya untuk membalas segala tuduhan dan serangan yang dilemparkan melalui majlis ceramah juga.

Satu kegemaran atau modal ceramah ketika itu adalah memberi maksud atau makna kepada akronim parti lawan. Ketika itu Persatuan Islam Se Tanah Melayu atau PAS dikenali dengan akronim "pa alif sim" nya. Maka pimpinan Umno ketika itu membuat jolokkan bahawa "pa alif sim" PAS itu bermakna "Parti Iblis SeMalaya". Maka akan bersorak dan melompat-lompatlah para pendengar yang mendengarnya.

Saya tidak ingat siapa, tetapi seorang pemimpin kanan PAS ketika itu mempopularkan bahawa "pa alif sim" dalam PAS itu sebenarnya adalah "Pasal Umno Silap". Suatu yang dalam maksudnya kerana itu mungkin mereka yang mendengar juga bersetuju tetapi tidak berapa bersorak ketika mendengarnya kerana mungkin ia tidak seseronok memanggil parti lain Iblis!

Saya membangkitkan perkara ini dalam suasana Umno menghadapi keadaan yang paling perit dalam sejarahnya sejak penubuhannya tahun 1946 dahulu. Kata Tengku Razaleigh dalam PRU yang awal Umno ini sahaja memiliki 2/3 majoriti di Dewan Rakyat, kini Umno memiliki angka yang paling kecil dalam sejarahnya. Mengapa orang menolak Umno, bukan hanya penyokong setia India dan Cina, orang-orang Melayu juga menalakkan Umno, mengapa?

Banyaklah jawapan dan hujah yang boleh kita berikan, tetapi sekadar mengimbau kembali "pa alif sim" tadi, mungkinkah rakyat termasuk orang-orang Melayu menolak Umno kerana "Pasal Umno silap"? Fikirkanlah.

Saturday, March 29, 2008

Selangor terus menjadi tumpuan

Sejak terbentuknya kerajaan campuran baru di negeri Selangor, dengan Tan Sri Khalid sebagai MB baru dan barisan EXCO dari PKR, PAS dan DAP Selangor terus menerus menjadi perhatian umum. Bukan hanya orang-ramai menaruh minat terhadap Selangor, malah akhbar-akhbar media perdana pun kelihatan memberi lebih ruang kepada bumi Darul Ehsan ini, sehingga menggerhanai kerajaan Perdana Menteri Dollah Badawi, yang nampak seakan belum mula bekerja lagi, kerana terlalu banyak masalah rumah tangga yang belum selesai.

Saya percaya Selangor menjadi perhatian umum kerana di negeri inilah gabungan sebenar ketiga-tiga parti politik PKR, PAS dan DAP dapat disaksikan. Ketiga-tiga parti di Selangor perlu bermuafakat dan sentiasa bekerjasam dan bertolak-ansur kerana masing-masing merupakan komponan penting sehingga memungkinkah kerajaan ini terbentuk. Politik baru Malaysia sedang lahir dan bernyawa di Selangor maka sudah pastilah seluruh rakyat dalam negeri termasuklah mungkin masyarakat antarabangsa menyaksikan Selangor dengan penuh minat.

Satu perkembangan menarik yang dicetuskan oleh MB nya baru-baru ini adalah cadangan untuk mengenakan levi keatas majikan yang menggajikan pekerja asing. Melalui cadangan itu kerajaan negeri berhasrat mengenakan levi RM9 sebulan ke atas setiap pekerja asing yang diambil bekerja di Selangor. Menurut Tan Sri Khalid terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja asing di negeri Selangor sahaja, oleh itu jika levi ini dikenakan, kerajaan negeri bakal mengumpul RM150 juta sebulan!

Untuk apa wang itu nanti?

Menurut Tan Sri wang itu nanti akan digunakan untuk melatih anak-anak tempatan di Selangor yang menganggur dengan harapan mereka nanti akan memiliki ilmu dan kemahiran sehingga akhirnya nanti pergantungan kepada pekerja asing ini nanti dapat dikurang dan mungkin juga dihapuskan

Tidakkah ini nanti baik untuk negeri dan rakyat Selangor?

Ada yang berpandangan langkah itu nanti bakal membebankan para pekerja asing, kerana mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai levi yang dikenakan oleh kerajaan pusat. Adalah difahamkan seorang pekerja asing yang masuk ke Malaysia dikenakan antara RM3,500 ke RM4,000 seorang, sedangkan kemana perginya dana yang terkumpul itu tidak diketahui.
Secara peribadi saya merasakan pekerja asing ini datang ke Malaysia bukan semata-mata kerana di negara asal mereka susah dan tiada pekerjaan.

Tetapi faktor utama mereka berduyun-duyun datang ke sini adalah kerana upah dan gaji yang lumayan yang dibayar di sini. Pasti siapa juga pernah mendengar atau terbaca betapa pekerja asing samada dari Indonesia, Bangladesh atau India, apabila pulang ke negeri asal masing-masing seolah menjadi jutawan kampung! Mereka mampu membina banglo dan rumah mewah kerana hal yang demikian, oleh itu saya merasakan levi yang munasabah ini tidaklah akan banyak menjejaskan mereka, sebaliknya ia bakal mencurahkan manfaat pula kepada anak-anak tempatan.

Cadangan MB ini bagi saya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya. Malah beliau menambah kiranya kerajaan negeri dibenarkan mengutipnya kerajaan negeri nanti dapat membina satu sistem maklumat pekerja asing bagi menyimpan rekod, di samping memantau pergerakan mereka di negeri ini. Sudah pastilah pengurusan pekerja asing nanti akan menjadi lebih sistematik dan kehadiran pekerja asing yang haram dapat dikenal-pasti.

Izinkanlah kerajaan negeri baru ini mentadbir dan mengurus negeri yang mereka kuasai menurut gaya dan kebijaksanaan mereka. Tak perlulah dihalang atau dikongkong malah kerajaan pusat seharusnya lebih proaktif dan terbuka membantu demi kebaikan bersama. Berjaya Selangor maka berjayalah juga Malaysia, demikianlah juga Perak, Pulau Pinang, Kedah dan kelantan termasuklah negeri-negeri lain yang dikuasai BN.

Kepada kerajaan baru ini, buatlah yang baik demi negeri bertuah ini, insyallah rakyat akan terus bersama anda.

Bertuahnya Haniff

Akhbar-akhbar tempatan lebih mensensasikan berita Haniff Basree bebas dari tuduhan membunuh Allahyarham Norita Samsuddin 5 tahun dahulu, daripada melaporkan tentang suasana politik di Terengganu, negeri yang empunya MB tapi tidak punya EXCO.

Panel lima hakim Mahkamah Presekutuan sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya yang memutuskan bahawa Haniff bebas dan tidak perlu membela diri atas tuduhan membunuh Norita. Maka demikianlah berakhirnya kes bunuh sensasi, simati yang dibunuh dalam keadaan sadistik setelah melalui hubungan seks, tanpa ada sesiapa yang didapati bertanggungjawab.



Siapakah PEMBUNUH Noritta?


Haniff bebas kerana terdapat kemungkinan munasabah tentang kewujudan orang lain yang boleh melakukan kesalahan itu, walaupun tidak siapa mengetahui siapakah orang lain itu, bertuahnya Haniff!

Walaubagaimanapun kita semua termasuklah Haniff terutamanya akan hidup dengan fakta kes bahawa terdapat DNA Haniff pada tubuh simati dan bahawa kesan air mani Haniff yang masih basah juga terdapat pada sekeping tisu yang ditemui dalam bilik simati.

Atas kelemahan pendakwaraya, dan kehebatan peguam belanya, Haniff bebas, dan pembunuh Norita, sampai hari ini dan hari-hari berikutnya tidak akan diketahui. Bertuahnya Haniff!
Apa pun sebagai orang Islam kita yakin bahawa di hadapan Kadi Rabbul Jalil nanti apabila kaki dan tangan bercakap, apabila simati juga boleh bercakap, tanpa perlu pendakwaraya dan pegumabela lagi, keadilan sebenar akan dapat disaksikan, sehingga itu, bertuahnya Haniff!

Thursday, March 27, 2008

Masadepan politik Dollah dalam Umno semakin kelam

Majlis Tertinggi Umno yang bersidang jam 3.00 tadi membuat dua keputusan penting. Pertama menerima dan mengesahkan perlantikan ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai MB Terengganu sebagaimana diputuskan oleh Istana Terengganu. Dan kedua tetap mengadakan pemilihan sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini pada bulan Disember nanti.

Kedua-dua keputusan ini menandakan yang cengkaman Presiden Umno Dollah Badawi terhadap partinya sendiri semakin longgar. Dollah telah pun mengeluarkan surat watikah melantik Idris Jusoh sebagai MB Terengganu (sebagaimana beliau juga memutuskan Shahidan Kassim sebagai MB Perlis tetapi ditolak oleh Raja Perlis), keputusan menerima Ahmad Said ini bermakna inilah kali kedua dalam tempoh tak sampai 30 hari keputusan Dollah ditolak Istana dan tidak diterima ramai.





Keputusan mengadakan pemilihan Umno tahun ini juga menandakan sokongan terhadap Dollah semakin merosot. Cadangan supaya pemilihan tahun ini ditangguhkan sebelum ini telah terpacul dari mulut Ketua Penerangan parti, Mat Taib (yang sudah pasti menerima lampu hijau dari Dollah). Kata Mat Taib ketika itu kononnya terdapat badan-badan perhubungan Umno negeri yang merasakan ianya perlu ditangguhkan demi mengelakkan krisis dalam parti. Soalnya benarkah ada negeri yang berpandangan demikian, jika benar mengapa MT Umno tidak mengambil kira pandangan negeri? Atau adakah semuanya alasan dan rekaan ciptaan Mat Taib untuk menyelamatkan bos nya yang baru sahaja melantiknya sebagai menteri tanpa perlu menang mana-mana kerusi!

Apa pun keputusan MT Umno itu menandakan pengaruh Dollah semakin menjunam, dan masa depan politiknya dalam Umno semakin kelam.

Sementara itu difahamkan beberapa Ketua Umno bahagian telah mengunjungi kediaman Ku Li di Langgak Golf bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Ketua Umno bahagian Gua Musang itu. Sebelum ini anak Raja Kelantan itu mencadangkan agar Umno mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan kekalahan Umno dalam PRU ke 12 lalu. Ku Li juga mengisytiharkan yang beliau bersedia mencabar Dollah bagi jawatan Presiden Umno. Antara tokoh Umno yang hadir adalah bekas Menteri Penerangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk Dr. Ibrahim Saad (Batu Kawan) dan Datuk Malek Hanafiah (Taiping).

Nasib dan masa depan Umno ditentukan jam 3 petang

MT Umno dijadualkan bersidang jam 3 hari ini.

Sebentar tadi berita terkini The Star Online melaporkan yang Jawatankuasa Pengurusan Umno memutuskan yang pemilihan dalam parti berkenaan akan diteruskan sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini. Ini sekaligus menolak desas-desus yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan Umno Malaysia, Mat Taib, bahawa terdapat permintaan dari negeri-negeri agar ianya ditangguhkan

Nampaknya keputusan ini satu pukulan buat Dollah kerana Mat Taib dipercayai "Pak Pacak" untuk menyuarakan kemahuan Dollah. Maklumlah baru dilantik menjadi menteri penuh walaupun Umno negeri menggugurkan nama beliau sebagai calon dalam PRU lalu.
Dollah berhadapan dengan isu pemilihan dan krisis perlembagaan di Terengganu. Selain itu kekalahan besar Umno dalam PRU lalu terus menghantui kepimpinannya.Mungkinkah suatu kejutan besar akan berlaku selepas Mesyuarat MT Umno sekejap nanti?

Yang tentutnya ramai semakin memusuhi Dollah kali ini, mungkinkah pintu keluar untuk Dollah sudah pun terbuka dan Dollah nanti akan dihumbankan keluar?

Menegur wakil-wakil kita

Seorang pekerja parti berbangsa Cina menemui saya semalam. Calon beliau baru sahaja memenangi kerusi Parlimen dalam PRU ke 12 baru-baru ini. Dengan kemenangan datangnya tanggungjawab, dan kawan tadi mengeluh berkenaan pelbagai masalah yang beliau hadapi setelah menang ini. Beliau turut sedang menghitung-hitung tarikh bagi mengadakan majlis jamuan sempena kemenangan YB baru itu.

Saya beritahu kepada beliau yang penting sekarang ini adalah untuk YB berkenaan membuka Pejabat Khidmat Masyarakatnya. Saya kira itu lebih utama dari mengadakan majlis makan, malah kalau perlu sangat makan buatlah sempena pelancaran pusat khidmat itu. Segera buka dan segera lantik kakitangan, ianya perlu beroperasi sepanjang masa kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat dari kita.

Kesemua ahli-ahli Parlimen dan ADUN Barisan Rakyat tak kiralah samada dari PAS, PKR atau DAP perlu memenuhi pengharapan rakyat. Kita semua telah bekerja keras, menggadaikan masa, tenaga dan wang ringgit untuk meyakinkan rakyat agar menyokong parti dan calon-calon kita. Sekarang rakyat telah memberikan kpercayaan kepada kita, maka junjunglah sebaik-baiknya amanah ini, jika tidak bersedialah untuk ditendang keluar oleh rakyat.

Rakyat telah melihat kepincangan dan ketempangan wakil-wakil BN yang lampau. Kita jangan jadi seperti mereka, kita perlu jauh lebih baik dari mereka, kerana rakyat boleh dan bijak membeza.

Lalu saya berseru kepada semua wakil-wakil ini agar memberi tumpuan kepada tugas dan tanggugjawab masing-masing. Jangan pula sibuk melobi dan melibatkan diri dalam politik cantas mencantas untuk meneguhkan kedudukan masing-masing. Jangan asyik menyelak dan membongkar kelemahan dan kesalahan orang lain, takut tidak sedar aib dan kelemahan kita sebenarnya terselak dimata rakyat. Jadilah wakil yang baik, berakhlak, rendah diri dan sentiasa berbaik sangka.

Jangan sampai kita gagal memenuhi kehendak rakyat.

Wednesday, March 26, 2008

Mampukah Umno terus bertahan?

Semalam Ketua Penerangan Umno Malaysia, Mat Taib menyatakan bahawa terdapat cadangan dari badan-badan perhubungan Umno Negeri-negeri agar Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan pada bulan Ogos tahun ini, yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan, sewajarnya ditangguhkan ketahun hadapan bagi mengelakkan sebarang kekecohan dalam parti tersebut yang baru sahaja menghadapi PRU yang paling buruk dalam sejarahnya.

Baru sahaja Ketua Umno bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk mencabar Presiden Umno, pada perhimpunan kali ini, terus nampak kalut di dalam parti tersebut.

Cadangan yang diutarakan oleh Mat Taib itu kononnya bertujuan bagi menyelamatkan kedudukan Presiden Umno dan sekaligus meneguhkan pimpinan Dollah sebelum berlaku pemilihan.

Namun kekalutan terus-menerus memukul Umno, menambah kusutkan lagi masa depan parti Melayu yang semakin parah dan gundah-gulana itu. Beberapa pimpinan kanan Umno, memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Taib itu. Mereka sebaliknya mendesak agar diadakan juga perhimpunan tersebut tahun ini. Antara yang mengeluarkan pandangan adalah Pengerusi Perhubungan Negeri Sembilan (yang juga MB negeri tersebut) Mohamad Hasan yang menyatakan bahawa Umno tidak boleh lagi menyapu semua masalahnya ke bawah tikar.
Bekas MB Selangor, Khir Toyo pula mencadangakn agar Umno mendengar pendapat mereka yang diperingkat akar umbi terlebih dahulu.

Tidak pernah perselisihan pandangan di dalam Umno dibawa kepengetahuan umum sebegini terang-terangan kecuali diera Dollah ini. Kekalutan ini terus terserlah apabila Ketua Puteri Umno Malaysia pula, yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri tiba-tiba bersetuju dengan cadangan Mat Taib itu, walaubagaimanapun 4 jam kemudian beliau menariknya kembali dan kini tidak lagi menyokong saranan Mat Taib itu.

Dalam keadaan luka tercedera, Umno terus dipukul dan terpukul. mampukah Umno terus bernyawa atau adakah kita akan menyaksikan tamatnya usia Umno di ketika hidup kita ini? Tunggu dan lihat.

876 ketua kampung di Perak akan letak jawatan beramai-ramai

26/03/2008 5:09pm

IPOH 26 Mac – Sebanyak 876 ketua kampung di seluruh Perak akan meletakkan jawatan beramai-ramai mulai 1 Mei ini kerana tidak sehaluan dengan kerajaan campuran negeri ini pimpinan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Selain mereka, sebanyak 13,140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan turut berbuat demikian.

Presiden Pertubuhan Ketua Kampung Negeri Perak, Zukiman Jalil memberitahu satu sidang akhbar di sini hari ini, semua ketua kampung itu akan memberi notis peletakan jawatan kepada kerajaan Perak pada 1 Mei. - Utusan

Demikianlah berita dari Utusan Online yang sempat saya baca sebentar tadi.

Begitulah adatnya yang menang mendapat kuasa dan yang kalah hilang kuasa. Yang menang mendapat tempat yang kalah memberi laluan. Sebagaimana yang pernah saya ulas sebelum ini, ketua-ketua kampong adalah lantikkan politik. Mereka terdiri dari orang-orang Umno (dan anggota BN yang lain di kampong-kampung baru) yang samada ketua cawangan atau yang seumpamanya. Maka padanlah memandangkan Umno dan BN telah kalah, dan kuasa politik dipegang oleh pihak lain, maka semua lantikkan politik memberi laluan dengan mengosongkan kedudukan masing-masing.

Ada yang merasakan kita yang menang jangan terlalu drastik. Sebenarnya ia bukan drastik tetapi amalan biasa. Ini bukan jawatan tetap yang melibatkan kakitangan kerajaan, ini jawatan lantikkan politik. Sebagaimana Setiausaha Politik, takkanlah apabila partinya telah kalah seseorang itu mahu kekal menjadi SETPOL.

Eloklah demi kelicinan jentera kerajaan semua yang dilantik oleh parti yang kalah memberi laluan. Biarkan parti kerajaan yang baru pula membuat lantikkan mereka. Jika ditakdirkan mereka dilantik semula atas apa sebab sekalipun, maka terpulanglah. Begiutlah sepatutnya dari serendah ketua kampong sehingga JKKK dan Pengerusinya, sampailah pembantu-pembantu dan pegawai khas, pengarah-pengarah syarikat milik kerajaan (yang dilantik dari kalangan orang politik), ahli-ahli majlis PBT dan badan berkanun negeri, termasuklah ahli-ahli dewan negara yang dilantik oleh Dewan Negeri.

Barulah betul dan padan dari segi moral.

Surat Ku Li bersadur perkauman

Banyak pihak dalam Umno sudah pun mula membicangkan surat ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Surat yang bertarikh 12 Mac itu ditujukan kepada semua ketua-ketua Umno cawangan dan khabarnya boleh didapati di internet (apa yang tidak boleh didapati di internet).

Surat tersebut membawa tajuk: "Marilah kita bermesyuarah dan bermuhasabah”

Ianya merupakan keluhan hati Ku Li khusus berhubung kekalahan teruk Umno dalam PRU ke 12 lalu. Walaupun Umno bertahan dengan 78 kerusi di Parlimen dan melalui Bn terus dapat membentuk kerajaan pusat namun BN hilang majority 2/3 di Parlimen, dan dominasi kukuh Umno di Parlimen turut berkecai. 5 buah negeri kecundang dari tangan BN (kecuali Kelantan sejak 1990).





Lantas surat Ku Li itu mencadangkan agar bahagian-bahagian Umno mendesak agar satu Perhimpunan Agung Khas Umno diadakan untuk membincangkan isu kekalahan Umno ini.

Ku Li adalah seorang tokoh veteran yang sangat disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Satu rekod beliau yang unik dalam Umno adalah kemampuannya mempertahankan kerusi parlimennya samada dalam keadaan Umno kuat ataupun lemah serta “survival” politiknya yang tidak berani disentuh oleh sesiapa pun.

Walaubagaimanapun saya merasakan kandungan surat Ku Li ini agak berbahaya kerana ia cuba membakar api perkauman. Dalam cuba mempengaruhi pimpinan Umno agar membeli idea beliau, Ku Li terpaksa menakut-nakutkan mereka dengan isu Melayu-bukan Melayu, keran barangkali menyangkakan dengan cara itu orang Melayu akan bangun dan memperjuangkan nasib bangsa mereka semata-mata.

Beliau menyebut dalam suratnya:

Lebih malang lagi selepas PRU-12 BN kehilangan empat negeri, Pulau Pinang, negeri Presiden Parti kita sendiri (yang jatuh ke tangan DAP, parti perkauman Cina), Kedah (jatuh ke tangan PAS), Perak (jatuh ke tangan DAP walaupun orang PAS menjadi MB-nya), dan Selangor (yang didominasi oleh wakil rakyat bukan Melayu dari DAP ditambah dengan wakil rakyat bukan Melayu dari PKR, walaupun MB-nya Melayu).

Berpakat dan berkongsi kuasa dengan DAP dan sebahagian PKR yang bukan Melayu seolah sesuatu yang kotor dan bakal mengundang haru-biru. Begitulah yang boleh saya tafsirkan dari surat beliau, kecuali saya tersilap. Sedangkan Umno juga tidur sebantal dengan MCA, MIC dan Gerakan serta parti-parti bukan Melayu yang lain, tetapi tidak pula ianya itu dianggap menakutkan. Ku Li menambah:

Kita mesti tahu dan sedar. Kalau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, sekiranya dasar, prinsip, moral dan budaya kita dalam BN dan Umno tidak berubah – dan berubah secara radikal – BN dan Umno tidak akan jadi pemerintah lagi. Saya dapat meramalkan scenario berikut akan berlaku empat tahun dari sekarang, iaitu selepas PRU-13 nanti, PKR-DAP-PAS akan emmbentuk kerajaan Persekutuan, Perdana Menterinya boleh jadi Presiden PKR dan Timbalan PM boleh jadi wakil dari DAP.

Baguslah kalau Umno boleh bangun dari tidur lena mereka dan mengkaji secara jujur punca kekalahan mereka. Soal samada mereka akan mampu bangkit kembali atau terus merosot dimata rakyat, terserahlah pada rakyat. Walaubagaimanapun tak perlulah mereka dimomokkan dengan sesuatu yang sebegini, yang bagi saya tidak padan keluar dari benak seorang negarawan bertaraf Ku Li. “Shame on you!”

Dollah mula membaca mesej rakyat?

Saya agak terpegun membaca reaksi PM Dolllah Badawi terhadap keputusan rakyat yang diterjemahkan melalui PRU ke 12 baru-baru ini. Kata Dollah:

Keputusan PRU lalu adalah mesej yang kuat daripada rakyat bahawa saya tidak bergerak cukup pantas dalam melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang dijanjikan. Mesej telah dibuat dan saya terima.

Lalu beliau berjanji akan melaksanakan beberapa langkah segera dan berani bagi meringankan beban rakyat antaranya mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia ke atas rakyat kebanyakan, mengkaji semula perlaksanaan pelan ekonomi supaya feadahnya dapat terus dirasai oleh mereka yang memerlukan dan berusaha kearah mengurangkan jurang pendapatan antara rakyat.

Cumanya saya tidak pasti sejauh mana langkah-langkah beliau ini nanti memberikan impak kepada rakyat dan saya juga tidak pasti adakah rakyat menolak BN dalam PRU ke 12 lalu semata-mata kerana Dollah tidak bergerak cukup pantas?

Bagi saya memang terdapat banyak faktor yang mendorong rakyat secara berani bangkit menolak BN pada PRU lalu, antaranya adalah isu kenaikan kos hidup yang membebankan mereka. Inilah antara isu utamanya, adakah BN sudah ada formula bagaimana mahu mengatasinya? Isu lain adalah rasuah, kronisma dan nepotisma yang tidak pula disebut oleh Dollah. Rakyat bosan melihat Dollah, anak-beranak, menantu dan ipar serta mereka yang disekelilingnya turut melibatkan diri secara aktif dalam kontrak dan perniagaan.

Semalam saya mendapat tahu sebuah syarikat telah menerima kontrak membaik-pulih klinik-klinik kesihatan awam, di bawah Kementerian Kesihatan, bagi sebahagian Semenanjung dengan nilai lebih RM100 juta untuk fasa 1. Adik perempuan kepada arwah isteri Dollah difahamkan mempunyai kepentingan besar di dalam syarikat tersebut. Begitulah, sedangkan kita baru sahaja tak sampai 20 hari selesai berpilihan raya.

Kebetulan dimeja saya terdapat sebuah naskah NST bertarikh 1 Febuari 2008 iaitu jauh sebelum Parlimen dibubarkan. Tajuk utama berita hari itu adalah penafian Dollah bahawa terdapat "gentleman's agreement" antara beliau dengan Tun Dr Mahathir, bahawa beliau akan hanya memegang jawatan PM selama satu penggal. Mungkin inilah juga mesej yang ingin dibawakan oleh rakyat, yang tidak pula diakui Dollah, bahawa negara memerlukan seorang pemimpin baru yang lebih dinamik dan bertenaga dari beliau untuk dududk di kerusi PM.

Saya bukannya mementingkan siapa yang sepatutnya menggantikan beliau, tetapi siapa sahaja asalkan bukan beliau. Kerana ternyata rakyat merasakan yang beliau tidak lagi layak dan relevan sebagai PM, apalagi isyarat yang mahu Dollah tunggu?

Tuesday, March 25, 2008

Selamat Hari Polis

Hari ini adalah ulangtahun Hari Polis yang ke 103 . "Tegas, adil dan bersih" diperkenalkan sebagai slogan baru pasukan menggantikan "Mesra, cepat dan betul" yang diperkenalkan pada tahun 1999.

Saya berasal dari keluarga polis. Saya malah dilahirkan di kuarters Ketua Polis Daerah Kuala Krai dan membesar dari satu negeri ke satu negeri, sesuatu yang lazim bagi keluarga pasukan. Saya berbangga di atas khidmat ayah saya yang lampau (yang bersara pada tahun 1985). Namun saya lihat polis dahulu jauh bezanya dengan yang ada sekarang.

Kerana itu mungkin slogan baru yang diperkenalkan itu, perlu dizahirkan bukan sekadar slogan tetapi dijiwai dan ditanam di dalam hati sanubari setiap anggota pasukan dari konstabel sehinggalah sarjan merjar, sub inspektor, inspektor sehinggalah ke Ketua Polis Negara.

Tegas adalah satu sikap yang perlu dalam pasukan beruniform apalagi pasukan polis. Namun ketegasan di sini tidaklah bermaksud sehingga mengenepikan sama-sekali nilai kemanusiaan dan belas kasihan. Berbudi-bicara dan bertimbang-rasa adalah elemen yang jangan dinyahkan dalam pada kita memikul ketegasan. Berpada-padalah dalam bertegas, kita pernah melihat penganiayaan dan kekasaran dikenakan oleh pihak polis walau terhadap mereka yang tidak melawan, wanita dan orang tua. Tegas tetapi biar bertempat.

Adil adalah satu yang saya kira ketandusan dalam pasukan. Pihak Umno dan BN bila mereka bertaraf kerajaan, bebas bermaharajalela mengadakan program dan aktiviti, tetapi bagi parti-parti lain pelbagai kekangan dan syarat dikenakan, dimanakah keadilan? Saya sendiri pernah menghadiri program yang diganggu pihak polis sedangkan apabila pemimpin BN turun bagi program yang sama, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Oleh kerana adil ini tandus dalam pasukan, maka perlu merek ditunjuk dan diajar akan apakah maksudnya adil yang sebenar.

Bersih juga malangnya semakin berkurangan dari pasukan. Kita sedar bahawa peluang untuk menjadi tidak bersih sangat meluas dalam pasukan. Jika mereka tidak minta disogok ada pula yang menyogok sehingga mencabar keimanan seorang yangh bersih. Nilai sogokan sekarang sudah memakan ratusan ribu malah mencecah jutaan ringgit! Lencana atau kempen tidak membawa erti jika jiwa dan diri kotor, kerana itu ketaqwaan perlu dibina dalam setiap individu pasukan.

Apa pun saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Polis kepada seluruh anggota pasukan yang masih menghargai nilai ketegasan, keadilan dan kebersihan yang sebenar. Semoga pasukan polis kita kembali sebagai pasukan yang terbaik dirantau ini termasuklah diperingkat dunia.

MAAF: Versi sebenar slogan baru PDRM adalah " Tegas, adil dan berhemah" (bukannya "bersih")

Terima kasih Md Hazali.

Permulaan yang baik buat Selangor Baru

Kerajaan Negeri Selangor yang baru telah pun terbentuk. Saya difahamkan esok Dato Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang pertama buat kerajaan baru ini. Kita mengharapkan persepakatan kerajaan PKR, DAP dan PAS ini dapat memenuhi kehendak rakyat dan segera menjalankan amanah sebagaimana yang telah dimandatkan oleh rakyat.

Cuma untuk makluman kerajaan baru ini memiliki beberapa rekod yang saya kira menarik untuk diperturunkan di sini. Antaranya:

MB pertama yang pernah memimpin di dunia korporat (Tan Sri Khalid)

Bekas ketua pembangkang (1999) kini duduk sebagai EXCO (Dato Dr Hasan)


Empat orang EXCO wanita (YB Rodziah, YB Dr Halimah, YB Teresa, YB Elizabeth)


3 orang ahli EXCO terdiri daripada Doktor, Dato Dr Hassan (Phd) Dr Xavier (pergigian) Dr Halimah (perubatan).


EXCO 5:5 iaitu 5 Melayu dan 5 bukan Melayu pertama


ADUN kerajaan yang pertama merupakan tahanan ISA (YB Manoharan)

Semoga kerajaan baru ini lebih penting lagi menjadi kerajaan yang jujur, telus dan bebas rasuah dengan membawa keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. Selamat menjalankan tugas.

Monday, March 24, 2008

Kemuliaan boleh bertukar kepada kehinaan dalam sekelip mata

Saya tidak pernah melangkahkan kaki ke majlis rasmi dimana-mana istana sebelum ini. Pagi tadi saya diberikan kesempatan untuk menghadiri majlis penyerahan watikah dan angkat sumpah ahli-ahli EXCO kerajaan negeri Selangor yang baru di Istana Alam Shah, Klang. Sudah pastilah saya mengira diri saya bertuah kerana dapat kesana apalagi menghadiri majlis bersejarah iaitu pembentukan kerajaan baru di negeri Selangor sejak Merdeka tahun 1957 dahulu.






Setelah selesai Tuanku Sultan menyampaikan watikah dan bertitah, majlis diakhiri dengan doa oleh Mufti Selangor. Saya perhatikan mukadimmah doa Dato Mufti itu memetik ayat 26 surah Ali Imran (yang dibacakan dalam bahasa asal al quran). Dato Mufti walaubagaimanapun sekadar membacakan terjemahan bahagian awal dan akhir ayat tersebut dan tidak keseluruhannya. Mengapa, hanya beliau sahaja yang arif.

Berikut saya berikan terjemahan penuh ayat tersebut:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Benar dan tepatlah sungguh ayat-ayat Allah di atas itu. Saya lihat turut berada di istana pagi tadi selain MB Selangor yang baru dan ahli-ahli EXCO nya adalah bekas-bekas MB Selangor antaranya Tan Sri Mohd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo. Mereka semua pernah dikurniakan kuasa, dan mereka juga merasakan bagaimana kuasa dicabut dari tangan mereka, dengan Khir Toyo yang paling baru merasainya.

Segala-galanya adalah pada kuasa Allah jua. Hari ini kita mungkin megah berkuasa dengan perkenan Nya, esok samada kita bersedia ataupun tidak boleh sahaja kuasa itu dirampas kembali dari kita dengan kemahuan Nya jua.

Kerana itu amanah kuasa yang diberikan perlulah dijunjung dan dilaksanakan dengan penuh berhati-hati. Jangan cuai, jangan leka, jangan lalai, apalagi terpedaya dengan sogokan hartabenda dan kemewahan serta kelzatan dunia. Jika kita tergelincir ke situ, maka ingatlah kemuliaan yang kita perolehi dari kuasa itu dalam sekelip mata boleh bertukar menjadi hina, atas kehendak Allah swt.

Banyak telah kita saksikan contoh dan tauladan yang hidup di hadapan kita. Oleh itu ambillah iktibar, beringatlah sebelum terlambat.

Sunday, March 23, 2008

Fajar "Terengganu Baru" sedang menyingsing?

Saya pasti yang tersenyum lebar mengikuti krisis perlembagaan di Terengganu, yang tidak nampak jalan penyelesaiannya sehingga hari ini itu adalah Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Saya pernah secara berseloroh berkata kepada beliau, susah-susah Tuan Guru sahaja angkat sumpah sebagai MB.

Pagi tadi kita mendengar ADUN Kijal (BN-Umno) Datuk Ahmad Said telah diberikan watikah sebagai MB baru oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja. Walaubagaimanapun Ahmad Said kemungkinan besar tidak dapat mengangkat sumpah oleh kerana beliau malam tadi telah dipecat dari Umno oleh Umno Negeri dan kehadirannya di istana pagi tadi tidak mendapat sokongan baki 21 ADUN BN (termasuk Pengerusi Perhubungan Negeri Idris Jusoh).

Menurut Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, ADUN-ADUN BN akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Said sekiranya Dewan bersidang nanti.

Nampaknya krisis ini telah mengakibatkan ADUN Kijal itu kehilangan statusnya sebagai ahli Umno. Beliau dipecat dari partinya semata-mata kerana mahu meredakan suasana dan merapatkan kembali hubungan dengan istana. Tidakkah ini menjadikan Ahmad Said sebagai "Wira" Negeri Terengganu yang baru?

Memang rakyat telah menbuat keputusan pada 8 Mac lalu, dan keputusan rakyat menunjukkan yang BN menang 24 kerusi manakala PAS 8. Tetapi parti yang memiliki majoriti dalam dewan perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk melantik seorang dari kalangan mereka untuk menjadi MB dan seterusnya membentuk kerajaan. Disinilah terletaknya peranan istana sebagaimana yang dinyatakan oleh perlembagaan. Istana tidak berhak mengambil mereka dari kalangan yang tidak memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan, tetapi istana berhak memilih dari kalangan yang memiliki majoriti dan tidak terikat dengan pimpinan tertentu sahaja.
Jelasnya istana iktiraf kemenangan BN tetapi tidak berkenan dengan Idris Jusoh sebagai MB.

Sudah pastilah istana memiliki 1,001 alasan untuk menolak Idris. Jalan tengah dalam hal ini sudah pastilah untuk pihak yang menang berkompromi dan memilih calon lain sebagaimana di Perlis, kecualilah keputusan Tuanku itu dipertikaikan dan Umno/BN sudah enggan menerimanya, bersedia menyembah durhaka kepada Raja!

Masalahnya kuku Idris lebih mencengkam dari Shahidan di Perlis. Sehingga kini nampaknya wakil-wakil Umno/BN tidak bersedia memisahkan diri mereka dari Idris. lalu berlarutanlah masalah.

Pemecatan Ahmad Said adalah satu tindakan yang keterlaluan, dan ianya menuntut rakyat Terengganu agar bangkit mernuntut keadilan. Jika beginilah sikap Umno, maka Ahmad Said perlu bertindak kerana beliau disenangi istana. Saya pasti jika ketokohannya menyerlah, Ahmad Said boleh meyakinkan rakan-rakannya yang lain untuk turut bersama beliau, risikonya mereka juga mungkin dipecat, tetapi yang pentingnya Raja, rakyat dan negeri selamat dan terbela.

Jika 7 atau lebih ADUN Umno/BN bersama Ahmad Said beliau boleh membentuk kerajaan dengan bantuan PAS. Segalanya tidak mustahil pasca PRU 12 ini! Mungkin Ahmad Said boleh membentuk satu "barisan bebas" dan blok ini menawarkan kerjsama dengan PAS lalu memohon perkenan Tuanku untuk membentuk kerajaan. Saya yakin dengan perkembangan terbaru ini bukan hanya Tuanku akan memberi restu malah rakyat pun akan menyokong.

Kalau benar rekod Idris buruk, membimbang dan mengecewakan Tuanku, demi Terengganu yang baru dan makmur, rakyat perlu bersatu dan bernaung di bawah Tuanku Sultan dan MB yang baru. Sama-samalah kita ikuti perkembangan yang semakin menarik ini.

Bila Pak Menteri mahu bermesra dengan para blogger

Tuan Guru Presiden PAS menghubungi saya berkenaan isu Menteri Penerangan yang baru yang mahu berdailog dengan para bloggers. Kata Tuan Guru elok tu, dan rakamkan sekali perjumpaan itu nanti. Maksudnya biar rakyat ketahui.

Pemilik blog sesungguhnya adalah individu yang mahu berkongsi pandangan, idea dan kecenderungannya mereka secara terbuka. Kerana itu ia menjadi blogger dan menempatkan hasil karyanya di alam maya untuk disaksikan oleh semua. Kandungan blog mereka mengikut selera mereka dan kegemaran peribadi masing-masing. Bukan semua bloggers minat atau menulis berkenaan politik. Saya pasti Menteri Penerangan baru itu bukan mahu berdailog dengan bloggers yang menulis berkenaan masak-memasak, fesyen, seks atau gay dan lesbian rights, atau bagaimana?

Untuk berlaku adil kepada beliau saya yakin yang beliau maksudkan itu adalah bloggers yang mengulas isu-isu sosial, kemasyarakatan dan politik.

Bagi saya secara peribadi bloggers ini bersifat eksklusif, mereka adalah personaliti yang tersendiri. Laman-laman berita atau maklumat, bukannya blog kerana ia dimiliki oleh sekumpulan individu atau sesebuah oraganisasi atau persatuan dan syarikat. Kerana itu Malaysiakini, Malaysia Today, KL Pos, Tranungkite, Laman Marhaen, Harakahdaily bdan yang seumpamanya bukannya blog, jangan pula Pak Menteri keliru. Blog adalah milik individu dan diusahakannya sendiri, biasanya tiada menjana pendapatan apa pun.

Jeff Ooi, Rocky Bru, Sang Kelembai, Kickdefella, Amin Iskandar, Rohani Ahmad (kuda kepang), Kadir Jasin, Marina Mahathir (Rantings), Sayuti Omar (Tinta Merah MSO) adalah bloggers termasuklah Roslan SMS (yang kecil) dan ramai lagi.

Kalau bloggers ini umpama penulis "diary" yang mahu berkongsi "diary" nya dengan dunia, kenapa tiba-tiba Menteri Penerangan berminat untuk berjumpa mereka ini? Samapi ke hari ini saya tidak dapat memikirkan sesuatu yang munasabah untuk diadakan perjumpaan itu. Kerana sebelum ini kerajaan yang sama begitu anti bloggers. Ada cadangan sampai mahu mengambil tindakan, kononnya bloggers hanya berselindung disebalik nama samaran atau nama pena, tidak berani menzahirkan diri untuk memikul tanggungjawab. Kemudian Umno sendiri kononnya membentuk "cyber troopers" nya untuk menghadapi serangan para bloggers. Jadi kenapa tiba-tiba hari ini Pak Menteri minat dan mahu berjumpa?

Baguslah kalau mahu sekadar berkenal-kenalan. Yang pentingnya pasca PRU ke 12 ini peranan bloggers semakin diiktiraf dan diakui. Bloggers yang bertanggungjawab akan terus menegur dan memberikan pandangan yang konstruktif. Samada sebelum atau sesudah berjumpa Pak Menteri bloggers tetap bloggers, kerana media arus perdana yang ada sudah hilang nilainya dan semakin tidak dipercayai rakyat.

Terima kasih atas inisiatif Pak Menteri itu, bagi saya yang lebih praktikal adalah terus sahaja layari blog-blog kami ini dan kalau mahu berinteraksi turunkan sahaja pandangan atau komen diruangan yang disediakan sebagaiamana peminat dan pengunjung kami yang lain.

Ketua-ketua kampung di Perak jangan durhaka!

(Matchemor minta saya komen isu ini dan memang saya pun kebetulan terpanggil mahu ulas setelah membaca berita tersebut di muka lima Mingguan Malaysia hari ini)

"Ketua kampung mahu boikot program" demikianlah tajuk berita di muka lima akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Pertubuhan Ketua-ketua Kampung Negeri Perak atau PKKNP dilaporkan akan memboikot semua program anjuran kerajaan negeri Perak keranan kononnya mereka dilantik oleh kerajaan negeri BN yang lampau.

Menurut ahli EXCO pertubuhan itu, Kassim Said, tempoh tamat perkhidmatan mereka adalah 31 Disember 2008. Dan mereka kononnya dilantik untuk kerajaan BN dan bukan kerajaan yang baru. Kassim juga dilaporkan akan menghubungi ketua-ketua kampung yang lain seluruh Perak agar menerima keputusan mesyuarat khas PKKNP bagi menjayakan pemboikotan itu.

Saya tidak pasti berkenaan Perak, tetapi di Selangor ketua-ketua kampung biasanya dilantik dikalangan ketua-ketua atau pimpinan Umno cawangan. Mereka inilah membentuk mekanisma pentadbiran peringkat kampung dan mukim. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan dipengerusikan dari kalangan mereka juga. Begitulah juga operasi masjid, surau dan badan-badan belia serta wanita di kampung-kampung semuanya didominsasi oleh Umno cawangan-cawangan kerana mereka merupakan parti yang memerintah.

Hari ini Umno sudah duduk di bangku pembangkang bukan hanya di Perak malah di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan sekali lagi di Kelantan. Yang menolak Umno adalah rakyat melalui proses demokrasi. Ekoran keputusan rakyat itu DYMM Sultan atau dalam kes Pulau Pinang Yang Dipertua Negeri telah memberikan tauliah dan keizinan untuk Barisan Rakyat iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan sah yang baru.

Lalu semua pihak suka ataupun tidak perlu akur dan menerima keputusan ini, menentang arus atau bertindak memulaukan keputusan rakyat ini bermakna menolak amalan demokrasi sekaligus suatu penderhakaan bukan hanya kepada parti-parti yang membentuk kerajaan yang baru itu tetapi juga terhadap Tuanku Sultan dan rakyat jelata sendiri.

Memang ketua-ketua kampung berkenaan telah dilantik oleh kerajaan BN Perak, tetapi mereka harus ingat kerajaan itu sudah hilang kuasa dan status mereka sejak tengah malam 8 Mac lalu dan secara rasminya apabila Tuanku Sultan melantik MB yang baru. Oleh itu mereka adalah tertakluk kepada kerajaan yang baru. Saya percaya mereka tidak perlu bersusah-susah memulaukan majlis-majlis kerajaan kerana jawatan-jawatan mereka sekiranya benar lantikan politik (dari kalangan pimpinan Umno cawangan pula seperti Selangor) belaka, insyallah akan ditamatkan oleh kerajaan baru ini dan perlantikan baru dari kalangan parti yang memerintah akan dibuat.

Kembalilah kepangkuan parti masing-masing dan lepaskanlah segala jawatan negeri secara terhormat, hanya dengan cara itu Umno akan disegani orang. Jika tidak selama-lamanyalah nanti akibat pendurhakaan anda, rakyat akan menolak Umno dulu, kini dan selama-lamanya di Perak.

Saturday, March 22, 2008

Ke arah Selangor yang "baru"

Saya percaya ramai yang sedang menunggu-nunggu pembentukan kerajaan baru Barisan Rakyat di negeri Selangor. Setelah MB barunya, Tan Sri Khalid Ibrahim mengangkat sumpah baru-baru ini, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor (EXCO) dijangka mengangkat sumpah pula di hadapan Tuanku Sultan Selangor Isnin ini.

Selangor menarik perhatian kerana politik berbilang kaum Malaysia benar-benar didicerminkan melalui negeri ini. Di Selangor nisbah pengundi Melayu dan bukan Melayunya hampir seimbang iaitu kira-kira 52% pengundi Melayu. Selama ini rakyat hanya mengenali kepimpinan berbilang kaum yang ditegakkan oleh BN (dahulunya Perikatan), dan kepimpinan itu telah mereka tolak di Selangor dalam pilihan raya baru-baru ini atas pelbagai alasan, lalu sudah pastilah mereka tidak sabar mahu melihat bagaimana pula rupa kepimpinan baru yang bakal dilahirkan oleh kerajaan baru Barisan Rakyat Selangor.

Dengan takdir Allah swt, parti-parti alternatif memenangi majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membentuk kerajaan yang baru. PKR 15, DAP 13 dan PAS 8 iaitu dengan 36 kerusi berbanding 20 kerusi BN (18 Umno dan 2 MCA).

Teraju kepimpinan Tanm Sri Khalid kiranya berupaya menyatukan ketiga-tga parti ini dalam muafakat politik yang meletakkan kepentingan dan nasib rakyat mengatasi kepentingan mana-mana satu parti, sudah pastilah akan terus-menerus dihormati dan diterima rakyat negeri ini. Tambah-tambah lagi kiranya pentadbiran kerajaan yang baru ini nanti benar-benar membela rakyat dan memberikan manfaat kepada mereka.

Di Selangorlah PKR, DAP dan PAS diuji sejauh mana mereka mampu bekerjasama demi kepentingan Raja, rakyat dan negeri. Kiranya mereka berjaya maka mereka nanti akan menjadi model kepada politik baru Malaysia yang bakal mewarnai kita untuk tahun-tahun mendatang. Saya menerima maklumat rintangan pertama iaitu membentuk sebuah kerajaan campuran yang boleh diterima ketiga-tiga pihak telah pun berjaya dilaksanakan.

Dalam kabinet negeri (EXCO) nanti dari 10 kerusi (tidak termasuk MB) PKR akan menerima 4 kerusi, DAP 3 dan PAS 3. Perwakilannya menurut kaum adalah 5 Melayu (2 dari PKR dan 3 PAS) serta 5 bukan Melayu (iaitu 2 dari PKR dan 3 DAP). Kehadiran MB memastikan yang kedudukan mukatamadnya adalah 6 Melayu/Islam dan 5 bukan Melayu/bukan Islam.
Pembentukan kerajaan baru ini menarik dan rintangan seterusnya adalah bagi mentadir negeri ini melalui permuafakatan ketiga-tiga parti. Mudah-mudahan semuanya dapat berjalan lancar.

Gandingan Tan Sri Khalid, Dato Dr Hasan Ali, Theresa Kok dan Ronnie Liu nanti akan menjadi perhatian bukan hanya di Selangor malah seluruh Malaysia dan dunia.

Mudah-mudahan mereka terus dapat bekerja bersama dan menjayakan agenda perjuangan Barisan Rakyat dengan harapan mereka akan terus diterima rakyat dan kekal menerajui Selangor sampai bila-bila. Yang pentingnya semua pihak mesti bertolak-ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain. Hapuskan rasuah, nepotisma, kronisma dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Ayuh rakyat Selangor sedang menantikan kepimpinan anda!

Giliran PAS menerajui ummah

Agenda penyatuan Melayu Islam tiba-tiba menjadi topik hangat sejurus suara rakyat diterjemahkan melalui peti undi pada PRU ke 12 baru-baru ini. Beberapa pihak khasnya yang cenderung dan kuat menyokong Umno sebelum PRU lalu tiba-tiba terpanggil untuk memperjuangkan isu ini setelah ia lama terpendam dan dimatikan.

Mengapa baru kini ianya dibangkitkan?

Bagi mereka yang mudah emosional sehingga mengenepikan rasional, isu agenda penyatuan Melayu Islam menjadi kononnya mendesak kerana keputusan PRU ke 12 menunjukkan Pulau Pinang telah jatuh ketangan orang bukan Melayu, keadaannya juga cemas di Perak dan Selangor. Suara bukan Melayu semakin besar di Parlimen dan di Dewan-dewan Negeri. Kuasa politik Melayu semakin rapuh dan mengecil.

Maka kononnya atas alasan itu juga semua pihak yang ada unsur dan kepentingan Melayu sepatutnya bersatu dan menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam satu gagasan bagi menangani kemerosotan kuasa politik Melayu Islam itu.

Anehnya formula penyatuan itu berharap dan bertenggek di atas Umno, Umno lah nanti yang akan menerajui gagasan ini demi perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam yang konon-konnya semakin terhakis dan mahu pupus itu. Sedangkan realitinya yang terhakis dan semakin pupus itu bukannya kuasa politik Melayu Islam tetapi sesungguhnya kuasa politik Umno dan BN.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata bahawa Umno sebenarnya telah hilang kredibilitinya untuk bercakap berkenaan Melayu dan Islam kerana mereka sesungguhnya selama ini telah mencemarkan imej Melayu dan Islam.

Semua pihak perlu akui bahawa kebangkitan rakyat pada PRU ke 12 lalu adalah berpunca pada ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran dan gaya kepimpinan Umno dan BN. Ringkasnya rakyat termasuk orang Melayu Islam telah menolak Umno BN khasnya di lima buah negeri dan dibeberapa kerusi di negeri-negeri yang lain.

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir dalam satu majlis yang bertujuan membicarakan isu ini. Beberapa individu dan pimpinan NGO Melayu Islam termasuk yang cenderung kepada Umno telah mengunjungi Presiden PAS untuk membincangkan isu agenda penyatuan Melayu Islam. Di dalam majlis tersebut Presiden PAS telah menjelaskan bahawa PAS tidak pernah mengenepikan atau menutup pintu rundingan bagi penyatuan Melayu Islam. Masalahnya selama ini hanya PAS yang ikhlas dan jujur manakala pihak lain khasnya Umno semata-mata mementingkan survival dan kedudukan politik mereka.

Buktinya hanya kini setelah Umno hilang hampir 27% kerusinya di Parlimen, gagal menggugat Kelantan dan tersungkur jatuh di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor barulah pihak-pihak berkepentingan mahu mengusulkan isu ini sedangkan sebelumnya PAS tidak pernah dipedulikan malah dimusuhi dan ditentang habis-habisan.

Bagaimana Umno boleh prihatin dan cemberu pada isu perpaduan Melayu Islam sedangkan Umnolah juga yang menyerang kerajaan Melayu Islam PAS di Kelantan dan sebelumnya di Terengganu. Kerajaan PAS didiskriminasi dan dianak tiri seolah-olah pimpinannya musuh dan bukan sebangsa dan seagama seperti mereka. PAS dipandang serong, ulamak dan cerdik pandai PAS menjadi seolah warga kelas kedua. Masjid, surau dan madrasah ditutup buat pimpinan PAS yang layak dan berwibawa. Selain itu kakitangan kerajaan yang menyokong PAS diambil tindakan, ditukarkan, disekat kenaikan pangkatnya. Kontraktor dan pembekal PAS disenarai hitamkan, biasiswa dan pinjaman tidak diperuntukkan untuk anak-anak dan keluarga PAS.

Tiba-tiba hari ini pihak-pihak tertentu mahu mengajak PAS memikirkan agenda penyatuan Melayu Islam!

Sekarang ini rakyat telah bersuara. Umno sudah duduk dikerusi belakang. Sekarang ini adalah giliran PAS dan parti-parti rakannya yang lain. Berilah peluang dan kesempatan untuk PAS dan rakan-rakannya membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka setelah Umno dan Bn gagal lebih 50 tahun.

Agenda penyatuan Melayu Islam penting demi survival ummah, tetapi ianya kini digelanggang PAS. PAS lah yang akan menerajui dan memimpinnya. Marilah jika kita benar-benar prihatin dan mengambil berat, sama-sama kita bekerja melalui PAS untuk memungkinkan orang-orang Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia terpelihara dan selamat.

Friday, March 21, 2008

Demokrasi telah berkubur dalam Umno

Antara langkah pertama yang dilakukan oleh Ketua Umno bahagian Gua Musang, sejurus selepas keputusan resmi PRU ke 12 diumumkan adalah mengutus surat kepada semua Ketua-ketua Umno bahagian agar diadakan EGM diperingkat masing-masing dan kemudiannya diusulkan ke peringkat kebangsaan agar membincangkan kekalahan besar Umno dan BN dalam PRU ke 12 lalu.

Tengku Razaleigh turut mengumumkan bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan parti itu tahun ini bagi memulihkan Umno ekoran "setback" PRU ke 12 baru-baru ini.

Masih adakah demokrasi dalam Umno?

Belum pun sempat bahagian-bahagian mempertimbangkan permohonan EGM Ku Li, kini sudah bangkit suara-suara mengecam dan mengkritik inisiatif anak raja Kelantan itu. Seolah Umno dan BN tidak mengalami apa-apa kecederaan, seolah semuanya biasa sahaja. Kata Ku Li dalam akhbar The Star hari ini:

We have lost five states and the 2/3 majority in Parliament. If this is not serious I do not know what is. We can deny it and leave our future to fate.

Kita telah hilang lima negeri dan 2/3 majoriti di Parlimen. Jika ini tidak serius saya tidak tahu apa lagi. Kita boleh menidakkannya dan serah segala-galanya kepada takdir.

Begitulah budaya dalam Umno. Walaupun teruk luka dan tercedera namun mereka anggap yang mereka masih gagah perkasa lagi. Sesiapa sahaja yang cerdik cuba menegur dan berkata benar akan diserang dan dimomokkan. Dan kini turut diserang adalah tawaran Ku Li untuk merebut jawatan Presiden. Kononnya Umno akan retak dan pecah, dalam suasana sebegini sepatutnya ahli-ahli Umno bersatu.

Kata Ku Li, jika demikian sepatutnya dihapuskan sahaja pertandingan dalam parti. Umno sepatutnya melantik sahaja seorang Presiden "Seumur Hidup" dan kemudian berdoa semoga tidak ada apa-apa bakal berlaku kepada Presiden tadi!

Akhbar-akhbar Utusan dan Berita Harian kini punya tugas baru: serang Ku Li. Mudah-mudahan perkembangan ini akan membuka mata ahli-ahli dan penyokong Umno yang lain. Jika sudah begitulah Umno, maka lebih baik masing-masing membawa diri dan berhijrah ke wadah yang lebih praktikal dan efektif. Tinggalkanlah Umno, PAS dan PKR saya pasti menunggu anda semua dengan tangan yang terbuka.

Thursday, March 20, 2008

Ayuh tinggalkan Umno masuk PAS atau PKR

Petang tadi saya diberi kesempatan berucap dalam sebuah majlis kesyukuran kemenangan Barisan Rakyat di DUN Seri Setia dalam Parlimen Kelana Jaya. Buat pertama kali dalam sejarah hidup saya berucap dalam balai raya milik kerajaan negeri Selangor.

Rakyat yang hadir dikawasan flet kos rendah di Bandar Sunway itu terdiri dari pelbagai kaum terutama Melayu dan India.

Saya mengajak semua pihak agar membantu kerajaan Barisan Rakyat Selangor, kalau boleh kawan-kawan dari Umno dan BN juga turut sama membantu. Mereka dipelawa beramai-ramai menyertai PAS atau PKR untuk sama-sama membina Selangor yang baru yang bakal dibangunkan mengikut selera dan kehendak rakyat.

Saya dimaklumkan antara yang hadir dalam majlis itu adalah pimpinan akar-umbi Umno yang ingin mendengar dan barangkali turut sama menumpang meraikan kejayaan Barisan Rakyat. Seramai 30 orang lebih masyarakat dari keturunan India telah menyerahkan borang kepada YB Nik Nazmi ADUN Seri Setia untuk menyertai PKR. Saya juga menerima janji dari penduduk di situ bahawa 40 orang ahli-ahli Umno sudah pun mengambil borang PAS dan akan bersama menyertai PAS dalam waktu terdekat.

Rupa-rupanya begitulah trendnya di negeri Selangor. Di kawasan-kawasan tertentu cawangan Umno mahu dibubarkan untuk menubuh cawangan PAS. Insyallah jika trend ini berterusan prosepek untuk terus mengukuhkan kedudukan di Selangor akan menjadi nyata.

Umno menerima padah doa mereka yang pernah dizalimi

Saya mendapat panggilan dari Kota Bharu pagi tadi bahawa bekas Menteri Kewangan Umno
Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas orang kuat Dollah yang baru melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad, diberikan sambutan meriah oleh orang-orang Umno di sana.

Dalam keadaan Dollah Badawi memimpin Umno keluar dari pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah parti Melayu itu kini semakin ketara yang kepimpinan beliau semakin ditolak oleh kalangan orang-orangnya sendiri. Ku Li diyakini akan dapat menghimpunkan orang-orang yang pernah setia bersamanya dahulu (Radzi , Tengku Azlan, Zainal Abidin Zin dan lain-lain) kerana yang jelas bagi Umno, Ku Li sahajalah yang tinggal dengan rekod yang bersih walaupun usianya semakin lanjut. Selain itu mereka yang kecewa dan terpedaya dengan kepimpinan Dollah juga dijangka bertaut di bawah kemunculan Ku Li.

Umno sedang melalui zaman pancaroba. Masalahnya Dollah tidak mengemukakan sesuatu yang meyakinkan bagi memberikan suntikan penyelamat buat parti tersebut.

Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung barunya, kedua-duanya adalah tokoh yang bermasalah namun Dollah pelihara dan kalungkan mereka dengan pangkat dan kedudukan. Mat Taib kini seorang yang bertaraf menteri penuh walaupun Umno Selangor menggugurkan namanya sebagai calon dalam pilihan raya baru-baru ini. Apabila Tengku Adnan tidak tersenarai dalam kabinet barunya, ramai berasa lega sekurangnya Dollah berani bertindak terhadap kroninya yang terbabit dalam kes video Lingam.

Tiba-tiba apabila mucul pula nama Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung baru menggantikan Radzi, jelas Dollah sudah kehilangan punca!

Umno di bawah Dollah kini berada dipersimpangan, ahli-ahli di akar umbi yang telah bosan dan sering tertipu kini meninjau-ninjau dan menjengok kerajaan baru pimpinan Barisan Rakyat. Ada yang sudah mendapatkan borang ahli PAS atau PKR dan ada yang sudah mula memohon membina cawangan.

Ketika inilah kita insaf dan semakin yakin bahawa sesungguhnya doa mereka yang teraniaya, doa mereka yang dizalimi, doa mereka yang tertipu dan ditindas, oleh pimpinan Umno dulu dan kini, kiranya telah diperkenankan oleh Allah swt. Doa keluarga tahanan ISA dari zaman Tunku sehingga Dollah termasuklah keluarga Almarhum Dr Burhanuddin dan rakan-rakan, doa mangsa di Lubuk Merbau, doa keluarga syuhada Memali, doa mereka yang dibelasah FRU dan pihak polis, doa setinggan yang diusir dari rumah mereka, doa mereka yang ditukarkan tempat bekerja kerana cenderung kepada pembangkang, doa mereka yang dipinggirkan kerana menyokong pembangkang, doa Dato Ser Anwar dan keluarga serta banyak lagi.

Ketika inilah pimpinan Umno perlu toleh ke belakang dan lihat angkara kerja dan perbuatan mereka sehingga memberi impak ke atas Umno hari ini.

Tan Sri Muhammad vs Tan Sri Khalid

Seorang bekas MB yang muncul semula sebagai menteri kabinet dan seorang lagi bekas tokoh korporat yang kini terjun ke kancah politik dan menjadi MB.

Kedua-duanya anak Selangor. Seorang pernah dicekup membawa USD1 juta wang tunai yang sampai kini diragui puncanya manakala seorang lagi diketahui telah mendedahkan orang Melayu ke dunia pelaburan sehingga menaikkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera melalui ASN dan ASB.

Itulah Tan Sri Mat Taib dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam akhbar Malay Mail hari ini Mat Taib mendakwa yang Selangor akan menderita di bawah kerajaan baru pimpinan Khalid. Alasannya PKR, PAS dan DAP masing-masing memiliki matlamat yang berbeza, dan ini kelak akan menyukarkan perjalanan kerajaan lalu mendatangkan masalah kepada Selangor.

Ringkasnya rakyat dan negeri akan punah ditangan Khalid.

Betulkah akan begitu?

Dalam akhbar yang sama Khalid memberikan reaksinya. Kata Khalid dari sibuk campurtangan dalam urusan kerajaan negeri lebih baik Mat Taib memberi tumpuan kepada tanggungjawab barunya di Kementerian Luar Bandar. Kata Khalid melalui peluang kedua Mat Taib ini (yang sebelum ini dipaksa letak jawatan MB Selangor atas pelbagai skandal) beliau sepatutnya insaf dan bertaubat serta menjalankan tugasnya dengan penuh amanah.

Tambah Khalid semasa Mat Taib MB dahulu, terdapat jurang yang luas antara golongan kaya dan miskin di negeri ini. Lebih baik melalui tugas barunya Mat Taib berusaha merapatkan jurang ini dengan membela kebajikan masyarakat di luar bandar.

Sebaiknya Mat Taib dan Khalid masing-masing beri tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Mat Taib sudah pasti akur dan tahu akan kelayakan dan kemampuan Khalid berbanding dengan beliau sendiri. Berilah peluang kepada Selangor untuk dipimpin oleh mereka yang dipilih rakyat. Mereka yang bersih, telus dan beramanah seperti Khalid dan rakan-rakan. Mat Taib perlu ingat yang beliau dahulu sudah diberi peluang menjadi MB, tetapi apa yang jadi?
Pakatan PKR, PAS dan DAP di Selangor ini memang baru dan belum diuji lagi, namun yang pastinya ia tidak seperti BN. Ia diangkat oleh rakyat untuk menggantikan BN yang pada fikiran rakyat sudah tidak boleh diyakini lagi. Tak perlulah Mat Taib meramalkan sesuatu yang negatif buat Selangor semata-mata atas alasan yang pakatan baru ini sukar bekerjasama. Sekurang-kurangnya mereka sudah boleh bersetuju duduk dan berbincang sesama mereka, yang pentingnya mereka tidak memiliki rekod sebagaimana Umno, MCA atau MIC dan Gerakan.

Mat Taib risau yang Selangor akan menderita bawah Khalid. Tetapi kita lebih risau sebuah kementerian di pusat diberikan kepada Mat Taib lalu Mat Taib mengulangi perangai buruknya mengangkut jutaan ringgit duit yang diragui ke hulu ke hilir, termasuklah anak-anak raja yang berwajah licin dan jelita!

Wednesday, March 19, 2008

Rafidah memilih bertarung dari dalam

Rafidah tidak jadi letak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia (setelah digugurkan dari kabinet). Namun beliau mengakui ada mengirim surat 16 muka surat kepada PM Dollah Badawi berkenaan kekalahan BN dalam PRU ke 12 lalu (rupanya bukan Mukhriz sahaja yang mengirim surat). Beliau turut mengakui terkejut dengan tindakan Dollah menggugurkannya dari kabinet tanpa memaklumkannya terlebih dahulu.

Sikap Rafidah untuk terus kekal dalam Pergerakan Wanita adalah petanda bahawa Wanita Umno bakal menjadi duri dalam daging Dollah. Hakikatnya kabinet beliau tidak langsung membariskan seorang wakil dari Wanita. Azalina bukannya datang dari akar umbi Wanita, malah ditolak Wanita. Kerana itulah setelah membuat pengumuman kabinetnya semalam, Dollah terpaksa bergegas kembali mengumumkan pula Shahrizat sebagai Penasihat Hal Ehawal Wanita kepada PM (mengapa perlu penasihat jika Ng Yen Yen sudah memegang portfolio wanita di kabinet?)



Dollah akan menghadapi Perhimpunan Umno dan tahun ini adalah tahun pemilihan. Dengan pendirian Rafidah untuk terus kekal diteraju Wanita, masa depan politik Dollah dan menantunya Khairy dikira kelam.

Mungkinkah Rafidah nanti akan “team up” dengan Ku Li, Radzi dan lain-lain termasuklah mungkin Tun Dr Mahathir dan Mukhriz untuk bertembung dengan Dollah. Atau mungkinkah kumpulan yang tidak berpuas hati dengan Dollah ini nanti condong ke pihak DSAI dan bersama meneguhkan kedudukan PKR, PAS dan DAP di parlimen?

Dalam keadaan politik yang sungguh beralun dan bergelora ini, apa sahaja bakal terjadi, yang pastinya Dollah dan menantunyalah nanti yang paling cemas.

Talkin buat Umno?

Saya terima isyarat bahawa Umno semakin tenat dan kini sedang meniti nazak yang memungkinkan segala-galanya ranap dan musnah sama-sekali. Rupa-rupanta doa Tok Guru tempoh hari tidak berakhir dengan dikurniakaan kejayaan buat PAS di Kelantan semata-mata. Rupa-rupanya doa dengan air mata bercucuran Tok Guru turut mencetuskan pecah-belah dan kehancuran di dalam Umno.

Kabinet PM Dollah Badawi, retak apabila dua orang Timbalan Menteri enggan menerima tawaran jawatan. Kata Tengku Azlan, beliau telah lama sebagai Timbalan Menteri, selayaknya beliau naik sebagai menteri penuh. Dalam hal ini saya bersetuju takkanlah Mat Taib lebih layak dari Ku Lan!

Kemudian sebentar tadi diumumkan Radzi Sheikh Ahmad, yang digugurkan dari jawatan menteri, telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno. Dan adalah difahamkan sebentar tadi jam 2.30 petang, Rafidah Aziz turut akan meletakkan jawatans ebagai Ketua Wanita Umno.

Apa dah jadi Umno?

Tidak pernah dalam sejarah parti itu perkara-perkara yang kita lihat hari ini berlaku. Tidak pernah Umno hilang begitu banyak kerusi, tetapi ia berlaku hari ini. Tidak pernah pimpinan Umno tolak jawatan Timbalan Menteri, tetapi ia berlaku hari ini. Tidak pernah Setiausaha Agung (dan jika benar Ketua Wanita juga) letak jawatan sebegini, tetapi berlaku hari ini.
Saya difahamkan krisis retak menunggu belah dalam Umno ini tidak berakhir disitu sahaja.

Banyak lagi yang kecewa dan tidak berpuasa hati turut akan mengambil tindakan. Di Terengganu difahamkan kira-kira ADUN Umno bersetuju menolak Idris Jusoh sebagai MB. Begitu juga halnya dengan mereka yang hilang keyakinan terhadap kredibiliti dan kemapuan Dollahs ebagai Presiden dan PM.

Ya Allah yang menurunkan kitab yang menggerakkan awan, yang menghancurkan tentera Ahzab, hancurkanlah mereka, dan menangkanlah kami keatas mereka.

Tuesday, March 18, 2008

Umno bersepai ditangan Dollah

Dollah memanggil sidang akhbar tadi untuk mengumumkan anggota jemaah menterinya yang baru di pejabatnya di Putrajaya. Yang menariknya adalah ketiadaan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN, Najib Tun Razak. Pemberita yang hadir telah bertanyaka perkara ini kepada beliau, dimana Najib?

Kata Dollah beliau (Najib) bukannya seorang TPM lagi, oleh itu tidak layak hadir. Betul beliau bukan TPM, tetapi tidakkah beliau juga “caretaker” TPM sebagaimana Dollah “caretaker” PM? Kalau pun tidak hadir sebagai TPM tidakkah Najib Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi!

Menurut sumber Najib tidak hadir oleh kerana tidak berpuas hati dengan susunan kabinet yang diputkan oleh Dollah itu. Apabila Dollah menggugurkan Jamaluddin Jarjis, orang kuat Najib dari kabinet, bermakna hubungan Dollah dan Najib sudah mula retak dan renggang.

Dengan kes surat Mukhriz, kes surat ku Li dan kini kes pengguguran orang-orang kuat Umno dari kabinet Dollah, pastilah Umno semakin berkecamuk dan masadepan politik Dollah semakin meruncing. Mungkinkah mereka yang tidak berpuas hati akan “gang up” dan memukul Dollah pula? Dulu semasa Ku Li mengetuai Semangat 46, Umno berpecah sebelum pilihan raya umum, kini nampaknya Umno bersepai selepas pilihan raya!

Sama-samalah kita perhatikan nasib Umno seterusnya selepas ini.

Kabinet lemah dan serba tak kena

Kabinet Malaysia yang ditunggu-tunggu akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi. Ianya menarik perhatian ramai kerana inilah kabinet pasca kekalahan besar BN dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Bagaimanakah prospek kabinet ini?

Saya melihat jika inilah bentuk kabinet yang Dollah mampu lahirkan, maka saya yakin ianya tidak akan berdaya untuk memulihkan ketidakyakinan dan kebencian rakyat terhadap BN yang telah diterjemahkan pada pilihan raya umum lalu. Mengapa saya berkata demikian?






Walaupun seramai 8 menteri digugurkan termasuklah “heavyweights” seperti Rafidah Aziz, Radzi, Azmi, Tengku Adnan, Jamaluddin Jarjis dan Abdullah Mat Zain, namun muka-muka baru yang diambil masuk tidaklah sehebat mana, malah ada yang memiliki rekod buruk yang diketahui umum.

Mengemukakan nama Mat Taib ke dalam kabinet, adalah satu kesilapan awal Dollah, kerana rekod Mat Taib ini bukan hanya diketahui orang Selangor malah satu Malaysia termasuk peringkat antarabangsa. Umno Selangor difahamkan menggugurkan nama Mat Taib untuk kerusi Parlimen di Selangor. Sudah pastilah pengguguran itu bersebab, sekurang-kurangnya terdapat asas dimana beliau dikira tidak layak. Mengapa dalam hal yang demikian Dollah menobatkan pula Mat Taib ke dalam kabinet?

Begitu juga halnya dengan Zaid Ibrahim, peguam yang berfahaman liberal dan keras menentang perlaksaan hukum-hukum Islam dalam negara. Zaid juga turut digugurkan oleh Umno Kelantan, malah Zaid pernah dikaitkan dengan politik wang sehingga digantung dari jawatan Ketua Bahagian Kota Bharu. Mengapa tiba-tiba Zaid kini dikira layak pula oleh Dollah?

Kabinet Dollah ini mempunyai 3 orang menteri bertaraf Senator. Iaitu Mat Taib, Zaid dan Amirsham Abdul Aziz. Apakah tidak ada dari kalangan 78 ahli parlimen Umno yang layak untuk dilantik sebagai menteri sehingga terpaksa mengambil orang yang bukan dipilih rakyat? Pemilihan mereka ini membuktikan yang Dollah tidak percaya kepada ahli-ahli parlimennya sendiri yang telah dipilih oleh rakyat.

Semasa pengumuman tadi selain nama Mat Taib dan Zaid, semasa mengumumkan nama Dr Mashitah sebagai Timbalan Menteri di JPM, Dollah menyebut bahawa mereka ini dilantik sebagai Senator bukan sebab kalah bertanding. Dalam erti kata lain beliau bukan memilih dikalangan mereka yang telah ditolak rakyat. Tetapi soalnya Mat Taib, Zaid dan Mashitah (di Baling) telah ditolak oleh Umno peringkat bahagian atau negeri masing-masing. Adakah Presiden Umno sudah tidak lagi mahu mendengar suara akar umbinya sendiri?

Kabinet kali ini turut menyaksikan penggabungan semula beberapa kementerian, antaranya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Dollah juga yang melahirkan dua kementerian ini dari satu dan kini beliau juga yang menyatukannya kembali. Kata beliau rupanya banyak pertindihan antara kedua-dua kementerian ini. Apakah tidak ada perancangan jangka panjang ketika memisahkannya dahulu?

Kata Dollah pentadbiran baru ini adalah berasaskan semangat perkongsian kuasa dan setiakawan BN yang mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan lebih berkesan. Itu kata Dollah, tetapi keputusan PRU ke 12 lalu menunjukkan yang rakyat tidak berapa bersetuju dengan Dollah. Jika kabinet baru ini mencetuskan ketidak puasan hati dalam Umno sendiri, kemudian diisi pula dari kalangan mereka yang buruk rekodnya, saya pasti setiap agenda kerajaan yang dicetuskan Dollah akan gagal, dan masadepan semakin muram.

Kesimpulannya kabinet Dollah ini lemah, sudah jatuh dan nampak tak mampu bangkit kembali.

Monday, March 17, 2008

Mari kita bekerjasama

Walaupun PAS dan DAP sama-sama merupakan seteru politik BN namun ia sering berselisih jalan. Jarang-jarang dapat duduk semeja apalagi mengorak langkah bersama. Kalau pun ada yang terbaik adalah ketika zaman-zaman awal Barisan Alternatif dahulu. Pada PRU 1999, apabila PAS, DAP dan PKR sama-sama menganggotai BA, itulah ketikanya semua parti-parti politik alternatif terbesar dapat duduk sebumbung.

Selepas itu PAS dan DAP masing-masing bergerak sendirian. Namun perpisahan itu tidak bermakna berpisah hubungan antara pimpinan dan ahli-ahli PAS dan DAP. Kerjasama sekejap yang terjalin telah mesra dirasai. Ada dikalangan pimpinan tertentu terus-menerus menjalin hubungan, begitu juga dikalangan ahli. YB Teng Chang Khim, YB Ng Suee Lim di Selangor dan YB Leong Ngah Ngah di Pahang adalah contoh pimpinan DAP yang rapat dan terus bekerjasama dengan PAS walaupun terputus hubungan kedua-dua parti selepas PRU 1999.

PAda PRU ke 12 lalu, PAS dan DAP tiada hubungan sebagaimana pada PRU 1999. Namun atas inisiatif pelbagai pihak, kedua-dua parti termasuk PKR telah memutuskan tidak akan ada pertindihan pertandingan antara ketiga-tiga parti (walaupun akhirnya berlaku juga di satu dua tempat antara PKR dan DAP), BN dihadapi bersama, satu lawan satu.

Pertandingan satu lawan satu itu telah mengakibatkan seluruh jentera kedua-dua parti termasuk PKR memberikan tumpuan menghadapi musuh yang satu. Kerana itulah kita dapati, uniknya PRU ke 12 ini, masyarakat bukan Melayu secara terbuka bukan hanya mengundi PAS malah membawa bendera dan mengenakan tshirt PAS ditempat-tempat yang calon PAS bertanding. Begitu juga masyarakat Melayu, terang-terangan menyokong calon-calon DAP secara terbuka ditempat-tempat DAP bertanding.

Dalam kata lain kerjasama tak rasmi terjalin, atas kesatuan matlamat menghadapi mush yang sama. Labanya sebagaimana kita ketahui ketiga-tiga PAS, DAP dan PKR memungut keuntungan yang besar.






Semalam semasa meraikan ulangtahun ke 42 DAP, Penasihat (seumur hidup) parti tersebut yang juga bekas ahli Parlimen Seremban Dr Chen Man Hin telah berkata bahawa seluruh ahli-ahli DAP perlulah membuat anjakkan paradigma dengan mula menjalin hubungan dengan PKR dan PAS. Tambah beliau terbukti kerjasama DAP dengan PKR dan PAS dalam menjayakan strategi satu lawan satu menentang BN (dalam PRU baru-baru ini) telah membuahkan hasil yang baik buat semua.

Lalu kata beliau, DAP perlu mengekalkan hubungan persahabatan dan hubungan kerjasama dengan kedua-dua PAS dan PKR.

Sesungguhnya pengakuan dari tokoh veteran DAP ini sangat baik dan dialu-alukan. Memang diantara PAS dan DAP terdapat beberapa perbezaan yang ketara, namun dalam waktu yang sama, kedua-dua parti juga memiliki persamaan, antaranya menegakkan keadilan dan menetang kezaliman, salah guna kuasa dan rasuah. Jika masing-masing menghargai persamaan-persamaan ini, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar dapat dicapai dimasa akan datang.

Sesungguhnya PAS bukan hanya memiliki perbezaan dengan DAP, malah dengan BN dan Umno pun banyak berbeza. Pokoknya musuh politik biar satu tetapi kawan politik biar ramai. Mudah-mudahan luahan hati tokoh veteran DAP ini akan membuka jalan baru kerjasama ketiga-tiga parti alternatif terbesar dalam negara ini yang akhirnya akan menggantikan BN yang semakin tidak relevan dan ditolak oleh masyarakat itu.

BN menang besar walaupun kalah: Mat Taib

Desakkan menuntut perubahan dalam Umno sedang bergoncang kuat. Umno tercalar teruk dalam PRU ke 12 lalu, tidak pernah dalam sejarahnya yang lebih 50 tahun itu, Umno gagal pertahankan sehingga 5 buah negeri. Kalau di zaman Tunku Umno tewas di Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959 dan Pulau Pinang pada tahun 1969, dan zaman Tun Dr Mahathir, tewas Kelantan dan Terengganu, kini di zaman Dollah sehingga 5 buah negeri rebah.

Dari 107 kerusi di Parlimen pada tahun 2004, ia susut ke 78 kerusi iaitu suatu penurunan mencecah 27% iaitu yang terburuk dalam rekod Umno!





Tetapi yang lucunya Ketua Penerangan Umno Mohd Taib mengatakan:

Walaupun Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga selepas hanya mampu memenangi 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum itu, ia tidak bermakna BN gagal.

Malah lebih kelakar lagi apabila beliau menyambung:

Ini dianggap kemenangan besar juga walaupun bukan majoriti dua pertiga, manakala kegagalan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor serta Kelantan bukan kerana kegagalan pucuk pimpinan.

Walaupun susut 27% bilangan kerusi parlimen, tidak lagi menjadi MB di Kedah, Perak dan Selangor, serta hilang kuasa di Pulau Pinang dan terus ranap di Kelantan, Ketua Penerangan Umno Malaysia mengangapnya tetap sebagai kemenangan besar, dan tidak siapa pun dikalangan pucuk pimpinan partinya yang perlu disalahkan. Kalau beginilah sikap pucuk pimpinan Umno peringkat tertinggi, maka sesuai sangatlah pimpinan akar umbinya menuntut dan mendesak pembaharuan, kerana ternyata pimpinan mereka bermasalah.

Dalam kalah pun mereka kata mereka menang besar, saya merasakan tokoh pertama yang perlu ditendang keluar oleh Umno adalah Mat Taib. Beliau tidak sedar beliaulah liability terbesar dalam Umno selain Dollah dan kaum kerabatnya. Mat Taib tidak masuk dalam senarai akhir calon-calon Umno di Selangor, walaupun dikatakan namanya “favorite”, itu sahaja sudah cukup untuk membayangkan betapa bermasalahnya beliau. Dan kini prestasi Umno menjunam turun, beliau kata OK lagi. Kasihan Mat Taib, kasihan Umno!

Sunday, March 16, 2008

Roslan SMS dalam rancangan NEWSHOUR rangkaian ABC Australia

http://www.youtube.com/watch?v=zdKPa_LyS5w

(media perdana tempatan kekang kita, tetapi dunia luar taruh minat)

Umno tidak lagi mewakili umat Melayu?

Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir menuntut agar Presiden Umno, Dollah Badawi melepaskan jawatannya kerana Umno/BN kecundang di bawah kepimpinan beliau. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula meminta agar diadakan suatu Perhimpunan Agung Tergempar (EGM) Umno pada 11 Mei ini untuk membincangkan nasib dan masa depan Umno.

Apa khabar Umno?

Diperingkat Parlimen sahaja wakil-wakil Melayu pembangkang adalah seramai 43 orang iaitu 23 dari PAS dan 20 dari PKR (baki 11 wakil PKR adalah bukan Melayu). Ini bermakna Umno bukan lagi wakil dominan suara Melayu di Parlimen. Pada PRU ke 11 tahun 2004 lalu terdapat 107 wakil Umno di Parlimen, kini tinggal 78 (itupun termasuk wakil-wakil Umno dari Sabah).
Peralihan sokongan orang Melayu dari Umno ke PAS dan PKR kali ini sungguh tidak disangka dan kiranya trend ini dapat berkekalan sebagaimana kata Ku Li satu hari nanti Umno akan tinggal dibangku pembangkang!

Mengapa orang Melayu tinggalkan Umno?

Itulah persoalan yang perlu dibincang dan difikirkan oleh pemuka-pemuka Umno. Dulu orang Melayu tiada alternatif, tiada pilihan, sebagaiman pernah diungkapkan oleh Tun Dr Mahathir, hatta letak tunggul kayu sekalipun orang Melayu akan memangkah Umno, tetapi kini bagaimana?

Ternyata PAS telah membuktikan yang mereka juga mampu. "Style" kepimpinan PAS lebih meyakinkan dan menarik perhatian dan sokongan orang-orang Melayu. Tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Abd Aziz dan Hj Abd Hadi Awang, bersih, ikhlas dan jujur, kualiti berharga yang tiada dikalangan pimpinan Umno. Tokoh-tokoh muda yang bertenaga dan berkelayakan seperti Nasharudin Mat Isa, Husam Musa, Salahuddin Ayub, Hatta Ramli, Dr Mujahid Rawa, Ir Amiruddin, Takiyuddin jauh mengerhanai pimpinan muda dalam Umno.

Begitu juga dengan pimpinan Melayu dalam PKR. Ketokohan Dato Seri Anwar tiada tolok bandingnya. Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Tan Sri Khalid Ibrahim semuanya terserlah kalau nak dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang berada dalam Umno hari ini.

Orang Melayu sudah bosan dengan rasuah, salah-gunakuasa, kronisma, nepotisma. Keyakinan terhadap Umno semakin layu dan luntur apabila pimpinan yang ada terus lesu dan tidak bermaya disamping mempamirkan akhlak dan moral yang dibenci.

Lalu bila ada pilihan, bila ada alternatif, salahkah orang Melayu bertukar selera? Bagi orang Melayu yang berani membuat perubahan dalam PRU ke 12, mereka berubah dari yang buruk kepada yang jauh lebih baik. Jangan salahkan orang Melayu. Mereka tidak durhaka, Umnolah yang telah mendurhakai amanat yang diberi. Kata Laksmana Hang Tuah "Tak Melayu hilang di dunia", memang benar. Kalau Umno hilang sekalipun, Melayu insyallah tidak hilang, kerana Umno bukan Melayu dan Melayu bukan Umno.

PAS akan terus mempertahankan prinsipnya

Sdr Zulkiflee Bakar dalam runagan rencananya dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini membawa satu tajuk yang menarik iaitu:

Apa pendirian PAS?

Saya boleh menghidu agenda beliau, maklumlah kita tahu kemana condong anutan politiknya tetapi marilah, dalam hal ini kita bicarakannya secara objektif. Bersandarkan fakta yang jitu dan tepat serta hakikat semasa. Sebenarnya awal-awal lagi Sdr Zul telah memutarbelitkan fakta dan cuba menegakkan hujahnya dengan maklumat palsu, apabila kata beliau:

Malahan pada sidang akhbar sebelum pilihan raya umum lalu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan tegas menyatakan ‘‘Pas dan DAP tidak akan mempunyai kerjasama sampai bila-bila.’’

Saya tidak tahu sidang akhbar yang mana satu yang beliau maksudkan itu, tetapi setahu saya sebagai individu yang bertanggungjawab atas urusan media Presiden PAS, Tuan Guru tidak pernah dalam tempoh itu sekali-kali berkata sedemikian. Memang ungkapan bahawa PAS tiada kerjasama dengan DAP itu selalu diucapkan, tetapi menyatakan yang PAS tidak akan mempunyai kerjasama dengan DAP sampai bila-bila itu adalah fitnah dan satu penipuan.

Berbalik kepada artikel beliau itu, Sdr Zul mengakui kecermerlangan prestasi PAS dalam PRU ke 12 ini dengan menyentuh pencapaian PAS di Kelantan dan Kedah dan di negeri-negeri lain. Lalu beliau mengemukakan persoalan:

Namun persoalannya kini dengan DAP semakin berkuasa di beberapa negeri yang ditawan oleh pembangkang, apakah pendirian Pas dalam perjuangan Islamnya?

Tanpa memberikan jawapannya sendiri, Sdr Zul menghuraikan pula status PAS dalam kerajaan-kerajaan campuran khasnya di Perak dan Selangor. Betapa kedudukan PAS begitu kritikal kata beliau kerana kehadiran PAS lah (walaupun cuma 6 di Perak dan 8 di Selangor) menjadi penentu "survival" kerajaan baru di negeri-negeri berkenaan. Sdr Zul cuba menyarankan agar PAS menjadi "pengawal" kepada DAP. Sdr Zul cuba menggambarkan DAP sebagai satu makhluk cavunis, ekstrim, anti Melayu dan Islam (sekurang-kurangnya itulah bacaan saya), lalu yang hanya boleh mengawal DAP adalah PAS.

Dalam erti kata lain Sdr Zul cuba menggambarkan senario PAS kini dalam kerajaan-kerajaan campuran yang dimaksdukan. Seolah PAS cuma pandangan pada kuasa, PAS danggup menggadaikan perjuangan kerana kuasa, sanggup bersekongkol dengan DAP atas dasar kuasa. Itulah agenda tulisan beliau kerana beliau akhirinya dengan menyebut:

Persoalannya dalam situasi sekarang, apakah warna sebenar politik Pas? Adakah pemimpin Pas akan membiarkan mereka dipermainkan oleh DAP? Atau mungkin kerana kuasa segala prinsip perjuangan dikorbankan? Hanya masa akan menentukan.

Saya ingin menasihati Sdr Zul bahawa rakyat telah pun bersuara melalui PRU ke 12 lalu, suka atau tidak, selesa atau sakit, suara rakyat perlu dihormati. Demi mempertahankan keputusan rakyat itu PAS memutuskan untuk membentuk kerajaan campuran walaupun sedar DAP hadir di dalamnya. Kalau Sdr Zul tidak memutarkan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS semasa pelancaran Manifesto PAS: "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan", beliau akan dapati bahawa dalam majlis itu Presiden PAS berkata (apabila diajukan tentang persoalan darihal kerjasam PAS dan DAP) , kta tunggu bila tiba masanya. Bermakna bila tiba suasana itu PAS akan membuat keputusan dan kini PAS telah pun memutuskannya.

Soalnya adakah akan tergadai maruah perjuangan PAS apabila berkerjasama dengan DAP ini?
Sdr Zul dengan kecenderungan politiknya sudah pastilah akan menjawab : Ya!

Tetapi hakikatnya dalam kemelut politik hari ini, semua mengakui bahawa PAS lah yang paling kelihatan matang dan mempamirkan kedewasaan. PAS saya yakin akan terus mempertahankan agenda Islam dalam apa keadaan sekalipun, kerana ia Parti Islam, kekalahan atau kemenangan tidak akan merobah hakikat itu. Samada PAS pembangkang, PAS membentuk kerajaan negeri, PAS bersama BN (tahun 70an) atau kini PAS bersama PKR dan DAP, tidak sesiapa pun yang bekuasa mengikis atau mematikan matlamat perjuagan PAS itu.

Kini PAS sudah membentuk kerajaan (selain di Kedah dan di Kelantan) bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Asas pembentukkan kerajaan itu sudah pastilah berdasarkan muafakat hormat-menghormati dan saling faham-memahami. PAS sudah pasti akan berusaha melaksanakan agendanya dalam ruang-lingkup dan keterbatasan yang ada baginya. Mana yang mudah dan boleh diterima semua, diberikan keutamaan manakala yang rumit dan perlukan kefahaman dikemudiankan, bermakna prinsip bukan dikorbankan tetapi dipelihara dan dimantapkan.

Bagaimana kalau berlaku pertembungan, bagaimana kalau perlu pilih antara menerima atau menolak Islam? Disinilah kedudukan kritikal PAS dalam kerajaan tadi akan diambil-kira oleh semua. PKR dan DAP sedar akan hakikat ini, begitu juga PAS. Kita mengharapkan kerajaan ini tidak akan menghimpit PAS sampai keperingkat itu, tetapi sekurang-kurangnya dalam hal Perak dan Selangor ini, PAS sudah ada ruang untuk bekerja, tidak seperti Perak dan Selangor dizaman Umno/BN yang menyisih dan mempersetankan peranan PAS sama-sekali!

Berbalik kepada persoalan Sdr Zul tadi, insyallah warna PAS tetap hijau, pemimpin PAS tidak akan mengorbankan prinsip dan membiarkan mereka dipermainkan bukan hanya oleh DAP dan PKR malah oleh BN dan Umno sekalipun. Insyallah masa akan menentukan yang PAS adalah rakan kongsi yang terbaik buat PKR dan DAP, dan dalam kerjasama "win-win" ini. Dan yang akan paling banyak mengaut keuntungan dan manfaat dari kerjasama politik baru ini adalah rakyat jelata sendiri termasuklah kawan-kawan Sdr Zul dari Umno dan BN jika mereka insaf.

Saturday, March 15, 2008

Rawatlah diri sendiri sebelum mahu merawat orang lain

Ayuh kita laga-lagakan pimpinan BA. Ayuh kita porak-perandakan kerjaan-kerjaan negeri BA yang ada. 1,000 lebih jaguh-jaguh Umno diketuai ADUN-ADUN Umno berhimpun di Georgetown untuk membantah kerajaan negeri baru yang ada. Begitu juga di SUK Shah Alam, kira-kira 100 berbuat demikian.

Apakah tujuan mereka? Mendesak kerajaan pilihan rakyat agar berundur dan beri laluan kepada mereka? Siapakah mereka?

Diperingkat ini Umno dituntut agar bertindak lebih matang dan rasional. Tindakan melampau seperti ini akan hanya mengundang kemarahan rakyat dan mengakibatkan Umno nanti lebih disishkan rakyat. Terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka dan buat persediaan untuk menghadapi PRU ke 13 pula, adat bertanding ada yang menang dan ada yang kalah.
Kalau kita teliti Umno sendiri kini sebenarnya bergelumang dengan masalah dalaman. Krisis perlantikkan MB di Terengganu dan Perlis cuba ditimbus dengan krisis perlantikkan MB Perak yang dah pun reda itu.

Ketidak-tentuan dalam Umno kini sebenarnya menjadi semakin kritikal. Kain-kain rentang menuntut Dollah Badawi letak jawatan boleh dilihat di sekitar KL seawal 9 Mac 2008, sehari selepas keputusan PRU ke 12. Ini diikuti dengan serangan dari bekas PM Tun Dr Mahathir dan terbaru anak Tun iaitu ahli Parlimen Jerlun Mukhriz turut menuntut Dollah berundur.
Melalui suratnya bertarikh 12 Mac dialamatkan kepada Dollah, Mukhriz menulis:

Bertentangan dengan kenyataan Dato Seri yang kononnya UMNO dan parti-parti komponen BN di Semenanjung menyokong kepimpinan Dato Seri sebenarnya kekalahan yang dialami BN membuktikan bahawa ahli-ahli parti telah berpaling tadah hingga mengalahkan calon-calon kita di kubu-kubu kuat BN.

Apabila rakyat berdemonstrasi di jalanan, Dato Seri sendiri sebagai pemimpin tertinggi parti dan negara secara terang dan terbuka mencabar mereka supaya menggunakan peti undi sebagai tempat menunjuk perasaan.

Atas menyahut cabaran Dato Seri itulah rakyat di Semenanjung telah keluar beramai-ramai bagi menunjukkan perasaan dengan menolak BN diperingkat negeri dan Parlimen.

Kemudian Mukhriz menyambung:

Atas sifat sayangkan bangsa dan negara saya merayu kepada Dato Seri supaya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Hanya dengan perletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno oleh Dato Seri sendiri dapat pemulihan UMNO, BN dan negara dilakukan dengan jayanya.

Saya pasti disaat ini pihak-pihak tertentu termasuklah menantu Dollah yang baru menang di Rembau sedang menimbang-nimbang tindakan sekeras-keras dan sewajarnya terhadap Mukhriz. Orang-orang Umno septautnya merawat penyakit mereka dan tidak menggunakan kudrat yang tinggal kecil untuk menyerang orang lain.

Silap-silap yang sesak nafas dan tumbang nanti bukannya sasaran mereka tetapi diri mereka sendiri.

Friday, March 14, 2008

Mengunjungi Menteri Besar Selangor

Saya tidak pernah sampai ke tingkat 21 Bangunan SUK Selangor di Shah Alam sebelum ini. Tingkat 21 menempatkan Pejabat Dato Menteri Besar Selangor. Tidak pernah terbayang saya akan ke sana sebelum ini lebih-lebih lagi sebelum ini ia tempat bersarangnya Ketua Umno Negeri!

Pagi tadi atas urusan rasmi, dapat juga saya menjejakkan kaki ke sana. Ianya sangat bersejarah buat saya kerana bukan hanya saya berjaya sampai ke sana, tetapi juga dapat berjumpa dengan YAB MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang kebetulan di hari pertama beliau sebagai MB Selangor. Tan Sri ternyata begitu selesa dan tidak kekok dengan "takhta" barunya itu kerana beliau sebelum ini pernah mengetuai syarikat korporat kerajaan dan bukan kerajaan yang tidak kurang besarnya, antaranya PNB dan Guthrie.

Walaupun kami bersahabat baik, namun saya melihat Tan Sri memang sesuai dan kena ditempat barunya dan saya yakin dengan pengalaman, kelayakkan dan kedudukan beliau, rakyat dan negeri Selangor insyallah akan beroleh banyak manfaat dari kepimpinan beliau itu.
Saya perhatikan kakitangan kerajaan negeri Selangor siang tadi begitu mesra dan memberi layanan baik kepada saya ketika ke sana, maklumlah kini angin perubahan sudah bertiup di sana. Diharapkan jangan mesra kerana Umno/BN sudah tidak berkuasa tetapi mesra dan baiklah sentiasa kepada rakyat kerana itu adat dan budaya kita.

Saya melihat Selangor dengan kombinasi Tan Sri dan Dato Dr Hasan Ali (yang kembali membaca khutbah di Masjid Mujahideen, Jumaat tadi) bakal membawa sinar kesejahteraan dan kemakmuran kepada negeri dan rakyat, sama-samalah kita bina dan pertahankannya.

Utusan Malaysia menghasut rakyat

Keputusan PRU ke 12 terus-menerus menjadi topik bualan hangat. Ketika bersarapan pagi di sebuah kedai mamak di KL pagi tadi sepasang suami-isteri berketurunan Cina duduk dimeja sebelah saya. Mereka bertutur dalam bahasa Cina, walaupun saya tidak memahaminya namun saya dapat menangkap yang mereka juga bercerita tentang PRU ke 12 apabila nama DAP dan pimpinan DAP serta negeri Perak disebut-sebut dalam bualan mereka itu.

Akhbar arus perdana berbahasa Melayu juga nampaknya masih terus-menerus melaporkan keputusan "upset" yang jelas tidak memihak pemegang saham dan tuan-tuan punya syarikta mereka.

Walaubagaimanapun saya melihat akhbar-akhbar berkenaan kini sudah beralih dari mengulas darihal keputusan PRU itu ke agenda baru. Kini mereka terang-terangan membakar dan mengadu domba pula antara seama pakatan parti-parti alternatif ke melaga-lagakan sesama bangsa Melayu. Ini saya kira sesuatu yang tidak sihat dan jika tidak dikawal boleh sampai keperingkat mencetuskan ketegangan antara dan sesama kaum, sesuatu yang sewajarnya tidak diizinkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Saya yakin kiranya mana-mana laman web atau blog melakukan kerja keji ini pasti kami akan disiasat dan terus diambil tindakan, saya harap pihak polis khususnya Cawangan Khas melihat kesan dan implikasi mainan api Utusan Malaysia itu dan mengecualikan mereka.
Kalau orang Melayu yang tidak mengundi Umno atau BN dianggap sebagai pengkhianat dan menjual maruah agama dan bangsa saya kira Utusan sudah jauh tergelincir dan menghina proses demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan negara kita. Antara tajuk-tajuk dalam ruangan forum akhbar berkenaan hari ini adalah:

Melayu "makan" Melayu

Melayu telah menghulurkan tangan dan tenaga bagi merebahkan kepimpinan bangsanya sendiri
Orang Melayu tidak mempunyai apa-apa untuk menjaga maruah bangsa selain berada ditampuk pemerintahan.

Tahniah Melayu Pulau Pinang. Anda telah membuat satu perubahan yang betul, perubahan yang membinasakan diri sendiri.

Kesemua ini adalah hasutan dan sangat bahaya bagi keamanan dan kestabilan negara. Jangan terus biarkan Utusan lepas dengan agenda jahat ini.

Kalau benar kita mahu berbicara soal mempertahan maruah agama dan bangsa, lihatlah apa yang dilakukan terhadap kerajaan PAS di Kelantan sejak tahun 1990. Ia walaupun kerajaan yang diteraju oleh orang Melayu yang beragama Islam, namu kerajaan Melayu Islam di peringkat Pusat terus meminggir dan mendiskriminasinya. Kelantan seolah anak tiri dalam keluarga kerajaan Persekutuan yang besar. Mesyuarat Menteri-menteri Besar bersama PM tidak mengundang Kelantan, dan Pusat pula mewujudkan kerajaan dalam kerajaan di Kelantan sebagaimana yang berlaku di Terengganu di bawah PAS dulu.

Itu baru Melayu "bunuh" Melayu.

Keputusan PRU ke 12 sesungguhnya adalah iktibar buat Umno dan BN. Ambil dan akur keputusan rakyat. Tak perlulah menggunakan lorong-lorong tidak demokratik untuk menjatuhkan kehendak rakyat. Bukit Aman diharap tinjau-tinjaulah perkembangan di Utusan itu.

Thursday, March 13, 2008

Jangan meminta-minta jawatan

Sahlah terbentuk kerajaan negeri Selangor melalui majlis angkat sumpah "sahabat" saya Tan Sri Khalid Ibrahim sebentar tadi sebagai MB Selangor yang ke 14. Malangnya kita mengharapkan begitu juga bagi rakan-rakan di Perak, tetapi rupanya majlis yang sama melibatkan Ir Nizar terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal melibatkan pimpinan PKR.

Sebelum itu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang semuanya telah selesai membentuk kerajaan masing-masing. Dengan kemenangan bermulalah tanggungjawab.

Kalau dahulu kita asyik sibuk melaksanakan tugas-tugas politik, memberi tumpuan bekerja sebagai wakil pembangkang, kini rupa-rupanya kerajaan sudah menjadi milik kita. Sudah pastilah berbeza sama sekali senarionya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor apabila kita kini menjadi kerajaan.

Kepada yang menang dan bergelar YB dalam negeri-negeri yang membentuk kerajaan, tahniah, tetapi ingat, Tuan/Puan menang bukan atas nama peribadi, tetapi Tuan/Puan menang adalah atas nama perjuangan. YB-YB PAS masing-masing menang kerana panji-panji PAS yang dikibarkan, bukan personaliti semata-mata. Oleh itu pandai-pandailah membawa diri, jangan sampai merasakan yang kemenangan itu hak diri peribadi masing-masing. Tokoh sebesar Tok Guru Nik Abd Aziz dan Hj Abd Hadi Awang pun pernah tewas.

Dengan kejayaan membentuk kerajaan juga bermakna akan ada jawatan-jawatan baru. Dari MB ke Timbalan MB ke Speaker ke EXCO. Sudah pastilah jawatan-jawatan ini membawa imbuhan dan status yang tinggi. Jangan pula kita yang memegang panji-panji Islam ini terjerumus dalam aktiviti meminta-minta jawatan. Pada 4 Mei 1964 kira-kira 44 tahun yang lampau, Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (ketika itu Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (atau Timbalan Presiden kini) yang baru sahaja menang kerusi parlimen Bachok) telah memberikan amanat penting kepada wakil-wakli rakyat Kelantan:

(Jawatan-jawatan yang disebutkan) adalah tempat yang subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita. Apa yang akan kita buat saudara-saudara diwaktu kita menghadapi ini semua? Yang akan kita buat adalah berpegang kepada keikhlasan iaitu menyucikan tujuan kita kepada perlaksanaan dasar parti dan mengenepikan sebarang kepentingan yang lain dari itu.

Ringkasnya jangan kita terlibat dalam meminta-minta jawatan. Menghubungi Presiden atau Pesuruhjaya meminta jawatan itu dan ini diberikan kepada kita. Seolah kita sahaja yang layak, yang lain tidak!

Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

Justeru itu, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamakkannya dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka dia tidak dilantik. Saya yakin sahabat-sahabat kita yang menang di negeri-negeri yang kita membentuk kerajaan tidak akan terlibat dalam aktiviti seumpama ini, walaupun ada juga maklumat diterima bahawa sudah ada yang meminta-minta. Kalau meminta-minta juga, maka cantas mereka itu sebelum mereka membawa mudarat yang lebih besar kepada perjuangan.