Sunday, March 02, 2008

Apa khabar “bakal” MB Kelantan

Umno Kelantan telah memperkenalkan ramai calon-calon bakal MB dinegeri tersebut sebelum ini. Dari Annuar Musa, Mustapha Mohamad termasuklah Ku Li. Ianya berubah-ubah kerana Umno gagal sejak beberapa pilihan raya lalu untuk merampas kembali Negeri Serambi Mekah itu. Mungkin rakyat menolak Umno bukan kerana “bakal-bakal” MB nya, tetapi kerana mereka mahukan MB dari PAS, mereka mahukan kerajaan PAS.

Kini dalam PRU ke 12 ini Umno mengisytiharkan calon “bakal MB” yang baru pula. Kini yang dinobatkan dan akan terus bertaraf “bakal” sehinggalah Umno boleh menang kembali di Kelantan adalah Awang Adek Hussin, bekas Penolong Gabenor Bank Negara.

Awang Adek inilah ditawarkan oleh Umno kepada rakyat Kelantan untuk menggantikan Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Sudah tentulah Awang Adek mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan kalau nak dibandingkan dengan Tok Guru jika tidak masakan Umno menobatkan beliau.





Yang pastinya menurut sahabat saya Sheih, blogger Kickdefella, Awang Adek memiliki suatu kegemaran yang tiada pada Tok Guru, iaitu beliau menghisap cerut atau “cigar”. Menurut Sheih cerut itu pula bukannya yang dijual di kaki-kaki lima Petaling Street atau Masjid India, tetapi ianya berjenama dan berkualiti tinggi. Sebatang cerut berjenama “Cohiba” yang beliau sedut bernilai RM130 sebatang. Kata Sheih kurang-kurang Awang Adek menecemari paru-parunya dengan tiga batang cerut sehari!

Kalau sebatang RM130 maka tiga batang adalah RM390 bersamaan dengan gaji pokok beberapa pekerja kilang di negara kita! Kalau RM130 boleh membeli 50 bungkus nasi bungkus berlauk dengan air sirap, bayangkan “bakal” MB Kelantan membakarnya hanya melalui sebatang cerut!

Dalam akhbar hari ini dilaporkan pula yang Awang Adek berjanji akan melantik seorang ulamak sebagai penasihat khas beliau kiranya beliau menjadi MB. Kata beliau sebagaimana dipetik oleh The Star:

I know as a professional and a PhD holder in economics some of you may not see me as an ulama. But I promise to appoint an ulama as my special adviser.

Saya tahu sebagai seorang professional lulusan PhD dibidang ekonomi ada yang tidak melihat saya sebagai seroang ulamak. Tetapi saya berjanji akan melantik seorang ulamak sebagai penasihat khas saya.

Rakyat Kelantan perlu berfikir masak-masak dalam hal ini. Sekarang Kelantan diteraju oleh seorang ulamak yang didokong kepimpinannya dengan para professional, yang bukan hanya professional sebagaimana Awang Adek, tetapi telah dibentuk dan diasuh oleh Tok Guru sendiri menjadi pemimpin yang beramanah dan bertaqwa umpama ulamak juga.

Melantik ulamak semata-mata sebagai penasihat, sudah pasti akan memadamkan apa sahaja yang telah dibina di Kelantan selama 18 tahun kebelakangan ini. Malah kalau ulamak bertaraf penasihat, maka sudah pastilah nasihat yang dirasa menguntungkan akan diguna dan yang tidak ditinggalkan, itulah resamnya. Dan dalam hal ini kita sudah masak sangat dengan pengalaman Umno dimana-mana pun.

Tambah pula kalau Awang Adek dengan cerut kegemarannya, saya bimbang ulamak penasihat pun nanti jadi mabuk akibat asap dan baunya.

Kalau begitulah gambaran kepimpinan yang mahu ditegakkan oleh Umno di Kelantan, maka lebih baik sahajalah rakyat dan pengundi Kelantan mengekalkan apa yang telah ada dalam tangan mereka. Pencapaian terbaik Kerajaan “Membangun Bersama Islam” adalah menyediakan barisan pimpinan yang bersih, bebas rasuah dan bertaqwa, kualiti yang gagal Umno dan BN tonjolkan dimana-mana negeri pun termasuklah diperingkat pusat.

Awang Adek cuba menggula-gulakan rakyat Kelantan dengan janji permbangunan yang kononnya melimpah ruah, apakah jaminan bahawa ia nanti tidak akan menggelapkan mata pimpinan negeri sebagaimana di negeri-negeri lain? Kalau Kelantan sudah ada barisan pimpinan yang hebat sebagaimana dilahirkan Tok Guru, mengapa perlu tukar? Kalau Pusat ikhlas, salurkan sahaja peruntukkan ke negeri, insyallah rakyat, negeri dan seluruh negara akan merasa manfaatnya. Bukankah Kelantan itu negeri majoriti Melayu, mengapa Umno yang memperjuangkan Melayu tergamak mendiskriminasi anak-anak bangsanya sendiri?

Sementara itu sama-samalah kita menghimpit Awang Adek, mana tahu untung-untung dapat tumpang menghidu asap cerutnya yang mahal itu.

No comments: