Monday, March 17, 2008

Mari kita bekerjasama

Walaupun PAS dan DAP sama-sama merupakan seteru politik BN namun ia sering berselisih jalan. Jarang-jarang dapat duduk semeja apalagi mengorak langkah bersama. Kalau pun ada yang terbaik adalah ketika zaman-zaman awal Barisan Alternatif dahulu. Pada PRU 1999, apabila PAS, DAP dan PKR sama-sama menganggotai BA, itulah ketikanya semua parti-parti politik alternatif terbesar dapat duduk sebumbung.

Selepas itu PAS dan DAP masing-masing bergerak sendirian. Namun perpisahan itu tidak bermakna berpisah hubungan antara pimpinan dan ahli-ahli PAS dan DAP. Kerjasama sekejap yang terjalin telah mesra dirasai. Ada dikalangan pimpinan tertentu terus-menerus menjalin hubungan, begitu juga dikalangan ahli. YB Teng Chang Khim, YB Ng Suee Lim di Selangor dan YB Leong Ngah Ngah di Pahang adalah contoh pimpinan DAP yang rapat dan terus bekerjasama dengan PAS walaupun terputus hubungan kedua-dua parti selepas PRU 1999.

PAda PRU ke 12 lalu, PAS dan DAP tiada hubungan sebagaimana pada PRU 1999. Namun atas inisiatif pelbagai pihak, kedua-dua parti termasuk PKR telah memutuskan tidak akan ada pertindihan pertandingan antara ketiga-tiga parti (walaupun akhirnya berlaku juga di satu dua tempat antara PKR dan DAP), BN dihadapi bersama, satu lawan satu.

Pertandingan satu lawan satu itu telah mengakibatkan seluruh jentera kedua-dua parti termasuk PKR memberikan tumpuan menghadapi musuh yang satu. Kerana itulah kita dapati, uniknya PRU ke 12 ini, masyarakat bukan Melayu secara terbuka bukan hanya mengundi PAS malah membawa bendera dan mengenakan tshirt PAS ditempat-tempat yang calon PAS bertanding. Begitu juga masyarakat Melayu, terang-terangan menyokong calon-calon DAP secara terbuka ditempat-tempat DAP bertanding.

Dalam kata lain kerjasama tak rasmi terjalin, atas kesatuan matlamat menghadapi mush yang sama. Labanya sebagaimana kita ketahui ketiga-tiga PAS, DAP dan PKR memungut keuntungan yang besar.






Semalam semasa meraikan ulangtahun ke 42 DAP, Penasihat (seumur hidup) parti tersebut yang juga bekas ahli Parlimen Seremban Dr Chen Man Hin telah berkata bahawa seluruh ahli-ahli DAP perlulah membuat anjakkan paradigma dengan mula menjalin hubungan dengan PKR dan PAS. Tambah beliau terbukti kerjasama DAP dengan PKR dan PAS dalam menjayakan strategi satu lawan satu menentang BN (dalam PRU baru-baru ini) telah membuahkan hasil yang baik buat semua.

Lalu kata beliau, DAP perlu mengekalkan hubungan persahabatan dan hubungan kerjasama dengan kedua-dua PAS dan PKR.

Sesungguhnya pengakuan dari tokoh veteran DAP ini sangat baik dan dialu-alukan. Memang diantara PAS dan DAP terdapat beberapa perbezaan yang ketara, namun dalam waktu yang sama, kedua-dua parti juga memiliki persamaan, antaranya menegakkan keadilan dan menetang kezaliman, salah guna kuasa dan rasuah. Jika masing-masing menghargai persamaan-persamaan ini, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar dapat dicapai dimasa akan datang.

Sesungguhnya PAS bukan hanya memiliki perbezaan dengan DAP, malah dengan BN dan Umno pun banyak berbeza. Pokoknya musuh politik biar satu tetapi kawan politik biar ramai. Mudah-mudahan luahan hati tokoh veteran DAP ini akan membuka jalan baru kerjasama ketiga-tiga parti alternatif terbesar dalam negara ini yang akhirnya akan menggantikan BN yang semakin tidak relevan dan ditolak oleh masyarakat itu.

No comments: