Wednesday, March 26, 2008

Surat Ku Li bersadur perkauman

Banyak pihak dalam Umno sudah pun mula membicangkan surat ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Surat yang bertarikh 12 Mac itu ditujukan kepada semua ketua-ketua Umno cawangan dan khabarnya boleh didapati di internet (apa yang tidak boleh didapati di internet).

Surat tersebut membawa tajuk: "Marilah kita bermesyuarah dan bermuhasabah”

Ianya merupakan keluhan hati Ku Li khusus berhubung kekalahan teruk Umno dalam PRU ke 12 lalu. Walaupun Umno bertahan dengan 78 kerusi di Parlimen dan melalui Bn terus dapat membentuk kerajaan pusat namun BN hilang majority 2/3 di Parlimen, dan dominasi kukuh Umno di Parlimen turut berkecai. 5 buah negeri kecundang dari tangan BN (kecuali Kelantan sejak 1990).





Lantas surat Ku Li itu mencadangkan agar bahagian-bahagian Umno mendesak agar satu Perhimpunan Agung Khas Umno diadakan untuk membincangkan isu kekalahan Umno ini.

Ku Li adalah seorang tokoh veteran yang sangat disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Satu rekod beliau yang unik dalam Umno adalah kemampuannya mempertahankan kerusi parlimennya samada dalam keadaan Umno kuat ataupun lemah serta “survival” politiknya yang tidak berani disentuh oleh sesiapa pun.

Walaubagaimanapun saya merasakan kandungan surat Ku Li ini agak berbahaya kerana ia cuba membakar api perkauman. Dalam cuba mempengaruhi pimpinan Umno agar membeli idea beliau, Ku Li terpaksa menakut-nakutkan mereka dengan isu Melayu-bukan Melayu, keran barangkali menyangkakan dengan cara itu orang Melayu akan bangun dan memperjuangkan nasib bangsa mereka semata-mata.

Beliau menyebut dalam suratnya:

Lebih malang lagi selepas PRU-12 BN kehilangan empat negeri, Pulau Pinang, negeri Presiden Parti kita sendiri (yang jatuh ke tangan DAP, parti perkauman Cina), Kedah (jatuh ke tangan PAS), Perak (jatuh ke tangan DAP walaupun orang PAS menjadi MB-nya), dan Selangor (yang didominasi oleh wakil rakyat bukan Melayu dari DAP ditambah dengan wakil rakyat bukan Melayu dari PKR, walaupun MB-nya Melayu).

Berpakat dan berkongsi kuasa dengan DAP dan sebahagian PKR yang bukan Melayu seolah sesuatu yang kotor dan bakal mengundang haru-biru. Begitulah yang boleh saya tafsirkan dari surat beliau, kecuali saya tersilap. Sedangkan Umno juga tidur sebantal dengan MCA, MIC dan Gerakan serta parti-parti bukan Melayu yang lain, tetapi tidak pula ianya itu dianggap menakutkan. Ku Li menambah:

Kita mesti tahu dan sedar. Kalau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, sekiranya dasar, prinsip, moral dan budaya kita dalam BN dan Umno tidak berubah – dan berubah secara radikal – BN dan Umno tidak akan jadi pemerintah lagi. Saya dapat meramalkan scenario berikut akan berlaku empat tahun dari sekarang, iaitu selepas PRU-13 nanti, PKR-DAP-PAS akan emmbentuk kerajaan Persekutuan, Perdana Menterinya boleh jadi Presiden PKR dan Timbalan PM boleh jadi wakil dari DAP.

Baguslah kalau Umno boleh bangun dari tidur lena mereka dan mengkaji secara jujur punca kekalahan mereka. Soal samada mereka akan mampu bangkit kembali atau terus merosot dimata rakyat, terserahlah pada rakyat. Walaubagaimanapun tak perlulah mereka dimomokkan dengan sesuatu yang sebegini, yang bagi saya tidak padan keluar dari benak seorang negarawan bertaraf Ku Li. “Shame on you!”

No comments: