Jangan meminta-minta jawatan
Sahlah terbentuk kerajaan negeri Selangor melalui majlis angkat sumpah "sahabat" saya Tan Sri Khalid Ibrahim sebentar tadi sebagai MB Selangor yang ke 14. Malangnya kita mengharapkan begitu juga bagi rakan-rakan di Perak, tetapi rupanya majlis yang sama melibatkan Ir Nizar terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal melibatkan pimpinan PKR.
Sebelum itu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang semuanya telah selesai membentuk kerajaan masing-masing. Dengan kemenangan bermulalah tanggungjawab.
Kalau dahulu kita asyik sibuk melaksanakan tugas-tugas politik, memberi tumpuan bekerja sebagai wakil pembangkang, kini rupa-rupanya kerajaan sudah menjadi milik kita. Sudah pastilah berbeza sama sekali senarionya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor apabila kita kini menjadi kerajaan.
Kepada yang menang dan bergelar YB dalam negeri-negeri yang membentuk kerajaan, tahniah, tetapi ingat, Tuan/Puan menang bukan atas nama peribadi, tetapi Tuan/Puan menang adalah atas nama perjuangan. YB-YB PAS masing-masing menang kerana panji-panji PAS yang dikibarkan, bukan personaliti semata-mata. Oleh itu pandai-pandailah membawa diri, jangan sampai merasakan yang kemenangan itu hak diri peribadi masing-masing. Tokoh sebesar Tok Guru Nik Abd Aziz dan Hj Abd Hadi Awang pun pernah tewas.
Dengan kejayaan membentuk kerajaan juga bermakna akan ada jawatan-jawatan baru. Dari MB ke Timbalan MB ke Speaker ke EXCO. Sudah pastilah jawatan-jawatan ini membawa imbuhan dan status yang tinggi. Jangan pula kita yang memegang panji-panji Islam ini terjerumus dalam aktiviti meminta-minta jawatan. Pada 4 Mei 1964 kira-kira 44 tahun yang lampau, Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (ketika itu Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (atau Timbalan Presiden kini) yang baru sahaja menang kerusi parlimen Bachok) telah memberikan amanat penting kepada wakil-wakli rakyat Kelantan:
(Jawatan-jawatan yang disebutkan) adalah tempat yang subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita. Apa yang akan kita buat saudara-saudara diwaktu kita menghadapi ini semua? Yang akan kita buat adalah berpegang kepada keikhlasan iaitu menyucikan tujuan kita kepada perlaksanaan dasar parti dan mengenepikan sebarang kepentingan yang lain dari itu.
Ringkasnya jangan kita terlibat dalam meminta-minta jawatan. Menghubungi Presiden atau Pesuruhjaya meminta jawatan itu dan ini diberikan kepada kita. Seolah kita sahaja yang layak, yang lain tidak!
Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"
Justeru itu, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamakkannya dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka dia tidak dilantik. Saya yakin sahabat-sahabat kita yang menang di negeri-negeri yang kita membentuk kerajaan tidak akan terlibat dalam aktiviti seumpama ini, walaupun ada juga maklumat diterima bahawa sudah ada yang meminta-minta. Kalau meminta-minta juga, maka cantas mereka itu sebelum mereka membawa mudarat yang lebih besar kepada perjuangan.
No comments:
Post a Comment