Monday, March 24, 2008

Kemuliaan boleh bertukar kepada kehinaan dalam sekelip mata

Saya tidak pernah melangkahkan kaki ke majlis rasmi dimana-mana istana sebelum ini. Pagi tadi saya diberikan kesempatan untuk menghadiri majlis penyerahan watikah dan angkat sumpah ahli-ahli EXCO kerajaan negeri Selangor yang baru di Istana Alam Shah, Klang. Sudah pastilah saya mengira diri saya bertuah kerana dapat kesana apalagi menghadiri majlis bersejarah iaitu pembentukan kerajaan baru di negeri Selangor sejak Merdeka tahun 1957 dahulu.






Setelah selesai Tuanku Sultan menyampaikan watikah dan bertitah, majlis diakhiri dengan doa oleh Mufti Selangor. Saya perhatikan mukadimmah doa Dato Mufti itu memetik ayat 26 surah Ali Imran (yang dibacakan dalam bahasa asal al quran). Dato Mufti walaubagaimanapun sekadar membacakan terjemahan bahagian awal dan akhir ayat tersebut dan tidak keseluruhannya. Mengapa, hanya beliau sahaja yang arif.

Berikut saya berikan terjemahan penuh ayat tersebut:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Benar dan tepatlah sungguh ayat-ayat Allah di atas itu. Saya lihat turut berada di istana pagi tadi selain MB Selangor yang baru dan ahli-ahli EXCO nya adalah bekas-bekas MB Selangor antaranya Tan Sri Mohd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo. Mereka semua pernah dikurniakan kuasa, dan mereka juga merasakan bagaimana kuasa dicabut dari tangan mereka, dengan Khir Toyo yang paling baru merasainya.

Segala-galanya adalah pada kuasa Allah jua. Hari ini kita mungkin megah berkuasa dengan perkenan Nya, esok samada kita bersedia ataupun tidak boleh sahaja kuasa itu dirampas kembali dari kita dengan kemahuan Nya jua.

Kerana itu amanah kuasa yang diberikan perlulah dijunjung dan dilaksanakan dengan penuh berhati-hati. Jangan cuai, jangan leka, jangan lalai, apalagi terpedaya dengan sogokan hartabenda dan kemewahan serta kelzatan dunia. Jika kita tergelincir ke situ, maka ingatlah kemuliaan yang kita perolehi dari kuasa itu dalam sekelip mata boleh bertukar menjadi hina, atas kehendak Allah swt.

Banyak telah kita saksikan contoh dan tauladan yang hidup di hadapan kita. Oleh itu ambillah iktibar, beringatlah sebelum terlambat.

No comments: