Tuesday, June 27, 2006

Tsunami politik yang ditunggu-tunggu

Semalam Nazri Aziz mencabar Tun Dr Mahathir yang jika Tun seorang anak jantan maka seharusnya Tun letak jawatan dan keluar dari Umno.

Hari ini Tun dipetik oleh Associated Press AP sebagai berkata bahawa beliau tahu bahawa kini memang ada usaha untuk menburuk-burukkan beliau oleh pihak-pihak tertentu dalam parti itu malah, ianya sedang memuncak dan akhirnya beliau menjangkakan akan dipecat juga dari Umno.

Tun turut memberitahu AP bahawa kiranya beliau dipecat dari Umno sekalipun tindakan itu tidak akan menghentikan beliau dari terus mengkritik apa sahaja yang beliau fikirkan tidak kena.


Dulu meraka cium tangan saya kata Tun

Dan apabila diminta mengulas kenyataan Nazri itu Tun telah menafikan dakwaan Nazri itu dan menganggap Nazri sekadar budak yang terlibat dalam kerja-kerja memburukkan dan menikam beliau dari belakang.

Sementara itu BERNAMA melaporkan bahawa Menteri Penerangan Zainuddin Maidin mendakwa berjumpa dengan Tun Ahad lalu (sehari selepas Tun berucap di Taman Melawati) di Sepang dan telah berusaha memujuk Tun agar tidak lagi meneruskan serangannya terhadap kerajaan dan PM Dollah Badawi.

Walaubagaimanapun menurut Zam, Tun menyatakan bahawa beliau telah pun membuat keputusan dan akan meneruskan sikap dan pendiriannya itu.

Zam dipetik BERNAMA sebagai berkata:

I found that Dr Mahathir had made up his mind. He did not say anything but he believed in what he was doing.

Menurut BERNAMA lagi:

Zainuddin who admitted that he still considered Dr Mahathir, whom he knew for more than 40 years since working in Kedah as a journalist, as one of his leaders.

Zam, bekas Ketua Pengarang UTUSAN adalah merupakan salah seorang lagi Menteri kabinet yang memperolehi tempat dan kedudukan hasil dari ihsan Tun semasa beliau PM dahulu. (Zam menulis di dalam bukunya: Dr Mahathir Di sebalik Tabir, bahawa ketika beliau kecil dahulu Dr Mahathir telah bergegas ke rumahnya untuk merawat ayah Zam yang sakit tanpa banyak kira-bicara. Dalam tulisan itu tiada unggkapan lain yang dimuatkan Zam selain puji dan puja terhadap Tun belaka).

Nampaknya tsunami politik di Malaysia sedang membina kekuatan dan pasti akan merobah lanskap politik negara ini apabila tiba masanya nanti.

Saya yakin cuma Nazri dan seorang dua sahaja anggota kabinet dari kalangan Umno (termasuk Rafidah) ketika ini yang barangkali akan bersikap kasar dan bengis terhadap Tun kerana mereka masing-masing memendam dendam kesumat terhadap tokoh veteran itu.

Yang selebihnya?

Yang selebihnya sebagaimana kata Tun pada hari Sabtu lepas sekadar menyokong buta kerana Dollah memegang kuasa. Mungkin Zam tak seperti Nazri. Mungkin Aziz Samsuddin dan Tengku Adnan tak seperti Nazri. Begitu juga mungkin beberapa kerat lagi. Ini belum mengambil kira dari kalangan barisan pimpinan Pemuda Umno yang rata-rata tidak senang dengan lonjakkan deras Khairy Jamaluddin dalam pergerakkan tersebut.

Bagaimana pula dengan Rahim Tamby Chik, ahli MT Umno? Khir Toyo juga dikatakan banyak terhutang budi pada Tun.

Mungkinkah mereka ini semua akan bersama gelombang ganas tsunami itu nanti atau akan turut tenggelam menjadi mangsanya?

Yang pasti disaat dan ketika ini Tun sudah tidak mungkin menoleh ke belakang lagi. Tun sudah terjun ke gelanggang. Dan pihak kerajaan serta PM sendiri seolah kelihatan mengecilkan sahaja segala teguran dan kritikan Tun dan lebih berminat menyerang dan memburuk-burukkan peribadi beliau daripada menjawab segala yang dibangkit dan dibongkarnya itu.

Tun menyatakan selagi isu-isu kepentingan negara ini tidak dijawab beliau akan terus bercakap dan bersedia memikul risikonya.

Oleh itu ayuhlah kita semua bersiap-sedia, buat persiapan, cukupkan bekalan, kerana bimbang bila tsunami itu kelak menggunung dan melanda negara nanti kita juga turut tenggelam dan lemas menjadi mangsanya.

No comments: