Tuesday, June 13, 2006

Najib mahu timbangkan beli peti undi dari India

NST
hari ini melaporkan kunjungan TPM Najib Tun Razak ke Karnataka, India.

Semasa di sana beliau bersama Presiden MIC Samy Vellu, telah mengunjungi kilang Bharat Electronics Limited. Salah sebuah produk syarikat gergasi India ini adalah peti undi elektronik.


Peti undi elektronik dari India yang digunakan MIC

Menurut Pengerusi syarikat tersebut Gopala Rao, peti undi keluaran syarikatnya itu (iaitu EVM ataupun Electronic Voting Machine) mampu mengelakkan sebarang penipuan, tiada memerlukan kertas, pengundi sekadar membuat pilihan dengan menekan butang-butang yang perlu dan dalam masa kurang dari 30 minit peti elektronik tersebut sudah mampu mengeluarkan keputusan.

Menurut Rao lagi kerajaan India telah mula menggunakan 5,000 unit EVM ini dalam Pilihanraya Umum India yang lalu. Sebuah peti bernilai RM1,520 sebuah.

Yang menariknya Samy mengakui bahawa MIC sudah pun menggunakan peti-peti undi EVM ini sejak tahun 2003 untuk pemilihan partinya. (Adakah MIC telah membeli peti-peti undi tersebut atau memperolehinya dengan percuma sebagai promosi untuk memastikan kerajaan Malaysia kelak akan turut membelinya?)

Dan Najib dilaporkan kagum dengan EVM itu dan memaklumkan bahawa kerajaan akan menimbangkan cadangan syarikat tersebut.

Soalnya apakah masalah sebenar yang sering timbul dalam proses pengundian di Malaysia?

Saya kira sistem penjumlahan undi dan peti-peti undi yang ada sudah pun kemas dan tak perlu dipinda-pinda lagi. Sistem penjumlahan undi di tempat-tempat membuang undi sebagaimana yang diamalakan sekarang yang diperhatikan oleh wakil-wakil parti yang bertanding tidak pernah dipertikiakan sejak ia diperkenalkan samada oleh parti pemerintah mahupun pembangkang.

Tak perlulah kita mahu membelanjakan sampai RM1,520 untuk sebuah peti undi baru.

Yang perlukan perhatian adalah pendaftaran pengundi dan daftar pengundi yang masih longgar dan menimbulkan kecurigaan ramai, proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya yang diadakan SPR tanpa mengambil-kira kehendak asal perlembagaan dan proses pengundian pos yang membelakangkan sama-sekali kaedah ketelusan dan free elections.

Peti undi dan proses penjumlahan undi mungkin masalah untuk MIC atau barangkali Umno tetapi ianya NON ISSUE bagi rakyat Malaysia!

Saya harap jangalah kerana Samy dan MIC menggunakannya maka kerajaan pun turut ghairah mahu meniru. Saya perhatikan keluaran utama BHARAT adalah peralatan dan kelengkapan militeri khususnya dalam bidang sistem dan komunikasi. Jangan nanti kerana nak beli peralatan militeri maka kita terikat untuk turut membeli peti-peti EVM ini yang bukannya merupakan keperluan mendesak bagi negara.

Kalau Najib benar-benar prihatin mahu perbaiki proses demokrasi dalam negara perkara-perkara besar yang saya nyatakan di atas perlulah diberikan perhatian, bukannya membazir duit negara dengan membeli EVM ini.

No comments: