Jangan persendakan gerak-kerja dakwah Islam
Wartawan UTUSAN Wan Zulkifli dan Herman Hamid menulis laporan berikut:
Jika anda seorang pendakwah dan mahu memiliki wang tunai RM10,000 untuk melangsungkan perkahwinan anda boleh menghubungi kerajaan Pas Kelantan.Tetapi dengan syarat anda perlu berkahwin dengan gadis Orang Asli dari negeri ini.
Apakah agaknya persepsi para pembaca kebanyakkan apabila membaca perenggan itu?
Tidakkah ia bermaksud mahu mempersenda dan membuat jenaka terhadap usaha kerajaan negeri itu?
Tidak cukup dengan itu UTUSAN turut memetik Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Jaafar Jantan sebagai berkata bahawa Jabatan Hal Ehwal Orang Asli berpendapat, cadangan kerajaan Kelantan memberikan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada pendakwah yang sanggup berkahwin dengan penduduk Orang Asli sebagai tidak wajar.
Beliau turut berkata bahawa menegakkan syiar Islam tidak perlu pada imbuhan. Ia dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.
Tidak pernah seingat saya pegawai kerajaan samada Pusat ataupun Negeri yang berani mengkritik keputusan kerajaan Pusat ataupun Negeri kecuali terhadap Kelantan, sebagaimana yang dilakukan oleh pegawai JHEOA ini!
Apakah isu sebenarnya di sini? Apakah yang mendorong kerajaan Kelantan untuk mengambil langkah sedemikian rupa?
Di dalam dewan semalam anggota EXCO berkenaan menyatakan bahawa dari anggaran 12,000 penduduk dikalangan orang Asli di Kelantan cuma 2,902 orang sahaja yang telah memeluk Islam. Bermakna cuma 24 peratus sahaja yang telah menerima Islam sedangkan 76 peratus lagi belum menerima Islam.
Angka yang besar inilah yang membimbangkan kerajaan negeri lalu keputusan dibuat untuk mengambil inisiatif proaktif bagi mempertingkatkan bilangan Orang Asli yang menerima Islam di Kelantan.
Dan langkah yang diumumkan di dewan semalam itu adalah menawarkan kepada para pendakwah dari kalangan enam badan dakwah yang berdaftar dengan Unit Dakwah Orang Asli Kelantan, ganjaran RM10,000 sekiranya mereka bersetuju untuk berkahwin dengan wanita Orang Asli. Mereka perlu duduk dan tinggal dengan masyarakat tersebut di sekitar penempatan Orang Asli di Jeli dan Gua Musang, sebagai pemimpin agama bagi membimbing masyarakat di penempatan itu dengan harapan kerja-kerja dakwah nanti dapat dipertingkatkan.
Kerajaan Negeri turut akan memberikan rumah percuma, sebuah kereta pacuan empat roda dan elaun RM1,000 sebulan kepada pendakwah berkenaan.
Ini merupakan salah satu pendekatan memperkasakan gerakan dakwah yang sepatutnya disokong oleh semua pihak demi mempertingkatkan bilangan masyarakat Islam dikalangan saudara-saudara kita masyarakat Orang Asli.
Mengapa JHEOA mengkritik usaha ini?
Saya yakin jika JHEOA benar-benar menjalankan tugas mereka sudah pasti taklah jadi 76 peratus yang belum Islam. Sepatutnya JHEOA memberikan sokongan, ini bukan isu politik ini kerja dakwah. Selagi mana langkah yang diambil tidak bertentangan dengan syarak, segala bentuk gerak-kerja dan inisiatif sepatutnya dialu-alukan dan diberikan dorongan.
Sementara itu di luar dewan EXCO berkenaan turut menjelaskan bahawa pendakwah tadi perlu menetap terus di penempatan Orang Asli berkenaan dan bertugas sebagai Imam, menalankan kelas al Quran dan Fardhu Ain disamping menguruskan jenazah bila berlaku kematian.
Syabas Kelantan, bagaimana dengan kerajaan Pahang, Perak dan lain-lain?
No comments:
Post a Comment