Ekonomi membangun judi semakin makmur
Prinsip kelima Islam Hadhari ciptaan PM Dollah Badawi berbunyi:
Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
Adakah pembangunan ekonomi yang dimaksudkan itu mengambil kira industri yang diharamkan Islam ataupun tidak, tak dapat dipastikan. Namun jika mengambil kira prinsipnya yang pertama iaitu: Keimanan dan ketaqwaan kepada Illahi, sudah pastilah ramai yang akan membuat kesimpulan bahawa Negara Islam Hadhari menolak sama-sekali sebarang bentuk aktiviti ekonomi yang diharamkan Islam.
Tetapi hakikatnya walaupun kita ghairah menghebah dan mempromosi Islam ciptaan Dollah ini samada di pentas tempatan lebih-lebih lagi diperingkat anatarbangsa, yang kononnya merupakan dasar dan matlamat negara kini, rupa-rupanya kita sendiri sebenarnya kabur, khayal dan berpura-pura semata-mata.
Disatu peringkat kita kelihatan mahu mengambil pendekatan dan penyelesaian secara Islam Hadhari ini (sehingga menteri-menteri bukan Islam pun tidak keberatan mempromosinya) sedangkan dalam waktu yang sama kita menyepikan diri terhadap aktiviti yang terang-terangan dimurkai Allah swt dan Rasul Nya saw.
Semalam dalam akhbar THE STAR salah sebuah syarikat perjudian terbesar yang dilesenkan oleh kerajaan Dollah Badawi iaitu BERJAYA SPORTS TOTO BHD telah mengumumkan prestasi kewangan syarikatnya. Menurut pengumuman itu syarikat tersebut telah berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM445.9 juta iaitu peningkatan 35.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Hasil pendapatannya sahaja untuk tahun berakhir April 2006 adalah sebanyak RM2.94 billion berbanding RM2.67 billion tahun sebelummya.
Menurut laporan itu juga salah satu faktor keuntungan besar syarikat ini adalah kerana cabutan produk judinya Super 6/49 Jackpot yang telah membayar hadiah kemenangan berjumlah RM15.9 juta pada bulan Mei tahun lalu.
Ringkasnya semakin ligat kita mempromosi Islam Hadhari ini semakin makmur industri-industri haram (menurut Islam) yang dilesenkan termasuklah judi, arak dan lain-lain.
Yang hebatnya syarikat-syarikat korporat dalam industri ini turut mengambil umat Islam sebagai lembaga pengarah, para pegawai dan kakitangannya. Itu tidak mengambil kira umat Islam yang membebas menjual-beli sahamnya. Malah ada pula program-program kebajikan termasuklah yang melibatkan anak-anak yatim dan orang-orang tua yang dibiayai dengan senang hati oleh syarikat-syarikat ini.
Dalam pada itu renungilah kenyataan ejen Islam Hadhari yang terdapat dalam laman web Puteri Umno:
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, tempoh masa itu perlu supaya 10 prinsip dalam Islam Hadhari itu tidak menimbulkan salah faham dan kebimbangan dalam negara yang komposisi rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah perancangan jangka panjang bagi melihat masyarakat di negara ini mengamal nilai-nilai ajaran Islam dalam konteks yang lebih luas.
Luas itu barangkali termasuklah di dalamnya Sports Toto, Genting, Bigsweep, Magnum, Carlsberg, Anchor dan lain-lain agaknya.
No comments:
Post a Comment