Trend menyerang ulamak
Satu ketika dahulu saya masih ingat ketika seorang pemimpin PAS yang berstatus ulamak mengeluarkan pandangannya, kalangan pimpinan Umno dan kerajaan ketika itu mendakwa dalam Malaysia cuma Mufti sahaja yang dibenarkan memberi atau membuat fatwa.
Seolah-olah menunjukkan pada kita bagi kerajaan dan Umno, Mufti lah authority ataupun institusi yang berwibawa mengeluarkan pandangan berhubung perkara-perkara melibatkan agama dalam negara.
Hari ini kita lihat perakuan itu sudah tidak dipakai lagi.
Ini ekoran sebuah majlis Muzakarah Ulamak 2006 yang diadakan di Ipoh, Perak baru-baru ini. Muzakarah bertemakan Pemurnian Islam Dari Liberalisme Dan Pluralisme yang dihadiri oleh lebih 180 orang peserta itu kini dikecam oleh banyak pihak termasuk kalangan para Menteri kabinet dan yang bukan Islam.
Muzakarah yang diresmikan oleh Raja Muda Perak itu telah menyaksikan pembentangan tiga kertas kerja iaitu:
Pemurnian Islam Dari Liberalisme dan Pluralisme oleh Mufti Perak
Menangani Implikasi Fahaman Pluralisme Agama oleh Profesor Madya Dr. Anis Malik Thoha dari UIAM
Sumber Liberalisasi Pemikiran Islam: Kes Al-Quran oleh Ustaz Adnin Armas M.A. dari Institute for The Study of Islamic Thought and Civilization
Muzakarah tersebut telah membuat rumusan ataupun resolusi yang antaranya termasuklah meminta umat Islam agar prihatin terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam.
Lanjutan dari itulah maka Mufti Perak selaku tuan rumah memohon agar pihak kerajaan MENGKAJI SEMULA perayaan KONGSIRAYA yang diadakan demi memelihara aqidah umat Islam.
Kalau saya tak silap Mufti Perak itu tidak meminta diharamkan KONGSI RAYA (beliau pernah meminta diharamkan KONSERT SUREHEBOH tapi tak dipedulikan pun) Cuma minta dikaji semula. Malah mengikut kenyataan TPM Najib Tun Razak memorandum dari Muzakarah tersebut pun belum diterimanya lagi, tiba-tiba pihak-pihak tertentu mengeluarkan kenyataan menyerang Mufti dan para peserta Muzakarah itu.
Akhbar THE STAR sehingga sanggup mengambil inisiatif menganjurkan undian samada pembacanya menyokong ataupun tidak pandangan Mufti itu sehingga digembar-gemburkan di akhbarnya hari ini bahawa 88 peratus pembacanya menentang pandangan Mufti itu!
TV3 pula semalam menyiarkan pandangan tokoh liberal Dr Chandra Muzaffar yang menolak pandangan Mufti itu. Sedih seorang intelek setaraf beliau boleh mengeluarkan kenyataan tanpa pun melihat resolusi yang diluluskan oleh Muzakarah itu.
Kemudian seorang penulis (Melayu/Islan) dalam akhbar THE STAR telah bertindak lebih proaktif lagi sehingga membuat andaian terhadap apa yang dinayatakan oleh Mufti itu, dari beberapa kerat kenyataan beliau telah menokok-tambah sehingga berjaya mencetuskan kemarahan rakyat terhadap institusi Mufti.
Dalam artikelnya Is our faith that fragile, Rose Ismail menulis:
WHY should attending a Kongsi Raya celebration make me a murtad (apostate)?
Sadly, his comment does not reflect well on Muslims. It seems to suggest that our faith in God is so fundamentally fragile that, on the slightest pretext, we can be persuaded to jump ship
Saya sendiri masih menunggu-nunggu kenyataan penuh dari Mufti Perak itu, tetapi saya pasti ramai dikalangan kita telah melompat sebelum pun disuruh berbuat demikian. Kita ghairah mengeluarkan pandangan biar pun yang melibatkan bab agama sedangkan belum tentu kita adalah ahlinya.
Tanpa kita sedari inilah contoh perangkap liberalisme yang mahu diketengahkan oleh muzakarah ini. Liberalisme yang dimaksudkan adalah kebebasan semua pihak menyatakan berkenaan dengan Islam seolah ianya setaraf dengan ideologi ciptaan manusia. Bahana liberalisme seumpama ini termasuklah menuntut agar al Quran diberi penfasiran semula kerana kononnya tafsir tradisional yang ada sebagai literal dan tidak mengambil kira konteks
Islam Liberal jenis ini mahu Islam diacu menurut peredaran zaman dan bukannya zaman yang diacu menurut Islam.
Kemudian ditokok pula dengan pluralisme. Pluralisme yang dimaksudkan adalah semua agama adalah sama dan setaraf. Maknanya bukan saja perlu ada kepelbagaian anutan agama, tetapi semua agama adalah setaraf dan perlu dilayan sama. Bukan itu saja, sikap pluralisme juga menuntut supaya dalam Islam, wajar dibenarkan lahir pelbagai fahaman dan tidak tertakluk kepada pengiktirafan institusi-institusi agama atau ulama.
KONGSIRAYA yang timbul dalam isu ini bagi saya sekadar melahirkan kebimbangan para peserta Muzakarah. Iaitu dalam hal merayakan perayaan agama lain.
Harus diingat ada diantara perayaan di Malaysia tidak melibatkan keagamaan contohnya Tahun Baru Cina. Mungkin yang dimaksudkan itu adalah perayaan Krismas dan Deepavali contohnya, perlu ada garispanduan, kerana bukankah tugas para ulamak adalah untuk mengawasi dan memelihara aqidah umat Islam.
Inilah yang saya percaya mahu diutarakan oleh Mufti Perak itu tetapi belum pun sempat beliau membuat penjelasan beliau telah diserang oleh semua pihak.
Dan saya melihat trend menyerang dan memperlekeh serta merendah-rendahkan institusi ulamak dan Islam itui sendiri semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Umno selaku tunggak perwakilan Melayu/Islam dalam kerajaan bukan sekadar tidak mampu berbuat apa-apa malah kalangan pimpinan mereka pun turut sama menghamburkan serangan sebagaimana puak-puak jahil yang lain.
No comments:
Post a Comment