Thursday, June 01, 2006

Tragedi berulang lagi di Hulu Kelang
:MB mesti bertanggungjawab

Sekali lagi, kali ini kali yang ketiga dalam tempuh 13 tahun kejadian tanah runtuh berulang di kawasan Hulu Kelang sehingga meragut nyawa mangsa-mangsanya.



Kali ini kejadian berlaku di Kampung Pasir, Hulu Kelang apabila tembok halangan di Taman Ukay Bestari runtuh sehingga mengakibatkan tanah dan selut dari sana menggelungsur ke bawah dan menimpa serta menimbus 3 blok rumah panjang yang dihuni oleh 160 orang di lereng dan cerun Bukit Zoo View itu.

Empat orang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu.

Punca keruntuhan tembok halangan di Taman Ukay Bestari itu dipercayai berlaku kerana kerja-kerja pembinaan rumah di atas bukit tersebut.

Sebelum ini di kawasan yang sama pada bulan Disember 1993 satu blok apartmen 12 tingkat di Highland Towers telah runtuh apabila berlaku kejadian yang sama yang telah mengorbankan 48 nyawa. Begitu juga sekali lagi pada tahun 2002 yang lalu seramai 8 orang terkorban apabila sebuah rumah banglo kepunyaan Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar di Taman Hillview turut roboh akibat kejadian yang sama.

Sekali lagi Menteri Besar Selangor Khir Toyo sekadar mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan akan dijalankan ke atas syarikat perumahan di kawasan itu kerana didapati gagal menyediakan tembok halangan yang kukuh sehingga menyebabkan tanah runtuh.

Mengapakah setiap kali berlaku kejadian kerajaan negeri sekadar menuding jari ke pihak yang ketiga?

Siapakah yang memberikan kelulusan kepada syarikat perumahan tersebut menjalankan kerja-kerja dan aktiviti mereka? Apakah setelah tiga kali kejadian yang meragut nyawa orang-ramai berlaku MB dan kerajaan negeri tidak menginsafi bahawa kawasan tersebut sudah tidak selamat lagi untuk dibangunkan?

Pada tahun 2002 lagi Jurutera Dato Dr Ramli Mohamad pernah dipetik oleh akhbar NST sebagai berkata bahawa kedudukan granit di sekitar kawasan tersebut sudah tidak lagi stabil sehingga boleh sahaja memungkinkan berlakunya tanah runtuh sekiranya cuaca lembap.

Malah Pengarah Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) Profesor Dr. Mahadzer Mahmud pernah sebelum ini berkata bahawa kestabilan tanah di kawasan berkenaan sudah tidak mampu bertahan lagi oleh kerana terdapatnya aktiviti pembukaan tanah dan pelencungan sungai besar-besaran di situ.

Kini apabila kejadian berulang lagi MB sekadar mahu menuding jari ke pihak lain sedangkan kerajaan negeri sesungguhnya bertanggungjawab sejak kejadian pertama lagi bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin dan sebarang kejadian yang sama tidak berulang.

Kononnya menurut Khir pasukan teknikal dari kerajaan negeri telah pun menjangkakan masalah seumpama ini bakal berlaku malah telah mengesyorkan agar pemaju yang terlibat mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini dari berlaku.

Soalnya mengapa kerajaan negeri sekadar memberikan syor? Jika sudah menjangkakan kejadian buruk akan berlaku sepatutunya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mengarahkan agar dihentikan projek tersebut!

Empat nyawa telah terkorban kerana kecuaian ini dan dalam hal ini saya mengira, bukan sekadar pemaju, kontraktor dan consultant sahaja yang perlu dipersalahkan, MB juga turut perlu memikul pertanggungjawaban dan diseret sekali jika ada penyiasatan dan dakwaan.

No comments: