Sunday, August 15, 2004

Ungku Aziz sanggah Dr Mahathir

Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan wawancara bersama Prof. Diraja Ungku Aziz dengan tajuk "Melayu tidak kisah bangsa". Ketika ditanya berhubung kegagalan Dasar Ekonomi Melayu (DEB) merobah orang Melayu, beliau antara lain menjawab:

"Kita telah melalui zaman yang baik itu sehingga tahun 1980an. Selepas itu di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan wawasan bahawa orang Melayu boleh survive dalam persaingan yang bebas."

Pihak MM cuba mempertahankan Mahathir dengan menyoal, "Salahkah wawasan itu" lalu Pak Ungku mengatakan:

"Ia mustahil boleh berlaku........Kita belum bersedia untuk meritokrasi"

Terus MM cuba mengawal suasana dengan bertanya pula, "Tetapi tidakkah kalau terlalu banyak diberikan bantuan orang Melayu akan jadi begitu manja", lalu Pak Ungku yang dikenali dengan pandangan dan pemikiran yang tajam dan kritis itu berkata:

"Ini satu lagi klise. Bantuan apa yang kita beri? Saya tadi menyebut tentang pendidikan dan pemakanan sebagai ejen perubahan. Tulisan saya dalam Laporan MAPEN II menyebut bahawa setiap orang harus makan telur ayam sekurang-kurangnya sebiji seminggu. Hakikatnya kalau kita buat kaji selidik di Kelantan dan Terengganu puratanya hal ini tidak berlaku. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa kita sudah membantu orang Melayu?"

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya yang diiktiraf ilmunya diperingkat dunia ini tidak bersetuju dengan wawasan Dr. Mahathir dan merasakan orang Melayu masih belum bersedia untuk berjalan sendiri tetapi wawasan inilah yang dipuja dan dipuji oleh orang Melayu kebanyakkan pada hari ini.

Saya teringat bekas Ahli Parlimen Baling Ustaz Taib Azamuddin pernah mendedahkan di beberapa daerah pedalaman di sana (Baling dan Padang Terap) orang Melayu cuma makan sebiji telur dan garam untuk menghidupkan suatu keluarga yang besar. Dan kita di sini bertegang urat leher berpidato tentang meritokrasi dan membuang tongkat dari tangan mereka. Kasihan orang Melayu.........



1 comment:

Anonymous said...

Nak kesian-kesian sampai bila? Melayu ni tak maju-maju jugak. Org Melayu memang padan muka masih terkebelakang sbb bodoh sombong. Bila ada peluang belajar, tak nak belajar betul-betul.