Monday, August 23, 2004

47 tahun merdeka: Remaja Melayu paling ramai terbabit gejala sosial & jenayah

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan betapa Presiden GPMS kononnya bimbang melihat angka yang menunjukkan bahawa golongan remaja Melayulah yang teramai terlibat dalam kegiatan gejala sosial dan jenayah.

Antara gejala sosial dan jenayah yang dimaksudkan termasuklah rogol, bunuh, mencuri kenderaan, mencedera, samun, pecah rumah dan dadah. Dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja pecahan remaja yang ditangkap polis kerana terlibat dalam pelbagai kegiatan tersebut adalah:

Melayu 899 orang
Cina 55 orang
India 76 orang
Lain 81 orang

Bermakna mengikut peratusnya remaja Melayu yang ditangkap kerana pelbagai kes jenayah adalah sebanyak 80.91%.

Suhaimi Ibrahim (Presiden GPMS) mengaitkan masalah ini dengan pengaruh rakan sebaya, masalah ekonomi dan sikap masyarakat yang kurang peka. Pengaruh media cetak dan elektronik juga penyumbang menurut beliau.

Demikianlah nasib anak-anak Melayu. Negara ini milik mereka, pemimpin-pemimpin pun ramai dikalangan mereka namun yang hanyut dan punah akhlaknya mereka juga! 47 tahun merdeka, Malaysia meluncur mahu menjadi negara maju, namun anak-anak bangsa tergelincir dan rebah.

Kalau masalah ini dikaitkan dengan masalah ekonomi iaitu mereka kesempitan kewangan dan miskin, apa agaknya yang dilakukan oleh pak-pak Menteri kalangan orang Melayu belaka selama ini? Merdeka 47 tahun orang Melayu merempat dan susah lagikah?

Kalau masalah ini dikaitkan pula pada media cetak dan elektronik, bukankah media ini semua dilesenkan, dikawal dan diselia oleh orang-orang Melyu belaka? Tidakkah mereka juga ada saham dalam kemelut sosial ini?

Itulah bila para ulamak tegur dan tonjolkan perkara-perkara maksiat dan haram yang dilakukan secara berleluasa janganlah mudah melenting dan bermati-matian pertahankan. Bila
angka-angka melibatkan remaja Melayu terbit, kita urut dada konon-kononnya terperanjat.

Ringkasnya apabila negara pesat membangun namun meninggalkan dan mencicirkan acuan Islam, disaat itu jangan lagi kita meratap melihat umat hancur bahananya. Umat cuma akan kukuh dan negara makmur apabila Islam dijunjung dan dimuliakan, terimalah hakikat demikian.



No comments: