Thursday, August 05, 2004

Islam memang bersikap toleran terhadap agama lain

Tindakan Perdana Menteri Pak Lah Badawi berucap di majlis peresmian mesyuarat "Faith and Order Plenary Commission" anjuran Majlis Gereja-gereja sedunia mendapat reaksi beberapa individu. Termasuklah reaksi dari Timbalan Mursyidul Am Ustaz Idris Omar yang menyatakan tidak wajar Pak Lah berbuat demikian.
Beliau berkata sebagaimana dipetik Harakahdaily:
Ini katanya, sebagai ketua negara tindakan beliau itu akan mempunyai kesan dan mempengaruhi umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia yang juga telah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.

Malah katanya, secara tidak langsung, masyarakat luar akan mentafsir perkembangan Islam di negara tidak mempunyai kekuatan sehingga boleh memberi ruang kepada pendakwah pelbagai agama menyuburkan agama mereka.

"Kebebasan beragama dalam negara kita dihormati tetapi apa yang kita pertikai ialah seseorang pemimpin Islam merasmikan sesuatu majlis agama lain menggambarkan kita turut mengiktiraf agama tersebut sedangkan perkara itu boleh diserahkan kepada pemimpin agama itu sendiri melakukannya," katanya.
Secara peribadi saya merasakan kenyataan Ustaz Idris tidak berapa tepat dan saya terlebih dahulu memohon maaf.
Pada pandangan saya PAS seharusnya bersikap terbuka dalam hal ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sikap tolransi beragama telah lama diamalkan oleh Islam dan PAS sendiri. Tuan Guru Mursidul Am selaku Menteri Besar Kelantan telah mempelopori beberapa langkah bagi membuktikan keterbukaan Islam dalam masalah hubungan dengan masyarakat bukan Islam.
Tok Guru pernah hadir dan menyerahkan surat watikah kepada ketua sami Buddha Kelantan di Wat di Tumpat dalam kapasiti beliau sebagai MB di awal tahuan 90an dahulu. Beliau pernah menjemput wakil-wakil pelbagai agama termasuk paderi kristian dan seumpamanya untuk berbincang dengan beliau sebagai Ketua Negeri. Di majlis-majlis seumpama ini lah Tok Guru telah mengambil peluang untuk menerang dan menjelaskan kedudukan dan pendirian Islam dalam pelbagai perkara. Saya masih ingat ucapan beliau di perkarangan Wat Buddha di Tumpat itu dimulakan dengan memetik ayat-ayat Al Quran. Malah Tok Guru pernah menggalakkan agar pemimpin agam lain hadir di majlis-majlis anjuran masjid-masjid di Kelantan.
Demikian juga dengan beberapa pimpinan PAS yang lain kemudiannya. Ustaz Nasharuddin dan Dr. Hassan Ali pernah hadir di majlis anjuran gereja untuk menjelaskan darihal Islam yang diperjuangkan PAS.
Oleh itu dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kehadiran Pak Lah itu saya rasa kita perlu berhati-hati. Jangan sampai orang mengatakan PAS benci kepada penganut agama lain dan akan menyekat kebebasan mereka. Nyatakanlah betapa PAS telah pun mempraktikkan toleransi beragama dengan mendedahkan "experience" di Kelantan dan juga sepenggal di Terengganu.
Sekali lagi saya minta maaf pada Ustaz Idris, dalam hal ini "I beg to differ".

No comments: