Monday, October 25, 2010

Umno semakin tertekan

Ayuh....

Jangankan gerimis hujan pun mari, kita redahi.........jangankan ribut taufan pun mesti kita harungi.....jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi.....Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi.

Demikianlah lantangnya bunyi madah Presiden Umno semasa menyampaikan ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno ke 61 baru-baru ini.


Najib juga menyeru agar Putrajaya, lambing kuasa bagi kerajaan Pusat turut dipertahankan oleh Umno habis-habisan. Beliau berkata:

Walau berkecai tulang dan juga badan, walau berkecai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari walau apa pun terjadi, Putrajaya mesti kita peratahankan!

Saya tidak tahu pandangan yang lain, tetapi bagi saya kali ini tampak dan zahir kebimbingan Umno terhadap lawannya. Jika dulu tidak pernah lawan diberi perhatian apalagi dipedulikan sangat, sekadar diperleceh dan dijadi bahan senda-gurau, ternyata kali ini setelah 61 tahun usianya, Umno mula gelisah.

Dalam usia melewati umur pencen, Umnokini tersedar bahawa survivalnya terancam. Setelah lebih setengah abad bersenang dan bersantai, Umno gundah dan gelisah, kuasa yang mula lurut dari tangan berkemungkinan terus lurut dan hanyut.

Inilah bagi saya kali pertama melihat Umno dalam suasana defensif. Kalau sebelum ini ia sekadar bertepuk-sorak, tawa hilai dan berhibur-sakan semasa bersidang, kini agak kelam dan muram. Walaupun lantaran budaya berhibur sudah menjadi darah daging, suasana ancaman tidak berapa terpancar pada wajah sebahagian perwakilan dan pemerhati kecuali yang insaf dan sedar khasnya dikalangan pimpinan.

Tetapi bolehkah Umno mengikis tabiat dan amalan buruknya untuk meyakinkan rakyat agar memeluk dan mengucupnya kembali?

Benarkah buruk tabiat dan amalan Umno?

Perwakilan Melaka, Mohd Said Yusif (jaguh “tutup sebelah mata”) dalam perbahasannya di perhimpunan Umno baru-baru ini bercerita:

(Tentang temuduga bagi jawatan “badut politik’) Dalam temuduga itu bakal badut ditanya soalan mudah lima darab lima berapa, maka dijawab dua puluh lima setelah berfikir panjang tetapi (calon badut itu) ditolak oleh pemimpin (yang menemuduga) kerana dikatakan lambat menjawab dan tidak cekap.

Badut kedua masuk dan menjawab dengan pantas dua puluh lima, juga ditolak kerana dikatakan terlalu pantas menunjukkan tidak berpengelaman.

Akhir sekali masuklah badut ketiga yang member jawapan (pada soalan yang sama): Berapa bos mahu?

Maka pemimpin it uterus berkata badut itu amat pintar kerana telah terlebih dahulu membuat “homework”.

Saya pasti semua yang mendengar dongeng Mohd Said ini akan tergelak dan keatwa besar. Tetapi hakikatnya, itulah tabiat dan amalan yang memang sedia ada disemua peringkat. Tanyalah siapa yang celik dan sedar. Kerana menyedari hakikat berkenaan, dan berhadapan dengan musuh politik yang padu dan tersusun, tidak hairanlah Umno defensif dan kiranya perangai buruk mereka terus kekal berkecailah tulang dan jasad Umno sedia untuk dimakamkan di permakaman khas yang boleh kita bina di suatu sudut di Putrajaya.

Sunday, October 24, 2010

Umno tak senang dengan penadtadbiran masjid di Selangor

Pada pilihanraya umum 2008 lalu, calon Umno, Ismail Kijo, tanpa diduga telah ditewaskan dengan majoriti 2,228 undi di kerusi DUN Lembah Jaya dalam parlimen Ampang oleh calon PAS, Khasim Abdul Aziz. Dengan kemenangan YB Khasim itu dan calon-calon lain dari PAS, PKR dan DAP telah berjaya menumbangkan kuasa Umno dan BN di Selangor buat pertama kali dalam negeri bertuah ini.

Kekalahan tersebut dan hilangnya kuasa Umno di Selangor sehingga hari ini terus menghantui mereka sehingga terkadang mengigau di siang hari, menyangkakan mereka masih berkuasa.

Mengapa Umno ditolak di Selangor?

Banyaklah faktornya, salah satu kerana isu pentadbiran masjid dan surau di negeri ini. Sejak pilihanraya umum 1999 (ketika itu MB nya Abu Hassan Omar) apabila PAS berjaya menang 4 kerusi di DUN Selangor diketuai Dato Dr Hasan Ali (ketika itu sebagai Ketua Pembangkang) dtemani Dato Ismail Kamus, Dr Shafiee Abu Bakar dan Ustaz Sallehen Mukhyi, Umno mula naik berang. Abu Hassan ketika ditemuramah akhbar The Star ketika itu, bagaimana PAS tiba-tiba boleh bertapak di Selangor, menjawab bahawa kerana PAS menguasai masjid-masjid dan surau-surau di Selangor. Oleh itu katanya kerajaan negeri akan bertindak dan memastikan masjid dan surau di Selangor bebas dari pengaruh PAS.

Itulah mula dendam Umno di Selangor sehingga menumpukan tenaga mereka pada masjid dan surau.

Maka bermulalah satu demi satu usaha menguasai masjid dan surau secara langsung oleh Umno. Jika sebelumnya ahli-ahli kariah diberikan hak untuk memilih pemimpin dikalangan mereka untuk mentadbir masjid dan surau, Umno lah yang telah merampasnya. Ketika itu segala bentuk pemilihan secara langsung digantung. Nazir dan AJK masjid ditunjuk oleh kerajaan negeri melalui syor Umno bahagian.

Maka naiklah orang-orang politik ada diantaranya yang tidak ke masjid pun. Di Subang Jaya contohnya seorang pemimpin Umno yang di rumahnya ada “bar” (sudut minum arak) pun dilantik menjadi AJK Masjid!

Tidak cukup dengan itu, mana-mana imam yang disangkanya tidak condong pada mereka turut ditamatkan perkhidmatannya. Begitu juga kelas-kelas pengajian Maghrib dan kuliah-kuliah Subuh yang menghidupkan masjid-masjid dan surau-surau turut dikawal. Dikeluarkan surat pekeliling para pendakwah yang disenarai-hitmakan oleh kerajaan negeri atas syor Umno. Mereka ini tidak dibenar masuk berceramah ke mana-mana masjid atau surau di Selangor. Antaranya Dato Ismail Kamus, Dato Dr Harun Din, malah Mufti Selangor Almarhum Dato Ishak Baharom diketika itu turut menjadi mangsa di pecat oleh mereka.

Akibatnya ahli-ahli kariah seluruh Selangor berpecah, berlaku berpuak-puak di masjid. Masjid yang sepatutnya menjadi pusat dakwah, penyibaran ilmu dan penyatuan ummah menjadi gelanggang milik orang politik. Suasana ketika itu amat malang buat Islam di Selangor. Berlaku juga insiden penyelewengan duit masjid oleh AJK yang tidak amanah yang ditunjuk ketika itu.

Alhamdulillah apabila Pakatan Rakyat menguasai negeri ini bermula Mac 2008, atas inisiatif kerajaan negeri melalui EXCO Agama, Enakmen Pentadbiran Masjid dan Surau Selangor dihidupkan kembali. Tiada lagi campurtangan politik seperti zaman Umno. Ahli-ahli kariah kembali diberi kuasa memilih pimpinan masjid dan surau di kawasan mereka. Malah bukan sahaja orang pro PR, orang-orang Umno juga boleh dicalonkan dan bertanding melalui proses pemilihan terbuka yang dikendalikan sendiri oleh pihak JAIS.

Cuma bagi jawatan Nazir, oleh kerana kerajaan negeri bermatlamat menjadi Masjid sebagai wahana transformasi ummah, maka calon-calon nazir dikenakan beberapa syarat tambahan, agar Serlangor nanti menerbitkan nazir-nazir yang berkualiti dan benar-benar boleh berperanan memakmurkan masjid.

Antara syaratanya Nazir mestilah boleh menyampaikan khutbah, memimpin majlis ilmu, memimpin majlis tahlil, berakhlak mulia dan punyai kelulusan. Nazir mestilah boleh mengimamkan solat berjemaah dalam ketiadaan imam. Lantaran syarat-syarat itulah maka bagi jawatan Nazir kerajaan negeri menghendaki agar beberapa nama calon dikemukakan agar ditemuduga dan disaring oleh pihak JAIS.

Tiba-tiba semalam dalam persidangan Umno, Ismail Kijo yang telah dua tahun tujuh bulan hilang kuasa itu mendakwa bahawa PAS meletakkan orang-orangnya untuk menguasai masjid di Selangor! The Sunday Star hari ini melaporkan:

A SELANGOR delegate took a swipe at PAS, saying that the Islamist party practises its own brand of democracy when it comes to appointing mosque committee members in the state.

Datuk Ismail Kijo claimed that a PAS-friendly candidate would be appointed to the committee even though the person garnered the least number of votes.

“It is like giving a gold medal to the one who finished third. This is the so-called democracy practised by PAS in Selangor,” he said when debating the motion on religion and education during the Umno general assembly.

Ismail said that PAS would appoint candidates that would benefit them.

Barangkali kerana tidak kebah-kebah dari demamnya lantaran kalah pada Mac 2008 lalu, Ismail Kijo menyangkakan PAS juga berperangai macam mereka dalam urusan masjid di negeri ini. Semua nazir di Selangor melalui proses yang baru ini, yang pastinya tidak ditindik atau ditunjuk oleh pimpinan parti seperti dizaman Ismail Kijo dahulu.

Saya tahu ada orang PAS yang menjadi Nazir, sudah pastinya beliau menepati syarat dan berjaya dalam proses penyaringan, tetapi ada juga yang Umno. Adakah ini bermakna semua yang Umno yang menjadi Nazir di bawah kerajaan baru ini juga sudah menjadi PAS? Jika begitu baguslah.

Ismail Kijo sebenarnya faham akan apa yang berlaku di Selangor hari ini. Ia sesungguhnya lebih baik dan diterima dengan hati terbuka dan senang oleh umat Islam di Selangor berbanding zaman beliau. Masjid-masjid semakin dimakmurkan buktinya sahaja di bulan Ramadhan kehadiran jemaah di masjid yang memangnya ramai semakin berlipat-ganda sejak dua tahun kebelakangan ini.

Jika beginilah sikap Ismail, menafikan kebaikan demi sentimen politik yang fanatik dan melulu, terus kekallah kerusi Lembah Jaya di tangan PAS dan begitu juga kerajaan Selangor ditangan PR insyallah.

Friday, October 22, 2010

Mimpi Busro akibat tidur tak basuh kaki

Para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno sedang sibuk membahaskan ucapan dasar Presiden mereka. Lazimnya siapa yang mendapat peluang bercakap akan menggunakan sebaik mungkin peluang itu untuk menarik perhatian para pimpinan. Moga-moga adalah harapan ia naik ke atas lantaran puji dan puja yang diberikan kepada pimpinan. Kalau belum jadi calon boleh jadi calon kalau belum jadi menteri boleh jadi menteri syaratnya kipaslah sekuat-kuat kipas.

Ramai-ramai perwakilan yang berucap semalam sata tertarik dengan ucapan wakil dari negeri yang Umno tak memerintah iaitu Selangor. Selangor semalam diwakil ADUN Paya Jaras yang juga Ketua Umno Subang, Mohd Bushro Mat Johor.
Untuk menarik perhatian pimpinan dan para perwakilan Bushro menyulamkan perbahasannya dengan anologi mimpi.

Dalam mimpi ini saya menaiki kereta buatan nasionaldan apabila tiba di satu persimpangan kenderaan saya dihalang oleh sekumpulan besar binatang, saya ingatkan kambing tetapi rupa-rupanya ia adalah babi yang tidak terkira banyaknya.

Perjalanan kemudian diteruskan lagi saya pandang kiri dan kanan banyak sekali rumah-rumah urut manakala apabila tiba di perkampungan Melayu saya mahu menghilangkan dahaga tetapi yang dijual bukan sahaja air mineral tetapi arak.


Begitulah kira-kira ucapan Bushro konon nak menggambarkan betapa teruknya Selangor kini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Seolah babi berleluasa diternak, seolah rumah urut dilesenkan merata-rata seolah arak dijual berleluasa sehingga ke kampong-kampung Melayu.

Dalam erti kata lain kembalilah pada Umno, Selangor akan bersih dan selamat.

Membaca laporan tentang ucapan Bushro itu saya juga turut mahu mengelamun:

Dalam lamunan saya, saya menumpang kereta kawan kerana minyak terlalu mahal, tol bersepah-sepah tak mampu nak menanggungnya apa lagi beli kereta sendiri, bonus pun tak dapat. Tiba dipersimpangan terserempak dengan deretan rumah kos murah yang rata-rata didiami orang Melayu, walau pemimpin Umno menghambat orang Melayu jadio global dan glokal, orang Melayu masih bertenggek di rumah-rumah kos murah sahaja.

Tiba-tiba juga saya ternampak dicelah deretan rumah kos murah untuk orang miskin itu, tersergam mahligai indah tiga tingkat bagaikan istana, malah mengalahkan Istana Mestika di Shah Alam. Kata orang ini istana bekas ADUN Umno, naik sedikti sampai ke Seksyen 7 Shah Alam tersergam pula istana lain katanya juga milik bekas pemimpin nombor satu Selangor. Orang kampong bergelut berpuluh tahun di sawah, dikebun, dilaut mencari rezeki pemimpin ku yang hebat tak sampai dua penggal boleh bina istana berpuluh juta ringgit.

Saya kemudian ke Lapangan Terbang Subang, manalah tahu boleh dapat tiket murah dari penerbangan bajet. Nak bawa keluarga bercuti, destinasi tempatan pun tak mengapa. Saya diberitahu ada pemimpin Umno bekas ketua negeri semasa berkuasa dulu berbelanja lebih RM300 ribu dengan isteri anak dan kroninya ke Disneyland guna wang anak syarikat kerajaan negeri walau syarikat tersebut sedang menanggung kerugian.

Saya tekan ATM di lapangan terbang itu nak keluarkan saki baki duit simpanan saya. Saya diberitahu ada bekas MB Umno tak perlu tekan-tekan diusungnya berpuluh kilo wang tunai berbagai matawang sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa Australia, aduhai hebatnya pemimpin Umno ku.

Bila berjalan keluar, saya tersepak batu, ahhhh rupanya saya bukan bermimpi macam Bushro, ini kenyataan, ini jenayah Umno pada rakyat Selangor selama mereka memerintah dulu. Meninggalkan pemimpin kecil seperti Bushro demam dan mimpi yang bukan-bukan sedangkan hakikatnya jembalang dan mambang adalah dari bikinan tangan Umno sendiri bukan orang lain.

Itulah Bushro, kata orang tua-tua kalau nak tidur kena cuci kaki terlebih dahulu, tengok akibatnya kan dah mimpi yang bukan-bukan!

Thursday, October 21, 2010

Bila manusia bertukar jadi sang hanuman

PAS serang Umno, Umno serang PAS merupakan seuatu yang lumrah dalam politik tanahair. Serangan politik dilakukan bagi tujuan menjual parti masing-masing kepada masyarakat, merekalah yang terbaik berbanding lawannya.

Serangan kalau dilakukan oleh ahli-ahli politik yang siuman dan rasional, ia biasanya diterima dan spontan pihak lawan akan menyerang balas juga dengan balasan yang siuman dan rasional. Terkadang ia disalut dengan emosi, namun tidaklah sampai hilang siuman dan rasional masing-masing.

Itulah politik bertamaddun dan beradab namanya.

Apa sahaja yang terkeluar dari batasan itu bermakna seseorang itu telah menjerumuskan dirinya dalam politik hutan-rimba yang tidak beretika, biadap dan kurang ajar. Politik haiwan hanya layak diterjah oleh sesama haiwan.

Selama beberapa hari ini Umno, mengadakan persidangan tahunannya di PWTC. Biasalah kalau Umno berkumpul dan berseidang begitu, maka musuh tradisinya PAS akan menerima bahana serangan bertubi-tubi. PAS pun kalau bermuktamar akan berbuat begitu pada Umno, tetapi jangan celupar dan terlanjur sehingga hilang pertimbangan dan jatuh pada tahap politik kehaiwanan.

Saya merujuk kepada perbahasan perwakilan Wanita Umno dari Kelantan semalam,. Kata perwakilan itu (Rahimah Mohamed):

PAS sekarang takut pada DAP. Pemimpin-pemimpinnya lebih takutkan Karpal Singah dari takut pada Allah swt.

Bagi saya inilah contoh pembahas yang hilang sifat insaniahnya dan menjelma sifat kehaiwanan. Seranglah PAS kalau itu tugas anda tetapi jangan sampai hilang pertimbangan, hilang kewarasan dan hilang akal. Berapa ramaikah agaknya orang Mealyu yang bersetuju dengan kenyataan Rahimah itu? Atau ramai yang akan bersetuju kalau saya katakana Rahimah sudah menyerupai sang hanuman di Zoo Negara!

PAS sebagai satu-satunya Parti Islam di Negara kita tidak pernah sesaat pun melunturkan dasar dan matlamat perjuangannya. Menurut perlembagaan PAS, dasarnya adalah ISLAM dan seruannya adalah ALLAHU AKBAR. Tujuan atau matlamat PAS adalah:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Itulah dasar, seruan dan matalamat perjuangan PAS sejak ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu hingga kini tidak berubah samada PAS berkawan dengan Karpal atau Tengku Razaleigh atau Rahimah sekalipun.

Berpada-padalah bila mengeluarkan hujah walau mahu kejar populariti sekalipun, jangan sampai kita dikatakan kurang siuman dan menjadi bahan gelak dan sindiran bangsa dan agama. Kalau bernafsu sungguh mahu merampas kembali Kelantan, buktikan anda lebih baik dari PAS. Buktikan anda bersih, tidak tempang, tidak korap, berpegang sungguh-sungguh pada agama.

Marilah kita berpolitik secara dewasa termasuklah dari PAS. Jangan meninggalkan contoh yang buruk pada anak-anak kita sehingga mereka hilang hormat, dans etiap yang hidup mengutuk dan melaknat kita.

Monday, October 18, 2010

Pertimbangkanlah bonus buat penjawat awam

Tiada bonus untuk kakitangan kerajaan dalam Bajet 2011. Ini bermakna lebih 1.2juta kakitangan kerajaan seluruh Negara terpaksa sekali lagi mengikat perut berpuas-hati dengan apa yang ada walaupun berhadapan dengan kos hidup yang semakin mencekik kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

Apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga PM adalah “bantuan Khas Kewangan” sebanyak RM500.00 tiap-tiap seorang.

Sudah pastilah wang RM500.00 itu membantu tetapi hakikatnya ia tidak memadai. Sebagaimana disebut oleh sahabat saya Tuan Syed Shahir, Presiden MTUC:

Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya bagi penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang.

Setiap hujung tahun, maka berlipat-kali gandalah perbelanjaan rakyat Malaysia termasuklah penjawat awam.Anak mahu ke tadika, ke sekolah ke IPT, berbagai persediaan dan persiapan perlu diadakan lantas mengundang perbelanjaan yang besar.
Buku sekolah, peralatan sekolah, pakaian seragam, belanja pengangkutan, belanja tuisyen, tiada yang semakin turun harganya semuanya naik dan mahal belaka. Suka tak suka mereka tiada pilihan, inilah masalah besar pada penghujung tahun bagi rakyat Malaysia.

Bagi penjawat awam kemanakah mahu mereka kikis dan korek duit belanja ini? Bayangkan yang sudah terikat dengan berbagai pinjaman, perumahan, kereta dan lain-lain. Kerana itu benar walaupun RM3.1 bilion iaitu kos membayar bonus sebulan gaji kepada penjawat awam itu besar angkanya namun hakikatnya ia suatu keperluan dan banyak membantu meringankan bebenan yang ditanggung penjawat awam.

Bukankah kerajaan juga yang berkata keadaa ekonomi Negara bagi tahun 2010 menunjukkan petanda semakin pulih? Insyallah ia pasti terus begitu membawa kepada 2011, mengapa tidak kita potong atau kurangkan perbelanjaan lain yang tidak terus membantu sebagaimana bonus buat penjawat awam ini?

Saya khuatir bebanan yang timpa menimpa ini jika tidak ditangani hanya akan mengundang kaedah yang salah dan berbahaya. Lantaran terlalu tertekan ramai yang akan mencari jalan keluar, jika ia halal dan selamat tidak mengapa, tetapi yang berbaki cumalah yang sebaliknya. Ah long akan didekati dan lebih parah lagi ada yang akan terdorong untuk rasuah dan salah-guna kuasa!

Ahli-ahli parlimen kita perlu bersuara dalam hal ini. Ianya bukan untuk bermewah atau bersuka-suka, ia sesuatu yang kritikal yang perlu bagi mengatasi beban yang tertanggung oleh golongan ini, rayulah agar bonus itu dipertimbangkan jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya suatu angka yang dapat banyak membantu.

Sunday, October 17, 2010

Pemilihan PKR: Rakyat sedang memerhatikan anda

Syukur setakat ini rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat sudah sampai ke peringkat akhir melaksanakan tanggungjawab pemilihan dalam parti mereka. Proses pengundian secara langsung ternyata menjadi perhatian dan mencuri minat ramai. Ditahapp-tahap akhir ini kelihatan ia berlangsung dengan lebih lancar dalam suasana muafakat, tertib dan member tumpuan kepada agenda yang lebih mbesar yang sedia menanti.

Semalam proses penerimaan pencalonan telah sempurna. Seperti biasa yang paling “excited” adalah rakan-rakan dari dunia media, samada media konvensional mahupun media baru.

Kita yang berada di luar PKR sekadar menyerahkan kepada rakan-rakan untuk melaksanakan amanah mereka masing-masing, moga dilaksanakan dengan baik dan sempurna dan menaikkan pimpinan yang paling baik dan layak antara yang baik-baik dan layak-layak belaka.

Sebagai kawan saya senang apabila melihat tiada pertembungan antara dua tokoh gergasi PKR iaitu Sdr Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sesungguhnya kedua-dua mereka tokoh besar dan diperlukan dalam arus perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran ini. Jika bertembung juga mereka salah seorang pasti akan gugur, dan apabila itu berlaku yang rugi adalah kita semua.

Saya teringat dalam PAS bagaimana sikap Timbalan Mursyidul Am, Dato Dr Harun Din. Beliau sedia dilantik untuk jawatan tertinggi tetapi jika ada pertandingan beliau rela member laluan. Ada yang nakal mengatakan, itu tanda Harun Din takut bertempur, takut kalah. Bagi saya itu satu telahan yang jahat dan singkat. Sepanjang hidup beliau Harun Din gergelut dan bertempur menghadapi apa sahaja halangan yang menganggu Islam di hadapan beliau. Beliau bukan insan sebegitu. Sikap itu sebenarnya cuma boleh terbit dari insan yang berhati dan berjiwa besar. Sehingga hari ini beliau terus dihormati dan dikagumi kawan dan lawan. Manusia cakap besar ramai tetapi yang berjiwa besar sangat sedkiti dan Harun Din terbukti salah seorangnya.

Berbalik kepada pertandingan Timbalan Presiden PKR, dengan pengunduran Tan Sri Khalid saya yakin laluan Azmin semakin selesa. Sekiranya ditakdirkan berjaya saya yakin Azmin dengan kepakaran, pengalaman dan kebolehannya akan mampu melonjakkan lagi PKR bersama Pakatan Rakyat jauh meninggalkan BN dan Umno yang semakin longgar dan ditolak rakyat itu.

Kita perlukan pemimpin yang ada upaya dan karisma untuk membawa kita ke Putrajaya. Azmin dan Tan Sr Khalid serta rakan-rakan lain selain pimpinan PAS dan DAP hari ini saya yakin memiliki kualiti-kualiti itu. Bawalah kami ke sana dengan restu semua.
Pemuda Umno lawan judi: lawan betul-betul

Baru-baru ini rebut di Pulau Pinang. Umno menjadikan isu wang bantuan rakyat miskin yang diserahkan oleh kerajaan negeri dikatakan datangnya dari sumber judi. Judi itu haram, maka apabila hasilnya dijadikan habuan kepada rakyat miskin, Umno lah juara mahu membenterasnya.

Isu itu telah pun dijawab oleh pihak berkuasa negeri.

Pokoknya di sini judi itu kotor dan jahat. Ia berkemampuan meruntuhkan institusi keluarga, suami-isteri kaum keluarga bercerai dan berpecah-belah angkara judi. Ada yang berhutang keliling pinggang angkara judi, ada yang mencuri, menipu sehingga ada yang dibunuh akibatnya.

Ketua Umno, selaku PM baru-baru ini membentangkan Bajet 2011. Beliau membentangkannya selaku Menteri Kewangan. Untuk maklum judi yang haram hukunya itu dihalalkan di Malaysia melalui lessen yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, yang Menterinya juga Ketua Umno. Atas alas an kononnya judi ini tidak haram bagi yang bukan Islam, maka industri judi diizinkan. Bermula dengan loteri kebajikan masyarakat dan lumba kuda kini ia berkembang sehingga industri tikam nombor dan kasino yang syarikat-syarikatnya beroleh berbillion keuntungan dan hampir kesemuanya tersenarai di Bursa Malaysia.

Kalau benar Umno ni benci judi kenapa kalau pun tidak diharamkan industri ini, tidak dilakukan sesuautu agar rakyat semakin menjauhi ia? Kalau cukai rokok sebelum ini boleh dinaikkan sehingga sekotak rokok menjadi RM10 hari ini dan menjadi keluhan ramai perokok tegar, mengapa tidak cukai judi baru-baru ini dalam bajet turut dinaikkan?

Biar gergasi-gergasi judi yang merupakan rakan pimpinan Umno itu senak-senak perut membayar cukai yang dinaikkan berpuluh kali ganda. Atau judi sekadar kotor dan haram bila hasilnya RM100 diberi kepada orang miskin tetapi bila berbillion masuk ke kantung kerajaan pusat, saguhati berjuta diberi pada dana politik dalam pelbagai bentuk, ia menjadi suci dan bersih!
Bolehkah agaknya dalam Perhimpunan Umno nanti, jaguh-jaguh juara Umno khasnya dari Pemuda yang sebegitu lantang di Pulau Pinang mendesak agar Ketua parti mereka yang juga Menteri Kewangan agar menaikkan setinggi langit cukai judi? Kelantan negeri yang majoriti Melayu mutlak, kerajaan Tok Guru Nik Aziz mengharamkan pengeluaran lesen premis kedai judi sejak 20 tahun lalu. Di Selangor yang majmuk pun kerajaan negeri telah mengarahkan PBT-PBT agar tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi berlesen (yang dilesenkan Pusat) yang baru.

Umno bagaimana?