Saturday, May 03, 2008

Kerajaaan Kedah keluar dari amalan buruk BN

Tidak seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang maju dan mewah, kerajaan negeri Kedah yang kini turut dikuasai Pakatan Rakyat memiliki sumber yang sangat terbatas. Kerana itu cabaran terhadap Kedah lebih besar berbanding ketiga-tiga negeri tadi dan kiranya Menteri Besar Ustaz Azizan Abd Razak dapat mentadbir negeri Utara itu dengan bijak dan berhemah, sebagaimana berjayanya Tok Guru Nik Abd Aziz di Kelantan, tidak mustahil Kedah nanti juga akan muncul sebagai negeri contoh.Berhadapan dengan realiti begitu tokoh veteran PAS itu nampaknya tidak banyak mahu membuang masa.

Baru-baru ini beliau mengumumkan yang kerajaan negeri di bawah beliau telah mengumumkan mulai tahun hadapan, semua konsesi balak akan diberikan secara tender terbuka dan tidak lagi secara rundingan sebagaimana semasa di bawah pemerintahan BN. Balak merupakan benteng terakhir sumber asli terbesar negeri tersebut.

Kiranya pengurusannya dijalankan dengan cekap, Kedah akan meraih keuntungan besar.Semasa mengumumkan ini Ustaz Azizan menyatakan bahawa akibat dari rundingan terus, kerajaan negeri telah kehilangan hasil tahunan kira-kira RM50 juta setahun! Tambah beliau kerajaan negeri sepatutunya boleh memungut hasil RM10,000 seekar (atau RM25,000 sehektar) tetapi akibat dari rundingan terus, hanya memungut antara RM500 ke RM1,000 seekar (atau RM1,250 ke RM2,500 sehektar).Di pasaran terbuka syarikat pembalakan boleh menjual sebatang balak pada harga RM3,000 tetapi Kedah hanya memperolehi hasil RM500 seekar!

Rundingan terus sepatutnya membawa hasil yang lebih lumayan kepada negeri tetapi rupa-rupanya sarat dengan penyelwengan dan amalan rasuah yang akhirnya memunahkan negeri, beitulah bijaknya BN memerintah!Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri Kedah, jangan hanya menghentikan amalan kotor ini tetapi dedahkan juga siapa yang terlibat dan terbabit sehingga negeri boleh kehilangan hasil yang lumayan. Ini bagi memberikan pengajaran kepada rakyat betapa bahayanya negeri jika pimpinan seperti Umno dan BN terus diberi amanah.
Ucapan dari Tan Sri Khalid Ibrahim

(Sebagaimana yang dijanjikan ini merupakan sebahagian dari ucapan selamat yang saya terima dari sahabat-sahabat sempena ulangtahun ke 4 blog ini pada 20 Mei 2008 nanti)

"Saudara Roslan. Tahniah kepada saudara yang menyambut ulangtahun keempat blog ROSLAN SMS. Usaha gigih diperlihatkan dalam kandungan tulisan saudara yang mengusik minda pembaca. Teruskan dalam kontek membawa negara tercinta ini ke arah peningkatan pemikiran bahawa hak rakyat dipelihara tiada dikongsikan dengan petualangan yang menyamar sebagai perjuangan ketuanan bangsa."


Tan Sri dan saya sebelum menjadi MB

(Terima kasih Tan Sri. Dalam kesibukan tuga sebagai Menteri Besar Selangor, tokoh yang saya kagumi ini tetap mempunyai masa mengirim SMS di atas kepada seorang sahabat kerdil seperti saya. Semoga Allah swt sentiasa membimbing Tan Sri bagi membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri.)

Friday, May 02, 2008

Malaysia diselimuti 1001 tandatanya

Sedang masing-masing berkata berkenaan serbuan pihak polis Bukit Aman terhadap blogger Raja Petra pagi tadi, berita terkini akhbar The Star Online menyiarkan, kabinet telah memutuskan bahawa siaran langsung persidangan parlimen, iaitu setengah jam pertama sesi soal jawab akan diteruskan. Menteri Penerangan dijangka membuat pegumuman mengenai keputusan kabinet itu hari ini juga.

Sekali lagi pandangan Dollah selaku PM ditolak. Kerap betul ditolak dan tidak dipakai kebelakangan ini.

Apakah ini ada kena mengena dengan SMS yang saya terima: Benarkah Dollah telah letak jawatan sebagai PM? Saya tidak menjawab SMS itu kerana saya tidak ada maklumat.

Sementara itu menurut NEWSBREAK NST Online pesawat membawa Dollah dan rombongan dari Kuwait selamat mendarat di pengkalan TUDM Subang jam 2.20 petang tadi. Beliau disambut oleh Timbalan Menteri di JPM Senator T. Murugiah, mana pergi yang lain?

Solat Jumaat barangkali.
Antara siaran langsung atau tidak

Kabinet sedang bersidang hari ini dan antara yang akan diputuskan adalah cadangan dari Menteri Penerangan untuk menghentikan siarang langsung persidangan dewan rakyat yang disiar melalui RTM selama setengah jam ketika sesi soal jawab pada hari-hari persidangan.
RTM baru sehari menyiarkan siaran langsung berkenaan iaitu pada hari Rabu lepas. Ianya telah dicemari dengan suasana riuh ahli-ahli dewan dari kedua-dua belah pihak, memandangkan inilah Parlimen pertama dimana parti kerajaan BN dinafikan dua pertiga majoriti di dewan.

Insiden hari pertama itu mungkin didorong oleh keghairahan ahli-ahli dewan (yang berdiri bukan dari Pakatan rakyat sahaja, termasuklah menantu PM, Kinabatangan dan lain-lain), termasuklah muka-muka baru, mahu mencuri publisiti untuk dipaparkan dalam TV. Mungkin juga kerana kegagagalan pihak kerajaan memilih speaker yang benar-benar berwibawa.

Apa pun, kenapa Menteri Penerangan begitu ghairah sekali mahu menamatkannya?

Shabery menghimpunkan masalah huru-hara dalam dewan itu pada DAP sahaja, tanpa mengambil kira faktor lain termasuklah gangguan dari wakil-wakil BN sendiri. Saya merasakan kiranya kabinet hari ini (yang dipengerusikan TPM Najib Tun Razak) memutuskan untuk menghentikan siaran langsung itu maka ianya sesuautu yangs angat dikesalkan dan jelas mencerminkan betapa kerajaan BN sesungguhnya takut untuk berhadapan dengan rakyat.

Saya perhatikan dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini rata-rata dari rakyat kebanyakkan sehinggalah ke para pemimpin termasuklah MB Kelantan, Shahrir Samad, wakil-wakil Pakatan Rakyat dan BN (termasuklah pelawak-pelawak hari pertama Karpal dan Bung Mokhtar) semuanya menyokong agar siaran langsung ini diteruskan kecuali Shabery dan PM Dollah Badawi!

Saya harap Najib akan berani mengikut arus dan menolak cadangan Shabery dan Dollah itu, tapi kiranya kabinet akur dan memutuskan untuk menghentikannya, saya yakin rakyat akan berasa tertipu dan tidak mustahil akan bertindak dengna tsunami yang lebih memautkan lagi pada PRU ke 13 nanti. Timbanglah dengan bijak, Najib dan rakan-rakan.
Please dont rewrite our religion for us

Presiden Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (Majlis Perundingan Buddhisma, Kristianiti, Hindusima, Sikh dan Taoisma Malaysia)dalam akhbar hari ini mengeluarkan kenyataan menyokong ucapan Presiden MCA, Ong Ka Ting di Parlimen Rabu lalu. Ong ketika itu berucap menjunjung kasih di atas titah SPB Yang Dipertuan Agong merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keduabelas.

Intipati bahagian ucapan yang disokong Vaithalingam itu adalah berkenaan bab memeluk Islam yang disentuh oleh Ong. Memang Islam sendiri tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan antara sipemeluk Islam dengan keluarganya yang belum Islam, mungkin ianya sesuatu yang baru untuk Vaithalingam dan Ong. Malah saya sendiri bersetuju yang kiranya seorang suami memeluk Islam, tanpa isteri dan anak-anak, maka sisuami tadi tidak boleh melepaskan pertanggungjawabannya ke atas isteri dan anak-anaknya itu. Makan-minum, belanja, pendidikan mereka semuanya adalah tanggungjawab di suami, dan Islam bukanlah jalan pintas untuk melepaskan sisuami tadi dari beban pertanggungjawabannya itu.

Cuma yang saya tidak setuju adalah apabila Vaithalingam menyokong pandangan Ong yang menyebut:

Those who becomes Muslim through marriage should be allowed to renounce Islam if the marriage ends.

Sesiapa yang memeluk Islam melalui perkahwinan hendaklah dibenarkan kembali ke agama asalnya ("murtad") jika perkahwinan itu gagal.

"Please dont rewrite our religion for us!" (Tolong jangan menulis semula agama kami)
Sesiapa yang memilih dengan rela hati untuk memeluk Islam, tidak kiralah samada melalui perkahwinan atau apa sahaja, perlulah memikul tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Islam tidak membenarkan umatnya "murtad", dan tindakan itu satu jenayah dalam Islam.Kerana itu langkah untuk mendidik dan memberikan penerangan komprehensif kepada seseorang yang bakal memeluk Islam, terutama darihal beban dan risiko ini, lebih penting dari pandangan Ong (yang diskong Vaithalingam itu) bahawa seseorang itu hendaklah boleh pulang kepada agama asalnya bila perkahwinannya gagal.

Islam bukan agama main-mainan, hari ini tidak Islam, esok masuk Islam dan lusa keluar, Majlis Perundingan yang diketuai Vaithalingam perlulah faham dan menghormati perkara ini.Ada bab yang kita boleh rundingkan, boleh bantu untuk perbaiki, tetapi ada yang fundamental, yang tidak boleh dipinda dengan akal fikiran dan nafsu manusia. Kerana itu pandangan PM baru-baru ini untuk mewajibkan seorang yang mahu menganut Islam untuk memaklumkan kaum kelaurganya yang bukan Islam terlebih dahulu, telah ditolak, kerana tidak ada nas (peruntukkan di dalam al Quran dan Hadis) demikian.

Islam boleh wujud secara harmoni dalam satu masyarakat yang pelbagai agama, khasnya di Malaysia ini, ia telah wujud "side by side" sejak kedatangan Islam pada tahun 1400 dahulu (atau menurut beberapa ahli sejarah lebih awal dari itu). Yang penting sekarang kita saling hormat menghormati, dan tidak cuba merobah atau memperkecilkan kepercayaan dan fahaman antara satu sama lain. Apa sahaja masalah hasil dari pertembungan agama ini khasnya dalam soal hubungan melalui perkahwinan, boleh diselesaikan jika ia tidak dipolitikkan. Yang paling utama jangan menuntut sehingga menyinggung mana-mana pihak.

Thursday, May 01, 2008

Roslan SMS Corner menghampiri tahun ke 4

20 Mei ini genaplah 4 tahun usia blog saya Roslan SMS Corner. Saya mula menulis pada 20 Mei, 2004 sejurus selepas kekalahan besar PAS dan parti-parti pembangkang lain dalam PRU ke 11. Ketika itu PAS hilang semua kerusinya di Selangor, Pahang dan Perak, hilang kuasa di Terengganu dan hampir sahaja ditewaskan di Kelantan.

Dalam gundah-gulana dan seribu kekecewaan itu, seorang sahabat muda telah mencadangkan agar saya jangan terus begitu, kata beliau perjuangan perlu diteruskan dan anak-anak muda seperti beliau terus mahu mendengar dan menerima pandangan dan nasihat, bagaimana untuk terus memacu perjuangan ini dalam keadaan demikian. Beliau dirikan blog ini untuk saya, katanya "Tulislah Abang Lan, pasti ada orang mahu membaca tulisan abang."

Saya menegesan semangat baru menyala dalam jiwa saya melihatkan kesungguhan anak muda itu. Lalu saya pun pada tanggal 20 Mei 2004 mulalah menulis di blog ini.

Sempena ulangtahun ke: 4 ini, saya akan memuatkan beberapa komen, pandangan dan ucapan selamat dari sahabat-sahabat yang rapat dengan saya dan ada diantaranya saya mula kenali sejak mengendalikan blog ini.

Terima kasih atas sokongan anda semua, terima kasih Mamat, semoga Allah swt memberkati usaha kita.
Jaga adab dan akhlak dalam dewan

Hari pertama persidangan Dewan Rakyat semalam terus menjadi bualan ramai. Kekecohan di dalam dewan buat setengah jam pertama telah dapat ditontoni oleh seluruh rakyat Malaysia. Walaupun ramai yang merasakan dewan kelihatan lebih bagaikan sarkas semalam namun desakkan agar siaran langsung seumpama itu bukan hanya diteruskan tetapi ditambah siarannya terus kedengaran.

Sebahagian besar sesi sebelah pagi terbuang begitu sahaja apabila ahli-ahli dewan dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang sibuk membahas dan membangkitkan isu-isu teknikal. Ramai saya yakin yang naik bosan melihat wakil-wakil mereka terlonjak-lonjak dengan buku peraturan dewan membangkitkan "point of order" untuk menarik perhatian Speaker Dewan. Itu tidak mengambil kira, kata-kata kasar dan kesat yang dilemparkan.
Gambar NST

Kerana itu saya bersetuju apabila seorang ahli dewan mengatakan yang rakan-rakannya itu lebih mahu mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri kerana sedar setengah jam pertama itu disiarkan secara langsung. Malulah kalau benar begitu sedangkan sidang dewan akan berlarutan sampai ke hujung bulan ini dan kita baru di hari pertama bagi keseluruhan penggal ke 12 ini.

Tak perlulah mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri. Bagi PAS saya perhatikan wakil-wakil veteran termasuklah yang membuat "comeback" ke dewan kali ini jelas kelihatan lebih matang dan "composed". Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan malah Ketua Pemuda kelihatan lebih relaxed berbanding beberapa yang baru jejakkan kaki ke dewan. Kita PAS perlu membawa akhlak yang lebih baik kerana kita dari parti Islam. Lihatlah cara Presiden mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, dan bagaimana Ketua Pemuda mengemukakan usulnya terhadap royalti minyak di Terengganu. Malah cara Sdr Azmin (Gombak) mengemukakan hujah dan mengatur susun kata, begitu sopan dan menjadi sebutan ramai.

Jangan kita terbawa dan terikut-ikut dengan orang lain. Tak perlulah kita mahu berlagak pandai dan mahu mengundang kemarahan speaker semata-mata untuk mengejar nama dan julangan dari penyokong (kerana kebetulan menyangka penyokong sedang menonton). Kalau ini penggal pertama kita, biarlah bab "point of order" ini dibawa oleh mereka yang lebih kanan dan lama dari kita, bukannya tidak boleh, tetapi bukankah kita ada 82 wakil Pakatan Rakyat di Dewan, kalau semuanya mahu bangkit dengan "point of order" bila pula kita mahu berbincang dan membahaskan masalah rakyat?!

Saya harapkan wakil-wakil PAS akan lebih memberikan tumpuan kepada perbahasan dengan mengemukakan hujah yang berisi dan berna, dalam waktu yang sama berakhlak dan berkeperinbadian tinggi. Wakil-wakil PAS lah yang sepatutnya ke hadapan menjunjung titah Tuanku agar dewan kali ini digunakan untuk kepentingan rakyat bukannya kepentingan peribadi. Rakyat sedang memberi perhatian kepada kita, jangan hampakan mereka.