Thursday, February 08, 2018

JANGAN BAZIRKAN UNDI ANDA

Bulan Febuari kini sudah menghampiri pertengahan usianya bermakna tarikh pembubaran Parlimen yang ditunggu-tunggu sudah semestinya semakin hampir. Parlimen penggal ke 13 ini tamat tempoh usianya pada 24 haribulan Jun 2018 dan jika tidak dibubarkan sebelumnya pilihanraya umum  perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran wajib itu.

Apa pun sudah pasti semua pihak samada yang terlibat secara langsung dengan pilihanraya ini mahupun badan dan agensi yang berkaitan kesemuanya sedang giat mempertingkatkan tahap persiapan mereka masing-masing. Penyediaan jentera yang lengkap, terlatih dan teratur adalah keutamaan parti-parti politik selain mengenal-pasti kerusi-kerusi yang mahu ditandingi serta calon-calonnya.

Pemilihan kerusi serta calon-calon bukanlah perkara mudah jika satu-satu parti itu terlibat dalam satu-satu gabungan atau pakatan politik malah kadangkala ia menjadi rumit dan mencemaskan. Ini bakal dan sedang kita saksikan berlaku pada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Tindakan sabotaj atau “cah keting” memang lazim dan sinonim dalam BN khususnya dalam Umno. Apabila sahaja seorang calon dipilih, sudah barang pasti calon lain yang tidak terpilih akan meluahkan ketidakpuasannya dan ini sering diterjemah dalam gerak-kerja sabotaj dan pemulauan. Akibatnya ia menjejas perjalanan dan kelancaran jentera BN, dan jika tentangannya terlalu hebat ia malah mampu melumpuhkan jentera diperingkat DUN atau Parlimen.

Begitu juga kebelakangan ini kita dengar contohnya di Selangor. Pan salah sebuah komponan PH di Selangor dengan angkuh bangkit menyerang Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali atas isu pembahagian kerusi di Selangor. Azmin dihamburkan dengan kata-nista, kononnya tidak layak memimpin bukan sahaja dari pimpinan Pan malah termasuklah dari DAP semata-mata kerana kononnya tidak cekap.

Sebelum itu kita dengar majlis pengisytiharan pembahagian kerusi PH di Negeri Sembilan menjadi tegang dan huru-hara apabila wakil-wakil PBBM atau Bersatu bangkit memprotes keputusan pembahagiannya.

Dan adalah dijangkakan semakin hampir tarikh pilihanraya umum, akan semakin sengitlah perbalahan berkaitan isu pembahagian kerusi dan mengenal-pasti calon-calon ini, dan ianya sudah pasti menghilangkan keyakinan rakyat terhadap parti-parti berkaitan. Tatkkala itulah akan berlaku drama dedah-mendedah, serta serang-menyerang yang kesudahannya akan mendidik rakyat agar menjauhi dari kelompok dan parti bermasalah ini, kerana nasib dan masa depan negara terancam kiranya mereka ini dinaikkan.

Berlainan dengan PAS. Melalui Gagasan Sejahtera, gerak kerja jentera pilihanraya serta proses mengenal pasti kerusi-kerusi dan calon-calon PAS dan GS kelihatan berjalan lancar dengan tenang dan teratur. Pengalaman mengajar PAS betapa pentingnya persiapan jentera pilihanraya selain mengenal pasti calon-calon yang benar-benar “winnable” dan mampu menarik minat rakyat pada PAS. PAS menyertai pilihanraya sejak dari tahun 1955 lagi.

Proses di dalam PAS sungguh matang dengan masing-masing memberikan komitmen dan pengorbanan, manakala calon-calon pula melalui berbagai proses saringan dalaman parti sehingga akhirnya yang muncul adalah nama-nama yang benar-benar terbaik antara yang baik-baik dans ering nama-nama ini diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak.

Kerana itu bolehlah dikatakan dalam keadaan tiada lagi kerjasama politik dengan PKR dan DAP kali ini, PAS kelihatan lebih fokus dan gerak kerja pilihanrayanya lebih teratur dan tersusun dan tidak mustahil akan terbit sebagai parti paling berpotensi meraih kemenangan terbesar dalam PRU ini kerana mereka parti yang stabil dan meyakinkan.

Dalam pada itu, timbul juga kebelakangan ini gesaan dari sekalangan pengundi khususnya para pengundi baru untuk merosakkan undi mereka dalam satu kempen yang dikenali sebagai Kempen #undirosak. Kononnya pilihanraya umum kali ini cuma menawarkan rakyat dua alternatif iaitu samada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

BN menurut kempen ini perlu ditolak kerana mereka bermasalah, manakala PH pula gagal mengemukakan alternatif yang meyakinkan kerana mereka kelihatan lebih berminat menonjolkan Tun Dr Mahathir sebagai bakal PM mereka sedangkan Tun juga diketahui penuh bermasalah semasa beliau PM dahulu.

Lantas kempen ini menggesa rakyat untuk merosakkan undi masing-masing agar kedua-duanya tidak naik. Sesungguhnya idea ini #undirosak ini tidaklah memberi keuntungan dan manfaat buat mana-mana pihak malah ia sebenarnya bakal merugikan semua dan melatkkan negara dalam suasana tidak menentu.

Apa yang berlaku hari ini, rakyat bukan punya hanya dua alternatif iaitu BN dan PH semata-mata tetapi di sana ada Gagasan Sejahtera dan PAS yang bertindak sebagai “Thirdforce” yang menjanjikan kepimpinan dan kerajaan yang terbukti bersih. Lebih penting PAS bersedia memperjuangkan nasib dan masadepan rakyat dan negara dengan sentiasa meletakkan ketaatan pada Allah swt di hadapan.

Rakyat jangan sekali-kali membazir atau mempersiakan undi mereka. Katakan “tidak” pada BN dan PH kerana mereka memang telah dan sedia terpalit samada dengan ketempangan mahupun kepincangan yang baru ataupun lama. Tidak seperti PAS yang punya rekod cemerlang baik di Kelantan mahupun bersama di Selangor dan di Terengganu dan Kedah sebelum ini.

Kita punya pilihan yang terbaik, kerana itu kita semua wajar berani bangkit menuntutnya. Jangan rosakkan undi anda, jangan juga bazirkannya dengan mengundi mereka yang tempang dan pincang. Pilihan terbaik adalah PAS, biar selamat kita semua di dunia hingga ke akhirat. roslansms@gmail.com

No comments: