Wednesday, June 02, 2010

Bersama berdoa untuk Palestin

Sedang saya mengrim posting ini pasti ramai sudah mengetahui darihal kejadian di perairan Mediterannean yang melibatkan konvoi bantuan menerusi laut ke saudara-saudara kita di Gaza yang diserang tentera regim haram Zionis Israel.

19 aktivis di atas kapal Mavi Marmara dilaporkan dikorbankan manakala anak kapal selebihnya diculik dan ditenpatkan di pusat tahanan Israel di Ashdood, Israel.

Antara tawanan regim haram itu adalah 12 warga Malaysia termasuklah sahabat saya Sdr Jamaluddin Elias, ahli majlis Majlis Perbandaran Kelang, mewakili Amal Malaysia.

Sesungguhnya kita sedih dengan apa yang berlaku. Memang perbuatan terkutuk itu tidak mencerminkan budaya manusia sivil melainkan angkara haiwan yang tidak berakal.

Memang 19 yang terkorban dan puluhan yang diculik itu suatu angka yang besar dan sangat dikesali tetapi dunia perlu tahu bahawa mereka ke sana kerana mahu menonjolkan bahawa sebelum ini puluhan ribu telah terkorban syahid di bumi Palestin puluhan tahun angkara sikap kebinatangan regim haram Zionis Israel.

Mereka menafikan hak rakyat Palestin memerintah bumi mereka sendiri. Mereka tekan, mereka peras dan mereka perlakukan warga Palestin diluar batasan sivil dan perikemanusiaan. Anehnya dunia sekadar marah tetapi tiada tindakan. Amerika Syarikat negara maju yang kononnya paling bertamaddun bukan sahaja membisu tetapi melindungi syaitan bertopengkan manusia ini.

Apa pun tindakan terbaru regim haram ini tidak boleh dibiarkan dan didiamkan lagi. Dunia perlu digegar dan dikejutkan dengan kehadiran haiwan yang berlagak bagai manusia ini.

Kita di Malaysia tidak kira apa fahaman, budaya atau agama, pastinya kesal, marah dan dukacita dengan kejadian ini. Bagi kita umat Islam tidak cukup dengan membantah atau menyatakan protes dan kekesalan. Kita punya satu senjata yang perlu kita gunakan yang selebih besar dan meluas kesannya berbanding apa sahaja senjata ciptaan manusia.

Rasulullah saw bersabda:
Doa adalah senjata orang yang beriman

Allah swt berfirman:
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
(Ghaffir:60)

Allah swt berfiman:
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
(al A’raf:56)

Untuk itu marilah kita beramai-ramai ke Stadium Malawati, Shah Alam, hari Khamis 3 Jun 2010 ini. Sama-sama kita solat maghrib, isyak, hajat dan kemudiannya bermunajat secara berjemaah. Memohon campurtangan dan bantuan Allah swt agar sengsara dan penderitaan saudara-saudara kita segera di atasi, memohon agar regim harama Zionis Israel dimusnahkan, memohon agar Al Aqsa kembali ke tangan umat Islam.

Jangan lupa semua kita ke sana, program solat hajat dan munajat perdana untuk Palestin anjuran kerajaan negeri Selangor.

No comments: