Sunday, April 15, 2007

Lawan tetap lawan di Ijok

Berikutan kenyataan Ketua PKR Selangor Tan Sri Dato Abdul Khalid Ibrahim yang PKR akan bertanding dalam Pilihnaraya Kecil Ijok, kerja-kerja peringkat akar-umbi dikedua-dua peringkat PAS dan PKR telah pun dimulakan. Suasana di Ijok yang melibatkan para petugas PAS dan PKR sibuk setiap malam kebelakangan ini.

Pimpinan PAS dan PKR Kuala Selangor sudah pun menjalankan kerja-kerj bagi bersedia menerima ribuan para petugas, penyokong dan pimpinan kedua-dua belah parti untuk turun membantu jentera BA bagi memenangkan calon PKR dalam pertembungan yang dijangka sengit sesengit pertembungan di DUN Lunas satu ketika dahulu.

Tidak dapat dinafikan semangat perjuangan kedua-dua belah pihak begitu membara dan tinggi dan masing-masing sudah pun mencurahkan keringat dan wang ringgit bagi kerja-kerja awal sementara menunggu Hatri Penamaan Calon yang telah diputuskan Khamis ini.

Rata-rata kebanyakan pihak yakin yang PKR akan mencalonkan Pengerusi Negeri mereka Tan Sri Khalid untuk merampas kerusi BN (MIC) ini. Dan keyakinan itu telah makin menghangatkan malam-malam di Ijok memandangkan Tan Sri adalah anak tempatan Kuala Selangor yang dikenali dan disenangi semua pihak di sana.

Bagaimana dengan isu boikot?

Setakat ini jentera diperingkat akar-umbi melalui kenyataan kedua-dua pimpinan tertinggi PAS dan PKR Selangor telah memutuskan akan bertanding dalam Pilihanraya Kecil ini. Saban malam pihak jentera telah difahamkan bahawa boikot di Batu Talam itu adalah tindakan khusus dan mesejnya telah pun disampaikan. Tidak ada keputusan untuk terus-menerus memboikot setiap pilihanraya kecil sehingga ke pilihanraya umum.

Tindakan BA memboikot Batu Talam adalah untuk membuktikan betapa serisunya kita dalam tuntutan kita terhadap SPR namun ianya bukanlah satu-satu tindakan kita yang muktamad. Itulah pemahaman jentera diperingkat akar-umbi, itulah pemahaman kedua-dua belah parti diperingkat BA Negeri.

Oleh itu diperingkat ini isu boikot tidak berbangkit dan malah ianya tidak mencerminkan kehendak akar-umbi diwaktu dan ketika ini. Malanglah sekiranya kita meilih untuk menongkah arus dan mebelakangkan kehendak akar umbi yang merupakan sumber kekuatan parti kita.

Lawan tetap lawan, lawan sampai menang di Ijok!

Friday, April 13, 2007

Siapa yang kau nak tembak tu?

Sekali lagi kata orang A PICTURE PAINTS A THOUSAND WORDS lalu berilah tafsiran dan tamsilan masing-masing terhadap gambar di bawah ini. Bukan ia bukan gambar seorang pelatih PLKN sedang melalui latihan bersenjata.

Beliau adalah isteri Timbalan PM yang dikasihi. Nampak macam tutup dua-dua belah mata je.


Bila agaknya kita nak berlatih gunakan letupan C4 pula, oppss.
Khir mulakan gendang menyogok di Ijok

Saya mendapat laporan bahwa sebanyak 700 lebih Temporary Occupation License (TOL) atau lesen penempatan sementara tanah-tanah kerajaan sudah pun siap untuk diedar-edarkan di seluruh Kuala Selangor khususnya di DUN Ijok semasa kempen Pilihanraya Kecil di kawasan berkenaan nanti.

Belum pun selesai pilihanraya kecil di Machap MB Selangor Khir Toyo sudah pun mengumumkan beberapa peruntukkan dari kerajaan pusat dan negeri untuk Ijok. Semalam di sana ketika meresmikan majlis pecah tanah Masjid Jamiul Ubudiyah, Rantau Panjang , DUN Ijok beliau berkata RM16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Pusat untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

RM10 juta untuk menaik taraf dan membesarkan jalan dan jalan-jalan kampung manakala RM6juta untuk membaiki dan menaik taraf masjid dan surau-surau.

Kata Khir ini bukan kebetulan kerana ada pilihanraya kecil di sini tetapi sebenarnya ikhlas dari kerajaan. Nerita Harian memetik beliau sebagai berkata:

Kita berharap penduduk Ijok bersyukur dengan peruntukan ini. Peruntukan besar ini membuktikan keikhlasan Barisan Nasional (BN) tanpa mengira wakil rakyat sudah meninggal atau masih berkhidmat. Janji yang sudah dibuat tetap akan dilaksanakan.

Tetapi mengapa ianya diberi dan diisytiharkan semasa tarikh pilihanraya kecil diumumkan? Mengapa tidak ada kelulusan yangs sama waktu ini contohnya untuk DUN Sg Pinang atau DUN Dengkil atau DUN Sijangkang? Kenapa Ijok?

Pada majlis itu juga Khir meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang untuk membaiki jalan, pagar jeriji, tandas, bilik darjah dan kemudahan lain. Menurut akhbar Berita Harian lagi pembinaan masjid ini bukanlah untuk memancing undi pilihanraya:

Pembinaan masjid ini bukan untuk memancing undi pada pilihan raya tetapi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih rakyat.

Inilah murahnya pemimpin kita. Jelas beliau turun itu dengan tujuan khusus iaitu bersempena pilihnaraya kecil di Ijok yang bakal diadakan, sebagaimana spesifiknya pejabat tanah satu malam mengerjakan lesen-lesen TOL yang dimaksudkan di atas. Tetapi berbohong kononnya tanggungjawab, kononnya berkebetulan.

Satu yang jelas, Khir mahu memastikan yang lebih 51% pengundi Melayu di DUN ini tidak SWING kepada poembangkang pada 28 haribulan nanti iaitu hari mengundi untuk DUN Ijok. Harapan BN (MIC) di sini adalah semata-mata pada para pengundi Melayu. Mungkin Khir tidak memancing kerana memancing cuma dapat seekor demi seekor, betullah tu. Semalam beliau menjala atau lebih efektif lagi memukat, habis ditundanya pukat beliau untuk memastikan pengundi Melayu terperangkap dan naik ke darat semuanya sebagai habuan memenangkan anak emas Samy Vellu!

Kepada para pengundi di Ijok hanya anda sahaja berhak menghentikan amalan buruk ini. Buktikan anda bukan kambing lapar yang akan mengikut membuta tangan yang membawa pucuk daun kemana sahaja, anda rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya harga diri. BN akan memunggah harta dan kekayaan untuk membeli apa sahaja maruah yang tinggal pada anda, kerana mereka yakin anda semua memang boleh dibeli. Buktikan sebaliknya.

Kembalikan dan pertahankan harga diri dan maruah bangsa dan agama!

Thursday, April 12, 2007



Sebagaimana dijangka DAP kecundang di Machap

Sebagaimana dijangkakan si gergasi BN menang juga akhirnya di Machap. Kemenangan tetap kemenangan walaupun dengan satu undi, demikianlah konspe demokrasi yang kita amalkan.

Namun kalau kita lihat pada angka-angka akhir, kemenangan calon BN yang dibantu oleh Timbalan PM, menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta seluruh kekuatan jentera kerajaan pusat dan negeri, tidaklah sehebat mana kerana,

Pertamanya:
Calon DAP telah berjaya mempertingkatkan jumlah undi yang diperolehi untuk partinya. Pada Pilihanraya Umum 2004 lalu DAP memperolehi 1,285 undi, kali ini meningkat 167 undi ke 1,452.

Keduanya:
Undi calon BN (MCA) merosot dari 5,847 semasa Pilihanraya Umum 2004 kepada 5,533 iaitu pengurangan sebanyak 314 undi

Ketiganya:
Majoriti kemenangan BN turut merosot dari 4,562 pada PRU 2004 ke 4,081 iaitu kemerosotan sebanyak 481 undi.

Dari pengalaman pilihanraya-pilihanraya kecil di Malaysia lazimnya dengan kekuatan luarbiasa jentera BN semasa PR Kecil, calon BN kebiasaannya menang besar dan mengatasi keputusan semasa PRU oleh kerana semasa PRU kekuatan ;uarbiasa yang dimaksudkan tidak hadir.

Kita mungkin bertanya mengapa DAP kalah, tetapi dalam waktu yang sama kita juga perlu menyelongkar mengapa BN tidak menang besar (malah merosot pula keputusannya walaupun mungkin kecil)?

DAP memang dijangka kalah kerana Machap bukannya kerusi tradisi bagi mereka. DAP tidak pernah menang di Machap, malah menurut rekod DAP biasanya meraih kemenangan di kawasan yang kepadatan pengundi bukan Melayu melebihi 70% contohnya di DUN Kota Laksmana yang diwakili YB Betty Chew (isteri Guan Eng). Di Kota Laksmana jumlah pengundi bukan Melayu mencecah 89%. Satu lagi kerusi adalah Bandar Hilir yang turut diwakili DAP dimana peratus pengundi bukan Melayunya adalah lebih 81%.

Di Machap peratus pengundii bukan Melayu hanyalah lebih kurang 60%.

Apa pun yang menyedihkan pada hari mengundi ini adalah laporan laman Malaysiakini yang mendedahkan terdapat aktiviti menyogok para pengundi di DUN ini. Menurut laporan polis yang dibuat oleh pihak DAP para pengundi kelihatan mengerumuni sebuah rumah yang didiami oleh Umno Johor dimana wang tunai dikatakan diagih-agihkan kepada para pengundi.




Gambar-gambar Malaysiakini
Apakah tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa dalam hal ini?

Di sinilah terujinya keupayaan Malaysia khususnya SPR dalam mengendalikan pilihanraya yang telus dan adil. Biarlah kemenangan satu-satu pihak itu kemenangan yang benar-benar demokratik tanpa sebarang unsur paksaan, sogokan atau tekanan. Jika ini tidak dapat dilakukan maka selama-lamanyalah rekod SPR dan pilihnaraya di Malaysia akan penuh kudis, kurap dan panau.
Bila para blogger bersembang

Sedar tak sedar pada 20 Mei nanti genaplah 3 tahun usia Blog ini. Menurut Motigo Webstat dalam tempoh 9 bulan setakat 9 April 2007 Blog ini telah menerima hampir setengah juta pengunjung sejak dari 12 Julai 2006 (saya tidak mendaftar sebelum itu). Menurut OneStatFree.com pada tahun ini sahaja Blog ini menerima 194,059 pengunjung.

Saya berterima kasih kepada para pengunjung yang mengunjungi Blog ini tanpa jemu bagi apa tujuan sekalipun.

Walaubagaimanapun apabila Pak-pak Menteri mula tegang-tegang urat menyatakan berkenaan apa yang disebut ancaman dari Blog-blog ini, sebagai seorang penyumbang kecil dalam dunia para pemilik Blog di Malaysia, bimbang dan risau juga hati ini.

Saya yakin dan tahu bahawa tulisan saya tidak mengancam keselamatan negara, apalagi mempunyai unsur hasutan yang mampu mencetuskan ketagangan kaum, agama dan huru-hara. Memang bukan itu tujuan danmatkamat saya menulis sejka dari dahulu lagi. Lantas saya sepatutnya tidak bimbang sedikit pun. Tetapi rupa-rupanya kerisauan itu tetap bertapak dan sukar juga untuk dikikis.

Saya tidak sanggup untuk menghabiskan masa di dalam bilik 8 kali 12 kaki yang hancing dan sunyi itu. Saya bukan segagah mereka yng pernah ke sana, apalagi segagah Pak Said Zahari yang bertahan 17 tahun di dunia puaka itu. Satu hari tanpa teh tarik dan roti canai sudah boleh menggeletarkan kaki saya.

Sebab saya kira tulisan saya bolehlah dikira HARMLESS dan pencapaian Blog saya pula dikira kecil berbanding dengan penulis dan pemilik Blog tempatan yang ber STANDARD gergasi (ada juga yang menganggap diri mereka GERGASI rupanya GERGASI KERDIL) akan tetapi saya terus juga risau kerana sesungguhnya tidak yakin yang kerajaan yang ada pada hari ini mampu untuk bertindak adil terhadap saya dan para pemilik Blog yang lain.

Kerana mereka tidak adillah maka kami menulis, kerana mereka zalimlah maka kami menulis, kerana mereka rasuah dan menyelewenglah maka kami menulis (walaupun risikonya besar dan sangat perit). Jika tidak masakan ratusan ribu (dan ada yang mencecah jutaan) rakyat tempatan mahu membaca dan membuang masa mengunjungi blog-blog ini. Dimana ada asap tentu ada apinya.

Lalu sebagai manusia biasa kebimbangan itu sentiasa sahaja bersarang di hati.

Kebetulan malam tadi saya berkesempatan duduk bersama rakan-rakan yang di dalam bidang ini. Malam tadi saya dan beberapa pencebur Blog duduk bersama bertukar-tukar pengalaman, maklumat dan cerita-cerita lucu sambil minum-minum sehingga lewat malam.

Pak Sheikh dari kickdefella ada, Brother Bakar Penarikbeca ada, Wan Jo dari Perakan Net ada begitu juga Syawal (Sinarpurnama), Mamat (Kaset79), Haris (politkpop), Afa (lindunganbulan) dan lain-lain.

Terubat juga hati bila duduk bersama rakan-rakan yang sama LINE ini. Hati kecil saya dengan nakal berkata sambil merenung wajah-wajah jernih mereka, kalaulah aku dicampak ke dalam ada juga kawan-kawan yang boleh menemani!

Semoga pihak di atas akan matang dan rasional dalam pendirian dan sikap mereka. Jangan memburukkan imej negara dimata dunia dengan tindakan gopoh dan memalukan.

Kami akan terus wujud dan menulis kerana ini hak kami. Perlembagaan Negara ini menjamin hak kebebasan kepada rakyatnya. Namun kami akur kami memiliki tanggungjawab iaitu untuk memelihara kemanan dan ketenteraman negara yang dikasihi ini. Kerana kasih kepada negaralah maka kami memberanikan diri untuk tampil ke hadapan, biarlah rakyat yang mengadili, biarlah rakyat yang menentukannya.

Teringat saya kepada sajak INVICTUS nukilan William Ernest Henley

Out of the night that cover me
Black as the pit from pole to pole
I thank whatever gods may be
For my unconquerable soul

In the fell clutch of circumstance
I have not winced nor cried aloud
Under the bludgeonings of chance
My head is bloody, but unbowed

Beyond this place of wrath and tears
Looms but the horror of the shade
And yet the menace of the years
Finds, and shall find me unafraid

It matters not how straight the gate
How charged with punishments the scroll
I am the master of my faith
I am the captain of my soul

Jumpa lagi kawan-kawan, hopefully for another round of teh tarik.
Selamat Mengundi rakyat Machap


Selamat pagi dan Selamat Mengundi kepada 9,623 pengundi berdaftar di Machap, Melaka. Hari ini anda semua bertanggungjawab melantik seorang wakil yang akan mewakili anda dalam menyuarakan keresahan, cadangan, pandangan dan sebarang bantahan anda ke tahap yang tertinggi iaitu diperingkat negeri.

Seorang wakil akan mewakili suara 9,623 pengundi dari pelbagai kaum dan agama. Oleh itu pastikanlah anda memilih seseorang yang benar-benar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab itu sebaik mungkin pada perkiraan anda.

Anda cuma ada dua pilihan, iaitu samada Lai Meng Chong dari BN (MCA) atau Liou Chen Kuang DAP.

Pada Pilihanraya Umum 2004 lalu mendiang calon BN Poh Ah Tiam memperolehi 5,847 undi mengalahkan Liou dari DAP yang memperolehi 1,285 undi. BN menang dengan majoriti 4,562 undi.


Dengan asakkan dan serangan bertalu-talu dari BN sejak permulaan berkempen sehinggalah pagi tadi apabila Buletin Utama TV3 terus menayangkan bantuan dan janji-janji pembangunan dari pimpinan BN, hampir mustahil bagi DAP untuk merebahkan gergasi besar yang diperkasakan oleh kuasa dan kewangan ini.

Mudahkah para penduduk kampung yang telah diumpan dengan bantuan, projek-projek segera dan janji-janji kemewahan dan kesenangan untuk masuk ke bilik mengundi dan memangkah roket pada hari ini?

Walaubagaimanapun kiranya DAP mampu menongkah segala sogokan dan muslihat ini dan akhirnya berjaya membaringkan gergasi BN di Machap, saya kira ianya pencapaian hebat, dan sama-sekali di luar dugaan termasuklah dari kalangan pimpinan DAP sendiri. Namun bagi saya keupayaan dan kejayaan mengikis majoriti 4,562 undi yang diperolehi BN pada pilihanraya umum lalu sudah cukup membuktikan kehebatan DAP, kalau sebaliknya menang pula, memang mereka benar-benar hebat.

Pengurangan majoriti BN di Machap akan menandakan yang rakyat sudah mula bosan dan senyap-senyap menolak mereka. Ia akan menjadi indikator sihat untuk meletakkan harapan bagi parti-parti pembangkan dalam pilihanraya umum ke 12 nanti.

Apa pun keluarlah mengundi berama-ramai bagi anda yang layak. Jangan terpengaruh dengan tipu daya, sogokan dan janji-janji manis. Buktikanlah kita rakyat Malaysia memiliki maruah, berani untuk bersuara apabila suasana di hadapan kita pudar, suram dan keruh. Punggahlah kekayaan dan janji, namun ianya tidak akan mampu membeli harga diri kita.

Selamat mengundi.

Wednesday, April 11, 2007

Terkini

SPR baru sahaja menurut BERNAMA menetapkan tarikh penamaan calon untuk Pilihanraya Kecil DUN Ijok iaitu Khamis 19 April dan jika ada pertandingan Hari Mengundinya pada Sabtu 28April 2007.