Thursday, May 23, 2024

MEMELIHARA AQIDAH ANAK-ANAK KETIKA KONFLIK ANTARA IBU-BAPA

Ramai yang terperanjat, marah dan kecewa apabila minggu lepas, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) dan tiga yang lain termasuk Mufti Perlis untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya yang telah membatalkan pengislaman ketiga-tiga anak Nagashwaran (yang memeluk Islam) dan Loh Siew Hong (tidak Islam) Dengan keputusan itu ketiga-tiga anak berkenaan, dua kembar perempuan berusia 16 tahun dan seorang lelaki berusia 13 tahun yang kini di bawah penjagaan ibunya yang tidak Islam, kekal dalam agama asal mereka yakni Hindu.

Isu ini menjadi sensitif apabila ketiga-tiga anak berkenaan difahamkan ketika di Islamkan oleh bapanya, telah diserahkan kepada seorang bernama Ustazah Nazirah Kumari di Bayan Lepas. Ustazah Nazirah telah membimbing dan memberi pengetahuan dan pendidikan agama kepada anak-anak ini sehingga mereka faham dan telah mengamalkan Islam sebaiknya.

Kedua-dua anak perempuan berkenaan difahamkan boleh menghafaz sebahagian al Quran manakala anak lelaki pula pernah menang pertandingan muazzin. Sudah pastilah apabila anak-anak yang telah aqil baligh mengikut hukum Islam ini diputuskan kembali ke agama asal mereka, hati dan perasaan masyarakat Islam yang prihatin akan terganggu.

Namun demikian sebagai warganegara Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, kita terpaksa menerima keputusan mahkamah ini kerana ia diputuskan berdasarkan undang-udang dan peraturan yang sedia ada dan terpakai.

Apa yang boleh kita lakukan adalah menuntut agar usaha diambil oleh pihak bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan agar boleh menjamin perkara atau insiden seumpama ini,


sehingga anak-anak yang Muslim hilang status Islamnya, dapat dielakkan dari berulang.

Islam adalah Agama Persekutuan dan Raja-raja Melayu merupakan payung yang melindungi umat Islam dan kepentingan mereka. Justeru usaha proaktif perlu diambil agar insiden yang melibatkan pertelingkahan suami-isteri, yang membawa sehingga bertukar-tukar agama anak-anaknya dilindungi. Insiden seperti ini sering sahaja menarik perhatian masyarakat dan jika dibiarkan boleh mencetuskan ketegangan. Malang anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa pertikaian ibu-bapa mereka.

Apa pun jika ia berkait dan melibatkan Islam, perlu ada perlindungan khas undang-undang demi memberi penghormatan pada Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja-raja Melayu yang memeliharanya. Sangat janggal apabila Mufti yang merupakan Penasihat Agama kepada Raja-raja Melayu, yakni payung Islam negerinya dinafikan hak dalam pertikain melibatkan kepentingan Agama Islam. 

Dalam ruangan kecil ini saya menyarankan supaya undang-undang digubal agar apabila sahaja berlaku pertikian seumpama ini dan anak-anak bawah umur menjadi rebutan, anak-anak itu perlulah diserahkan ke pihak berkuasa, contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dilindungi. Biar ibu-bapa naik turun mahkamah tetapi anak-anak ini khasnya yang telah Islam wajar dilindungi oleh pihak berkuasa, sebaiknya bawah perintah Yang Dipertuan Agong atau Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

Biar emosi dan kebajikan anak-anak ini terpelihara dan Islam dilindungi sehinggalah anak-anak ini mencapai umur 18 tahun untuk mereka sendiri memutuskan kedudukan mereka tanpa dipengerahui sesiapa. Sementara dalam jagaan jabatan, ibu-bapa yang berbalah bolehlah diberikan hak lawatan tetapi anak-anak itu kekal di bawah jagaan pihak berkuasa sehingga mereka mencapai “age of majority” yakni 18 tahun.

Semoga semua pihak yang berwajib dan berkepentingan ambil serius perkara ini agar kemuliaan Islam dalam negara kita terpelihara dan demikian juga kedudukan Raja-raja Melayu yang kita kasihi.


No comments: