Thursday, February 05, 2009

Judi membawa bala kepada negara

Lari sekejap dari kemelut di Perak.

Saya tertarik dengan satu artikel dalam Star Biz hari ini berkenaan dengan perkembangan industri NFO (number forecast operators) atau kedai-kedai judi tikam nombor "halal" di negara kita. Tahukah anda tiga NFO terbesar yang dilesenkan oleh kerajaan adalah Magnum, Berjaya (Sports Toto) dan Tanjong (3D dan 1+3D).

Keuntungan syarikat-syarikat judi berlesen ini sudah pastilah bergantung pada kekerapan hari yang dibenarkan untuk ia menjual tiket-tiketnya. Menurut laporan kerajaan membenarkan tiap-tiap NFO mengadakan 150 hari cabutan tikaman setiap tahun disamping beberapa hari tertentu sebagai "special draws" atau cabutan khas.

Hari-hari cabutan khas ini biasanya ditentukan oleh kerajaan dari tahun ke tahun.Menurut para penganalisa pada tahun ini kerajaan dijangka membenarkan tiap-tiap NFO mengadakan 10 cabutan khas.

Bayangkan dalam keadaan kita berhadapan dengan suasana ekonomi yang kelam dan tidak menentu, rakyat mula kehilangan kerja, tiba-tiba kerajaan kita masih ghairah untuk memerah keuntungan dari industri yang walaupun di "halalkan" tetapi haram dan dibenci Allah swt.

Memang sedap kita menangguk untung apabila kita tiada lagi pertimbangan syurga dan neraka, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu sedar bahawa kita membuka pintu maksiat kepada rakyat yang hidup susah. Mereka yang dibuang kerja, yang di VSS yang dalam kesempitan hidup akan tergiur untuk cepat kaya dan senang. Kita sebagai kerajaan yang sepatutnya membela dan mempertahankan nasib mereka, sebaliknya kita kangkangkan seluas-luasnya peluang untuk mereka turut terjerumus sekali ke kancah kebinasaan.

Dalam zaman susah ini kita tidak perlukan lagi industri jahanam ini, tutup dan haramkan sahaja ia dan kita memohon pertolongan Allah untuk membantu kita keluar dari kesempitan ini. Kalau hidup sempit tetapi mengundang pula bala Allah, apa lagi yang mahu diharapkan.

Wednesday, February 04, 2009

Najib mencabul demokrasi untuk berkuasa

Apabila SPR semalam mengumumkan yang tiada pilihan raya kecil untuk kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering saya sudah merasakan sesuatu yang luar dari amalan biasa bakal berlaku di Perak. Tidak pernah SPR menolak permohonan dari Speaker, tetapi semalam ia berlaku.

Dan apabila MB Perak Dato Seri Nizar gagal mendapatkan perkenan Sultan Perak tadi untuk membubarkan dewan undangan negeri bagi memanggil pilihan raya yang baru (setelah berada di istana sejak jam 3 petang) syak wasangka itu semakin membukit. Tepat sekali jam 4.00 petang tadi TPM Najib Tun Razak mengumumkan di Putrajaya dengan dikelilingi 4 orang wakil rakyat (yang telah membelakangkan mandate rakyat) DUN Perak dari Pakatan Rakyat iaitu ADUN Behrang dan Changkat Jering, selain ADUN Bota yang melompat ke PKR baru-baru ini dan ADUN DAP Jelapang yang juga merupakan Timbalan Speaker.







Mereka kelihatan gembira dan senang hati mengelilingi “boss” baru mereka. Mungkin belum terfikir di kepala mereka betapa tindakan mereka sebenarnya membunuh mandate yang diberikan kepada rakyat melalui parti mereka masing-masing. Demikianlah hebatnya “aura” Najib sehingga undi rakyat dipersetankan demi kerana mahu “berdakap” dengan Umno dan BN

Kiranya lewat petang atau malam ini atau mungkin esok Najib mendapat perkenan mengadap Sultan, maka berakhirlah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan kembali berkuasalah kerajaan BN yang didominasi Umno (kecuali dua ADUN Tionghua) masuk secara kotor melalui pintu belakang.

Bagi MB Perak, EXCO PAS dan ADUN-ADUN PAS, jangan gundah-gulana. Anda telah mempamirkan kualiti kepimpinan yang dipandang tinggi oleh rakyat. Walaupun kita sekadar merasa kuasa selama 11 bulan, namun yakinlah kita telah melakukan yang sebaiknya. Terus yakin dan istiqomahlah dalam perjuangan.

Bagi rakan-rakan dari PKR dan DAP Perak, inilah harga yang terpaksa kita bayar demi meniti perjuangan yang penuh ranjau dan duri ini.

Kepada Najib Tun Razak, jika inilah piala yang mahu anda usung dan bangga-banggakan bagi meraikan pertabalan anda sebagai PM tak lama lagi, ternyata ianya busuk bagaikan bangkai baunya. Sesungguhnya ini suatu permulaan yang hodoh dan pasti akan berkesudahan dengan kesudahan yang hodoh juga. Terima kasih rakyat Perak kerana memberikan kami dari PR untuk memerintah secara demokratik, kini terimalah kerajaan baru yang mencabul demokrasi demi mahukan kuasa.

Tuesday, February 03, 2009

Operasi tawan Perak gagal

Nampak gayanya suasana semakin reda di Perak. Apa yang dikatakan lompatan sekurang-kurangnya 3 ADUN Pakatan Rakyat ke BN sehingga kononnya mampu mencuri majoriti kerajaan negeri dan menumbangkannya, setakat hari ini nampaknya tidak berhasil. Ada tidak hanya 2 “ekor” yang melompat, itu pun sekejap sedar sekejap tak sedar, apa pun kesudahannya jika sekadar itu sahaja yang mampu dipancing BN secara kotor maka tidaklah jatuh kerajaan pilihan rakyat itu selain bersandar pada majoriti “1” kerusi.

PR tidak perlu membubarkan dewan, PR masih boleh terus kekal memerintah sebagaimana Kelantan pada penggal yang lalu.

Oleh itu jika ditakdirkan SPR memanggil pilihan raya kecil maka akan berlakulah pertarungan lagi selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu kini di kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang pula.

Bersedialah kita semua untuk turun ke sana dan menebus hak kita yang cuba dicuri itu. Jika kita mampu mempertahankan kedua-dua kerusi ini, saya yakin, lanskpa politik baru buat Malaysia sebagaimana saya gambarkan pasca Kuala Terengganu akan lengkap terlukis, maka tidak mustahil “tahun lembu” dalam kalendar Cina tahun ini adalah tahun terakhir buat hayat dan riwayat Umno dan BN!

Buat masa ini apa yang perlu kita lakukan adalah memastikan parti-parti rakan dalam PR masing-masing dapat mempertahan dan membela wakil-wakil rakyat masing-masing. Jangan lagi ada yang sanggup menggadaikan maruah dan nama baik demi sekarung kekayaan dunia. Sama-sama kita berjaga dan berkawal. Umno semakin sesak nafas dan talian hayatnya ada ditangan kita, fikirkanlah.

Monday, February 02, 2009

Dalam ghairah jangan silap fakta

Rata-rata para pemerhati politik dan masyarakat kebanyakkan sedang mengikuti dengan penuh minat dan teliti perkembangan di Perak. Asalnya dua orang EXCO kerajaan Perak dari PKR dikatakan telah “menghilangkan diri”. Ini diikuti dengan spekulasi yang mereka telah condong pada Umno dan terakhir semalam bahawa Speaker Dewan Perak menerima surat perletakkan jawatan mereka berdua.

Sebentar tadi di dua hotel berasingan kedua-dua ADUN berkenaan menyatakan bahawa mereka masih ADUN PKR dan tidak pernah keluar parti. Dalam pada itu pagi tadi dimaklumkan bahawa Menteri Besar telah mengadap Sultan Perak menyembahkan perkembangan perletakkan jawatan berkenaan.

Bagaimana kesudahannya, tidaklah dapat kita baca dengan tepat pada waktu ini, apa pun tidak dinafikan krisis ini telah membantutkan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri PR yang baru itu.

Dalam pada itu juga para pengulas politik dan penulis di akhbar-akhbar tempatan dan portal berita sibuk membikin dan mengenengahkan pandangan, ulasan dan bacaan masing-masing. Ada yang menarik dan berfakta, ada yang mengarut dan kadangkala ada juga yang tersilap. Umpamanya analisa Wong Sai Wan dalam akhbar The Star hari ini. Beliau menukilkan sebuah artikel bertajuk:

Pakatan mess may end up in court

Antara kandungannya menyebut:

The Supreme Court in 1992 decided that this freedom necessarily includes the right to dissociate.

In this case where Nordin Salleh and a few others quit PAS to join Barisan in 1990 but the State Constitution had an anti-hopping law.

In so concluding, the Supreme Court struck down as unconstitutional legislation by which the Kelantan state constitution had been amended to declare a seat vacant if an assemblyman resigned from his political party.

Kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin Salleh kini muncul menjadi bahan perbahasan dalam menghujahkan kes dua ADUN yang sekejap melompat sekejap tidak di Perak itu. Yang saya maksudkan sebagai kesilapan fakta itu adalah apabila Wong menyatakan bahawa “Nordin and few other quit PAS to join Barisan in 1990”.

Mengikut rekod tiga orang wakil rakyat yang melompat menyertai Umno/BN pada tahun 1990 itu selepas pilihan raya umum 1990 adalah:

Nordin Salleh ADUN Sg. Pinang
Wan Najib ADUN Limbongan
Ibrahim Ali ahli parlimen Pasir Mas

Dan mereka bertiga kesemua dari parti Semangat 46 dan bukannya PAS sebagaimana dilaporkan. (Apabila saya mebuat “cross reference” rupanya Presiden BAR Council dalam laporan mereka juga memetik yang Nordin dan rakan-rakan dari PAS!)

Berikut saya petik kenyataan Tok Guru Nik Abd Aziz ketika berceramah sempena Majlis Meraikan Petugas-Petugas PRU ke 12, di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa, selepas PRU ke 12 pada bulan Mac, 2008:

Masalah lompat parti ini bermula sewaktu wakil rakyat Sungai Pinang, Nordin Salleh yang lompat daripada Semangat 46 masuk UMNO. Begitu juga waktu wakil rakyat Pasir Puteh (Limbongan) yang juga lompat dari Parti Semangat 46 masuk UMNO…Ekoran timbul masalah itu kita sudah pun baiki dah peraturannya malah kita bawa masalah itu pergi ke mahkamah bagaimanapun mereka tolak kita dan kita kalah…Tapi hari ini tahu-tahu dia nak buat pula yang dia sendiri tidak boleh buat sebelum ini sebab itu saya setujulah.

Diharapkan para penulis dan penganailsa memperbetulkan ulasan masing-masing apabila memetik kes ini, mereka bukan dari PAS tetapi Semangat 46.

Sunday, February 01, 2009

Perak terus bergolak

Berita terkini dari Perak, kedua-dua EXCO PKR yang dilaporkan “hilang” dikatakan telah mengirim surat perletakkan jawatan masing-masing kepada Speaker Dewan V. Sivakumar. Ini bermakna dua pilihan raya kecil terpaksa dipanggil iaitu untuk DUN N.59 Behrang (majoriti 1,027) dan N.14 Changkat Jering (majoriti 1.102).

Apakah muslihat BN sehingga memaksa kedua mereka mengosongkan kerusi?

Sementara itu The Star online melaporkan Timbalan Speaker DUN Perak Hee Yit Fong dari DAP yang mewakili kerusi DUN Jelapang akan menyertai MCA. Jika kedua-dua EXCO berkenaan dikatakan mengambil tindakan drastic itu lantaran kes rasuah mereka, tidak pula diketahui apakah alasan Hee, OKU pertama yang dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak mengusai 32 dari 59 kerusi DUN Perak, iaitu DAP 18, PKR 8 dan PAS 6, sementara BN memiliki 27 kerusi iaitu 26 Umno dan 1 MCA.

Saya masih tidak dapat membaca apakah muslihat BN memaksa kedua-dua bekas ADUN PKR itu mengosongkan kerusi mereka, malah Hee juga dilaporkan akan berbuat demikian. Dalam keadaan ini mungkin opsyen yang tinggal pada MB Perak Datuk Seri Nizar adalah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Jangan kita biarkan kerajaan negeri pilihan rakyat ini “dicuri” begitu sahaja depan mata kita. Lebih baik kita serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan. Ini lebih baik dari kita menyerah begitu sahaja. Walaubagaimanapun terpulanglah pada pucuk pimpinan PR Perak untuk membuat keputusan.

Sementara itu bagi PAS sendiri adakah kita mampu pertahankan enam kerusi yang kita miliki iaitu N. 8 Titi Serong (majoriti 1,149), N.11 Gunung Semanggol (majoriti 2,070), N.12 Selinsing (majoriti 547), N.20 Lubok Merbau (majoriti 72), N.51 Pasir Panjang (majoriti 4,474 – kerusi MB) N.56 Changkat Jong (majoriti 899)?

Adakah kita mampu menebus 5 kerusi lagi yang kita tewas di bawah 500 undi antaranya N. 36 Pengkalan Baru (14 undi), N. 6 Kubu Gajah (66 undi), N.23 Manjoi (348 undi), N.5 Selama (355 undi) dan N.53 Rungkup (454 undi).

Apa pun jika benar berlaku pembubaran dewan, maka seluruh jentera, tenaga dan kekuatan PAS perlu dikerahkan ke Perak bagi mempertahankan kubu-kubu PAS ini selain merampas kubu-kubu yang berpotensi dan yang paling penting mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Apa perkembangan selanjutnya sama-samalah kita ikuti.
Biar Muhyuddin seorang berteduh bawah pokok “hampir mati”

Naib Presiden Umno Muhyuddin Yassin terkilan apabila Tok Guru Nik Abd Aziz mengeluarkan kenyataan baru-baru ini menganggap yang Umno bagikan pokok yang “hampir mati”. Kata Muhyuddin dari Tawau sebentar tadi:

Setiap pertubuhan politik ada musimnya. Pas pun begitu, Umno pun begitu juga. Ada waktu kita berada dalam keadaan yang kukuh, kadang-kadang kita menghadapi masalah.

Tapi Muhyuddin enggan mengalah apabila beliau menambah:

Tidak apalah, itu pandangan beliau. Bagi kami, Umno merupakan sebuah parti yang sudah lama tertubuh dan kita masih mempunyai ahli lebih daripada tiga juta orang. Kalau dilihat dari sudut itu kita merupakan pertubuhan politik yang terbesar.

Memang kenyataan Tok Guru itu nampak macam kasar, tetapi kalau diamati secara teliti ia sebenarnya lembut dan seakan cuba memberi harapan baru kepada Umno. Tok Guru kata Umno bagaikan pokok yang “hampir mati”, maknanya belum mati lagi. Ada harapan untuk hidup, soalnya bagaimana?







Agaknya kerana itulah dalam akhbar Sinar Harian hari ini Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa terbit di muka hadapan mengalu-alukan pemimpin Umno yang mahu bersama dengan PAS (ekoran cadangan ahli parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin). Bermakna pokok yang ada sudah hampir mati, tetapi ahli memang masih ramai, oleh itu saranan pimpinan PAS jangan lagi berteduh di bawah atau bergayut pada pokok yang sedemikian rupa. Bahaya, berbagai risikonya. Harapan yang tinggal nun pohon rendang PAS sedang menunggu, ayuh kita ke sana.

Kalau Muhyuddin rasa tersentuh dan terkilan, tak mengapalah, maklum beliau bakal dinobatkan sebagai orang nombor dua pokok “hampir mati” itu, tetapi yang lain-lain bagaimana? Biarkan Muhyuddin seorang beteduh di bawah atau bergayut pada pokok hampir mati itu, silap hari terhempap ia olehnya, padan muka. Yang lain jangan cari penyakit!
Perak dalam bahaya............

Pelbagai berita dan perkhabaran diterima dari Perak yang ada diantaranya menggambarkan kesudahan yang buruk buat Pakatan Rakyat di negeri berkenaan. Baru sahaja kita meraikan penyertaaan ADUN Umno dari Bota yang menyertai PKR, kini kita mendengar berita bahawa ada lagi yang akan melompat, kini bukan dari BN ke PKR tetapi sebaliknya, sehingga mampu menumbangkan kerajaan!

Sejauh manakah tepat berita yang diterima tidak dapat dipastikan tetapi ternyata keadaan begitu meruncing dan mencemaskan di Perak.

Kita mendoakan agar PR akan dapat bertahan dan segala perancangan BN untuk meruntuhkan kerajaan yang baru berusia 11 bulan itu akan gagal. Rakan saya MSO di dalam blognya mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Terengganu selepas pilihan raya umum pertama pada tahun 1959. Akibat dari lompat melompat, kerajaan PAS tumbang pada tahun 1961 apabila gagal menahan ADUNnya dari berpaling tadah.

Tetapi MSO tidak menyebut yang ada juga kerajaan yang mampu bertahan walaupun dengan majoriti 1 kerusi. Kelantan pasca pilihanraya umum 2004 selepas berlaku pilihan raya kecil di Permatang Pasir tetap dapat bertahan sehingga kepenghujung penggal walaupun dengan kelebihan 1 kerusi!

Segala-galanya terpulang kepada ketahanan diri dan matlamat perjuangan.

Bagi saya apa yang berlaku di Perak seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran buat kerajaan PR di negeri-negeri lain. Tidak dapat dinafikan kerjasama sesama PR diperingkat Parlimen, DUN dan akar umbi masih belum kukuh dan perlu banyak diperbaiki. Kita banyak melatah dalam isu sesama parti tetapi kuruang menumpukan kea rah penyatuan bagi menghadapi musuh yang satu.

Semua pihak perlu hormat-menghormati dan jangan menyinggung pihak yang lain. Sikap toleransi dan kematangan politik sangat dituntut. Jika PR dapat membina dan meneguhkan aspek ini insyallah segala terjahan dan gertak BN bakal kita hadapi dengan mudah. Jika tidak, kita yang menanggung kesusahan.

Sesungguhnya keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini menunjukkan lonjakkan sokongan pengundi-pengundi Melayu terhadap PAS dan PR. Ini satu perkembangan yang sihat dan jika ianya berterusan dicampur dengan kekalnya anjakkan sokongan pengundi bukan Melayu, tidak mustahil BN mampu ditumbangkan pada PRU ke 13 nanti.

Namun lonjakkan dan anjakkan ini tidak bermakna jika pimpinan dalam parti tidak memiliki ketahanan diri dan mudah dibuai pujuk rayu dan habuan. Belajarlah dari perisitiwa di Terengganu 1959-61, belajarlah dari kekuatan di Kelantan 2004-08.