Judi membawa bala kepada negara
Lari sekejap dari kemelut di Perak.
Saya tertarik dengan satu artikel dalam Star Biz hari ini berkenaan dengan perkembangan industri NFO (number forecast operators) atau kedai-kedai judi tikam nombor "halal" di negara kita. Tahukah anda tiga NFO terbesar yang dilesenkan oleh kerajaan adalah Magnum, Berjaya (Sports Toto) dan Tanjong (3D dan 1+3D).
Keuntungan syarikat-syarikat judi berlesen ini sudah pastilah bergantung pada kekerapan hari yang dibenarkan untuk ia menjual tiket-tiketnya. Menurut laporan kerajaan membenarkan tiap-tiap NFO mengadakan 150 hari cabutan tikaman setiap tahun disamping beberapa hari tertentu sebagai "special draws" atau cabutan khas.
Hari-hari cabutan khas ini biasanya ditentukan oleh kerajaan dari tahun ke tahun.Menurut para penganalisa pada tahun ini kerajaan dijangka membenarkan tiap-tiap NFO mengadakan 10 cabutan khas.
Bayangkan dalam keadaan kita berhadapan dengan suasana ekonomi yang kelam dan tidak menentu, rakyat mula kehilangan kerja, tiba-tiba kerajaan kita masih ghairah untuk memerah keuntungan dari industri yang walaupun di "halalkan" tetapi haram dan dibenci Allah swt.
Memang sedap kita menangguk untung apabila kita tiada lagi pertimbangan syurga dan neraka, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu sedar bahawa kita membuka pintu maksiat kepada rakyat yang hidup susah. Mereka yang dibuang kerja, yang di VSS yang dalam kesempitan hidup akan tergiur untuk cepat kaya dan senang. Kita sebagai kerajaan yang sepatutnya membela dan mempertahankan nasib mereka, sebaliknya kita kangkangkan seluas-luasnya peluang untuk mereka turut terjerumus sekali ke kancah kebinasaan.
Dalam zaman susah ini kita tidak perlukan lagi industri jahanam ini, tutup dan haramkan sahaja ia dan kita memohon pertolongan Allah untuk membantu kita keluar dari kesempitan ini. Kalau hidup sempit tetapi mengundang pula bala Allah, apa lagi yang mahu diharapkan.
No comments:
Post a Comment