Thursday, February 19, 2009

Takziah kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Hussein

Pagi tadi ketika bersarapan di sebuah restoran Melayu di Subang Jaya saya dimaklumkan oleh wartawan dan penulis veteran Pak Shukor Haron bahawa pelukis terkenal Ibrahim Hussein, adik kepada Prof Ismail Hussein meninggal dunia awal pagi tadi.

Saya tidak mengenali Allahyarham atau lebih dikenali dengan nama “Ib” (Ibrahim kebetulan adalah nama anak bongsu saya) tetapi saya meminati beliau dan mengikuti perkembangan beliau yang sangat mengkagumkan itu. Anak Sungai Limau, Yan , Kedah ini lebih tertonjol dizaman Tun Dr Mahathir sehingga terbinanya Ibrahim Hussein Museum and Cultural Foundation di Gunung Chincang, Langkawi, Kedah.

Karya-karya seninya adalah kelas dunia dan dikenali serta diiktiraf dimana-mana.

Berikut adalah kenyataan akhbar Presiden PAS ekoran pulangnya ke rahmatullah “Raja Senilukis Negara” ini:

Kenyataan Media Pejabat Presiden PAS

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Hussein, tokoh senilukis dan senireka negara, yang telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

Sesungguhnya Allahyarham, yang berasal dari Sg. Limau, Yan, Kedah telah banyak menyumbang jasa dan khidmat kepada negara dalam bidang yang beliau ceburi dan minati ini yang telah menerima pengiktirafan bukan hanya diperingkat tempatan tetapi juga diperingkat antarabangsa. PAS akur bahawa sumbangan dan jasa beliau telah banyak mengharumkan nama negara. Dan pemergian Allahyarham ini sudah tentulah merupakan satu kehilangan besar khasnya buat bidang senilukis dan senireka negara.

PAS mendokan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah swt dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.

Alfatihah.

1 comment:

sifu said...

Moga-moga semasa hayatnya beliau juga ada memberi sumbangan kepada Islam dan mendapat ganjaran pahala yg sewajarnya dari Allah...