PAS adalah sebuah gerakan Islam, ia
bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata sebagaimana yang lain. Lantaran
itu setiap gerak langkah dan tindak-tanduknya dan ahli-ahlinya perlulah
menepati dan selaras dengan disiplin dan amalan sebuah gerakan Islam.
Ahli-ahli dan pemimpin PAS terikat
dengan konsep amal jamaie yang disemai dalam dada setiap mereka melalui proses
pentarbiyahan dalam parti dipelbagai peringkat. Parti mengamalkan konsep musyawarah
dan syura dimana teguran dan kritikkan dalaman perlulah mengikut saluran yang
telah ditetapkan.
Gagallah seorang ahli apalagi pemimpin
jika ia bertindak dan bergerak tidak selaras dengan konsep ini apatah lagi
membelakangkan jemaah dengan sikap dan pendirian peribadi yang bertentangan
dengan kepentingan parti.
PAS pasca Muktamar ke 61 telah menyaksikan
betapa segelintir mereka yang seumpama ini yang tidak lagi sehaluan dengan
perjuangan parti telah memilih untuk mengkhianati dan meninggalkan parti ini.
Pemergian mereka dikesali tetapi sedikti pun tidak menjejaskan parti kerana yang
penting dalam perjuangan ini adalah dasar dan prinsipnya bukannya mana-mana
individu atau kumpulan. Pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan keramat ini
diteruskan.
Walaubagaimanapun masih ada segelintir
kecil yang tinggal dalam PAS yang kecenderungan mereka mirip pada gerombolan
pengkhianat tadi tetapi memilih untuk terus berada dalam parti atas sebab-sebab
yang hanya mereka ketahui. Duduk dalam parti dengan menghormati dan mematuhi
adab dan disiplin bolehlah diterima tetapi apabila memilih untuk membikin onar
dari dalam, maka mereka ini wajar didisiplinkan atau ditunjuk jalan keluar.
Saya perhatikan kebelakangan ini
tindak-tanduk ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Hj Mahfuz Omar, dalam hal ini
sangat menimbulkan kesangsian.
Dalam kesungguhan PAS mendepani politik
baru yang lebih matang dan terbuka khususnya berhubung permasalahan Islam dan
ummah, Mahfuz memilih untuk mencetuskan kecurigaan dan malah cuba memupuk
persepsi negatif berkemungkinan untuk mencetuskan keraguan dikalangan ahli dan
penyokong.
Kajian terbaru Merdeka Centre berhubung
trend pengundi Melayu dan Cina cuba dimanipulasi oleh beliau untuk mengukuhkan
hujahnya bahawa kononnya PAS berada dalam trend yang membimbangkan sedangkan bagi
para penganalisa angka-angka itu dalam perspektif politik semasa lebih
menguntungkan PAS dan menunjukkan indikator yang positif.
Beliau memetik angka 42% yang diberikan
oleh Merdeka Centre iatu tahap kepuasan hati pengundi Melayu terhadap PAS. Bagi
beliau angka ini menurun berbanding 45% iaitu tahap sokongan pengundi Melayu
pada PAS dalam PRU ke 13 lalu. Penurunan 3% katanya.
Mahfuz mungkin tidak sedar bahawa epal
sewajarnya dibandingkan dengan epal tidak sesuai dengan oren walaupun beliau
kelihatan cenderung dengan oren.
Mahfuz tidak pula menyatakan dalam
kenyataannya itu bagi Umno pula tahap kepuasan orang Melayu terhadapnya
hanyalah 35%. Kenapa tidak dibuat perbandingan pencapaian PAS dan Umno itu?
Tidakkah dalam hal yang sama ini menunjukkan bahawa dalam situasi politik
semasa PAS mengatasi Umno sebanyak 7%.
Mengapa Mahfuz mengambil tahap sokongan
pada PRU ke 13?
Tidakkah semasa itu trendnya berbeza
atau Mahfuz sengaja mahu sembunyikan? Tidakkah semasa PRU 13 lalu Pakatan Rakyat
masih wujud dan PAS masih berkerjasama dengan DAP. Hari ini tiada lagi Pakatan
Rakyat yang ada cuma kerjasama politik PAS dan PKR, sudah pastilah senario PRU
13 tidak boleh diambil kira sebagai asas perbandingan.
Sesungguhnya 42% itu menunjukkan orang
Melayu sudah mula beralih arah dari Umno ke PAS dalam keadaan PAS tiada lagi
hubungan dengan DAP. Jika begitu trendnya, kematangan dan kebijaksanaan politik
PAS seterusnya boleh mempertingkatkan pencapaian ini dan tidak mustahil PAS boleh
muncul sebagai parti pilihan orang Melayu menjelang PRU ke 14 ini, atau Mahfuz
tak setuju?
Dalam pada itu Mahfuz juga memetik 54%
iaitu angka tahap ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap Umno yang
dikeluarkan oleh kajian yang sama. Menurut Mahfuz:
“Apakah ini
menunjukkan berlaku kemerosotan sokongan Melayu kepada Pas dan orang Melayu
yang tidak puas hati dan marah kepada Umno tidak pun beralih kepada Pas?”
Saya meragui
kesimpulan yang dibuat Mahfuz itu kerana beliau tidak dedahkan pula peratusan
terhadap PAS yang turut dikeluarkan oleh Merdeka Centre. Menurut Merdeka Centre
cuma 32% sahaja pengundi Melayu yang tidak berpuashati pada PAS, mengapa angka
itu disembunyikan?
Tidakkah ini
juga menunjukkan dalam situasi semasa kalau 32% pengundi Melayu tidak berpuas
hati dengan PAS ini bermakna bakinya 68% tiada bermasalah dengan PAS, tidakkah
besar angka itu?
Mahfuz berhak membuat apa sahaja
interpretasi ikut kemampuan dan agenda beliau, tetapi pada prinsipnya siapa
sahaja boleh perakui bahawa kajian terbaru itu secara keseluruhan merupakan sesuatu
yang positif buat PAS. Lihat sahaja ulasan The Malay Mail (yang barangkali
Mahfuz terlepas pandang atau memang tidak baca)
“But
The Malay Mail Online managed to see part of the survey which showed that more
Malays were happy with PAS than with Umno, while the Chinese were more
dissatisfied with the Malay ruling party than with PAS” (Boo Su-Lyn : Dec.
11, 2015)
(Akan tetapi The Malay Mailonline telah
dapat melihat kajian berkenaan yang jelas menunjukkan lebih ramai orang Melayu
berpuashati dengan PAS berbanding Umno, manakala lebih ramai masyarakat Cina
tidak berpuashati pada parti pemerintah Umno berbanding PAS.)
Dan lebih mendukacitakan apabila Mahfuz berdasarkan
hujah-hujahnya itu mempertikaikan pula kemampuan PAS dalam mengahadpi PRU ke 14
nanti. Menurut beliau kononnya orang-orang Melayu menolak politik bersendirian
kiranya PAS memilih untuk bersendiri.
Bagi beliau untuk “survive” PAS perlu
memilih satu antara dua iaitu samada menyertai Pakatan Harapan (yang di
dalamnya ada PAN yang sarat dengan kawan-kawan baiknya) untuk membina momentum
sokongan pengundi Melayu dan Cina untuk menuju ke Putrajaya atau menerima
pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno dan menggembeling sokongan
pengundi Melayu atas retorik survival kuasa politik Melayu.
Di
situ sahaja Mahfuz jelas menunjukkan betapa kontranya pendirian beliau berbanding
dengan partinya sendiri.
Tidakkah PAS telah memutuskan tidak akan
bersama PH kerana di dalamnya ada DAP
dan PAN yang tiada hubungan politik dengan PAS.
Tidakkah telah ditegaskan bahawa
kerjasama dengan Umno bukannya atas dasar kerjasama politik tetapi kerjasama
untuk membela dan menobatkan Islam. PAS tidak pernah memutuskan berkerjasama
politik dengan Umno sebaliknya yang ditegaskan oleh Presiden PAS adalah kekal
berkerjasama politik dengan PKR.
Dan kemuncak penyerlahan sikap dan
pendirian Mahfuz adalah apabila beliau mengesyorkan agar PAS berani membuat
keputusan iaitu memilih satu antara dua tadi.
Beliau tidak sedar bahawa sesungguhnya
bagi ahli-ahli dan penyokong PAS kami juga sebenarnya mahu melihat Mahfuz kalau
boleh beranilah buat keputusan kerana kami sudah bosan dan mual dengan budaya
separuh ular separuh belud beliau itu.
Beranilah pilih samada mahu bersama
kawan-kawannya di dalam PAN atau mahu kekal sebagai anggota jamaah di dalam
PAS. Kalau mahu ke PAN silakan dengan syarat jangan seret kerusi Pokok Sena
sekali sebagaimana kawan-kawan kamu itu dan kalau memilih kekal bersama PAS,
taat dan patuhlah pada disiplin parti sebagaimana kami yang lain.
Berani tak YB Mahfuz buat keputusan?
1 comment:
Alahai Mahfus tak habis-habis mempertikaikan parti sendiri patutlah beliau digelar Tha Bean. tak habis dengan tololnya.
Post a Comment