Berani tak YB Mahfuz buat keputusan?

Friday, December 18, 2015



PAS adalah sebuah gerakan Islam, ia bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata sebagaimana yang lain. Lantaran itu setiap gerak langkah dan tindak-tanduknya dan ahli-ahlinya perlulah menepati dan selaras dengan disiplin dan amalan sebuah gerakan Islam.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS terikat dengan konsep amal jamaie yang disemai dalam dada setiap mereka melalui proses pentarbiyahan dalam parti dipelbagai peringkat. Parti mengamalkan konsep musyawarah dan syura dimana teguran dan kritikkan dalaman perlulah mengikut saluran yang telah ditetapkan.

Gagallah seorang ahli apalagi pemimpin jika ia bertindak dan bergerak tidak selaras dengan konsep ini apatah lagi membelakangkan jemaah dengan sikap dan pendirian peribadi yang bertentangan dengan kepentingan parti.

PAS pasca Muktamar ke 61 telah menyaksikan betapa segelintir mereka yang seumpama ini yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti telah memilih untuk mengkhianati dan meninggalkan parti ini. Pemergian mereka dikesali tetapi sedikti pun tidak menjejaskan parti kerana yang penting dalam perjuangan ini adalah dasar dan prinsipnya bukannya mana-mana individu atau kumpulan. Pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan keramat ini diteruskan.

Walaubagaimanapun masih ada segelintir kecil yang tinggal dalam PAS yang kecenderungan mereka mirip pada gerombolan pengkhianat tadi tetapi memilih untuk terus berada dalam parti atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui. Duduk dalam parti dengan menghormati dan mematuhi adab dan disiplin bolehlah diterima tetapi apabila memilih untuk membikin onar dari dalam, maka mereka ini wajar didisiplinkan atau ditunjuk jalan keluar.

Saya perhatikan kebelakangan ini tindak-tanduk ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Hj Mahfuz Omar, dalam hal ini sangat menimbulkan kesangsian.

Dalam kesungguhan PAS mendepani politik baru yang lebih matang dan terbuka khususnya berhubung permasalahan Islam dan ummah, Mahfuz memilih untuk mencetuskan kecurigaan dan malah cuba memupuk persepsi negatif berkemungkinan untuk mencetuskan keraguan dikalangan ahli dan penyokong.

Kajian terbaru Merdeka Centre berhubung trend pengundi Melayu dan Cina cuba dimanipulasi oleh beliau untuk mengukuhkan hujahnya bahawa kononnya PAS berada dalam trend yang membimbangkan sedangkan bagi para penganalisa angka-angka itu dalam perspektif politik semasa lebih menguntungkan PAS dan menunjukkan indikator yang positif.

Beliau memetik angka 42% yang diberikan oleh Merdeka Centre iatu tahap kepuasan hati pengundi Melayu terhadap PAS. Bagi beliau angka ini menurun berbanding 45% iaitu tahap sokongan pengundi Melayu pada PAS dalam PRU ke 13 lalu. Penurunan 3% katanya.

Mahfuz mungkin tidak sedar bahawa epal sewajarnya dibandingkan dengan epal tidak sesuai dengan oren walaupun beliau kelihatan cenderung dengan oren.

Mahfuz tidak pula menyatakan dalam kenyataannya itu bagi Umno pula tahap kepuasan orang Melayu terhadapnya hanyalah 35%. Kenapa tidak dibuat perbandingan pencapaian PAS dan Umno itu? Tidakkah dalam hal yang sama ini menunjukkan bahawa dalam situasi politik semasa PAS mengatasi Umno sebanyak 7%.

Mengapa Mahfuz mengambil tahap sokongan pada PRU ke 13?

Tidakkah semasa itu trendnya berbeza atau Mahfuz sengaja mahu sembunyikan? Tidakkah semasa PRU 13 lalu Pakatan Rakyat masih wujud dan PAS masih berkerjasama dengan DAP. Hari ini tiada lagi Pakatan Rakyat yang ada cuma kerjasama politik PAS dan PKR, sudah pastilah senario PRU 13 tidak boleh diambil kira sebagai asas perbandingan.

Sesungguhnya 42% itu menunjukkan orang Melayu sudah mula beralih arah dari Umno ke PAS dalam keadaan PAS tiada lagi hubungan dengan DAP. Jika begitu trendnya, kematangan dan kebijaksanaan politik PAS seterusnya boleh mempertingkatkan pencapaian ini dan tidak mustahil PAS boleh muncul sebagai parti pilihan orang Melayu menjelang PRU ke 14 ini, atau Mahfuz tak setuju?

Dalam pada itu Mahfuz juga memetik 54% iaitu angka tahap ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap Umno yang dikeluarkan oleh kajian yang sama. Menurut Mahfuz:
“Apakah ini menunjukkan berlaku kemerosotan sokongan Melayu kepada Pas dan orang Melayu yang tidak puas hati dan marah kepada Umno tidak pun beralih kepada Pas?”
Saya meragui kesimpulan yang dibuat Mahfuz itu kerana beliau tidak dedahkan pula peratusan terhadap PAS yang turut dikeluarkan oleh Merdeka Centre. Menurut Merdeka Centre cuma 32% sahaja pengundi Melayu yang tidak berpuashati pada PAS, mengapa angka itu disembunyikan?
Tidakkah ini juga menunjukkan dalam situasi semasa kalau 32% pengundi Melayu tidak berpuas hati dengan PAS ini bermakna bakinya 68% tiada bermasalah dengan PAS, tidakkah besar angka itu?
Mahfuz berhak membuat apa sahaja interpretasi ikut kemampuan dan agenda beliau, tetapi pada prinsipnya siapa sahaja boleh perakui bahawa kajian terbaru itu secara keseluruhan merupakan sesuatu yang positif buat PAS. Lihat sahaja ulasan The Malay Mail (yang barangkali Mahfuz terlepas pandang atau memang tidak baca)

“But The Malay Mail Online managed to see part of the survey which showed that more Malays were happy with PAS than with Umno, while the Chinese were more dissatisfied with the Malay ruling party than with PAS” (Boo Su-Lyn : Dec. 11, 2015)

(Akan tetapi The Malay Mailonline telah dapat melihat kajian berkenaan yang jelas menunjukkan lebih ramai orang Melayu berpuashati dengan PAS berbanding Umno, manakala lebih ramai masyarakat Cina tidak berpuashati pada parti pemerintah Umno berbanding PAS.)

Dan lebih mendukacitakan apabila Mahfuz berdasarkan hujah-hujahnya itu mempertikaikan pula kemampuan PAS dalam mengahadpi PRU ke 14 nanti. Menurut beliau kononnya orang-orang Melayu menolak politik bersendirian kiranya PAS memilih untuk bersendiri.

Bagi beliau untuk “survive” PAS perlu memilih satu antara dua iaitu samada menyertai Pakatan Harapan (yang di dalamnya ada PAN yang sarat dengan kawan-kawan baiknya) untuk membina momentum sokongan pengundi Melayu dan Cina untuk menuju ke Putrajaya atau menerima pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno dan menggembeling sokongan pengundi Melayu atas retorik survival kuasa politik Melayu.

Di  situ sahaja Mahfuz jelas menunjukkan betapa kontranya pendirian beliau berbanding dengan partinya sendiri.

Tidakkah PAS telah memutuskan tidak akan bersama PH kerana  di dalamnya ada DAP dan PAN yang tiada hubungan politik dengan PAS.

Tidakkah telah ditegaskan bahawa kerjasama dengan Umno bukannya atas dasar kerjasama politik tetapi kerjasama untuk membela dan menobatkan Islam. PAS tidak pernah memutuskan berkerjasama politik dengan Umno sebaliknya yang ditegaskan oleh Presiden PAS adalah kekal berkerjasama politik dengan PKR.

Dan kemuncak penyerlahan sikap dan pendirian Mahfuz adalah apabila beliau mengesyorkan agar PAS berani membuat keputusan iaitu memilih satu antara dua tadi.
Beliau tidak sedar bahawa sesungguhnya bagi ahli-ahli dan penyokong PAS kami juga sebenarnya mahu melihat Mahfuz kalau boleh beranilah buat keputusan kerana kami sudah bosan dan mual dengan budaya separuh ular separuh belud beliau itu.

Beranilah pilih samada mahu bersama kawan-kawannya di dalam PAN atau mahu kekal sebagai anggota jamaah di dalam PAS. Kalau mahu ke PAN silakan dengan syarat jangan seret kerusi Pokok Sena sekali sebagaimana kawan-kawan kamu itu dan kalau memilih kekal bersama PAS, taat dan patuhlah pada disiplin parti sebagaimana kami yang lain.

Berani tak YB Mahfuz buat keputusan?



1 comments:

mohd saifuddin said...

Alahai Mahfus tak habis-habis mempertikaikan parti sendiri patutlah beliau digelar Tha Bean. tak habis dengan tololnya.