Akibat krisis kepimpinan Najib, Umno perlu direhatkan

Saturday, December 12, 2015

Setelah sekian lama menunggu jawaban berhubung isu yang menganggu rata-rata majoriti rakyat Malaysia, sehingga menjadi tajuk bualan dimana-mana, bahan senda gurau dan seumpamanya, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba, iaitu Khamis 3 Disember.

Rakyat Malaysia diberi pengharapan bahawa pada tanggal tersebut di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan muncul di Dewan Rakyat memberikan penjelasan darihal wang sejumlah RM2.6 bilion yang diberitahu telah masuk ke akaun peribadi beliau sebagai wang derma politik.

Dalam keadaan rakyat gundah-gulana dengan skandal 1MDB yang mencatatkan kerugian berbilion ringgit wang negara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan maklumat bahawa wang sebesar itu dalam bentuk sumbangan derma politik senang-senang telah masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Rakyat perlukan jawaban, rakyat mahukan kepastian adakah transaksi sedemikian rupa dibenarkan lebih-lebih lagi apabila puncanya datang dari negara luar.

Wajar sangatlah dalam keadaan demikian satu penjelasan dibuat oleh Perdana Menteri.
Walaubagaimanapun apabila tiba tarikh berkenaan, yang muncul berdiri di bangku kerajaan bukannya Najib sebaliknya Timbalan beliau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sudah pastilah rakyat kecewa apabila Najib gagal muncul dan lebih kecewa lagi apabila TPM hanya mengambil masa sekitar 5 minit dengan menyatakan bahawa isu ini tidak boleh dihebahkan kerana ianya masih dalam siasatan pihak-pihak berwajib.

Dalam penjelasannya juga Zahid menyatakan bahawa pihak SPRM telah mengesahkan yang wang berkenaan yang masuk ke akaun peribadi Najib bukannya berpunca dari 1MDB. Dan pihak SPRM juga telah mengenal-pasti identiti penyumbang berkenaan manakala Bank Negara maklum mengenainya.

Jika benar ianya masih dalam siasatan pihak berwajib, maka kita menghormati undang-undang dan saya percaya rakyat Malaysia sanggup bersabar menunggu keputusan akhir penyiasatan itu.

Apa yang Najib perlu tahu bahawa tindakan beliau yang tidak hadir ke Dewan Rakyat itu sesungguhnya telah mencalarkan kewibawaan dan sokongan rakyat mana saja ada yang berbaki terhadapnya.

Barangkali benar anggapan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin bahawa Najib realitinya tidak pernah berani atau tegas. Najib naik menurut Kadir adalah kerana licik main selamat sambil dipimpin dan dilindungi oleh mentor-mentornya.

Kalau kita masih ingat semasa krisis Mahathir-Ku Li tahun 1987 dahulu, semasa Mahathir dicabar Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno, Najib yang ketika itu Ketua Pemuda sepatutnya memberikan sokongan kepada Ku Li, akan tetapi disaat akhir beliau berpaling tadah dan menyebelahi Mahathir.

Itulah barangkali maksud Kadir, liciknya Najib berpoltik.

Benarkah Najib penakut?

Saya kira Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih penakut. Beliau rela menjadi “tunggul” walaupun dinafikan haknya sebagai Timbalan Presiden.

Dalam keadaan kalut sebegini, Muhyiddinlah yang sepatutnya bangkit berdiri memperbetulkan keceluran dan kekalutan dalam Umno dan negara sebab beliau orang nombor dua dalam Umno dan pernah duduk sebagai TPM sebelum ini.

Pastinya Muhyiddin punya maklumat dan boleh menjelaskan kepada rakyat bukan hanya isu RM 2.6 bilion itu malah skandal 1MDB saya percaya terlekat dalam kepalanya.

Perhimpunan Agung Umno 8 Disember ini merupakan “platform” terbaik buat Muhyiddin. Benar mungkin beliau dihalang dari berucap merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri dan mungkin juga tidak di slot kan untuk berucap dalam sesi ucapan penangguhan, tetapi mengapa mesti takut?

Bukankah forum Perhimpunan Agung itu forum berkumpulnya wakil-wakil akar umbi yang mewakili 3 juta ahli Umno seluruh negara kecuali Sarawak. Gunakanlah mekanisma Perhimpunan Agung, mana orang-orang Muhyiddin yang taat padanya? Sudah pasti ada yang menjadi perwakilan dan jurucakap bahagian, maka tuntutlah hak masing-masing, bangkit dan bersuara dan tuntut supaya Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden diberi masa berucap.

Atau semua sebenarnya sudah takut lebih takut dari Najib sendiri?

Saya mungkin tersalah tetapi saya menjangkakan Najib walaupun kelihatan penakut sebagaimana dakwa Kadir, tetapi beliau bijak dan licik.

Saya merasakan akhirnya nanti Najib akan gunakan Perhimpunan Agung Umno untuk menyatakan kesnya. Mengapa perlu ke Dewan Rakyat apabila terdapat singa-singa lapar yang sedia menerkamnya!

Dalam Perhimpunan Agung Umno nanti semasa sesi akhir penggulungan Presiden, beliau seorang sahaja yang akan bercakap, dan ketika itulah beliau boleh berkata apa sahaja, yang lain sekadar boleh ternganga dan angguk.

Saya optimis Najib akan gunakan forum ini untuk menyelamatkan dirinya. Beliau kini hanya bergantung pada sokongan dan taat setia orang-orang Umno sahaja kerana beliau tahu diluar sana rakyat sudah semakin mual, bosan dan marah.

Ini bermakna Perhimpunan Agung Umno nanti menjadi medan yang lebih besar dan agung dari Parlimen dan Dewan Rakyat. Demikianlah negara diperlakukan di tangan Umno yang ternyata sudah terlalu kacau dan letih itu.

Kerana itulah buat rakyat Malaysia, tiada cara dan penyelesaian lain selepas ini melainkan merihatkan Umno dan memang jika beginilah nasib kita wajar sangat mereka dirihatkan.
PAS dan blok pembangkang yang boleh berkerjasama dengan PAS wajar menyusun langkah bagi bersedia bukan hanya menghadapi Umno dan BN dalam PRU akan datang tetapi juga menerima disaat ini ahli-ahli Umno dan lain-lain yang turut telah hilang keyakinan pada pimpinan tertinggi mereka untuk bersama perjuangan ini.

PAS rihatkan Umno. PAS ganti Umno. roslansms@gmail.com

0 comments: