Wednesday, December 02, 2015

Mat Sabu mahu "bunuh" PAS

Mat Sabu tuduh PAS diresapi pemikiran ISIS.

Untuk itu Mat Sabu minta pihak polis dari Cawangan Khas (Special Branch) membuat kajian terperinci keranan kononnya pemikiran ini dalam PAS mampu mengancam keselamatan negara.

Ramai yang minta saya respon berikutan kenyataan Presiden PAN ini, entah saya tiba-tiba seakan tersentak dan terdiam. Sekadar membaca satu demi satu laporan dan posting serta berita berkaitan untuk memastikan kesahihan sebenar-benarnya.

Memang itulah yang dikatakan Mat Sabu dan terkini banyak pihak khasnya pimpinan telah berikan respon dan kenyataan.

Sedih memikirkan seorang bekas Timbalan Presiden, seorang yang pernah berunlangkali merengkok dalam tahanan semasa bersama PAS, seorang yang pernah dijulang sebagai wira semasa dalam PAS, seorang yang kini makan pencen kerana pernah jadi wakil rakyat atas tiket PAS, tiba-tiba hari ini tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Bagi saya kenyataan ini satu fitnah besar, satu pembohongan dan satu perancangan jahat khasnya dari Mat Sabu untuk “membunuh” PAS. Tiada perkataan lain yang boleh digunakan.

Kerana itulah agak lambat saya mahu memberi respon kerana sangat tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu ini, tidak percaya beliau sanggup mengkhianati bekas sahabat dan kawan-kawannya sebegitu rupa.

Yang terlintas dalam fikiran saya adalah watak-watak Pateh Karma Wijaya, Raja Mandaliar, Si Kitol dan hari ini bertambah seorang lagi Mat Sabu.

Kononnya punca PAN ditubuhkan kerana PAS diresapi pemikiran ISIS dan mengamalkan budaya “takfiri”.

Situ sahaja sudah nampak mentah-mentah pembohongannya.

Bukankah PAN ditubuhkan oleh mereka yang kecewa kerana tewas dalam pemilihan PAS tempoh hari, termasuklah Mat Sabu sendiri. Agak-agaknya kalau menang bagaimana?

Sesungguhnya mereka yang kecewa ini termasuklah Mat Sabu telah merancang begitu rapi untuk mengambil-alih dan menguasai kepimpinan PAS dalam Muktamar Jun lalu. Mereka telah susun pasukannya, mereka telah bergerak turun ke kawasan-kawasan seluruh negara, malah mereka menyusun hingga mahu mempengaruhi sentimen kawasan-kawasan dengan cuba mencetuskan gelombang penolakan terhadap Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dari peringkat kawasan-kawasan lagi.

Mereka rancang untuk mendominasi mesyuarat agung kawasan-kawasan seluruh negeri-negeri. Dari Kota Bharu ke Kuala Kedah ke Shah Alam.

Dan mereka berkempen semaksima mungkin melalui media yang mereka kuasai termasuklah Harakah ketika itu, TMI dan lain-lain. Lebih ketara lagi mereka turut mendapat bantuan pimpinan DAP yang terang-terang mengeluarkan kenyataan selesa dengan blok mereka dan minta supaya PAS buat perubahan.

Ditakdirkan Allah swt, tanpa sebarang unsur penipuan, dalam pemilihan yang telus dan terbuka, mereka tewas, ditolak oleh perwakilan PAS yang mewakili 1 juta kekuatan akar umbi seluruh negara.

Apa yang tidak dikatakan oleh Mat Sabu dan gengnya terhadap Tuan Guru dan sahabat-sahabat lain. Merek terlalu yakin boleh menang dan menguasai PAS, tetapi akhirnya tanpa disangka-sangka ditolak “en bloc”.

Marah, kecewa, sedih dan bermacam lagi bersarang dalam jiwa dan kepala mereka. Atas hati yang bengkak itulah maka ditubuhkan PAN, kerana mahu menggantikan PAS setelah barangkali “didedakkan” oleh DAP.

Bukan kerana PAS diresapi ISIS atau budaya takfiri tetapi kerana jiwa kacau dan tidak boleh menerima kekalahan, itu sahaja.

Setelah beberapa bulan menjaja PAN, kini mereka sedar mereka sekadar mampu mengkhianati perjuangan PAS dan “curi” kerusi-kerusi PAS, tetapi hakikatnya mereka tidak mampu meyakinkan ahli-ahli PAS untuk bersama-sama mereka kecuali segelintir kecil yang memang “hardcore” orang-orang kanan mereka.

PAS terus berdiri kukuh walaupun mereka berjaya memaksa DAP mematikan PR dan menubuhkan PH yang baru.

Mereka sedari, akar umbi PAS masih setia bersama parti Islam ini dan tidak rela sekali-kali mengkhianati perjuangannya sebagaimana mereka. Kekuatan ratusan ribu yang kononnya dikatakan akan meninggalkan PAS sehingga melumpuhkan PAS khasnya dibeberapa negeri termasuk Selangor, tidak menjadi.

PAN pastinya panas apatah lagi “expectation” atau pengharapan yang diberikan kepada “Tuan” mereka DAP bahwa mereka boleh lumpuhkan PAS dan menguasai PAS dari luar rupanya dongeng belaka.

Lantas bagaimana mahu mematikan PAS ini?

Sebelum ini mereka mengasak dan menabur setiap hari fitnah Unity Government dan kerjasama PAS dan Umno sejak pra muktamar sehinggalah hari ini, gunanya untuk meracun akar umbi PAS rupanya ia tidak dimakan sebagaimana mereka kebulur memakan dedak dari DAP.

Berserabut kepala mereka memikirkan bagaimana lagi mahu menjatuh dan menjahanamkan PAS ini, sebagaimana berserabut kepala Pateh Karma Wijaya, Raja Mendaliar dan Si Kitol diwaktu mereka.

Akhirnya digunakan racun yang buat mereka paling berbisa dan sudah pasti akan mematikan PAS sekelip mata. Main dengan sentimen kebimbangan semasa, kaitkan PAS dengan sesuatu yang boleh mengakibatkan rakyat takut dan benci pada PAS. Bikin cerita supaya PAS bukan sahaja begitu di mata rakyat tetapi turut dilihat sebagai satu ancaman dari kacamata pihak keselamatan.

Rakyat benci, polis bertindak, kesimpulannya matilah PAS kali ini asalkan aku hidup dan dapat berkuasa.

Jahat, sungguh jahat dan biadap.

PAS sejak dari penubuhannya komited mahu menegakkan Islam melalui kaedah politik berpilihanraya. PAS tidak pernah ganas dan militan malah sebarang kemungkinan ke arah itu dikalangan ahlinya terus sahaja diambil tindakan sekeras-kerasnya termasuk dipecat. Dan ramai yang telah diambil; tindakan sedemikan sejak dari dahulu hingga kini.

Tidak pernah ada bukit yang PAS mempelopori perjuangan melalui senjata.

Mat Sabu bukan tak tahu, beliau pun pernah dituduh ganas kerana itu ditahan di bawah ISA, tetapi ternyata semua tuduhan sedemikian terhadap pimpinan PAS sejak dari zaman Almarhum Datuk Seri Dr Burhanuddin al Helmi, dan kemudiannya termasuk Mat Sabu dan lain-lain ternyata tidak berasas.

PAS sokong perjuangan Hamas, PAS bersama Mujahideen Afghanistan satu ketika dahulu dan lain-lain gerakan Islam seluruh dunia tetapi tidak pernah menghalalkan kaedah yang sama untuk digunakan di Malaysia. Tidak pernah dahulu dan kini pun tidak pernah.

Jika ada itulah fitnah dan pembohongan Mat Sabu semata-mata.

Malah yang sering berceramah dan berucap berapi-api mengagung-agungkan perjuangan militan seumpama Hizbollah itu sebenarnya adalah Mat Sabu sendiri semasa dalam PAS dahulu. Ucapan dan video beliau mudah sahaja dimuatnaik hari ini sebagai bukti.

Janganlah jadi seumpama tiga tokoh pengkhianat dan pembelot tersohor dalam sejarah Melayu iaitu Pateh Karma Wijaya, Raja Mandaliar dan Si Kitol itu. Atau barangkali sudah sampai masanya jumlah tokoh tersohor itu ditambah seorang lagi menjadi empat.

Kasihan melihatkan Mat Sabu yang satu ketika dahulu disanjung dan dihormati, hari ini terpaksa melacurkan diri bermain “gutter politics” atau politik longkang semata-mata untuk melonjak dan mempopularkan diri.

Buatlah apa sahaja Abang Mat untuk hidup tetapi jangan sekali-kali sampai menabur fitnah ketahap sanggup dan tergamak “membunuh” kawan-kawan sendiri. Dahlah mengkhianati perjuangan tergamak pula tikam kawan dari belakang.

Kami yang istiqamah dalam perjuangan ini insyallah akan terus mempertahankan perjuangan yang benar ini. PAS yang telah berjuang lebih 60 tahun tanpa jemu-jemu, mengharungi susah dan payah menegak dan mempertahankan Islam insyallah tidak akan seinci pun berundur datanglah siapa pun Pateh Karma Wijaya, Raja Mandaliar, Si Kitol apatah lagi Mat Sabu.


No comments: