Sunday, December 13, 2015

Umno perlu bukti komitmen laksana Islam

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2105 Edisi Isnin muka F17

Saya sengaja peruntukkan masa untuk mengikuti ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan TV secara langsung pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Sudah pasti apa yang mahu diperkatakan oleh orang nombor satu negara yang merupakan juga orang nombor satu parti terbesar dalam negara yang kebetulan merupakan seteru politik nombor satu PAS seharusnya menggamit minat dan perhatian. 

Dan sebagaimana yang saya duga, beliau telah mempergunakan semaksima mungkin peluang berucap bukan sekadar kepada 2,654 orang perwakilan dan berganda lagi pemerhati Umno yang hadir Dewan Merdeka di PWTC itu malah seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti siaran langsung di TV atau membaca laporannya di akhbar media perdana keesokkan harinya, untuk membela dan mempertahankan dirinya.

Dengan megah dan senang hati beliau memberikan versinya terhadap isu-isu yang sedang hangat diperkatakan rakyat khasnya skandal 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya. Pastinya Najib telah mendapatkan input dan nasihat dari pakar-pakar untuk menyampaikan ucapan yang boleh memberi kesan dan meyakinkan sekurang-kurangnya orang-orang Umno para perwakilan partinya sendiri.

Ini kerana kedua-dua isu ini bukan hanya hangat dikalangan rakyat kebanyakkan malah turut hangat dikalangan orang-orang Umno. Lebih-lebih lagi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir turut telah mencuri peluang menggunakan isu berkenaan untuk menyerang Najib dari dalam.

Najib pastinya mahu muncul sebagai jaguh dan pemenang dalam isu-isu ini apatah lagi mengekang pula tentangan yang cuba digerak dan dilancarkan oleh Timbalannya dengan bantuan bekas Presiden Tun Dr Mahathir. Muhyiddin, Shafiee Apdal dan Tun Dr Mahathir masing-masing tidak terlepas dari terjahan ucapannya yang kesannya saya pasti lebih mengeruhkan hubungan antara mereka dari menjernihkannya.

Samada rakyat berpuas hati atau makin celaru dengan penerangan Najib itu tidaklah dapat dipastikan tetapi yang jelas kelihatan beliau telah berjaya meyakinkan ahli-ahli Umno yang majoritinya taat di belakang kepimpinannya.

Sehari sebelumnya, pimpinan dan perwakilan sayap-sayap Umno iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita masing-masing hangat dan berkobar-kobar membicarakan darihal kenaikkan kos hidup akibat dari kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Dalam ucapannya Najib melonggokkan isu berkenaan dengan menyandarkannya pada isu kegawatan dunia yang menurutnya menjadi punca yang turut menjejaskan juga ekonomi negara membangun yang lain.

Sekali lagi samada rakyat berpuas hati ataupun semakin sakit hatinya tidaklah diketahui namun yang jelas ahli-ahli Umno samada perwakilan mahupun pemerhati yang hadir di PWTC rata-rata mengangguk dan bersorak tanda setuju dan berpuas hati dengan penjelasan Presiden mereka.

Tetapi samada sengaja dirancang ataupun tidak yang lebih menarik perhatian dalam ucapan Najib kali ini adalah apabila beliau dalam pada tertumpu memperbetulkan partinya yang sedang kacau itu tiba-tiba menghulurkan pula tali silaturrahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Tidak pernah mana-mana Presiden Umno sebelum ini sejak dari zaman Allahyarham Dato Onn Jaafar sehinggalah terakhir Tun Abdullah pernah mahu menghulurkan tangan berkerjasama dengan PAS bagi memastikan negara dibangunkan mengikut syariat. Najib mencipta rekod melalui tawaran berkenaan.

Samada ianya jujur atau punya muslihat tertentu tidaklah diketahui, namun saya yakin apa sahaja tawaran untuk mahu membangunkan negara menurut syariat Islam pastinya akan disahut oleh PAS. Umno mungkin melihat kebuntuan yang ada di hadapan mereka tiada kesudahannya melainkan kembali kepada Islam.

Malah sebenarnya disaat ini pun ahli-ahli Parlimen PAS telah berulangkali melontarkan pelbagai gagasan dan cadangan termasuklah semasa perbahasan Bajet 2016 baru-baru ini yang menyentuh langkah-langkah yang boleh diambil selain penambahbaikkan yang boleh dilaksanakan ke arah memastikan Malaysia mematuhi syariat yang telah digariskan oleh Islam.

PAS yang diasaskan untuk berjuang menegakkan syariat Islam di Malaysia ini sudah pasti akan mengalu-alukan apa sahaja langkah positif yang boleh membantu ia mencapai matlamat perjuangannya itu.

Namun Umno sendiri perlulah banyak meneroka perubahan terlebih dahulu, kerana Islam tidak boleh tegak semata-mata pada slogan dan mainan politik tetapi ianya perlukan komitmen dan kesungguhan yang istiqamah.

Pelbagai kepincangan, kekurangan dan lebih-lebih lagi kemungkaran yang sedia ada dalam negara perlulah dihapuskan sebagai bukti kesungguhan Presiden Umno itu.

Kita menunggu reaksi PAS seterusnya. Yang pasti PAS akan terus berpegang kepada kerjasama politik yang telah ia pupuk dan pateri bersama PKR. Rakan politik PAS hakikatnya adalah PKR dan ini dijangka tidak berubah dan akan terus diperkukuhkan.

Nasihat yang paling baik yang boleh PAS berikan kepada Umno diperingkat ini adalah agar mereka terlebih dahulu mengemas dan menguruskan rumahtangga mereka dan setelah itu berusaha ke arah memperkenal dan memperkukuhkankan sistem Islam secara komprehensif di dalam sistem pentadbiran negara dan negeri-negeri

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS pastinya akan menyokong langkah yang baik namun tidak bermakna PAS perlu tinggalkan PKR dan berkerjasama politik pula dengan Umno.

Bersama serius mahu menegakkan syariat Islam boleh dilaksanakan dengan kejujuran dan komitmen semua pihak yang punya kepentingan. Ia sebenarnya tidak terbatas pada PAS dan Umno sahaja, malah semua ahli-ahli Parlimen Islam, termasuklah dari DAP sekalipun selain NGO-NGO Islam dan yang mahu kepada Islam perlu insagf dan bersatu dalam usaha ini.

Semoga keinginan majoriti rakyat Malaysia untuk kembali kepada Islam dapat terlaksana dan menjadi nyata dalam waktu yang terdekat dengan kesungguhan semua pihak. roslansms@gmail.com

No comments: