PAS konsisten jadikan Islam panduan pemerintahan

Monday, December 28, 2015

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2109 Edisi Isnin muka F16

Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi Persekutuan ataupun “supreme law of the Federation”. Menurut amalannya mana-mana undang-undang yang dibuat samada di peringkat Parlimen mahupun Dewan-dewan Negeri hendaklah selaras dengan peruntukkan-peruntukkan di dalam perlembagaan ini dan mana-mana yang bertentangan dengannya adalah dikira terbatal.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan atau “religion of the Federation” , tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Di dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan tema “Perpaduan ummah merentasi idelogi”, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam ucaputamanya telah menyentuh peruntukkan ini.

Menurut beliau: “Mari kita merdekakan diri dengan benar-benar Merdeka. Tafsirkan Islam di dalam Perlembagaan mengikut “Ad deen” bukan mengikut “religion”.
Ternyata Tuan Guru Presiden PAS membuat penegasan ini berikutan tawaran Presiden Umno di dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno 2015 yang mahukan kerjasama dengan PAS dalam membentuk sebuah Malaysia yang berdiri di atas syariat Allah swt.

Di dalam ucapnnya itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyebut di hadapan para perwakilan Umno dan dif-dif kehormat: “Dengan hati yang terbuka dan nubari yang Merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya.”
Bagi merintis jalan dan membuka pintu ke arah usaha memartabatkan hukum dan peraturan Allah swt sebagaimana yang disentuh oleh Najib itu, Tuan Guru Presiden PAS menyarankan agar Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan itu tidak lagi ditafsirkan oleh kerajaan sebagai semata-mata “religion” atau agama, tetapi perlulah dilihat sebagai “Ad deen” iaiaitu suatu sistem kehidupan yang sempurna dan lengkap atau “a complete way of life”.

Semasa saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Tuan Guru Presiden PAS pada tahun 2008 dahulu, saya masih ingat betapa Tuan Guru begitu iltizam ataupun komited dan yakin bahawa pentafsiran Islam dalam perlembagaan Persekutuan itu sesungguhnya adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan yang memerintah.
Malah segala peruntukkan di dalam perlembagaan Persekutuan itu menjadi hidup atas pentafsiran kerajaan Persekutuan. Ianya tercatat sebagai suatu peraturan dan kerajaan yang memerintahlah yang memberi nafas kepadanya untuk hidup dalam kerangka amalan pentadbiran dan pengurusan negara.

Sebarang  cabaran atau pertikaian terhadap tafsiran kerajaan perlulah di bawah ke Mahkamah Persekutuan, institusi tertinggi yang mentafsirnya apabila berlaku konflik.
Kerana itu menurut Tuan Guru berdasarkan input yang beliau perolehi dari pakar-pakar dan penganmal undang-undang termasuklah bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas, pentafsiran Perkara 3 ini adalah anjal, dan keanjalannya terletak pada kerajaan yang memerintah. Jika sebuah kerajaan itu mahu menghadkan Islam hanya sekadar agama amalan dan adat-istiadat dan tidak lebih dari itu, maka ia kekalkanlah Islam yang dimaksudkan semata-mata sebagai “religion” menurut pemahaman dan pentafsiran Barat.

Walaubagaimanapun bagi kerajaan yang prihatin, mengerti bahawa Islam itu duduknya dalam Perlembagaan dengan tujuan dilaksana dan dimartabatkan maka kerajaan tadi akan mentafsirkan “Islam” dengan tafsiran sebenarnya iaitu “Ad deen”. Perkara inilah yang telah dilontarkan secara ikhlas dan terbuka oleh Presiden PAS dalam ucaputamanya di hadapan Presiden Umno.
Islam yang mahu diletakkan sebagai sebuah peraturan dan cara hidup bermasyarakat dan bernegara hanya mampu mejadi nyata apabila asasnya dijelaskan bermula dengan memberi tafsiran sebenar terhadap peruntukkan perlembagaan Persekutuan itu.

Inilah apa yang cuba dibawa dan difahamkan oleh PAS kepada rakyat sepanjang lebih 60 tahun perjuangannya dalam politik tanahair. Malah menurut rekod semasa menghalusi Penyata Suruhanjaya Reid, badan yang dipertanggungjawabkan oleh penjajah Biritish untuk menggubal Perlembagaan Malaya Merdeka, PAS telah mengadakan Muktamar Khas di Kuala Lumpur seawal 2 Mei 1957.
PAS meluluskan ketetapan 5 perkara dan salah satunya berbunyi: “Hendaklah ditegaskan bahawa agama Islam mestilah dijadikan agama rasmi tetapi bukanlah agama Hari Raya, agama Puasa atau agama Pejabat Agama tetapi agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini dan kepada pemerintahan.”

Sepatutnya perhatian seluruh masyarakat Islam yang cintakan perpaduan diberikan terhadap saranan yang sarat terkandung di dalam ucaptama Presiden PAS itu, namun rupanya yang menjadi tumpuan adalah pakaian sedondon Najib dan Tuan Guru, bukannya apa yang dibincang dan dibahaskan.
PAS sememangnya istiqamah dalam tuntutannya untuk menegakkan syariat Allah swt, kerana itu siapa sahaja yang berkongsi aspirasi yang sama, tidak kira parti atau kelompok mana, pasti dialu-alukannya . Namun demikian mana-mana pihak yang bersamanya itu perlulah membuktikan keikhlasan selain mengambil langkah proaktif ke arah merealisasikan tuntutan itu.

Saranan agar Islam sebagai Ad deen menjadi pegangan dan tafsiran kerajaan Persekutuan, sebagaimana dibuat Tuan Guru Presiden PAS itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi masyarakat hari ini semakin faham dan terdedah pada disiplin dan ajarabn Islam sebenar.
Semoga cetusan nasihat Tuan Guru Presiden PAS itu diberi perhatian dan diambil tindakan dengan harapan program Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia itu menjadi pemangkin ke arah sesuatu yang positif buat ummah dan negara. Jika tidak sia-sialah usaha murni yang telah dirintis dan diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan.
    

0 comments: