Friday, May 01, 2015

Apabila serangan memakan diri (1/5/15)

Walau berbagai asakkan ditalakan ke arahnya, walau berbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya, walau bertubi-tubi serangan dilancarkan ke atasnya, samada oleh segelintir mereka di dalam PAS mahupun dikalangan pimpinan tertentu dalam Pakatan Rakyat, namun sebaik pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi yang bakal ditandingi dalam Muktamar PAS Jun ini ditutup semalam, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipercayai terus mengungguli dan mendahalui pencalonan dengan mendapat lebih 80 peratus pencalonan dari kawasan-kawasan PAS seluruh Negara untuk mengekalkan jawatan Presiden PAS.

Dua pencabarnya iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Husam Musa masing-masing berkongsi tidak lebih dari 20 peratus baki, itupun ada diantaranya dari kawasan-kawasan yang cawangan-cawangannya antara yang terkecil bilangannya dalam Negara.
Samada mereka berdua ini akan menerima pencalonan ataupun tidak, tidak pula diketahui kerana pada asasnya kedua-dua mereka masing-masing memperolehi lebih 2 pencalonan dan dengan itu layak bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Muhammad Sabu, satu lagi kejutan berlaku apabila beliau dipercayai menerima kurang dari 25 peratus pencalonan manakala nama yang melonjak naik dicalonkan oleh kawasan-kawasan iaitu Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menerima lebih 70 peratus pencalonan.
Dato Tuan sekiranya menerima pencalonan dijangka berupaya merampas jawatan nombor dua tertinggi dalam PAS itu.

Isunya, apakah yang mendorong ahli-ahli akar umbi PAS khususnya di kawasan-kawasan seluruh Negara untuk bangkit melawan arus yang cuba dicetuskan oleh segelintir tertentu dengan bantuan kuat media sosial dan rata-rata media alternatif yang besar-besar?
Mengapa nama Tuan Guru terus dicalonkan? Dan mengapa nama Muhammad Sabu dicicirkan demikian rupa?

Malah kalau dilihat pencalonan untuk 3 jawatan Naib-naib Presiden, juga dipercayai, mereka yang dikaitkkan kuat dibelakang gelombang kononnya “perubahan” yang cuba dicetuskan dalam PAS itu masing-masing goyang dan tidak mustahil boleh tumbang. Nama-nama baru yang sealiran dengan sikap dan pendirian Tuan Guru dilihat jauh mendahului yang lain, malah selebihnya dipercayai memperolehi pencalonan jika tidak setanding, ada yang jauh ke hadapan penyandang kini.
Ustaz Idris Ahmad umpamanya dipercayai mendapat pencalonan terbanyak yakni lebih dari dua penyandang sekarang iaitu Salahuddin Ayub dan Husam Musa. Manakala nama-nama baru seperti Ustaz Dato Nik Amar, Ustaz Nasrudin Tantawi dan Dato Iskandar Abd Samad dipercayai kuat mencabar bilangan pencalonan yang diperolehi Salahuddin tapi yang pasti lebih dari yang diperolehi Husam.

Bukankah sebelum ini Tuan Guru difitnah dan dicemuh tidak Pakatan “friendly”, “flip flop” dalam kepimpinan, kononnya mahu bermesra dengan Umno, membelakangkan AJK Pusat dan berbagai lagi. Ada segelintir orang dalam  PAS sehingga berkempen meminta Tuan Guru ditukarkan, dan ini mendapat bantuan mereka yang diluar PAS sehingga menyebut nama-nama pemimpin tertentu untuk menggantikan Tuan Guru yang dituduh kononnya sudah tidak layak.
Sebuah NGO juga tiba-tiba digerakkan oleh orang-orang PAS tertentu untuk membantu agenda menggulingkan Tuan Guru ini.

Mengapakah arus yang cuba dicetuskan ini seakan ditolak mentah-mentah oleh akar umbi PAS? Apakah yang mendorong mereka untuk bertindak balas menolak pimpinan yang terlibat yang cuba mencetuskan arus yang tidak menjadi itu?
Bagi para penganalisa di luar PAS berbagai alasan diberikan dan memang mereka berhak menabur sebanyak mana alasan yang boleh terpacul dari akal fikiran mereka tetapi bagi kita yang di dalam PAS, yang telah sekian lama melalui proses pentarbiyahan dalam parti, yang pernah susah dan senang bersama, ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. Walaupun ia berdaftar sebagai sebuah badan siyasah sebagaimana parti-parti lain akan tetapi hakikatnya ia sebuah gerakan Islam terlebih dahulu.
Saya pernah sebutkan sebelum ini dan orang-orang PAS semuanya tahu dan akur bahawa cita-cita perjuangan PAS tidak sekadar terhad kepada pencapaian dunia atau menawan Putrajaya semata-mata. Ia lebih luas dan jauh. Orang-orang PAS berjuang untuk menawan ganjaran yang dijanjikan Pencipta mereka, iaitu sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak pernah diimpikan oleh mana-mana parti dan badan siyasah lain.

Inilah yang membezakan PAS dengan yang lain-lain. Selagi parti-parti lain, kawan ataupun lawan, selagi para penggiat dan pengamal media tidak memahami faktor ini maka selagi itulah PAS tidak boleh mereka baca.
Dan malangnya selagi segelintir orang-orang PAS sendiri lupa atau terbawa-bawa dengan mimpi lain, selagi itulah mereka juga akan sukar membaca hati sanubari kekuatan akar umbi PAS, yang berkorban yang bermati-matian sejak dahulu hingga sekarang untuk mengekalkan PAS di atas landasan perjuangan ini.

Pemimpin PAS bertanggungjawab di hadapan Allah swt, bukan hanya kepada ahli-ahlinya. Mereka boleh dikritik, mereka yang menyeleweng dari landasan perjuangan boleh “digulingkan” akan tetapi mereka yang jujur dan istiqamah jangan sekali-kali dicuit atau cuba diserang.
Tuan Guru umpamanya dalam ucapan penggulungannya dalam Muktamar PAS yang lepas pernah menyebut:

“Saya tidak bersedia membawa ahli-ahli PAS ke neraka……”
Ucapan seperti ini tiada dalam kamus mana-mana pemimpin parti-parti lain kerana perjuangan semua mereka hanya terhad sekadar di Putrajaya. Kerana itu ucapan seperti ini menggelikan telinga sebahagian mereka, sesuatu yang tidak “real”, sesuatu yang melalut bagi sebahagian lain, walaubagaimanapun bagi ahli-ahli PAS, yang masuk dan menyertai gerakan Islam ini untuk mengejar redha Allah swt yang jauh mengatasi redha manusia, ianya “real” dan hanya boleh diucapkan secara ikhlas oleh pemimpin mereka yang berani, komited dan istiqamah.

Orang-orang PAS sejak dahulu walau dari berbagai disiplin dan latabelakang akademik dan profesyion termasuklah petani, nelayan dan buruh akan sentiasa selesa dan senang dipandu oleh para ulamak sebagai pemimpin mereka.
Pemimpin ulamak di dalam PAS tidak “maksum”, mereka disenangi tetapi jika menyeleweng, mereka dengan sendirinya terjatuh atau akan dijatuhkan, ramai yang telah begitu mengikut rekod dari Presiden, Timbalan sehinggalah Setiausaha Agung. Yang “laju” yang memiliki cita-cita peribadi semuanya telah tersingkir dan tergelicir.

Kerana itu apabila ada usaha untuk menyerang apa lagi “menggulingkan”seorang pemimpin ulamak yang pada mata dan kepercayaan orang-orang PAS seorang yang terbukti ikhlas dan komited, datanglah dari mana arah sekalipun serangan tadi, maka serangan itu akan dianggap sebagai sesuatu yang cuba mencabar dan mengancam keutuhan PAS itu sendiri yang pada hakikatnya berpaksi atas kepimpinan ulamak.
Apabila PAS terancam, maka tatkala itu kekuatannya yakni ahli-ahli akar umbinya tanpa banyak pengarahan dan dorongan akan bingkas bangkit bertindak balas dan menyelamatkan satu-satunya parti Islam dalam Negara ini.

Bagi saya serangan melampau dan keterlaluan terhadap Tuan Guru telah memakan diri.
Kerana itu ada yang menyangka jawatannya akan terus kekal tiba-tiba memperolehi pencalonan kecil, sesuatu yang sangat tidak masuk akal. Kerana itu ada yang memegang jawatan YDP Kawasan sekian lama, tiba-tiba boleh tergolek jatuh dijatuhkan oleh mereka yang dikira dari “gred” yang rendah berbandingnya.

Inilah makan diri namanya.
Ada penganalisa yang menyatakan bahawa bilangan pencalonan nanti tidak mencerminkan bilangan undi dalam erti kata lain ianya belum boleh diterjemahkan kepada undi bagi menjamin kejayaan mana-mana tokoh dalam Muktamar nanti. Sekali lagi, mungkin bagi parti-parti siyasah lain begitulah bacaannya, tetapi bagi saya, realitinya dalam PAS, memilih pemimpin juga merupakan sebahagian dari amalan agama dan ibadah.

Gendang ancaman tehadap keutuhan dan kelangsungan perjuangan PAS telah dipalu sejak Tuan Guru diserang secara terbuka bermula beberapa bulan lampau. Ia terus kencang bergema.
Kawasan-kawasan telah meluahkan isi hati mereka. Dalam muktamar nanti,kekencangan dentuman paluan itu akan terus dirasai, dan saya percaya, ianya akan diterjemahkan sehingga mencorakkan satu saf kepimpinan yang akan merupakan satu pasukan yang boleh bekerja dan bergerak bersama Presiden mereka.

Saf kepimpinan itu tidak harus dikhuatiri mana-mana pihak kecuali Umno dan BN. Peranan PAS dalam Pakatan Rakyat nanti semakin bermakna kerana suara Presidennya nanti itulah juga suara mereka yang sepasukan dengannya, tiada lagi suara-suara sumbang seperti sebelum ini.
Islam yang diperjuangkan PAS akan lebih difahami dan dihormati samada oleh kawan mahupun lawan.

Itulah sepatutnya wajah PAS, iaitu cerminan asas dan pinsip perjuangannya dan cerminan keinginan dan kemahuan ahli-ahlinya. Wajah ini sekali-kali tidak akan berubah kecuali orang-orang PAS sudah longlai semangat juangnya dan terbuai pula dengan mimpi orang lain.
Terima kasih suara akar umbi PAS, kekallah PAS dengan wajah Islam tulinnya insyallah.

 

 

 

 

 

 

1 comment:

Anonymous said...

Sabar bang...asmuwi ada lagi...tu pun suka buat keje giler