Bukan hanya kalangan orang-orang PAS yang berminat untuk
menentukan kepimpinan parti mereka, malah Muktamar kali ini menarik perhatian
dan minat ramai dikalangan kawan dan lawan. Ada yang sekadar memerhati, ada
yang meramal mengulas malah ada pula yang cuba mempengaruhi para perwakilan
dengan pandangan dan kadang-kala ugutan.
Beberapa isu tertentu digunakan untuk mempengaruhi para
perwakilan agar menolak atau menaikkan pihak-pihak tertentu yang bertanding.
Sesungguhnya yang akan menyaksikan pertandingan bukanlah
sebuah parti biasa sebagaimana parti-parti lain yang bergerak di Malaysia, akan
tetapi parti berkenaan adalah sebuah gerakan Islam satu-satunya parti yang
meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya.
Oleh yang demikian menyedari dan mengetahui para perwakilan
PAS, saya mengira bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempengaruhi mereka dengan
isu yang sengaja diada-adakan, apalagi yang berbaur adu-domba, ugutan apa lagi
fitnah.
Perwakilan PAS nanti adalah terdiri dari Yang Dipertua PAS
Kawasan-kawasan, selain biasanya pimpinan tertinggi diperingkat kawasan
masing-masing kesemuanya minima 5 dari setiap kawasan seluruh Malaysia. Juga
dalam perwakilan nanti adalah 15 wakil dari Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan
Ulamak Pusat masing-masing selain perwakilan dari kalangan AJK PAS Pusat.
Secara umumnya kesemua mereka ini adalah pimpinan tertinggi
PAS samada peringkat kawasan-kawasan mahupun Dewan-dewan dan AJK Pusat.
Mereka yang dari pelbagai disiplin dan latarbelakang
akademik dan pekerjaan ini bukanlah orang-orang biasa yang boleh digula-gulakan
apatah lagi dimomok dan diugut.
Oleh itu jangan sekali-kali cuba merendah-rendahkan bacaan
politik mereka, jangan sekali-kali menyogok mereka dengan sesuatu yang
melampaui kematangan dan komitmen mereka dalam PAS dan perjuangan Islam.
Saya lihat ada dua isu popular yang cuba diasak pada para
perwakilan PAS.
Pertama isu mahu meninggalkan Pakatan Rakyat atau tidak
mesra PR dan keduanya isu tergila mahu berbaik dan tidur sekatil dengan Umno
dan BN.
Dua isu ini hebat dijadikan bahan nyanyian, lagu siulan oleh
sesetengah pihak dengan harapan boleh mengguling dan menjatuhkan secara tepat
Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden PAS dan mereka yang berkongsi
pemikiran dan harapan bersama beliau.
Kononnya politik Tuan Guru politik yang mahu memaksa PAS
keluar PR. Tidak mesra PR sehingga Setiausaha Agung DAP turut campurtangan
mengiyakan perkara ini selain beberapa kalangan pimpinan dalam PAS yang turut
ghairah mahu merebahkan Tuan Guru.
PAS bawah Tuan Guru dikatakan sering mahu mencari masalah
dalam PR. Sering berbalah dengan PKR dan DAP dan Tuan Guru seakan tidak minat
dengan politik PR sehinggakan kehadirannya dalam mesyuarat PR dijadikan bukti
tohmahan ini.
Benarkah begitu?
Hakikatnya PAS sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu,
berterusan memikul dan menjulang agenda Islam sebagai perjuangan politiknya.
Untuk mengejar agenda berkenaan PAS masuk dan bertanding Pilihanraya. Dari masa
kesemasa jua demi memenangkan agendanya PAS sentiasa terbuka untuk berkerjasama
dengan mana-mana parti dan NGO dan ini sudah terbukti dalam sejarah panjang PAS
dalam politik tanahair.
Cumanya tidak seperti parti-parti lain, PAS memiliki dasar
dan prinsip yang tetap yang sekali-kali tidak boleh dikompromi atau diagadikan
hanya semata-mata mahu menang pilihanraya. Dasar dan prinsip ini bagi PAS
adalah sesuatu yang berharga dan ianya itulah yang mencetuskan semangat dan
kegigihan perjuangandalam jiwa oramg-orang PAS kerana tidak seperti parti dan pihak lain, ahli-ahli
PAS mengejar ganjaran akhirat yang berakhir tidak sekadar di Putrajaya.
(Ini mungkin tidak dikongsi atau difahami oleh mereka yang
masuk PAS dengan agenda peribadi tertentu, kerana itu mereka tak lama dalam PAS dan
membawa diri keluar seperti Tamrin Ghafar dan tidak mustahil Tan Sri Muhammad
Taib tidak lama lagi, silakan)
PAS boleh berkawan dan boleh berkerjasama dengan sesiapa
sahaja tetapi ianya tertakluk kepada dasar dan prinsipnya yang sekali-kali
tidak boleh digadaikan.
Kerana itu orang-orang PAS tahu kiranya Presiden mereka
sebelum ini tampak membawa pendirian yang tegas dalam PR, membawa sikap menentang
dalam isu-isu tertentu, bukannya kerana Tuan Guru mahu mengasingkan diri atau
mengeluarkan PAS dari PR, tetapi sesungguhnya ia diambil semata-mata kerana
memeilihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.
Atas istiqamah itu beliau dihormati dan disanjungi oleh umat
Islam lebih-lebih lagi akar-umbi PAS, dan tiada siapa samada pihak tertentu
dalam PAS mahupun kawan dalam PR tambah-tambah lagi musuh dari luar yang akan
berjaya menggunakan isu ini untuk memaksa perwakilan PAS menolak Tuan Guru dan
mereka yang bersamanya.
Mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan adalah ajaran
para Nabi dan Rasul, dan para perwakilan PAS tidak memerlukan sesiapa pun untuk
mengajar mereka sebaliknya.
Kesimpulannya saya yakin Tuan Guru tetap mahu bersama PR, cumanya
kawan-kawan perlu faham dan meraikan sikap dan pendirian PAS dalam hal-hal
tertentu, itulah adat berkawan.
Keduanya isu kononnya Tuan Guru mahu membawa PAS masuk
menyertai BN atau bersama Umno. Gagasan "Kerajaan Perpaduan" dimain-mainkan
kononnya "Unity Government" atau "UG" itu adalah antara PAS dan Umno.
Satu hakikat bagi orang-orang PAS sebut sahaja mahu bermain
cinta dengan Umno, ianya sesuatu yang tidak boleh diterima kerana Umno adalah
musuh tradisi PAS. (Lantaran itu saya yakin pihak berkepentingan memainkan isu ini dengan putar-bulit yang durjana)
Tetapi UG dahulu janganlah diputar-belitkan
kerana ianya tidak pernah bermaksud gabungan PAS dan Umno. Ia sesungguhnya
adalah cadangan Tuan Guru yang melibatkan semua parti-parti di Malaysia samada
BN dan PR sehinggakan tiada lagi pembangkang kerana semua sudah duduk dalam
kerajaan.
Gagasan Tuan Guru itu telah ditolak akhirnya oleh PAS Pusat,
dan tidak pernah dihidupkan kembali kecuali orang segelintir tertentu yang
memutarbelitkannya dengan tohmahan bahawa Tuan Guru maksudkan gabungan PAS dan
Umno lalu Tuan Guru perlu ditolak kerana itu.
Jahat sungguh mereka yang ghairah kerana gilakan jawatan
sehinggakan sanggup menabur fitnah dan mereka-reka cerita dengan harapan kali
ini para perwakilan PAS akan terpengaruh dan menolak Tuan Guru sebagai
Presiden.
Juga terbabit dalam memainkan isu ini adalah Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng yang berterusan menyerang Tuan Guru dengan fitnah ini. Harapan beliau biar PAS lepas ini jadi lunak buat beliau syaratnya PAS tanpa Tuan Guru.
Saya sama sekali tidak percaya para perwakilan PAS boleh tertipu
dan termakan dengan racun ini sehingga berselera mahu menggulingkan Tuan Guru
dan mereka yang bersamanya semata-mata kerana percaya Tuan Guru mahu berpeluk
dengan Umno.
Isu rang undang-undang persendirian yang mahu membuka laluan
perlaksanaan Hudud di Kelantan jangan sekali-kali dipalitkan dengan fitnah
jahat ini. Dalam hal mendapatkan sokongan meluluskan Hukum Allah ini, memang
PAS terutama Tuan Guru akan melobi semua wakil rakyat di Parlimen agar
menyokongnya terutama dikalangan wakil-wakil rakayt Islam samada dari PR
ataupun BN.
Melobi dan mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat contohnya
dari Umno untuk menyokong rang
undang-undang ini bukanlah bermakna PAS mahu memeluk cium Umno sebagaimana
adu-domba yang cuba dicetuskan oleh mereka yang tidak bertanggung-jawab yang ketandusan
idea dan muflis imannya.
Bagi saya para perwakilan PAS bijak memilih antara kaca dan
permata. PAS ini sudah jauh belayar dalam persada politik Negara membawa dan
menjulang panji-panji perjuangan Islam secara istiqamah dengan pemimpin yang
silih berganti namun berterusan istiqamah dalam mengejar matlamat perjuangan.
Siapa pun boleh berkata apa sahaja sesuka hati dan nafsu
mereka, walaubagaimanapun lantaran PAS ini sebuah wadah Gerakan Islam yang
mewakili lebih 1 juta ahli, para perwakilannya pasti akan dipandu oleh Allah
swt untuk memilih hanya yang terbaik untuk meneruskan layaran bahtera
perjuangan yang besar ini.
Yang pasti dengan izin Allah, “Kepimpinan Ulamak” akan terus
menjadi teras dan kekuatan parti ini sampai bila-bila. Ayuh PAStikan ia begitu
1 comment:
Setuju saudara..tapi ingat semakin dekat dgn muktamar semakin menggila fitnah..Saya tak heran jika ada yg keluar surat atau gambar yg dikaitkan dgn ug menjelang pengundian..cara mereka sama dgn saraf umno..mungkin org yg sama.
Post a Comment