Tuesday, May 12, 2015

Komplot Kit Siang dan PAS Kota Bharu (12/5/15)

Pada hari Ahad 10 Mei lalu, PAS Kawasan Kota Bharu dengan kerjasama PKR dan DAP Kota Bharu telah menganjurkan satu majlis ceramah umum bertempat di Padang Perdana Kota Bharu, Kelantan. Tema program ceramah berkenaan diberi nama “Kukuhkan Pakatan Hancurkan Barisan”.

Program ceramah politik adalah sesuatu yang biasa dan lumrah dianjurkan di negeri Kelantan. Ia merupakan platform bagi pimpinan parti untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat jelata. Pada kebiasaannya itulah agenda program-program seumpama itu.
Akan tetapi program 10 Mei lalu, sedikit luar biasa.

Antara penceramah jemputannnya adalah Setiausaha Agung PKR dan pemimpin veteran DAP yang juga ketua mereka di Parlimen iaitu Lim Kit Siang.
Mengapa saya katakan luar biasa kerana setelah mendengar berulang kali rakaman ucapan Kit Siang itu saya dapati ianya bukan sekadar bermatlamat menjelaskan isu-isu semasa seperti 1MDB ataupun skandal Tabung Haji, ianya menjangkau sehingga menyentuh isu dalaman PAS! Kit Siang saya lihat punya agenda mahu campurtangan dalam proses pemilihan pimpinan PAS.

Benarkah begitu?

Beliau mulakan ucapannya dengan menggariskan harapan PR untuk menang dan menguasai Putrajaya. Kalau kita teliti betul-betul ucapannya, Kit Siang bukan maksudkan pada PRUke 14 akan datang semata-mata yang hanya akan diadakan selewat-lewatnya 2 atau 3 tahun dari sekarang , tetapi maksudnya lebih tertumpu kepada tempoh “1 bulan”.

Saya catatkan sebanyak 3 kali Kit Siang mengulangi sebutan “1 bulan” itu.
Kata beliau pra syarat untuk menang menguasai Putrajaya nanti adalah mengekal dan mengukuhkan Pakatan Rakyat. Maksudnya jika PR berpecah maka harapan besar itu akan berkecai.Disitulah beliau didapati menyebut bahawa kekal atau tidak PR ini akan ditentukan dalam  tempoh “1 bulan”!

Mengapa “1 bulan”? Apa yang akan berlangsung dalam tempuh “1 bulan” ini?
Saya mungkin salah tetapi yang terlintas difikiran saya dalam tempuh ”1 bulan” apa yang akan berlaku adalah Muktamar PAS Pusat yang akan melihat pemilihan pucuk pimpinan parti. Adakah “1 bulan” yang Kit Siang maksudkan itu adalah Muktamar PAS?

Mengapa kaitkan Muktamar dengan PR seolah akan berlaku ancaman terhadap masa depan PR semasa Muktamar nanti.
Jika apa yang terlintas difikiran saya itu benar maka inilah yang saya maksudkan luar biasa itu, PAS Kota Bharu membuka pentas buat Kit Siang untuk berkempen bagi pihak tertentu dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung dalam tempoh “1 bulan”.

Kita tahu Kit Siang dan DAP bermasalah dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS. Sehinggakan DAP membuat keputusan akan teruskan kerjasama dengan PAS dalam PR tetapi tidak lagi dengan Tuan Guru. Suatu keputusan keanak-anakkan atau “childish” yang dicemuh banyak pihak.
Oleh itu saya melihat Kit Siang di Kota Bharu seakan mahu membawa maksud bahawa ghanimah Putrajaya dalam PRU akan datang hanya akan dapat dikaut kiranya dalam tempoh “1 bulan” ini PAS menyingkirkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden. Kebetulan Kota Bharu merupakan kawasan yang cuba mencetuskan gelombang menggulingkan Tuan Guru, malangnya tidak disahut oleh majoriti kawasan-kawasan seluruh Negara.

Kalau benarlah bacaan saya ini, maka Kit Siang dengan cara tidak hormat telah campuratangan dalam urusan parti PAS dan Kota Bharu dengan sengaja memberikan beliau gelanggang untuk melakukan kerja-kerja tidak berakhlak itu.
Selain itu Kota Bharu juga membiarkan Kit Siang dengan senang hati memberikan alasan penolakan Hudud sedang beliau tahu beliau berada di bumi Kelantan yang rakyatnya lebih 1.5 juta orang kuat medukung cita-cita perlaksanaan hukum perundangan Islam ini termasuklah pihak Istana.

Kota Bharu mungkin bermasalah tetapi Kit Siang selaku seorang ahli politik veteran telah dengan bijak meratah peluang menaburkan racunnya demi untuk mencetuskan suatu suasana yang hanya beliau sahaja tahu akibatnya.
Biar orang PAS tumbangkan Presidennya dengan rayuan “1 bulan” aku ini. Biar orang Kelantan akur dan akhirnya tolak Hudud atas kebijaksanaan hujah ku ini.

Jika itulah mainan dan impian Kit Siang, ternyata beliau silap dan salah.
Dalam tempuh “1 bulan” insyallah PR akan lebih diperkasakan dengan saf kepimpinan PAS yang lebih dinamik dan bertaqwa yang bekerja untuk memartabatkan perjuangan Islam yang suci secara jujur demi rakyat dan Negara Malaysia. Dan dalam tempuh itu juga dengan izin Allah swt Rang Undang-undang Persendirian PAS akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan mudah-mudahan diluluskan demi memberi ruang bagi negeri Kelantan untuk mula meperkenalkan Hukum Jenayah Islam di negeri berkenaan.

 

 

 

 

 

1 comment:

Anonymous said...

Ada tak lks kata...lepas menang putrajaya baru kita laksanakan hudud bkn saja di kelantan malah dimana2 negeri pun asalkan ianya tidak melibatkan org bkn islam. Ada? Kenapa xe? Sbb dap rdk akan sekali2 mengizinkan islam berkembang. Klu percaya jgk...mmg sah x pernah baca quran. Ikut dap klu boleh org islam dan bkn islam bebas bernikah mcm di india dan indonesia. Dan menakutkan ada pulak ulamak songsang dlm pas berhujah dgn dalil yg pelik2.