Bagi mereka yang tak kenal PAS sudah pastilah tidak faham
akan apa yang berada di dalam bahtera PAS. Jolokkan orang-orang luar sudah
pasti mudah membangkit dan merangsang perasaan ingin tahu mereka. Lebih-lebih
lagi kalau yang menjolok itu dari kalangan orang-orang PAS sendiri yang
sentiasa kecewa dan kacau jiwanya.
Orang PAS yang istiqamah sudah pasti akan tersenyum dengan
persoalan sebegini.
Secara amnya tiada beza dikalangan para ulamak di dalam PAS.
Mereka semua menerima asuhan dan pendidikan dari pelbagai institusi pengajian,
samada dari dalam mahupun luar Negara. Mereka menyertai PAS dengan matlamat memperjuangkan
dasar dan cita-cita PAS dan di dalam PAS mereka yang istiqamah diberi tempat
melatih dan mentarbiyah ahli-ahli PAS supaya lebih memahami dan menjiwai perjuangan
gerakan Islam ini.
Para ulamak merupakan teras kekuatan perjuangan PAS kerana
kuatnya ikatan mereka dengan akar-umbi lantaran peranan mereka sebagai rujukan
dan pembimbing ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat saban waktu dan ketika. Oleh
kerana PAS merupakan parti dan gerakan Islam sudah pastilah disiplin serta penguasaan
ilmu Islam sangat dihormati oleh segenap ahli dan penyokongnya.
Samada mereka yang seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi
atau yang baru dan muda, nama sahaja ulamak sesungguhnya begitulah tugas dan
tanggungjawab mereka zaman berzaman.
Akan tetapi persepsi yang cuba diwarnai pada ulamak-ulamak
muda ini, yang berus catnya barangkali dipegang oleh tangan-tangan yang punya
kepentingan atau agenda tertentu, adalah bahawa jika ulamak-ulamak yang
seangkatan dengan Tuan Guru kononnya kelihatan konservatif, maka ulama-ulamak
muda ini pula selain “ultra” konservatif juga kononnya ekstrim dan kasar.
Biar orang benci pada Tuan Guru dan biar orang lebih benci
pada ulamak-ulamak muda ini. Biar benci itu nanti bukan sekadar bersarang di
dada mereka yang bukan PAS khasnya bukan Melayu tetapi lebih-lebih lagi
sehingga berjaya ditabur dan bersarang pula di dada orang-orang PAS yang
akhirnya memungkinkan PAS konon-kononnya dibersihkan dari pengaruh para ulamak
seumpama ini.
Itu yang cuba mahu difahamkan oleh si penganalisa politik yang
saya sebutkan di awal tadi.
Lalu saya memberitahu sesungguhnya PAS berada pada tahap
pencapaiannya hari ini adalah hasil dari kegigihan perjuangan para ulamak
khasnya yang seangkatan dengan Tuan Guru. PAS pasca Allahyarham Datuk Asri
sudah berada di tahap paling kritikal. Ketika itu tiada orang mahu terlibat
dengan PAS, tiada orang mahu menunjukkan yang ia PAS kecuali segelintir yang
istiqamah. (Masa pemilihan pun tiada pula yang mahu berebut-rebut jawatan)
Dari kekuatan paling minima iaitu satu kerusi Parlimen dan
dua DUN kedua-duanya di Kelantan, PAS berjaya dihidupkan semula, dibangkitkan
dari tenatnya hasil dari kesungguhan dan gerak kerja para ulamak yang berjaya
menarik kembali minat rakyat khasnya umat Islam kepada PAS.
Nama-nama yang tercatat pada lipatan sejarah PAS, bukannya
bikin-bikinan, adalah Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Almarhum Ustaz Dato Harun
Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik Almarhum Ustaz Tan Sri Azizan , Almarhum Ustaz Hassan Shukri yang semuanya
seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selain bantuan dan kerjasama yang
bukan ulamak seperti Syed Ibrahim, Wan Mutallib Embong , Subky Latiff dan lain-lain.
“Road Tour” dari kampus ke kampus dan masjid-masjid serta
surau-surau seluruh Malaysia termasuk ke luar Negara yang diketuai Tuan Guru di
awal tahun 80an (khasnya selepas Tuan Guru menang kerusi DUN pada 1982) telah
menghidupkan kembali minat rakyat khasnya anak-anak muda dalam PAS.
Malah ada yang berstatus wakil rakyat dan YB hari ini belum
PAS pun ketika itu.
Kalau benar Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya
konservatif dan jumud sebagaimana yang mahu digambarkan, sudah pasti pasca era
Asri, PAS akan kendur dan terus rebah ke bumi tidak seperti hari ini.
Itu Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya. Bagaimana pula dengan
para ulamak muda hari ini?
Para ulamak muda dalam PAS hari ini pula saya nyatakan
rata-rata adalah merupakan anak didik Tuan Guru belaka. Mereka menghormati Tuan
Guru dan mereka merupakan anak-anak didik yang beriltizam untuk meneruskan apa
yang telah dibina oleh Tuan Guru. Mereka adalah galang ganti Tuan Guru dalam
PAS.
Adakah benar mereka “ultra” konservatif dan ekstrim?
Saya nyatakan tidak!
Malah mereka lebih terkehadapan dalam isu-isu semasa, tidak
seperti dakwaan seorang bekas MB Selangor bahawa kononnya mereka ini sekadar
pandai baca al Quran tetapi buta isu semasa. Mereka sesungguhnya lebih
kontemporari dalam pendekatan, ada yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik,
dan mereka lebih memahami suasana, “internet savvy” dan dari tangan didikan dan
tarbiyah Tuan Guru mereka istiqamah memperjuang dan mempertahankan dasar dan
matalamat perjuangan PAS sehingga disenangi dan boleh diterima masyarakat tua
ataupun muda.
Hujah-hujah dan pandangan mereka punya kualiti dan ia dihormati
dan malah disegani samada mereka berada di Dewan Rakyat atau Dewan-dewan
Negeri, di mimbar-mimbar, di forum-forum atau apa sahaja majlis. Kerana itu hakikatnya
mereka ini sangat digeruni dan dibimbangi oleh musuh luar dan dalam.
Jika personaliti seperti Nasrudin Hassan, Nik Mohamad Abduh,
Mohd Khalil, Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dan lain-lain yang merupakan para ulamak
muda dalam PAS, adalah “ultra” konservatif dan ekstrim sudah pasti masyarakat
akan menolak PAS mentah-mentah dan mustahil PAS boleh menang kerusi melalui
mereka.
Realitinya mereka ini merupakan Ulamak Gen X yang bakal
mencorakkan warna PAS ke arah yang lebih teguh dan diterima masyarakat di
masa-masa akan datang bersama yang bukan ulamak yang berkongsi impian yang sama.
Mereka sudah bersedia meneruskan pencapaian mentor mereka iaitu Tuan Guru Hj
Abd Hadi Awang dan yang seangkatan dengannya.
Mereka istiqamah, mereka punya tenaga dan kesungguhan, dan
merekalah yang akan mengusung panji-panji perjuangan PAS seterusnya bersama
seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia selepas ini.
Oleh itu saya maklumkan pada penganalisa politik tadi
bersedialah melihat kebangkitan mereka dalam politik Malaysia selepas ini
nanti.
No comments:
Post a Comment